Tuesday 24 January 2017

Dilema Wakaf Badan Korporat

Dilema Wakaf Badan Korporat*

Ahmad Hidayat Buang
Jabatan Syariah dan Undang-undang
Universiti Malaya

Mutakhir ini banyak institusi terutamanya pendidikan dan sosial serta tidak kurang juga badan-badan perniagaan membuat cadangan serta mengadakan program dan perancangan menggunakan wakaf bagi tujuan pengumpulan dana. Namun begitu ramai yang tidak mengetahui bahawa di Malaysia urusan wakaf diletakkan di bawah kuasa Majlis Agama Islam. Sesuai dengan itu undang-undang negeri memperuntukkan bahawa Majlis Agama Islam hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf yang diwujudkan di negeri berkenaan. Oleh yang demikian rancangan atau program untuk mengadakan wakaf itu oleh badan-badan selain daripada Majlis jika mengikut undang-undang ini boleh menimbulkan isu perundangan. Dan ini adalah satu dilema yang perlu diselesaikan. Namun begitu perkara ini seolah-olahnya tidak menjadi penghalang kepada badan-badan berkenaan untuk meneruskan hasrat mereka. Perkara ini berlaku mengikut hemat penulis berpunca daripada beberapa faktor seperti berikut:

(1) Tempiasan daripada perkembangan aktif sistem perbankan dan kewangan Islam yang menyebabkan usaha-usaha inovatif secara berterusan dilakukan mencari prinsip-prinsip Syariah yang bersesuaian bagi pengenalan produk-produk baru perbankan dan kewangan Islam. Sudah tentulah prinsip wakaf amat sesuai sekali dalam penawaran sesetengah produk berkenaan terutama yang berkaitan dengan perancangan harta, pelaburan endowmen dan sukuk. Memandangkan sudah terdapat keputusan Mahkamah yang menyatakan urusan perbankan bukan urusan negeri, maka penggunaan prinsip wakaf atau penubuhan dana yang berasaskan wakaf ini tidak dilihat sebagai sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang negeri. 

(2) Ijtihad baru dalam perkara wakaf terutama dengan pengenalan konsep wakaf korporat, wakaf wang tunai, saham wakaf dan sebagainya. Inovasi dalam prinsip Syariah wakaf ini, memudahkan lagi penggunaan prinsip wakaf dalam bisnes dan perniagaan. Pada masa yang sama inovasi ini juga memberi cabaran kepada pihak Majlis Agama Islam yang selama ini menguruskan harta wakaf dalam bentuk hartanah dan perumahan. Memandangkan inovasi yang berasaskan kepada ijtihad baru ini begitu pantas berkembang, momentumnya dipetik oleh badan-badan korporat berbanding pihak Majlis sendiri. Perubahan ini juga bermakna sesiapa sahaja kini boleh melakukan wakaf melalui pembelian kupon wakaf. Ini di tambah lagi dengan kenaikan harga hartanah yang melampau menyebabkan pewakafan harta tersebut tidak lagi mampu dilakukan oleh umat Islam.

(3) Faktor perkembangan ekonomi yang lembab akibat pelbagai faktor menyebabkan dana kerajaan telah merosot. Kesan daripada ini, perbelanjaan awam telah berkurangan dengan drastik. Bagi menampung perbelanjaan, usaha-usaha dibuat mencari dana. Wakaf dilihat sebagai salah satu cara yang sesuai. Ini terutamanya bagi institusi pendidikan. Perkara ini mudah difahami kerana di dalam tradisi dan sejarah Islam, wakaf telah berperanan sebagai dana utama pendidikan. Apatah lagi dengan contoh-contoh yang ada di hadapan mata seperti Universiti al-Azhar, Universiti Qarawiyyin, dan juga di Turki serta lain-lain tempat negara Islam yang beroperasi menggunakan dari dana wakaf.

(4) Persepsi negatif masyarakat Islam kepada pengurusan wakaf di bawah Majlis dan kepercayaan mereka kepada profesionalism pengurusan wakaf badan-badan swasta. Banyak dakwaan dibuat menyatakan bahawa pengurusan wakaf Majlis bermasalah. Sejauh mana benarnya dakwaan ini tidak dapat dipastikan, namun ianya memberi kesan negatif kepada Majlis. Manakala badan-badan korporat, mungkin kerana kaedah penyebaran maklumat dan pelaporan yang berkesan menyebabkan masyarakat mempercayai pengurusan mereka. 

(5) Kesedaran masyarakat dan sokongan kerajaan menyebabkan usaha dan kempen badan-badan korporat menubuhkan wakaf berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan besar. Sungguhpun disedari dari segi perundangannya Majlis yang sepatutnya menguruskan wakaf, namun dari ucapan-ucapan pemimpin kerajaan serta pemuka masyarakat menunjukkan mereka mahu wakaf diberikan wajah baru dalam bentuk bisnes serta pelaburan yang membawa pulangan bagi membantu institusi berkenaan. Manakala bagi masyarakat Islam yang kini mempunyai kedudukan ekonomi yang lebih baik mereka teruja dan berminat untuk melabur di dalam saham-saham wakaf ini.

(6) Perubahan dalam amalan pengurusan pewakafan di mana pada masa dahulu wakaf diurus atau ditadbir oleh orang perseorangan atau keluarga. Banyak laporan dan aduan dibuat terhadap isu-isu pengurusan wakaf ini terutama pengabaian menjaga kepentingan benefisiari atau penerima faedah wakaf serta penjagaan harta wakaf. Mungkin akibat daripada kekurangan pengetahuan, kelayakan dan dana serta faktor-faktor peribadi seperti tidak berintegriti pentadbir wakaf persendirian ini, banyak harta-harta wakaf terbiar dan tidak diuruskan dengan baik. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila berlaku kematian pembuat wakaf, pertelingkahan akan berlaku sesama ahli waris untuk menjadi pentadbir atau mendakwa tiada wakaf dibuat bahkan menuntutnya sebagai harta pusaka. Sedangkan pada masa sekarang wakaf sudah ditadbir dan diuruskan oleh satu pasukan profesional yang terdiri daripada gabungan ahli-ahli ekonomi dan ulama. Faktor ini menyebabkan kebimbangan masa dahulu terhadap pengabaian niat pewakaf dan penjagaan harta wakaf tidak lagi berlaku.

Senarai faktor di atas bukanlah eksklusif. Mungkin terdapat faktor-faktor lain yang berperanan. Berdasarkan kepada perkembangan semasa, sesuatu perlu dilakukan untuk membolehkan wakaf yang ditawarkan oleh badan-badan korporat atau bukan Majlis Agama berada di atas landasan perundangan yang jelas. Memandangkan undang-undang itu sesuatu yang dinamik, maka peruntukan berkaitan wakaf perlu disemak semula supaya sesuai dan selaras dengan perkembangan semasa. Kita tahu bahawa tujuan utama meletakkan semua wakaf di bawah pengurusan Majlis bagi mengelak pengabaian harta wakaf berkenaan di tangan pengurus wakaf persendirian. Dengan perkembangan semasa melalui penubuhan wakaf secara korporat oleh badan-badan profesional, pengurusan wakaf akan menjadi lebih baik dan efisien. Untuk mengimbang dengan kuasa Majlis dan pihak negeri dalam perkara wakaf ini, penawaran atau pengurusan wakaf berkenaan boleh dibuat melalui kelulusan Majlis ataupun sekurang-kurangnya diletakkan di bawah pengawasan Majlis. Namun begitu proses kelulusan dan pengawasan ini hendaklah sesuatu yang memudahkan dan fleksibal serta profesional. Jika tidak ianya akan menjadi satu lagi konstrain serta birokrasi pentadbiran dan dilema ini akan berterusan.

* Rencana ini diterbitkan dalam akhbar Sinar Harian pada 24 Januari 2017 halaman 22. Namun bahagian akhir tidak dimasukkan.


   

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...