Perspektif bertujuan memaparkan pandangan peribadi penulis terhadap pelbagai isu-isu semasa perundangan Islam bagi tujuan perbincangan dan perkongsian bersama. Perspektif is writer's view relating to contemporary issues in Islamic law for discussion and mutual sharing.
Sunday, 2 February 2014
Saturday, 1 February 2014
Ulasan Buku Moderat Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara
Ulasan
Buku Moderat Antidot Barisan Nasional
Menentang Politik Menghalalkan Cara oleh Mashitah Ibrahim, Kuala Lumpur:
Yayasan Darling dan Sekretariat Ulama-Umara (UMUM), JPM. 2012. (308 halaman).
Penulisan buku ini adalah satu upaya untuk
menjelaskan perjuangan parti Barisan Nasional dalam konteks perkembangan
politik semasa Malaysia yang diwarnai oleh Islam, kebangsaan Melayu dan
perpaduan di dalam negara yang mengandungi pelbagai latarbelakang etnik dan
agama. Penulis berpendapat bahawa pendekatan sederhana/moderat yang dibawa oleh
Barisan Nasional dan UMNO adalah rahsia kepada kejayaan, kestabilan dan
kemakmuran yang dikecapi oleh Malaysia selama ini. Baginya pendekatan atau
prinsip sederhana/moderat ini adalah selaras dengan ajaran Islam. Oleh itu
penulis telah mengkhususkan Bahagian Pertama buku ini memberi justifikasi
bahawa Islam itu adalah agama yang mementingkan kesederhanaan. Dengan membawa
beberapa ayat al-Quran dan hadith serta peristiwa-peristiwa yang berlaku di
kalangan sahabat seperti kisah antara Abu Darda’ dan Salman, kisah antara Abu
Dzar dan Bilal, kisah antara Umar dan Astaq al-Rumi dan sebagainya, penulis
menyimpulkan bahawa ayat dan kisah berkenaan memberi pengajaran bahawa Islam
mementingkan prinsip kesederhanaan (halaman 19). Contoh yang diberikan ialah etika perbezaan
pandangan di dalam Islam di mana mengikut pandangan penulis kebanyakan anggota masyarakat
yang terpengaruh dengan dakyah-dakyah politik agama tidak dapat menerima
pandangan atau penjelasan orang lain. Perkara ini berlaku kerana ketaksuban
mereka kepada pandangan ketua atau guru mereka. Akibatnya sesuatu yang luas di
dalam agama Islam telah disempitkan dan sifat berlapang dada yang sepatutnya
diamalkan sudah diganti dengan pendekatan yang keras dan emosional (halaman
25). Dalam konteks keutamaan kepada bangsa Melayu yang sering menjadi kritikan parti
pembangkang, penulis menjelaskan ia mempunyai asas di dalam Islam iaitu untuk
membantu kalangan rakyat yang miskin dalam negara dengan merujuk kepada
peristiwa agihan harta fay‘ kaum Yahudi Bani Nadhir (halaman 32). Di dalam peristiwa
ini hanya golongan Muhajirin menerima agihan berkenaan (kecuali dua orang Ansar
yang miskin). Pada pandangan penulis ini adalah asas-asas pendekatan moderat
yang telah dipraktikkan sekian lama oleh parti kerajaan BN sejak dari awal
kemerdekaan lagi. Antara contoh-contoh yang dipaparkan oleh penulis seperti
perjanjian sosio-kontrak antara kaum di Malaysia di awal kemerdekaan, peranan institusi Raja serta jaminan peranan Islam dalam negara serta agenda
mempertahankan hak bangsa Melayu. Sudah tentu justifikasi ini sebegini adalah
bersifat retrospektif kerana ianya dibuat dalam konteks menghadapi cabaran masa
kini parti pembangkang yang berjaya menafikan majoriti 2/3 undi pilihanraya
yang selama ini diperoleh oleh BN. Atau paling kurang pendekatan moderat atau wasatiyyah ini adalah satu bentuk
rebranding yang pragmatik kepada beberapa slogan yang digagaskan sebelum ini
seperti penerapan nilai-nilai Islam, Islam Hadari dan kini Gagasan Satu
Malaysia. Sebagai ahli politik dan bekas Timbalan Menteri, penulis tidak melepaskan peluang untuk
mengkritik parti pembangkang yang digambarkan olehnya sebagai biadap, keras,
kianat, derhaka, retorik, suka menabur janji manis dan sebagainya. Parti Pas secara
khususnya digambarkan sebagai punca perpecahan di kalangan bangsa Melayu di
atas nama Islam, manakala PKR dan DAP punca perpecahan di kalangan kaum dan agama di
Malaysia (bab 13). Namun yang paling menarik ialah kritikan sinikal penulis
kepada parti PAS yang dikatakan telah melupakan perjuangan menegak negara Islam melalui
slogan negara berkebajikan serta peminggiran peranan ulama di dalam PAS
(halaman 190-193). Dengan merujuk kepada buku
A World without Islam (yang telah
diulas sebelum ini), penulis menyimpulkan bahawa apa yang diperjuangkan oleh parti
pembangkang khususnya PAS bukanlah agama, tetapi prejudis dan kebencian kepada
UMNO. Apa yang berlaku bukanlah perbalahan antara agama atau kepercayaan,
miskin atau kaya, maju atau mundur, tetapi konflik atau pertentangan antara
golongan sederhana dan ekstremis. Bagi penulis PAS, adalah satu bentuk
ekstremis agama manakala DAP adalah estremis kaum atau chauvanis China.
Kedua-dua bentuk estremis ini adalah merbahaya kepada Islam dan bangsa Melayu
di Malaysia (halaman 208-209).
Bagi menghadapi cabaran-cabaran parti
pembangkang dan lain-lain anasir yang cuba untuk menggugat perpaduan kaum dan
agama yang selama ini telah dibina oleh kerajaan Barisan Nasional penulis dengan memetik
daripada ucapan-ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib dan lain-lain
penulis mengutarakan beberapa cadangan antara lain dengan memberi definisi semula kepada maksud jihad sebagai suatu perjuangan yang berterusan untuk memartabatkan Islam
dan bangsa Melayu serta memelihara hak-hak yang sah kaum-kaum lain di Malaysia.
Untuk mencapai hasrat ini, usaha untuk mengeratkan perpaduan dan hubungan antara
kaum dan agama di Malaysia perlu dipertingkatkan. Usaha perpaduan ini hendaklah
melibatkan semua pihak terutama para ulama, penulis maya, guru dan golongan
muda. Tumpuan kepada golongan ini berasaskan kepada pengaruh dan kesan kepada
pembentukan negara Malaysia pada masa hadapan. Sudah tentu apa yang dibentangkan
oleh penulis buku ini boleh dipersoalkan sebagaimana tulisan-tulisan yang lain,
namun sekurang-kurangnya beliau telah membentangkannya dengan hujah-hujah. Maka
terpulanglah kepada mereka yang tidak bersetuju untuk membahaskan isu yang
dibangkitkan dengan membentang hujah-hujah balas.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Kurang Kesedaran Pengguna Punca Peningkatan Sijil Halal Palsu?
Mengikut laporan akhbar pada 21/12/2024 kurangnya kesedaran pengguna antara punca peningkatan sijil halal palsu atau penyalahgunaan sijil be...
-
Yang dimaksudkan dengan sekuriti makanan ialah keadaan di mana terdapatnya bekalan makanan yang mencukupi secara tetap dan makanan tersebu...
-
12 Mei 2017 (Balai Ilmu, APIUM) Forum ini diwacanakan oleh gabungan tiga ahli panel terdiri dari ahli akademik, pengamal sukan diving ...
-
Kealpaan Membawa Padah: Tidak Patuh Syariah pada akad Bai ‘Inah dalam Kes FLH ICT Services & Anor v. Malaysian Debt Ventures Bhd [2016...