Showing posts with label General Knowledge. Show all posts
Showing posts with label General Knowledge. Show all posts

Friday, 15 November 2024

Dilema Lulusan Sains Sosial?

Persoalan seperti di petikan-petikan akhbar terlampir di bawah sering didebatkan terutama dalam dekad mutakhir ini akibat dari kepesatan perkembangan sains dan teknologi yang mengubah demografi bentuk pekerjaan dari sains sosial terutama bidang kemanusiaan kepada bidang-bidang berteraskan sains gunaan dan teknologi.  Sebenarnya semua bidang pengajian adalah relevan kerana ia berkaitan dengan penghidupan manusia. Sebagai contoh bidang falsafah yang dikatakan mungkin sukar mendapat tempat dalam pasaran kerja, namun ianya penting bagi melahirkan pekerja atau lulusan yang berfikiran kritikal dan berinovatif. Contoh seterusnya bidang kesenian kerana boleh melahirkan pekerja yang kreatif. Begitu juga dalam bidang bahasa yang penting bagi tujuan komunikasi. Manakala dalam bidang pengajian Islam ia adalah amat penting dalam konteks penerusan tradisi ilmu yang diwarisi sejak dari zaman berzaman bagi memelihara akidah dan hukum Islam dalam menghadapi cabaran zaman. Persoalannya ialah lambakan lulusan berkenaan yang tidak seimbang yang menyebabkan ketidakboleh pasaran lulusan pengajian yang berkaitan. Bahkan bidang-bidang sains dan teknologi pun jika tidak dipelbagaikan akan menyebabkan berlakunya tompokan dan akhirnya menyempitkan peluang pekerjaan dalam bidang berkenaan. Oleh itu secara mudahnya isu yang dihadapi sekarang ialah bagaimana untuk mengimbangkan jumlah lulusan dalam pengajian bidang-bidang terbabit supaya dapat diwujudkan pasaran kerja yang optimum dan realistik dalam pelbagai bidang ilmu. 




  

Thursday, 14 November 2024

Majikan Tidak Suka Kerja Dari Rumah (WFH)

Tiga sebab utama sebagaimana yang dilaporkan ialah masalah disiplin, kurang komitmen untuk berkerja dan tiada pengawasan yang berkesan. Mungkin kepada sektor pekerjaan bersifat output harian. Manakala bentuk perkerjaan yang menekankan kepada output dalam tempoh masa tertentu yang bekerja secara tanpa penyeliaan, bentuk kerja secara WFH mungkin lebih produktif.




Monday, 17 December 2018

Lebih Banyak Kanak-Kanak Lelaki dari Perempuan di Malaysia

Jabatan Statistik Malaysia pada 30 November 2018 yang lalu mengeluarkan kenyataan jumlah oang di bawah 18 tahun di Malaysia adalah sebanyak 29% atau 9.4 juta daripada 32.4 juta penduduk. Bersalahan dengan kepercayaan umum, jumlah kanak-kanak lelaki adalah lebih ramai daripada perempuan. Sebanyak 4.85 juta kanak-kanak lelaki berbanding 4.55 juta perempuan. Jumlah lelaki juga lebih ramai bagi kanak-kanak di bawah 5 tahun yang berjumlah kesemuanya 2.6 juta di mana sebanyak 1.34 juta adalah lelaki berbanding perempuan sebanyak 1.26 juta. Begitu jumlah kelahiran pada tahun 2017 jumlah bayi lelaki adalah sebanyak 262,600 melebihi bayi perempuan yang berjumlah 246,000. Namun begitu jumlah remaja lelaki terlibat dengan jenayah adalah sebanyak 5,100 melebihi remaja perempuan sebanyak 300 sahaja. Ringkasan angka-angka ini adalah seperti di bawah:

   



Saturday, 16 April 2016

Ulasan Buku: Bung Karno – Penyambung Lidah Rakyat Indonesia oleh Cindy Adams

Bung Karno – Penyambung Lidah Rakyat Indonesia (sebagaimana yang diceritakan kepada Cindy Adams), Jakarta & Yogyakarta: Yayasan Bung Karno & PT Media Pressindo (Edisi Revisi 2011). Kulit Keras, 415 halaman)

Buku ini adalah terjemahan daripada naskhah asal bahasa Inggeris bertajuk Sukarno: An Authobiography as told to Cindy Adams. Mengikut kata sambutan buku ini meskipun bukan biografi rasmi Presiden Sukarno, namun diakui karya paling lengkap mengenai kehidupan, cita-cita politik, perjuangan, harapan serta asal muasal sesuatu tindakan politik beliau. Mungkin ada banyak pihak tidak akan bersetuju dengan apa yang diberitahu oleh Presiden Sukarno kepada Cindy Adams seorang wartawati Amerika, namun itulah Sukarno seorang sosok yang penuh dengan kontraversi, terutama kenyataan-kenyataan sinisnya terhadap dunia barat dan juga jiran-jirannya, terutama Malaysia. Buku ini menelusuri sejarah peribadinya daripada permulaan hidupnya yang sukar  serta pedih dan kemudian pendedahannya kepada idea-idea kemerdekaan yang semuanya itu berlaku di Jawa Timur (Surabaya dan Mojokerto). Seterusnya penglibatan aktif beliau dalam politik di Bandung sewaktu menjadi mahasiswa di Sekolah Teknik Tinggi.

Sebagai seorang anak kelahiran campuran daripada ibu yang berasal dari agama Hindu-Buddha dan bapak seorang Islam, perkara ini memberi kesan kepada pewatakannya dalam konteks kerencaman masyarakat Indonesia. Kepedihan hidup keluarganya dan bangsa Indonesia mengikut pandangan Sukarno adalah ciptaan penjajah Belanda. Namun kecaman Sukarno pada penjajah Belanda bukan setakat kepada kemunduran ekonomi, tetapi juga kepada jatidiri dan rasa bangga-diri sebagai sebuah bangsa yang mana mengikutnya telah diremukkan oleh penjajah Belanda sehingga menjadi inferior dan tidak mempunyai kenyakinan. Mengikut kefahaman beliau bangsa Indonesia adalah emosional, penuh dengan perasaan melalui kata-katanya “Kamilah satu-satunya bangsa di dunia yang tidur memakai guling … yang gunanya hanya untuk dipeluk sepanjang malam” (h.2). Elemen ini digunakan sepenuhnya oleh Sukarno untuk membangunkan bangsanya menentang penjajah terutama melalui pelambangan nasional seperti konsep gotong royong, tolak ansur, hormat menghormati, bahasa, pakaian dan agama. Kesemua ini diterapkan dalam program nasional Indonesia selepas kemerdekaan iaitu Panca Sila, Bahasa Melayu sebagai asas kepada Bahasa Indonesia, demokrasi terpimpin dan pemakaian songkok atau peci. Sebagai contoh dalam konteks Bahasa ucapannya pada tahun 1926 “sampai sekarang … bahasa Indonesia hanya dipergunakan di kalangan atas. Tidak oleh rakyat biasa. Sekarang, mulai dari hari ini, menit ini, marilah kita putuskan untuk belajar berbicara dalam bahasa Indonesia” (halaman 87). Pada pandangan saya inilah jasa besar Sukarno pada bahasa Melayu kerana bahasa Indonesia yang dimaksudkan berasaskan kepada bahasa Melayu dengan katanya “Aku berpendapat, pertama-tama yang harus kita kuasai adalah bahasa kita sendiri. Marilah kita memusatkan pikiran untuk mengembangkan bahasa Melayu” (halaman 51). Istilah Marhean yang kerap digunakan pada masa sekarang di Malaysia adalah ciptaan beliau hasil daripada interaksinya dalam bahasa Sunda dengan seorang petani yang bernama Marhean di Bandung. Konsep Marhean mengikut Bung Karno ialah rakyat yang memiliki modal pekerjaan mereka namun hidup melarat kerana dasar feudalism dan kemudiannya imperialism (halaman 74-75).

Buku ini juga bertujuan untuk menjawab tuduhan dunia barat terhadap dirinya sebagai kolaborator atau talibarut kepada tentera Jepun sewaktu peperangan dunia kedua dan cenderungnya kepada komunisme semasa era perang dingin antara dunia barat dan Persekutuan Soviet serta Republik Rakyat China. Mengikut Sukarno kerjasamanya dengan Jepun adalah peluang baginya untuk mendapat kemerdekaan daripada Belanda, yang mana peluang ini tidak mungkin dapat diperolehi sekiranya tidak diambil. Kerjasama ini juga mengikutnya untuk menyelamat rakyat Indonesia daripada kekejaman dan keganasan tentera Jepun sepertimana ceritanya menyelamat gadis-gadis Minangkabau daripada pemerkosaan tentera Jepun melalui kaedah yang mendapat restu dan persetujuan ulama Minangkabau (halaman 197-198). Manakala kecenderungan kepada kuasa besar Komunis ketika itu mengikutnya adalah kerana sifat orang timur yang berbudi berbahasa kepada pertolongan yang diberikan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira kepercayaan dan pegangannya. Begitu juga sebaliknya sikap mudah tersinggung orang Asia kepada orang Barat yang selalu menghina dan memperkecilkan usaha-usahanya untuk membangun Indonesia. Sinikal Barat kepada Sukarno dibalas dengan respon yang bukan hanya setakat retorik bahkan tindakan-tindakan berani seperti penarikan diri dari PBB, mengadakan persidangan negara-negara berkecuali Bandung yang mengabungkan dunia Asia dan Afika dan penganjuran sukan dunia sebagai alternatif kepada sukan olimpik sebagai lambang kebangkitan dunia bukan kulit putih.

Buku ini juga menceritakan sudut peribadinya yang dikatakan sebagai seorang playboy yang menyukai wanita. Bung Karno menjelaskan bahawa tarikannya kepada wanita adalah sifat semula jadinya yang menyukai keindahan dan wanita itu adalah sebahagian daripada keindahan. Beliau menceritakan beberapa wanita yang telah menarik perhatiannya seperti Inggit iaitu isteri keduanya yang lebih berumur 10 tahun daripadanya dan juga Fatmawati atau Fatimah yang menjadi penyambung zuriatnya. Baginya menyukai melihat wanita bukanlah satu kejahatan. Dengan memetik kisah antara Rasulullah s.a.w. dengan  Zainab, Sukarno membuat kesimpulan moral bahawa “bukanlah suatu dosa atau tidak sopan kalau seseorang mengagumi seorang perempuan cantik. Dan aku tidak malu berbuat begitu, kerana dengan melakukan itu pada hakekatnya aku memuji Tuhan dan memuji apa yang telah diciptakan-Nya” (halaman 14).


Bahagian akhir buku ini menceritakan bagaimana usaha yang beliau curahkan untuk menyatukan Indonesia daripada pelbagai perbezaan mula dari keghairahan anak muda revolusi yang ingin mencapai sesuatu objektif secara cepat tanpa memikirkan risiko selepasnya, atau kefanatikan pelampau agama yang mengikutnya akan memecahkan perpaduan Indonesia dan golongan komunis yang anti demokrasi. Beliau menegaskan dirinya sebagai seorang demokrat dan menentang sebarang usaha untuk menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara Komunis atau pemerintahan secara diktator. Katanya: “sampai hari kematianku, aku tetap seorang demokrat. Abdi dari rakyatku. Pelaksana dari keinginan mereka. Aku tidak memaksakan pimpinan kepada rakyat. Aku memberikan saran dan menunggu reaki … Apakah ini cara seorang diktator? Kukira tidak. Kukira ini jalan yang ditempuh oleh seorang penyabar” (halaman 342-343).  Dalam menghurai pegangan politiknya beliau menghuraikan bahawa konsep nasionalisme yang menjadi asas perjuangannya perlu dimasukkan keadilan sosial iaitu idea sosialisme serta dicampur elemen-elemen tempatan lainnya seperti agama dan keperibadian nasional sehingga natijahnya satu gagasan baru Sosialisme Indonesia (halaman 90).


Sesuatu yang mungkin boleh dipelajari oleh pimpinan politik masakini, terutama dalam konteks Indonesia ialah Sukarno adalah seorang yang amat bersederhana dalam penghidupannya. Beliau tidak mempunyai apa-apa harta bahkan keperluan hidupnya dan keluarganya banyak yang disumbang oleh rakan-rakannya sekalipun dia seorang Presiden. “…akulah satu-satunya presiden di dunia yang tidak punya rumah sendiri. Baru-baru ini rakyatku menggalang dana untuk membangun sebuah gedung buatku, tapi di hari berikutnya aku melarangnya. Ini bertentangan dengan pendirianku. Aku tidak mau mengambil sesuatu dari rakyatku. Aku justru ingin memberi mereka” (h.372).  Kesederhaan beliau terserlah walaupun di saat kematiannya dengan meminta supaya ia “dikuburkan menurut agama Islam dan di atas batu kecil yang biasa tulislah kata-kata sederhana: Di sini beristirahat Bung Karno, Penyambung Lidah Rakyat Indonesia”.

Sunday, 31 May 2015

How to Write a Thesis - Some Points Already Known

This is a short article written by Dato' A Murad Merican of whom I have met through many official meetings. He actually sort of reviewing Italian author's book How to Write a Thesis by a name Umberto Eco first published in 1977 and has since been updated and translated in many languages. The summary of his article is the followings intermingled with my own additions: 

  • Student chose topic of interest that is close to the heart and dedicated to the space and time allocated. Normally the choice of topic starts with a reading of a book or events that attract attention or sometimes personal experience such as Augusto Odone who received an honorary doctorate in Medicine from the University of Stirling giving the fact that Odone not received any medical training and was economist by profession. His story was made into a film - the Lorenzo's Oil.
  • Reading literature is essentials to seek the orientation of the topics, to map the ideas and to find major sources. And based on the discipline of the topic, observation of the events. Reading the literature is "to contextualize the experience with a discussion of previous scientific literature".   
  • Deciding the correct and suitable methods from the very beginning. In this respect the research questions and the objectives should be able to tell you the methods that you should be using in the writing up of your thesis.
  • Both contextualization of empirical studies with scientific literature and reliable methods will make the thesis a scientific and objective piece of research.




     

Tuesday, 16 September 2014

Ulasan Buku Dendang Perantau: Memoir Seorang Ahli Akademik

Sobri Salamon (2013). Dendang Perantau: Memoir Seorang Ahli Akademik. Bangi: Middle Eastern Muslim Graduates Association. 334 halaman (termasuk indeks).

Setakat yang saya tahu sudah terdapat dua tokoh lulusan timur tengah atau dengan lebih tepat lagi lulusan al-Azhar yang menulis memoir mereka bagi menceritakan pengalaman pahit manis sejak dari muda sehingga mereka mencipta nama sebagai tokoh-tokoh terkenal negara. Tulisan Dr. Sobri ini adalah buku ketiga selepas penerbitan memoir oleh Profesor Datuk Dr. Ismail Ibrahim dan Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad. Buku ini menceritakan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh penulis bagi memenuhi impiannya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sungguhpun dalam kesempitan kewangan serta lain-lain cabaran, namun semangat dan cita-cita untuk mencari ilmu tidak pernah padam atau kendur dari dirinya. Atas kesedaran untuk memajukan diri sendiri, keluarga dan masyarakat Dr. Sobri mengharungi semua itu sejak dari pengajiannya di Ihya al-Syarif Gunung Semanggol, Perak sehinggalah menjejak kaki di Mesir dan seterusnya berangkat ke New York Amerika Syarikat dengan hanya berbekalkan USD2. Kejayaan penulis mengharungi semua itu hanya dengan berbekalkan semangat dan cita-cita yang tekal membuktikan bahawa usaha yang gigih serta berani menghadapi cabaran boleh mengatasi segala masalah yang ada walaubagaimana besar sekalipun. Pun begitu buku ini banyak menyelit beberapa peristiwa penting pendidikan Islam tanah air, politik dan keadaan sosial timur tengah, sejarah UKM dan penubuhan Bank Islam. Namun yang mungkin berbeza ialah keadaan pendidikan Islam dan sosial masyarakat Melayu Jawa di Selangor diceritakan oleh penulis dalam bab-bab permulaan bukunya. Aspek ini bagi saya mungkin jarang diperkatakan apabila menyentuh sejarah pendidikan Islam di Malaysia, kerana sebagaimana yang kita tahu kebanyakan penulis banyak menumpu kepada negeri Kelantan dan Kedah sebagai pusat pengajian Islam di Tanah Melayu ketika itu. Sungguhpun kita sudah mengetahui sumbangan Ihya al-Syarif Gunung Semanggol dalam pendidikan Islam negara, namun Dr Sobri menceritakan bagaimana pengajian yang beliau ikuti di sana memberi kesan kepada pewatakan dan world viewnya terhadap Islam. Ini dapat dilihat dalam ulasannya terhadap pengajian Islam yang mana menurutnya perlu diberi pembaharuan supaya dapat diterjemahkan bagi menyelesai isu-isu semasa masyarakat dan negara. Buku ini menurut penulis merupakan permulaan dan akan mempunyai sambungannya dalam dua siri iaitu penulis sebagai Ahli Majlis Agama Islam Negeri Selangor dan sebagai penasihat Syariah Bank Islam. Didoakan agar Allah swt menganugerahkan kesihatan dan kelapangan kepada Dr. Sobri untuk menceritakan kepada kita pengalaman-pengalamannya di dalam memoir yang seterusnya.

  

Sunday, 17 November 2013

Ulasan Buku 'Aqidah Ahl Sunnah wa al-Jama'ah

Muhammad bin Salih bin ‘Uthaymin, ‘Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, Direktorat Urusan Masjid Haram dan Masjid Nabawi, t.t. (48 halaman).

Saya diberikan risalah kecil ini sewaktu mengerjakan ibadah Haji bersama isteri baru-baru ini. Ia mungkin bertujuan sebagai bacaan ringan Jemaah Haji semasa berada di Tanah Suci. Satu usaha yang baik pada pandangan saya. Turut diberikan beberapa risalah lain yang terjemahan Bahasa Indonesia dan beberapa kaset yang pada pandangan saya mungkin kurang sesuai pada Jemaah dari Malaysia. Risalah kecil ini secara umumnya cuba menjelaskan dasar-dasar akidah yang dianggap sebagai pegangan Ahl al-Sunnah Wa Jama’ah. Bagi menjelaskan perkara yang penting ini penulis risalah ini tidak lain tidak bukan ialah ideologue aliran kefahaman salafi Muhamad bin Salih bin ‘Uthaymin (1925-2001) yang mempunyai kepakaran bukan sahaja dalam bidang akidah namun juga dalam bidang Syariah dimana beliau terlibat dalam pengajaran di Masjid Haram dan pensyarah di Universiti Imam al-Sa‘ud di al-Qasim, Arab Saudi.

Muhammad bin Salih bin 'Uthaymin

Penjelasan yang dibuat di dalam Risalah ini dapat dibahagikan kepada tiga iaitu (1) metod yang digunakan untuk memahami dan menjelaskan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, (2) penjelasan mengenai dasar-dasar akidah itu sendiri yang berpaksi kepada rukun Iman yang enam dan (3) kesan-kesan keimanan kepada rukun berkenaan kepada peribadi seseorang Muslim. Sebagaimana yang dimaklumi bahawa metod yang digunakan untuk menjelaskan prinsip akidah Ahl Sunnah sebagaimana yang difahami oleh ‘Uthaymin ialah dengan menegaskan apa-apa yang ditegaskan oleh nas-nas Syariah dan menafikan apa-apa yang dinafikan oleh nas berkenaan. Tiada yang banyak berbeza penjelasan ini dengan aliran akidah yang lain, cuma barangkali pengarang semasa menjelaskan tentang keimanan kepada Allah swt pengarang menyatakan bahawa beliau berpandangan wajib memahami nas-nas Syarak secara zahirnya dan memahami hakikat nas berkenaan secara yang layak kepada Allah swt. (halaman 18)

 (ونرى وجوب إجراء نصوص الكتاب والسنة في ذلك على ظاهرها وحملها على حقيقتها اللائقة بالله عز وجل)

 Lantaran daripada itu ‘Uthaymin menempelak mereka yang cuba memberi makna ini selain daripada apa yang dijelaskan oleh nas Syarak. Golongan ini disifatkan oleh ‘Uthaymin sebagai al-Mu’atilun ((المعطلون dan golongan al-Ghalun الغالون)).  Bagi golongan yang pertama mereka telah menukarkan apa yang yang dijelaskan oleh Syarak manakala golongan yang kedua yang memahami keimanan kepada Allah swt dengan memasukkan unsur-unsur tamthil dan takyif. Penolakan ini walaupun tidak disebut secara langsung ada kaitannya dengan kaedah golongan ahlu al-kalam dalam perbincangan sifat Allah swt melalui ta’wil yang dianggap oleh “Uthaymin sebagai satu bentuk ta‘til (pengurangan) kepada apa yang dikehendaki oleh nas Syarak. Penjelasan lain yang mungkin relevan terutama dalam konteks Syiah di Malaysia ialah penegasan beliau bahawa perselisihan yang berlaku di kalangan para Sahabat RasuluLlah s.a.w. adalah berasaskan kepada ijtihad para sahabat berkenaan di mana jika benar ijtihad itu mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala dan kesalahan itu diampunkan oleh Allah swt (halaman 28). ‘Uthaymin menjelaskan perkara ini sebahagian daripada keimanan kepada RasuluLlah s.a.w. kerana para Sahabat Nabi s.a.w. itu adalah sebaik-baik golongan daripada umat Muhammad (Ali Imran, 110).



Monday, 29 April 2013

Looking Back Monday Musings and Memories - Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj



Dalam ketika tidak lama lagi pilihanraya umum ke-13 pada 5 Mei 2013 akan berlangsung, mungkin elok sedikit ulasan diberi kepada buku tulisan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Buku ini merupakan koleksi daripada tulisan-tulisan Tunku di dalam akbar The Star yang mana Tunku adalah pengerusinya di tahun 1970an. Tujuan utama Tunku menulis buku ini menurutnya adalah untuk memberitahu peristiwa-peristiwa yang Tunku mengalami sendiri dan beberapa kejadian menurut persepktifnya sebelum, ketika dan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Menurut Tunku dia merasa kurang berpuashati kerana terdapat beberapa perkara penting mengenai perkara-perkara itu tidak ditulis atau dinyatakan di dalam buku-buku sejarah Malaysia. Dengan demikian dia berpandangan maka penting dia menulis sendiri menceritakan perkara-perkara tersebut supaya masyarakat dan rakyat memahami sendiri bagaimana kejadian sesuatu peristiwa itu berlaku. Perkara ini berlaku mungkin dalam konteks di mana Tunku telah ditohmah dengan label-label tertentu seperti menjual negara kepada bangsa China terutama melalui peristiwa pemisahan Singapura daripada Malaysia dan kemudiannya talibarut penjajah oleh fundamentalis agama. Apa yang boleh disimpulkan daripada buku ini ialah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan atau untuk mencapai sesuatu cita-cita tersebut mengikut perspektif Tunku seharusnya melalui constitutional process dan rule of law. Bagi beliau seboleh mungkin pertumpahan darah dan penggunaan senjata perlu dielakkan. Atas dasar inilah menyebabkan beliau mendesak kerajaan penjajah British supaya memberi keizinan kepadanya untuk membuat perundingan dengan Chin Peng dan pihak Komunis dalam pertemuan di Baling pada Disember1955. Tujuan pertemuan ini untuk memujuk pihak Komunis supaya meletakkan senjata dan menyertai proses demokrasi. Pendekatan sebegini banyak mendapat cemuhan bahkan kutukan daripada pelbagai pihak terutama daripada golongan fundamentalis agama kemudiannya pada lewat 1970an and awal 1990an yang menuduh Tunku sebagai talibarut penjajah kerana mengekalkan perlembagaan dan undang-undang penjajah. Looking Back: Monday Musings and Memories - Tunku Abdul Rahman Bagi Tunku apa yang mustahak ialah negara Malaysia mempunyai pemerintahan sendiri bagi menentukan masa depannya dan membangunkan negara untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dari segi sosial dan ekonomi. Tidak dapat dinafikan ada beberapa perkara mengenai kehidupan peribadi Tunku yang bertentangan dengan Syariat Islam oleh golongan fundamentalis sehingga mereka memandang semua apa yang dibuatnya sebagai salah dan tidak dapat diterima. Namun Tunku dalam konteks ini bukanlah seorang yang hipokrit menafikan kegemarannya dalam sukan lumba kuda dan melayan tetamu negara dengan hidangan minuman keras sebagaimana sesetengah pemimpin politik Malaysia hari ini yang banyak berpura-pura. Apa yang jelas ialah keikhlasannya untuk membangunkan negara yang sejahtera dan saksama bagi semua bangsa dan masyarakat. Antara jasa besar Tunku ialah pengekalan sistem beraja dan pewujudan sistem giliran pelantikan Yang DiPertuan Agong di antara Sultan dan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi negara. Semasa di awal kemerdekaan terdapat beberapa peristiwa yang boleh menjejaskan sistem pergiliran ini. Namun beliau sentiasa memberi nasihat dan panduan kepada Raja-raja Melayu kepentingan sistem ini. Beliau juga seorang yang amat berjasa kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia bahkan juga di dunia Islam sebagai setiausaha agung pertama OIC dan bertanggungjawab menubuhkan Bank Pembangunan Islam (IDB). Di Malaysia beliau menubuhkan PERKIM dan terbukti ramai dari kalangan yang berbangsa China yang berpengaruh memeluk agama Islam hasil usahanya. Dalam kegiatan dan usaha-usahanya beliau sentiasa memberi keutamaan kepada kemaslahatan dan kepentingan umat Islam. Dari keperihatinan itulah lahirnya OIC dan IDB serta PERKIM. Oleh yang demikian usaha Tunku ini adalah lebih bermakna daripada desakan-desakan golongan fundamentalis yang hanya sekadar berethorik. Sebagai manusia Tunku tidak terlepas daripada membuat kesalahan, namun siapakah yang tidak membuat kesalahan? selain daripada nabi-nabi dan rasul-rasul. Oleh itu jika kita melihat sejarah hidup Tunku dari kacamata ini, saya percaya kita mesti berterima kasih kepadanya dan bersyukur sebanyak-banyaknya kerana hidup di sebuah negara yang aman dan makmur di mana Islam adalah tonggak dalam penghidupan dan demokrasi serta kebebasan adalah amalan. Semoga Allah swt mengampun dosa-dosa Almarhum dan menerima semua amalan-amalannya, Amin.      


Thursday, 25 April 2013

Transoxania, Zarnuji and Poetry for Students


This quotation is taken from a book entitled Kitab Ta'lim al-Muta'allim Tariq al-Ta'allum (A Pedagogical Manual for Students How to Study) written by Burhan al-Islam al-Zarnuji lived circa 539-620H (in Encyclopaedia Iranica his date of death is given at 602H/1223M). The book was published and edited by Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, 1986. The quotation is at p.87. The editor of this book Dr. Muhammad Abd al-Qadir Ahmad tell us that nothing is known about his real name only the place of his birth is Zarnuj, situated on the banks of river Jayhun (arabic name for Oxus river) and Sayhun (arabic name for Jaxarters River) in Transoxania (historical English name for the Arabic Ma Wara' al-Nahr).

تفقّهْ فإن الفقه أفضلُ فائد * الى البر والتقوى وأعْدَلُ قاصد

هو العلم الهادى الى سنن الهدى * هو الحِصْن يُنْجي من جميع الشدائد

فإن فقيها واحدا مُتورّعا * أشدُّ على الشيطان من ألف عابد


Tinjauan Penyelidikan Pengajian Islam Global 2026: Trend Baharu, Bidang Terokaan Penyelidikan dan Hala Tuju Masa Hadapan

Syarahan Perdana di Minggu Penyelidikan Pengajian Islam di APIUM pada 03 November 2026 Tinjauan Penyelidikan Pengajian Islam Global 2026: Tr...