Showing posts with label Sains Politik. Show all posts
Showing posts with label Sains Politik. Show all posts

Monday, 11 December 2023

Parti Politik Tidak Boleh Menyaman Malu

 LIM LIP ENG v. ONG KA CHUAN [2022] 5 CLJ 847

FEDERAL COURT, PUTRAJAYA
ROHANA YUSUF PCA; AZAHAR MOHAMED CJ (MALAYA); NALLINI PATHMANATHAN FCJ; ZALEHA YUSOF FCJ; HASNAH MOHAMMED HASHIM FCJ; MARY LIM FCJ; HARMINDAR SINGH DHALIWAL FCJ
[CIVIL APPEAL NO: 02(i)-25-03-2020(W)]
27 APRIL 2022

A political party such as the MCA in this appeal has no cause of action in defamation. Political parties, as registered societies, have no existence of their own separate from their members and are dependent on their members to sue or be sued; consequently, they do not have the requisite reputation to complain of or to be protected within the spheres of the law of defamation. It is also not right nor is it in the public interest to put the public in fear of a defamation suit by a political party; a political party must not be thin-skinned and must always be open to public criticism.

https://mail.google.com/mail/u/0/?tab=rm&ogbl#inbox/FMfcgzGpGdjNJnStTZNzRvfhJQRlsnNr

Sunday, 1 July 2018

Malaysia Baru: Antara Jaminan Perlembagaan dan Kemahuan Politik

Malaysia Baru: Antara Jaminan Perlembagaan dan Kemahuan Politik

Ahmad Hidayat Buang

Dalam ilmu politik apa yang sahih atau tertulis di segi undang-undang atau perlembagaan tidak semestinya memberi jaminan kepada sesuatu perkara jika penguasa politik yang sebenarnya tidak berminat kepada peruntukan undang-undang itu. Jika kita membaca sejarah terutama sejarah Islam pada masa tahap akhir pemerintahan kerajaan Abbasiah, kita akan mendapati  pemerintahan kerajaan bukan di bawah kekuasaan Khalifah, tetapi di bawah menteri atau gabenor atau malah panglima perang kerajaan seperti Bani Seljuk, Bani Buwaih dan sebagainya. Sunggupun mereka menguasai setiap segi pemerintahan negara, mereka tetap mengekalkan Khalifah sebagai ketua kerajaan. Tujuan berbuat demikian ialah untuk mendapat legitimasi terhadap kedudukan mereka dalam negara. Oleh yang demikian, kerajaan Moghul di India dan juga kerajaan Islam yang lain memberi bai’ah atau ikrar sumpah setia kepada Khalifah Abbasiah di Baghdad secara simbolik kerana mereka mahu legitimasi keberadaan mereka dalam pemerintahan negara. Maka begitu juga, penguasa politik zaman sekarang sungguhpun mereka mengakui beberapa peruntukan undang-undang, namun dari segi praktiknya tidak melaksanakannya kerana untuk mengesahkan penerimaan mereka sebagai penguasa politik dalam negara. Ini adalah situasi legal-politico yang disebut sebagai dejure dan defacto.

Penguasa politik faham bahawa mereka sukar untuk mendapatkan sokongan dan dokongan popular sekiranya mereka mengabaikan aspek-aspek legitimasi perundangan ini, sekurang-kurangnya daripada kalangan konservatif atau traditionalis. Oleh yang demikian dalam sejarah Islam, penguasa-penguasa politik mengiktiraf kedudukan Syariah sebagai sumber dan rujukan utama undang-undang, namun pada saat yang sama mereka mengabaikannya dan menggunakan sumber-sumber lain dalam amalan pentadbiran keadilan dalam negara. Dalam hubungan ini mereka bersifat pragmatik dan pratikal serta bertindak atas kepentingan politik mereka. Dalam konteks politik modern, sungguhpun kita dapati banyak negara Islam yang menyatakan Syariah adalah sumber utama negara, namun negara-negara berkenaan  mempunyai indeks yang tinggi dalam pelanggaran hak asasi manusia dan pematuhan proses atau kedaulatan undang-undang (rule of law). Ini sudah tentulah bertentangan dengan prinsip Syariah yang mendokong hak asasi manusia. Contoh seterusnya sungguhpun Perlembagaan sesebuah negara berkenaan melarang diskriminasi kepada perbezaan kaum dan agama, namun kita melihat perkara ini diabaikan atau diamalkan melalui silent policy pemerintahan. Lazimnya satu alasan politik atau keselamatan digunakan bagi menghalalkan tindakan berkenaan. Dalam konteks negara barat atau Eropah, alasan keganasan atau pelampau agama digunakan bagi menghalalkan tindakan-tindakan berkenaan yang jelas bertentangan bukan sahaja dengan prinsip asas Perlembagaan mereka, bahkan juga piagam dan resolusi antarabangsa. Contoh yang paling ketara ialah pencabulan hak asasi rakyat Palestin oleh regim Israel.

Dalam konteks politik negara Malaysia, mantra yang kini bergema ialah menghapus penyelewengan dana awam dan rasuah melalui kes ikonik 1MDB. Sungguhpun gerakan pencegahan rasuah sudah bermula sejak dari dulu lagi, namun kini ia menjadi satu azimat yang bermukjizat kepada kerajaan baru bagi menggerakkan apa-apa agenda yang dikehendaki, sungguhpun kekadang ianya bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan. Sebagai contoh penggunaan Bahasa selain daripada Bahasa Melayu dalam siaran-siaran umum kerajaan hanya dianggap kesalahan kecil jika berbanding dengan usaha kerajaan mencegah “penyelewengan dana awam dan rasuah” yang didakwa berleluasa pada masa dahulu. Begitu juga pelantikan penjawat-penjawat awam yang sensitif dari segi bangsa dan keturunan diperkecilkan dengan azimat integriti dan amanah yang didakwa tidak ada pada masa pemerintahan lalu. Sokongan kepada sebarang usaha untuk mengembalikan kepada sebuah pemerintahan yang berintegriti dan beramanah serta pro rakyat tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana itulah yang sewajarnya, namun pengunaan azimat-azimat politik seperti di atas untuk menolak atau menjawab kritikan adalah tidak sihat bagi amalan demokrasi sesebuah negara. Manakala persoalan apakah pihak pemerintah baru Malaysia akan terus menjunjung asas-asas utama Perlembagaan Malaysia yang mempunyai jaminan-jaminan perlindungan yang bersifat tindakan positif kepada kedudukan agama Islam dan orang-orang Melayu hanya masa akan memberitahu kita. Ini adalah kerana kenyataan-kenyataan dan pengakuan yang diberikan perlu diterjemahkan secara praktik. Setakat ini semua perkara ini berada pada status quo dan tidak pasti berapa lama ia akan kekal disitu melihat kepada pelbagai tuntutan dan cadangan perubahan yang telah dikemukakan. Dalam hubungan ini, tindakan adalah lebih penting daripada dakwaan atau janji. Oleh yang demikian, Iceland pada satu ketika dulu diisytihar lebih Islamik daripada negara-negara Islam bukan kerana kenyataan yang dibuatnya namun melalui tindakan-tindakan yang dilakukan. Nasihat saya hentikanlah mantra-mantra azimat politik dan tumpu serta fokus kepada tindakan sesuai dengan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang.

Saturday, 30 May 2015

Kejayaan Turki, Kejayaan Jepun dan Kegagalan Retorik Politik Islam

Negara Turki kini menjadi ikon dan sebutan ramai terutama dari kalangan yang mendakwa sebagai ahli gerakan Islam baik yang bersadurkan politik mahupun NGO. Setelah kegagalan Retorik Politik Islam membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada umat Arab dan Islam di Timur Tengah, Turki dijadikan sebagai alasan untuk meraih sokongan masyarakat bagi meneruskan agenda dan pendekatan mereka yang gagal itu. Ini diperkuatkan lagi dengan sokongan Presiden Turki sekarang, Erdogan kepada bekas Presiden Morsi. Tidak ramai yang tahu bahawa Samuel Huntington dalam bukunya Clash of Civilization and the Remaking of World Order yang diterbitkan pada tahun 1996, meramalkan jika dunia Islam akan bangun mencabar dominasi tamadun Barat ianya akan dilakukan oleh Turki. Berbeza dengan analisis Huntington gerakan politik/dakwah Islam mendakwa kejayaan Turki kerana pegangan Islam yang dipelopori oleh Erdogan. Dakwaan ini semata-mata bagi menutup kegagalan mereka. Tidak ramai yang tahu bahawa kejayaan Turki (dan juga Malaysia) membawa kemakmuran dan kestabilan politik dalam negara bukan kerana retorik politik Islam melalui gagasan Dawlah Islamiyyah ataupun ideologi salafi dengan kembali kepada Sunnah secara literal. Sokongan Erdogan kepada Morsi bukan kerana beliau percaya kepada pendekatan politik Islam namun berlandaskan kepada prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Turki berjaya menyekat pengaruh pendekatan politik Islam melalui retorik negara Islam melalui polisi sekularismenya dan menyekat pengaruh literal salafi melalui tradisi Sufismenya. Kejayaan politik dan ekonomi Turki ialah mempromosi dan melaksanakan prinsip-prinsip Maqasid Syariah dalam negara dan masyarakat melalui reformasi sosial, ekonomi dan pendidikan, Pendekatan Turki bukanlah legalistik dan dogmatik sebagaimana politik Islam dan salafi. Tidak pernah kedengaran di Turki rancangan untuk menubuhkan negara Islam atau melaksanakan hudud kerana itu semua adalah retorik dan cuba meminggirkan perkara sebenar yang perlu diutamakan. Bahkan kaedah yang dibawa oleh retorik politik Islam dan Salafi telah mematikan kreativiti dan inovasi yang menjadi tunggak kepada kemajuan sesuatu peradaban.


Diambil dari wall face book Ahmad Saifuddin Yusof


Semua orang tahu bahawa dunia Arab sekarang sudah berada di ambang kehancuran dengan ketidakstabilan politik, keganasan, pembunuhan masyarakat awam dan orang tidak berdosa, kemunduran ekonomi dan pelbagai lagi. Punca kepada kegagalan ini adalah banyak dan masing-masing cuba menyalahkan antara mereka, namun mereka bersatu untuk menyatakan bahawa Amerika dan Israel punca masalah mereka. Mungkin benar alasan itu, namun untuk menyatakan semuanya salah Amerika dan Israel adalah satu overstatement dan escapism.  Oleh itu apabila ada negara Islam yang maju dan berjaya seperti Turki maka sudah tentulah masing-masing mendakwa ianya menggunakan pendekatan dan kaedah mereka iaitu politik Islam bagi menutup kegagalan mereka. Tujuannya ialah bagi menyakinkan pendokong mereka untuk meneruskan agenda yang telah mereka rancang dan untuk mengekalkan status quo yang dinikmati oleh pimpinan mereka, mungkin bukan barangkali dalam bentuk kemewahan, namun dalam bentuk dominasi dan pengaruh. Oleh yang demikian mereka menjalankan propaganda melalui pendokong dan jaringan antarabangsa mereka untuk menggunakan dan meluaskan retorik mereka yang gagal itu ke negara-negara Islam lain seperti Afika dan Asia Tengara. Yang paling malang ialah kesejahteraan dan keselamatan yang dinikmati oleh penduduk-penduduk Islam di luar tanah Arab selama ini telah tergugat dengan kefahaman retorik politik Islam dengan mengkafir orang Islam yang lain melalui fatwa dan amanat yang mereka dakwa sebagai ajaran Islam yang sebenar. Sebenarnya tiada apa-apa kesejahteraan yang mereka bawa melalui retorik ini ke negara-negara Islam yang lain melainkan perpecahan, kebencian dan kemunduran.



Hanya Malaysia dan Indonesia yang perihatin dengan nasib Rohinga


Apa yang terjadi di negara-negara Arab sekarang adalah bukti yang jelas kegagalan retorik ini yang tidak perlu kepada apa-apa analisis akademik yang mendalam untuk memahaminya. Sungguhpun secara zahirnya mereka menunjukkan dan memamerkan pelaksanaan Syariah baik secara propaganda dan penampilan peribadi, namun sebenarnya di dalam jiwa dan jatidiri mereka masih terdapat kesan-kesan jahiliyyah Arab. Mereka menjadi sombong kerana beranggapan bahawa mereka adalah Arab yang tahu semuanya tentang Islam atau bagi sesetengah mereka dengan nikmat kekayaan. Mereka juga amat perkauman dan mementingkan diri sendiri dan golongan mereka. Ini boleh dilihat apabila ditanya tentang peranan mereka terhadap kemakmuran dunia seperti mencipta ubat-ubat, teknologi makanan atau membantu mangsa-mangsa bencana di seluruh dunia. Sebagai contoh, berapa ramaikah sukarelawan Arab yang datang membantu ketika Tsunami di Aceh atau Ebola di Afika atau gempar bumi di Nepal dan terkini orang hanyut Rohinga? Berapa banyakkah wang yang dilaburkan oleh Arab untuk kesejahteraan dunia untuk pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan. Mungkin ada, namun mereka bukanlah kehadapan sebagaimana retorik mereka. Bahkan negara bukan Islamlah yang terhadapan membantu membangun kemanusiaan seperti Jepun, Jerman dan China. Oleh itu cukuplah pendekatan politik Islam yang gagal itu yang terbukti banyak membawa kesengsaraan dan kemunduran. Dan Turki tidak berhutang apa-apa dengan retorik politik Islam ini yang pada masa kini cuba untuk dimanipulasikan bagi menerus agenda politik dan kepentingan pihak-pihak tertentu. Jika Syurga itu ada untuk orang bukan Islam sudah tentulah orang Jepun yang pertama akan masuk kedalamnya - namun ini hanyalah retorik.

Hanya Jepun dan beberapa negara bukan Islam yang membantu dunia
      

Saturday, 13 September 2014

Peranan Sultan Dalam Pemilihan Menteri Besar Selangor: Kesinambungan Teori Siyasah


Apa yang diutarakan oleh Profesor Shamrahayu melalui rencananya bertajuk Peranan Sultan dalam kemelut MB Selangor yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia pada 24 Ogos 2014 perlu direnungkan dalam konteks bagaimana Syariah Islam boleh memainkan peranan dalam menyelesai kemelut yang dihadapi (rencana berkenaan boleh diakses di http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140824/re_08/Peranan-Sultan-dalam-kemelut-MB-Selangor). Sesuai dengan perkembangan semasa asas pemerintahan di Malaysia serta juga sebahagian negara-negara Islam yang lain terutamanya Indonesia, Turki dan Pakistan adalah demokrasi, iaitu pemilihan pemerintahan melalui suara majoriti rakyat. Prinsip demokrasi ini nampaknya tidaklah dapat dipraktikkan dengan berkesan dan lancar di negara-negara Arab. Bahkan kesemua negara-negara teluk asas pemerintahan adalah kerajaan beraja secara mutlak. Namun begitu yang membezakan Malaysia dengan negara-negara Islam yang lain ialah demokrasi Malaysia menerima pakai sistem beraja. Secara mudahnya, jika dapat diterima kesimpulan ini, sistem pemerintahan di Malaysia adalah campuran atau perkahwinan antara sistem demokrasi moden dan sistem beraja. Sungguhpun sistem demokrasi berasaskan kepada nilai-nilai kebebasan bersuara dan proses pemilihan pemerintahan secara majoriti Barat, namun kebanyakan ahli politik Islam menerima sistem ini kerana ianya tidak bercanggah dengan dasar-dasar pemerintahan Islam, terutamanya dengan dasar pemilihan Khalifah Rasyidin yang kesemuanya dipilih melalui suara ramai. Manakala sistem beraja pula diterima oleh para ulama terdahulu dengan syarat bahawa pemimpin berkenaan menjalankan pemerintahan dan pentadbiran secara adil berasaskan kepada Syariah serta mendapat bai'ah daripada rakyat. Namun begitu dalam konteks Malaysia, sumber tertinggi undang-undang adalah Perlembagaan Persekutuan dan diikuti dengan Perlembagaan Negeri. Peruntukan undang-undang ini yang menyatakan secara bertulis apakah syarat-syarat dan langkah-langkah yang perlu diambil dalam pemerintahan negara. Jika melihat kepada peruntukan Perlembagaan Negeri Selangor, sebagai contoh, syarat utama pelantikan Menteri Besar ialah mendapat sokongan majoriti ahli DUN serta perkenaan DYMM Sultan. Sebagaimana dengan undang-undang bertulis yang lain, tidak semua perkara dinyatakan secara jelas atau bertulis. Persoalan yang dikemukakan ialah bagaimanakan kita hendak menjelaskan perkara-perkara itu dan seterusnya mencorakkan amalan serta tafsiran undang-undang. Sebagai contoh tiga perkara telah ditimbulkan oleh banyak pihak akibat ketiadaan peruntukan bertulis iaitu apakah seorang wanita tidak layak menjadi Menteri Besar? seorang itu mesti warga negara asal dan ianya mesti anak jati negeri berkenaan. Satu persoalan yang lebih penting ialah peranan DYMM Sultan atau Raja dalam pelantikan Menteri Besar. Sudah tentu pelantikan ini berasaskan kepada individu yang mendapat kepercayaan majoriti ahli DUN dan dalam konteks ini parti politik yang mempunyai kerusi majoriti. Namun begitu jika dalam keadaan di mana terdapat krisis sebagaimana yang berlaku di Selangor pada masa kini, maka bagaimana keadaan ini perlu dijelaskan atau diselesaikan? Dalam keadaan di mana peruntukan Perlembagaan tidak menjelaskan penyelesaiannya apakah sumber yang perlu dirujuk? Bagi sebuah negara yang mengamal sistem perundangan komon Inggeris, barangkali akan terdapat hujah bahawa rujukan harus dibuat kepada tradisi undang-undang tersebut. Namun begitu sebagaimana kata Prof Shamrahayu kita perlu merujuk kepada sejarah dan tidak perlu meniru raja berperlembagaan yang diamalkan di negara lain kerana ianya tidak sesuai dan berbeza dari segi sejarah dan hala tuju negara. Oleh kerana sistem beraja di Malaysia berasaskan kepada sistem kesultanan Melayu yang bertonggakan kepada perundangan Islam, maka sewajarnya persoalan amalan yang tidak dinyatakan secara bertulis di dalam Perlembagaan itu dirujuk kepada perundangan Islam. Dalam pemilihan Menteri Besar Selangor DYMM Sultan sebagai satu instituisi pemerintahan, mengikut teori politik Islam atau Siyasah Syar'iyyah bertindak sebagai ahli al-hall wa 'aqd dalam menentukan siapakah yang layak menjadi menteri besar. Oleh yang demikian pada pandangan saya apa yang dilakukan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menyelesai kemelut ini adalah sesuatu yang syarie dan wajar disokong oleh semua pencinta undang-undang Islam di Malaysia. Sungguhpun demikian dalam mencari jawapan atau penjelasan daripada perundangan Islam, tidak semestinya kita terikat dengan tafsiran atau ijtihad ulama terdahulu, bahkan para ulama dan ilmuan Islam Malaysia boleh membentuk satu tafsiran yang sesuai dengan budaya dan masyarakat Malaysia serta mengambil kira perkembangan semasa.

Saturday, 1 February 2014

Ulasan Buku Moderat Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara

Ulasan Buku Moderat Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara oleh Mashitah Ibrahim, Kuala Lumpur: Yayasan Darling dan Sekretariat Ulama-Umara (UMUM), JPM. 2012. (308 halaman).

Penulisan buku ini adalah satu upaya untuk menjelaskan perjuangan parti Barisan Nasional dalam konteks perkembangan politik semasa Malaysia yang diwarnai oleh Islam, kebangsaan Melayu dan perpaduan di dalam negara yang mengandungi pelbagai latarbelakang etnik dan agama. Penulis berpendapat bahawa pendekatan sederhana/moderat yang dibawa oleh Barisan Nasional dan UMNO adalah rahsia kepada kejayaan, kestabilan dan kemakmuran yang dikecapi oleh Malaysia selama ini. Baginya pendekatan atau prinsip sederhana/moderat ini adalah selaras dengan ajaran Islam. Oleh itu penulis telah mengkhususkan Bahagian Pertama buku ini memberi justifikasi bahawa Islam itu adalah agama yang mementingkan kesederhanaan. Dengan membawa beberapa ayat al-Quran dan hadith serta peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan sahabat seperti kisah antara Abu Darda’ dan Salman, kisah antara Abu Dzar dan Bilal, kisah antara Umar dan Astaq al-Rumi dan sebagainya, penulis menyimpulkan bahawa ayat dan kisah berkenaan memberi pengajaran bahawa Islam mementingkan prinsip kesederhanaan (halaman 19). Contoh yang diberikan ialah etika perbezaan pandangan di dalam Islam di mana mengikut pandangan penulis kebanyakan anggota masyarakat yang terpengaruh dengan dakyah-dakyah politik agama tidak dapat menerima pandangan atau penjelasan orang lain. Perkara ini berlaku kerana ketaksuban mereka kepada pandangan ketua atau guru mereka. Akibatnya sesuatu yang luas di dalam agama Islam telah disempitkan dan sifat berlapang dada yang sepatutnya diamalkan sudah diganti dengan pendekatan yang keras dan emosional (halaman 25). Dalam konteks keutamaan kepada bangsa Melayu yang sering menjadi kritikan parti pembangkang, penulis menjelaskan ia mempunyai asas di dalam Islam iaitu untuk membantu kalangan rakyat yang miskin dalam negara dengan merujuk kepada peristiwa agihan harta fay‘ kaum Yahudi Bani Nadhir (halaman 32). Di dalam peristiwa ini hanya golongan Muhajirin menerima agihan berkenaan (kecuali dua orang Ansar yang miskin). Pada pandangan penulis ini adalah asas-asas pendekatan moderat yang telah dipraktikkan sekian lama oleh parti kerajaan BN sejak dari awal kemerdekaan lagi. Antara contoh-contoh yang dipaparkan oleh penulis seperti perjanjian sosio-kontrak antara kaum di Malaysia di awal kemerdekaan, peranan institusi Raja serta jaminan peranan Islam dalam negara serta agenda mempertahankan hak bangsa Melayu. Sudah tentu justifikasi ini sebegini adalah bersifat retrospektif kerana ianya dibuat dalam konteks menghadapi cabaran masa kini parti pembangkang yang berjaya menafikan majoriti 2/3 undi pilihanraya yang selama ini diperoleh oleh BN. Atau paling kurang pendekatan moderat atau wasatiyyah ini adalah satu bentuk rebranding yang pragmatik kepada beberapa slogan yang digagaskan sebelum ini seperti penerapan nilai-nilai Islam, Islam Hadari dan kini Gagasan Satu Malaysia. Sebagai ahli politik dan bekas Timbalan Menteri, penulis tidak melepaskan peluang untuk mengkritik parti pembangkang yang digambarkan olehnya sebagai biadap, keras, kianat, derhaka, retorik, suka menabur janji manis dan sebagainya. Parti Pas secara khususnya digambarkan sebagai punca perpecahan di kalangan bangsa Melayu di atas nama Islam, manakala PKR dan DAP punca perpecahan di kalangan kaum dan agama di Malaysia (bab 13). Namun yang paling menarik ialah kritikan sinikal penulis kepada parti PAS yang dikatakan telah melupakan perjuangan menegak negara Islam melalui slogan negara berkebajikan serta peminggiran peranan ulama di dalam PAS (halaman 190-193). Dengan merujuk kepada buku A World without Islam (yang telah diulas sebelum ini), penulis menyimpulkan bahawa apa yang diperjuangkan oleh parti pembangkang khususnya PAS bukanlah agama, tetapi prejudis dan kebencian kepada UMNO. Apa yang berlaku bukanlah perbalahan antara agama atau kepercayaan, miskin atau kaya, maju atau mundur, tetapi konflik atau pertentangan antara golongan sederhana dan ekstremis. Bagi penulis PAS, adalah satu bentuk ekstremis agama manakala DAP adalah estremis kaum atau chauvanis China. Kedua-dua bentuk estremis ini adalah merbahaya kepada Islam dan bangsa Melayu di Malaysia (halaman 208-209).
Bagi menghadapi cabaran-cabaran parti pembangkang dan lain-lain anasir yang cuba untuk menggugat perpaduan kaum dan agama yang selama ini telah dibina oleh kerajaan Barisan Nasional penulis dengan memetik daripada ucapan-ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib dan lain-lain penulis mengutarakan beberapa cadangan antara lain dengan memberi definisi semula kepada maksud jihad sebagai suatu perjuangan yang berterusan untuk memartabatkan Islam dan bangsa Melayu serta memelihara hak-hak yang sah kaum-kaum lain di Malaysia. Untuk mencapai hasrat ini, usaha untuk mengeratkan perpaduan dan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia perlu dipertingkatkan. Usaha perpaduan ini hendaklah melibatkan semua pihak terutama para ulama, penulis maya, guru dan golongan muda. Tumpuan kepada golongan ini berasaskan kepada pengaruh dan kesan kepada pembentukan negara Malaysia pada masa hadapan. Sudah tentu apa yang dibentangkan oleh penulis buku ini boleh dipersoalkan sebagaimana tulisan-tulisan yang lain, namun sekurang-kurangnya beliau telah membentangkannya dengan hujah-hujah. Maka terpulanglah kepada mereka yang tidak bersetuju untuk membahaskan isu yang dibangkitkan dengan membentang hujah-hujah balas. 

Wednesday, 9 January 2013

Kematian Muamar Ghadafi dan Syariah*


*Artikel ini ditulis pada November 2011

© Ahmad Hidayat Buang 2011 

Peristiwa terbunuhnya bekas pemimpin Libya Kolonel Muamar Ghadafi bersama anak dan bekas menterinya mengundang pelbagai spekulasi. Bagi ramai orang, terutama rakyat Libya dan pihak Barat apa yang penting sekarang ini ialah Ghadafi yang dikatakan seorang diktator yang kejam kepada rakyatnya sendiri telah berjaya dihapuskan. Ini sekaligus menamatkan episode lama dan bermulanya era baru Libya yang bebas dan demokratik. Sungguhpun terdapat gesaan pihak tertentu untuk menyiasat bagaimana Ghadafi terbunuh, namun perkara ini nampaknya bukan satu keutamaan buat masa kini. Kata orang, penawar atau ubat kepada sesuatu yang trajik adalah masa. Oleh yang demikian kejadian ini akan hanya dibincangkan apabila keadaan sudah tenang, emosi sudah pudar, perasaan marah sudah hilang dari ingatan. Apatahlagi di Libya pada saat ini, untuk dianggap sebagai simpatisan kepada Ghadafi boleh membahayakan diri dan keluarga. Tujuan saya bukanlah untuk menyokong kezaliman yang dikatakan dilakukan oleh Ghadafi, tetapi untuk menjelaskan beberapa perkara yang berkaitan hukum Islam yang mungkin boleh dilihat dari perspektif yang bebas dari emosi dan sentimen. Perkara ini penting kerana beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa pihak menyatakan pembunuhan Ghadafi, sebagaimana yang dipaparkan di dada media atau internet, adalah sesuatu yang halal boleh menimbulkan salah tanggapan kepada ajaran Islam.

Tidak syak lagi Islam membenarkan peperangan bagi tujuan mempertahankan diri dan membela agama daripada penindasan. Atas dasar ini, bagi mempertahankan harta, diri dan keluarga serta amalan agama, apatah lagi setelah berlakunya kezaliman menyebabkan sesetengah ulama membenarkan tindakan balas dalam bentuk kekerasan. Sungguhpun demikian, terdapat pandangan ulama sunni yang tidak membenarkan tindakan menentang pemerintah Islam walaupun mereka itu kejam, selagimana syiar-syiar dan rukun-rukun Islam boleh terus diamalkan tanpa halangan. Perkara ini jelas dalam sejarah umat Islam di mana majoriti ulama, termasuk semua ulama pendiri mazhab yang empat mengambil sikap berkecuali dalam politik dan pemerintahan Khalifah Umayyah dan Abasiah. Namun ini tidaklah bermakna ulama-ulama berkenaan berdiam diri. Apa yang berlaku ialah mereka memberi nasihat dan teguran kepada pemerintah supaya kembali kepada ajaran Islam sebagaimana Imam Malik yang memberi teguran kepada Khalifah Abasiah terhadap lafaz taat setia atau bay‘ah yang dibuat secara paksa.

Walaupun apa hujah yang diberi, jika kita menerima sekalipun keharusan melakukan tindakan kekerasan yang termasuk antaranya pembunuhan nyawa manusia Muslim yang lain, masih ada lagi peraturan-peraturan hukum Syarak dalam pertempuran atau peperangan yang perlu dipatuhi. Dalam hubungan ini adalah layanan terhadap tawanan perang. Al-Quran jelas memberi panduan terhadap pilihan yang boleh diambil oleh pihak pemerintah iaitu (1) dibebaskan, (2) diambil harta tebusan (sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Badr) dan (3) dibunuh. Dalam perbincangan seterusnya melalui al-Sunnah selain daripada tiga yang di atas tawanan perang juga dijadikan hamba sebagai tindakan reciprocal amalan musuh Islam yang menjadikan tawanan Muslim sebagai hamba. Yang dimaksudkan dengan tawanan perang itu ialah apabila pertempuran telah selesai atau musuh menyerah diri. Apabila keadaan ini berlaku maka menjadi tanggungjawab pihak yang menang untuk melindungi tawanan perang serta menjamin hak mereka sebagai seorang manusia seperti makanan, pakaian dan sama sekali tidak boleh disiksa (apatah lagi dibunuh tanpa proses yang sah). Layanan secara baik ini bukan sahaja kepada yang masih hidup bahkan kepada yang sudah terbunuh, di mana Rasulullah s.a.w. melarang para sahabat melakukan perbuatan menghina mayat tentera kaum Quraisyh yang sebelum ini telah menghina secara kejam jenazah bapa saudara Nabi, Hamzah ibn Abdul Mutallib yang syahid dalam peperangan Uhud. Oleh itu apa yang diperlakukan kepada jenazah Ghadafi dan anaknya adalah sesuatu yang tidak menepati apa yang diajar oleh Baginda Rasulullah s.a.w. terutama sekali apabila jenazah Muslim.

Para ulama berpendapat apa-apa pilihan tindakan seperti di atas yang akan diambil oleh pemerintah kepada tawanan perang adalah berasaskan kepada maslahah dan kepentingan awam. Dalam sejarah Islam, tiga orang tawanan perang yang dijatuhkah hukuman bunuh oleh Baginda Rasullullah s.a.w. iaitu Nadir ibn al-Harith, Uqbah ibn Mu’ayt (kedua-duanya dalam peperangan Badr) dan Abu ‘Azzah al-Jumahi (dalam peperangan Uhud). Mengikut para pengkaji ketiga-ketiga mereka dijatuhkan hukuman bunuh kerana sikap mereka yang kejam dan zalim terhadap orang Islam di Mekah. Oleh itu mereka dibunuh kerana kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan. Dan ianya dilakukan selepas diperintah oleh Rasulullah s.a.w.. Peristiwa ini dijadikan satu kaedah dalam undang-undang jenayah Islam iaitu hukuman bunuh termasuk kepada tawanan perang mesti melalui kuasa pemerintah. Perkara ini juga selaras dengan Konvensyen Geneva 1949 dalam perkara peperangan. Berkemungkinan besar Ghadafi akan dijatuhkan hukuman bunuh sebagaimana yang dialami oleh Saddam Husein melalui proses perundangan. Namun berbeza dengan Ghadafi, Saddam ditawan oleh tentera Amerika. Jika tidak kemungkinan Saddam juga akan mengalami nasib yang sama. Dalam apa-apa keadaanpun pengajaran kepada kita ialah sesiapa yang melakukan perbuatan jenayah dan zalim lambat laun akan menerima hukuman juga samada secara sewajarnya mengikut lunas-lunas Syariah dan undang-undang atau sebaliknya.  

Rujukan

Ahmad al-Dawoody, The Islamic Law of War: Justifications and Regulations, New York: Palgrave Macmillan, 2011, hh.136-138.

Muhammad Abu Zahrah, al-Jarimah wa al-‘Uqubah fi al-Fiqh al-Islami, Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi, 1966. 

Saturday, 5 January 2013

Ulasan Buku "A World Without Islam"


Graham E. Fuller, A World Without Islam, New York: Back Bay Books (paperback edition), July 2011 (originally published in hardcover by Little, Brown and Company, August 2010). 328 halaman termasuk indeks.

Banyak pihak apabila saya kemukakan tajuk buku ini akan memberi reaksi pesimis dan ada juga yang membuat kesimpulan bahawa buku ini bertujuan untuk mengkritik atau menghina Islam. Saya tidak salahkan mereka kerana tajuk buku ini adalah sedikit kontroversi dan bakal mengundang kecaman. Namun begitu itulah kesalahan yang sering dilakukan oleh kebanyakan kerana sering membuat penilaian tanpa menyelidiki dengan lebih mendalam. Dalam konteks buku ini ialah dengan cuba membaca dan seterusnya memahami apa yang akan cuba disampaikan oleh penulis. Ternyata selepas membaca buku ini sebanyak dua kali, perkara yang ingin ditegaskan oleh penulis buku ini bahawa konflik dan ketegangan politik dan ketenteraan termasuk keganasan dan 

peperangan adalah berpunca daripada faktor-faktor selain agama seperti  geopolitik, ekonomi, ketegangan etnik, perebutan kuasa dan pelbagai lagi. Sungguhpun tidak dinafikan bahawa faktor keagamaan adalah penting dan nyata dalam konflik dan ketegangan ini, namun mengikut penulis ianya bukan penyebab utama. Agama bagi penulis baik sama ada Yahudi, Kristian atau Islam hanya sebagai simbol atau obor bagi menggalakkan penentangan kepada sesuatu perkara yang boleh menggugat dan menjejaskan kepentingan sesuatu golongan, etnik atau otoriti. Dalam menyokong kesimpulan ini, penulis menggunakan pendekatan sejarah, kajian sains politik dan perbandingan agama bagi menunjukkan konflik keagamaan ataupun ketenteraan serta politik yang wujud sejak dari zaman dahulu sebelum Masehi sehingga kini berpunca daripada faktor-faktor selain agama. Bagi penulis, tanpa faktor agama pun, segala peristiwa berkenaan yang dicatit oleh sejarah seperti perang Salib, saikologi penentangan kepada kuasa-kuasa barat atau penjajahan, akan tetap berlaku. Dengan tidak menafikan faktor agama memainkan peranan dalam konflik ini, ianya bukan penyebab namun sekadar sebagai penggalak atau alat bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu yang bersifat politik dan ketenteraan serta strategik ekonomi. Contoh serta argumen yang dibawa oleh penulis adalah komprehensif iaitu konflik antara agama Yahudi dan Kristian, konflik antara sesama golongan Kristian (melalui gerakanReformation), konflik antara Kristian dan Islam (melalui perang Salib), hubungan antara Islam dan agama lain di India dan China dan akhirnya hubungan Islam dengan dunia barat dan Eropah melalui pelbagai isu terutamanya minoriti, identiti, asimilasi budaya, masalah Palestin dan perang ke atas keganasan oleh Amerika yang kadangkala dilabelkan sebagai Perang Salib Moden. Bagi penulis hubungan antara agama baik sesama agama samawi atau yang dikenali sebagai Abrahamic Religionsdan juga dengan agama lain di India dan China adalah toleren. Mengikut penulis Islam sebagaimana yang diamalkan di India dan China telah berjaya mengakomodasi elemen-elemen tempatan yang terdapat dalam masyarakat beragama Hindu dan Buddha (begitu juga akomodasi Islam dengan kebudayaan Jawa). Yang paling jelas proses tolak ansur ini ialah di China di mana karakter kebudayaan China secara terserlah diserapkan dalam amalan dan penghayatan Islam. Yang menimbulkan ketegangan antara hubungan agama adalah isu etnik, identiti bangsa dan penjajahan yang menimbulkan apa yang diistilahkan sebagai sempadan artifisial bagi etnik-etnik ini dalam peta politik moden negara-negara yang lahir akibat atau kesan daripada penjajahan atau peperangan. Bagi penulis ketegangan antara Islam dan Kristian semasa peperangan Salib berpunca daripada keresahan pihak Gereja untuk mengatasi masalah dalaman Eropah yang kucar kacir akibat daripada perebutan kuasa antara kuasa-kuasa feudal. Oleh yang demikian perlu pada satu saluran untuk meredakan keadaan ini iaitu dengan menimbulkan persepsi penindasan Islam terhadap orang-orang Kristian di Palestin (al-Quds), sungguhpun keadaan masyarakat Kristian dan Yahudi di al-Quds semasa pemerintahan Islam adalah jauh lebih baik berbanding dengan keadaan semasa di bawah pemerintahan Kristian kemudiannya. Penulis menutup perbincangan bukunya dengan mengulas isu peperangan Amerika ke atas keganasan yang dikatakan berpunca daripada sikap radikalism dan ekstrimisn sesetengah kalangan masyarakat Islam. Mengikut penulis radikalism dan esktrimism ini adalah hasil ciptaan Amerika dan Eropah sendiri melalui dasar-dasar luarnya yang menekan rungutan masyarakat Islam terhadap beberapa isu politik dan ekonomi. Sebelum itu mengikut penulis ialah dasar penjajahan yang menyekat perkembangan dan peranan institusi ulama dan Islam seperti Qadi dan Mufti dalam pemerintahan dan masyarakat yang menyebabkan pada akhirnya timbul golongan agama yang menentang Barat dan semua mereka yang menyokong Barat dalam usaha mereka untuk mencari tempat yang bermakna dan relevan dalam masyarakat Islam. Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh penulis bahawa tanpa Islam pun semua konflik dan masalah yang dihadapi oleh dunia barat ketika ini akan tetap berlaku.

Guru dan Pengajian Pondok Guna Hadis Lemah/Palsu?

Saya terbaca satu status di dalam FB yang mengulas satu kajian ilmiah sebuah universiti tempatan yang mendapati guru-guru pondok dikatakan m...