Monday, 2 November 2026

Tinjauan Penyelidikan Pengajian Islam Global 2026: Trend Baharu, Bidang Terokaan Penyelidikan dan Hala Tuju Masa Hadapan

Syarahan Perdana di Minggu Penyelidikan Pengajian Islam di APIUM pada 03 November 2026

Tinjauan Penyelidikan Pengajian Islam Global 2026: Trend Baharu, Bidang Terokaan Penyelidikan dan Hala Tuju Masa Hadapan[1]   

 Dato’ Profesor Emeritus Dr. Ahmad Hidayat bin Buang

YBrusaha Profesor Dr. Mohd  Roslan Mohd Noor, Pengerusi Sesi Syarahan Perdana,  YBhg Dekan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Dr. Mohd Fauzi Hamat, Timbalan-Timbalan Dekan, Ketua-ketua Jabatan, Profesor-profesor,  Profesor-Profesor Madya, Pensyarah-pensyarah, Staf Pentadbiran, Mahasiswa, Mahasiswi, Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan, saudara/saudari sidang hadirin sekelian.                     

Assalamualaikum wrt.

Assalamualaikum wrt.

1.         Saya bersyukur kehadrat Allah swt kerana diberi kesempatan untuk bersama-sama Ybhg Dato’-Dato’, Profesor-Profesor, Profesor Madya, Pensyarah, Staf Akademik dan Pentadbiran serta tidak dilupakan kepada mahasiswa dan mahasiswi APIUM yang turut menyertai program pada pagi ini.

 

2.         Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan Akademi Pengajian Islam, terutama Dekan, Profesor Dr. Muhamad Fauzi Hamat kerana sudi mengundang saya ke Majlis pada pagi ini untuk menyampai Syarahan Perdana Minggu Penyelidikan Pengajian Islam 2026 atau Islamic Studies Research Week (ISRW) 2026 yang bertajuk “Tinjauan Penyelidikan Pengajian Islam Global 2026: Trend Baharu, Bidang Terokaan Penyelidikan dan Hala Tuju Masa Depan”. Undangan ini amat bermakna kepada saya secara peribadi ditambah lagi dengan kehadiran para alim ulama dan sarjana dan pengkaji pengajian Islam. Saya amat terharu dengan undangan ini kerana tajuk syarahan ini bukan sesuatu yang baru atau terkini bagi kebanyakan para hadirin sekelian. Kata orang “Kebarat genggam bertangkup, ketepi kekir bersegi, Ibarat menambah garam di laut, ibarat menambah air di perigi“.

 

3.         Sebelum kita masuk membicarakan tajuk ini secara mendalam kita perlu memahami beberapa perkara yang berkaitan dengan tujuan dan latarbelakang pengajian Islam. Mengikut seorang Profesor Universiti al-Azhar Kaherah Mesir dalam bidang Balaghah, menyatakan perkembangan ilmu di dalam tradisi Islam dengan pelbagai disiplin yang merentasi Tafsir, Hadis, Aqidah, Fiqh, Usul al-Fiqh, Tasawuf, termasuk lughah atau bahasa adalah untuk memahami maksud wahyu al-Quran dan al-Sunnah bagi tujuan penghayatan dan amalan dalam penghidupan sehari-sehari sebagai seorang Muslim. Ia juga bertindak sebagai satu aspirasi atau harapan dalam keadaan di mana umat Islam berada dalam keadaan kelemahan politik dan ekonomi serta teknologi. Oleh itu dalam keadaan apa sekalipun umat Islam berada, walaupun di bawah sekali dalam roda sejarah, tradisi ilmu melalui pengajian diteruskan oleh ulama-ulama sekalipun tanpa bayaran dan menghadapi tekanan serta cabaran-cabaran lain. Pernah diceritakan bahawa ulama terkenal mazhab Syafi’i bernama Zakaria al-Ansari berpeluang memakan roti bersama daging hanya di hari perayaan Islam apabila terdapat hartawan atau pembesar Kerajaan yang memberi sedekah. Begitu juga kisah-kisah sarjana dan ulama Islam lain yang memperjuangkan ilmu dan pengajian Islam dalam keadaan kekurangan seperti di pondok-pondok dan pesanteren di Nusantara Asia Tenggara kita.

 

4.         Hasil usaha untuk menjelaskan ajaran Islam tersebut melalui usaha-usaha pengajian pada masa dahulu dengan memastikan ketulinan sumber dan kesahihan/kebenaran tafsiran sesuatu kefahaman itu melalui kaedah sanad, belajar secara talaqqi, serta pengtarjihan sesuatu kefahaman, tafsiran atau hukum melalui penyiasatan kepada aqwal-aqwal yang berbagai-bagai itu secara perbandingan, kekuatan dalil yang berasaskan kepada ketulinan sumber, keselarasan dengan dasar-dasar umum agama serta penggunaan bahasa dan uruf bagi menafsirkan atau menjelas sesuatu dalil.

 

5.          Sebagaimana yang dimaklumi pandangan-pandangan terhadap kefahaman agama pada kurun sebelum penubuhan mazhab adalah pelbagai dan bermacam-macam sehingga menyebabkan Abdullah bin Muqaffa’ memohon supaya Khalifah Bani Abbasiyyah menjadi Kitab Muwatta’ satu-satunya rujukan kepada persoalan fiqh. Perbezaan ini merujuk kepada metodologi berbeza dalam kefahaman dalil al-Sunnah iaitu antara dua aliran berbeza; Madrasatul Ahl Hadith dan Madrasatul Ahl al-Ray’. Akhirnya perbezaan ini dikurangkan atau diminimumkan oleh Imam Syafi’i melalui penulisannya al-Risalah bagi menjelaskan metodologi yang tepat bagi pengeluaran hukum atau tafsiran hukum.

 

6.         Metodologi Risalah Imam Syafi’i hanya menjelaskan penggunaan dan penerimaan dalil dan hubungannya dengan ijtihad melalui penggunaan al-Qiyas bagi mengurangkan pengeluaran hukum secara bebas melalui rasional. Metodologi ini secara lebih tepatnya hanya kaedah untuk menjamin ketulinan sumber dalil hukum Syarak daripada terdedah kepada keluasan spekulasi rasional dan akal. Oleh yang demikian masih berlaku dinamika dan fleksibiliti dalam memberi pandangan terhadap sesuatu hukum dan kefahaman agama.

 

7.         Apabila timbulnya perpecahan politik umat Islam dan pemalsuan sumber dalil terutama al-Sunnah penggunaan rasional dalam hukum diketatkan lagi bagi menjamin ketulinan dan kesahihan ajaran Islam. Ketulinan sesuatu kefahaman ini juga dikawal secara struktural atau hiraki autoriti yang pada akhirnya dimeterikan melalui penerimaan doktrin taqlid dalam mazhab serta pengiktirafan kepada ijmak sebagai pemutus kepada perbezaan pandangan yang pelbagai di masa dahulu. Dalam perkara akidah dan tasauf serta lain-lain cabang ilmu yang berkaitan dengan al-Quran dan al-Sunnah termasuk bahasa dan tulisan juga berlaku proses penambahbaikan bagi memastikan ketulinan ajaran Islam yang asli dan tepat atau benar, terpelihara.

 

8.         Dalam lingkungan struktur atau hiraki autoriti ini (tabaqat/maqamat) ini para pendokong mazhab atau aliran pemikiran menumpukan perhatian bagi memurnikan kefahaman aliran mereka melalui proses pemilihan riwayat yang dipercayai, pentarjihan qawl-qawl yang lebih kuat, pembinaan kaedah-kaedah istinbat hukum baik secara istidlal atau mencari/mengenalpasti tujuan hukum melalui penggunaan rasional (seperti istihsan, istislah, istishab dan lain-lain). Sebagai manusia ada di kalangan mereka yang menyokong namun ada yang mengambil pandangan yang berbeza. Satu manifestasi daripada usaha ini ialah lahirnya pelbagai kajian perbandingan baik dalam bidang fiqh mahupun perbandingan agama.

 

9.         Usaha-usaha yang berterusan ratusan malah ribuan tahun ini telah melahirkan satu tradisi ilmu Islam yang teguh dan konsisten serta tidak mudah untuk dipertikaikan atau dipersoalkan kejituan dan kekuatannya dari segi pendalilan, penghujahan serta rasionaliti. Apa yang menjadi kritikan para sarjana moden ialah sifatnya yang doctrinaire; yang tidak tunduk kepada kehendak dan perubahan masa. Tradisi ilmu dianggap sebagai tradisional atau klassik malah ada yang memanggilnya ortodoks iaitu kata pinjam dari tradisi judeo-christian yang merujuk kepada anti pembaharuan atau kemajuan. Apapun pandangan terhadap tradisi ini ianya merupakan satu tembok yang kukuh memelihara ajaran Islam yang murni namun menyelitnya dengan keindahan intelek dan disiplin keilmuan dari dahulu dan kini. Ianya adalah satu penyuluh yang terang benderang menunjukkan kepada generasi mendatang kebenaran dan keaslian ajaran Islam.

 

10.    Dengan penjajahan barat di negeri-negeri Islam yang menyaksikan khilafah Islam serta lain-lain, institusi tradisi pengajian ilmu Islam telah mula berkurangan dari segi dominasi dan digantikan dengan institusi pengajian modern yang ditiru dari barat. Pengurangan dominasi ini membawa kepada kelemahan dalam ertikata ianya tidak lagi menjadi satu kepentingan dalam konteks pembangunan daya sumber manusia memandangkan sistem ekonomi dan perundangan serta politik termasuk sosial dan pendidikan telah menggunakan model barat.

 

11.    Kelemahan dari segi kepentingan dan relevansi juga turut memberi kesan kepada mutu dan kualiti pendidikan. Kajian terhadap kurikulum pengajian tradisi di Universiti al-Azhar, Mesir menunjukkan kelemahan dalam pengajian tradisi Islam juga turut disumbangkan kepada perubahan kurikulum pengajian yang menitik beratkan kepada pemilihan tajuk-tajuk atau tema-tema pengajian daripada menekankan dari aspek penguasaan ilmu sebagaima terdahulu terutama di peringkat sekolah.

 

12.    Hasilnya mutu dan kualiti pengajian Islam sejurus tamatnya peperangan dunia kedua yang menyaksikan kemerdekaan negara-negara Islam telah merosot. Lulusan pengajian Islam dipandang rendah sebagai tidak intelek dan kolot. Sedangkan khazanah ilmu Islam yang ditinggalkan oleh ulama terdahulu merupakan satu disiplin ilmu yang tinggi nilai inteleknya juga turut menerima kesan yang sama. Ibarat pertama yang dijatuh di tanah diselaputi debu dan selut.  

 

13.    Pada saat yang sama penjajah barat telah mula memberi minat kepada agama Islam, terutama kepada al-Quran yang dilihat sebagai sumber kekuatan umat Islam selepas interaksi mereka melalui perang Salib, kejatuhan Constantinople dan juga tamaddun Islam Andalus. Tujuan dunia barat mengkaji Islam ialah untuk mencari kesalahan terutamanya yang terdapat di dalam al-Quran. Kita dapati al-Quran mula diterjemahkan dalam bahasa-bahasa Eropah dengan tujuan untuk mencari kelemahannya yang bermula sejak dari tahun 1143 M lagi dalam Latin! Manakala terjemahan dalam Bahasa Inggeris diterbitkan pada tahun 1734 oleh George Sale yang menjadi rujukan utama para orientalis ketika itu.

 

14.    Pengkaji Barat yang mengkaji Islam pada masa penjajahan juga mempunyai tujuan-tujuan yang berkaitan dengan dasar atau polisi penjajahan. Memandangkan banyak tanah jajahan mempunyai ramai penduduk Islam yang mempunyai sistem sosial, budaya, politik serta agama yang bertunjangkan serta bernuansa Islamis, maka amat penting bagi pihak penjajah memahaminya terutama penjajah Inggeris. Oleh yang demikian pihak penjajah menubuhkan kerusi-kerusi pengajian di Universiti-universiti mereka bagi mengkaji Islam. Pendekatan yang digunakan dalam pengajian ini dengan menggunakan metodologi penyelidikan modern seperti pensejarahan, arkeologi, bahasa, sosiologi, logik, falsafah, undang-undang dan lain-lain bagi memahami fenomena, teori, doktrin dan realiti ajaran serta masyarakat Islam.

 

15.    Menjadi kelebihan pihak penjajah dalam kajian mereka terhadap Islam kerana mempunyai akses kepada manuskrip-manuskrip asli bahan-bahan bacaan ilmu Islam yang mereka temui disimpan di pelbagai tempat di negeri-negeri Islam. Bahkan dikatakan Kitab al-Muqaddimah Ibn Khaldun diterjemahkan serta dikenalpasti kepentingannya dalam ilmu sosiologi oleh pengkaji Barat daripada terjemahannya dalam bahasa Turki! Ini termasuk juga beberapa manuskrip lain yang berkaitan dengan aspek asetorik ajaran Islam yang menarik perhatian pengkaji barat seperti terutamanya Kitab al-Masnawi tulisan Jalaludin al-Rumi. Sungguhpun pengkaji barat mempunyai tujuan-tujuan tertentu dalam mengkaji Islam, sumbangan mereka boleh dimanfaati dalam konteks analisis dan bahan yang dikumpul atau dikaji terutama yang dalam bentuk enskoledia, lexicon bahasa dan daftar hadis.

 

16.    Pada masa kini, di negara-negara Barat, seperti Eropah dan Amerika penyelidikan terhadap Islam masih terus  dijalankan namun dengan tujuan yang berbeza. Sebagai contoh di Amerika kajian mengenai Islam dilakukan di atas faktor perisikan dan keselamatan serta kemudiannya atas faktor ekonomi melalui perjumpaan sumber minyak di negara-negara Arab teluk. Di pusat-pusat penyelidikan Islam di Barat tujuan penyelidikan kini lebih objektif iaitu untuk mengkaji fenomena sesuatu peristiwa dan mendedahkan kekuatan dan kelemahan sesuatu konsep mengikut neraca, nilai, kaedah serta falsafah, world view dunia barat.

 

17.    Bagi negara-negara Islam tujuan penyelidikan Islam secara utamanya masih kekal daripada tradisi lama, namun dalam konteks yang berbeza iaitu sebagai satu upaya pencarian jati diri (soul-searching) dalam senario dunia moden yang didominasi dengan falsafah kebendaan hendonism, kapitalistik yang bersifat utilitarianism. Permasalahan atau problem statement yang ingin diselesaikan ialah bagaimana cara untuk memodenkan Masyarakat Islam dan negara tanpa melupakan nilai-nilai Islam yang disemadikan melalui tradisi ilmu klasik Islam?

 

18.    Tanpa pergi dengan mendalam membincangkan polemik dan diskos kaedah penyelesaian persoalan di atas, kaedah yang wasatiyyah yang digunakan ialah melalui pengekalan turath tradisi Islam yang diyakini sebagai mewakili tafsiran atau metodologi yang tepat dan benar terhadap ajaran Islam yang terkandung dalam sumber-sumbernya yang utama serta digabungkan dengan kemajuan pencarian data secara emperikal dan penggunaan ilmu alat moden. Kemajuan data dan ilmu alat moden ini adalah sebagai satu cara komplimentari kepada turath tradisi Islam.

 

19.    Dari sini lahirnya beberapa pendekatan seperti pembaharuan ijtihad atau neo-ijtihad yang diwakili oleh pada mulanya oleh golongan yang dikenali sebagai revivalis dan kemudiannya neo-revivalis. Pada saat yang sama muncul golongan neo-salafi vis-a-vis golongan tradisionalis.  Begitu juga lahir profesional Islam yang membawa pendekatan islamisasi ilmu yang akhirnya bertukar kepada pendekatan harmonisasi ilmu.

 

20.    Pun begitu ini tidak bermakna tafsiran turath Islam itu adalah sesuatu yang mutlak, kerana dengan menggunakan kaedah pemahaman yang autoritatif oleh mereka yang berkelayakan, beberapa pemahaman dahulu boleh dinilai semula. Tujuannya ialah bagi maksud pemodenan. Mungkin istilah ini kurang sesuai kerana bermaksud yang lama itu lapuk atau ketinggalan. Dalam konteks ini, istilah ini bermaksud penyesuaian atau adaptasi hukum Islam menurut perubahan iklim dan tempat. Oleh yang demikian jurang atau perbezaan golongan ilmuan Islam yang dalam pelbagai pendekatan mereka kini sudah tidak besar terutama dalam konteks Syariah dan modernisasi.

 

21.    Pengaruh pendidikan barat telah merubah sistem pendidikan dan kurikulum pendidikan Islam tradisi. Kini pengajian lanjutan dan tinggi baik sama ada sebagai persediaan kepada bidang pekerjaan atau kemahiran serta penguasaan ilmu berada di Universiti. Melalui sistem ini, usaha-usaha penyelidikan ilmu Islam telah berubah daripada seorang ilmuan yang mencapai taraf kesarjanannya melalui penguasaan ilmu-ilmu Islam serta kemampuannya untuk berhujah dan mengeluarkan fatwa-fatwa agama kepada penyelidikan di Universiti melalui pengiktirafan sijil-sijil dan pangkat-pangkat akademik.

 

22.    Pada pandangan saya, walau apapun bentuk pengajian atau pendidikan tinggi Islam masa kini, tujuan utamanya sebagaimana pada masa dahulu mesti dikekalkan iaitu untuk memahami maksud dan tujuan sumber-sumber utama Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah bagi tujuan penghayatan dan  pelaksanaannya dalam konteks kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.  Oleh yang demikian dalam konteks hari bagi mencapai tujuan dan matlamat di atas beberapa pra syarat atau keperluan perlu ada bagi menghadapi cabaran dan isu penyelidikan Islam semasa seperti berikut:

 

(1)   Ahdaf – Purpose

(2)   Tamuhat/Hamas – Passion

(3)   Alat – Methodologies

(4)   Quwwat/Istita’ah/Da’m – Means

(5)   Ashab – Disciples

(6)   Huriyyah – Independence

(7)   Adab – Integrity (including Adab al-Ikhtilaf)

Setiap pra-syarat ini mempunyai penjelasannya yang tersendiri yang memerlukan ruang masa yang lain untuk membincangkannya.

 

23.    Apabila kita menyebut trend global penyelidikan Islam ia bermaksud dengan menilai kecenderungan bentuk-bentuk penyelidikan dari pelbagai aliran dan bentuk pengajian atau pendidikan Islam baik timur dan barat, berbasiskan nuansa islam dan sebaliknya yang hanya menganggap Islam sebagai satu subjek kajian bagi kepuasan material atau falsafah tertentu (melalui slogan teach not preach). Bagi tujuan ini kita perlu mengetahui beberapa fakta penting seperti berikut:

         (1)   Jumlah fakulti dan institusi pengajian tinggi Islam

         (2)  Jumlah tenaga pengajar dan pelajar

               (3) Jumlah tesis dan disertasi

               (4) Jumlah penerbitan  

               (5)   Kurikulum pengajian

(

24.    Fakta di atas tidaklah termasuk impak dan kesan pembangunan dan kemajuan atau sebaliknya kepada masyarakat dan negara Islam. Memandangkan kita tidak mempunyai data yang lengkap kepada fakta-fakta di atas kita hanya boleh membuat andaian apakah tren masa depan penyelidikan Islam.  Sesuatu tren juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain seperti dasar-dasar kerajaan, perkembangan ekonomi serta teknologi, isu-isu sosial dan faktor geo-politik.

 

25.    Sebagaimana yang dinyatakan di atas, tren kajian pengajian Islam masa kini  pada pandangan saya bergantung kepada bentuk dan metodologi serta latakbelakang latihan seseorang pengkaji itu. Misalnya jika latihannya berasaskan kepada metodologi reformis mungkin natijah yang ingin dicapai ialah tafsiran baru atau kefahaman baru yang mungkin berbeza dengan misalnya fahaman ijmak masa dahulu. Bagi yang menerima latihan revivalis atau neo-revivalis natijah yang ingin dicapai ialah mencapai penyelesaian pada cabaran baru namun tetap berpegang kepada metodologi tradisional atau klassik. Manakala bagi penyelidik barat akan cuba menilai kedua-kedua kefahaman ini dari sudut pensejarahan, sosial, ekonomi dan politik yang mempunyai pengaruh terhadap emosi dan saikologi seseorang Muslim atau masyarakat Muslim.

 

26.    Apapun kecendungan dan tren penyelidikan Islam dari pelbagai pendekatan dan metodologi ini terdapat beberapa cabaran universal yang dihadapi iaitu terutamanya kesan teknologi yang melibatkan perhubungan atau komunikasi, sumber atau makumat dalam talian dan kini kepandaian atau kebijakan buatan (artificial  intelligence). Dari sisi positif kemajuan teknologi banyak membantu penyelidikan, namun persoalan yang selalu dipertanyakan apakan pergantungan kepadanya akan memberi kesan kepada penguasaan ilmu Islam yang selama ini bersifat personalised.

 

27.    Begitu dengan cabaran yang berkaitan dengan persoalan hak kemanusiaan (human rights) dan alam sekitar (environment). Cabaran alam sekitar mungkin tidak kontroversi kerana ia melibatkan jamadat. Namun bagi persoalan hak kemanusian yang mungkin menyentuh persoalan kebebasan memilih seperti memilih agama, atau persoalan mengenai persamaan agama dan seterusnya kebebasan dalam perkara-pekara dalam nilai Islam dilarang, namun dalam nilai yang bukan Islam adalah persoalan peribadi.

 

28.    Pusat pengajian Islam sejak dari dahulu bahkan sampai sekarang adalah timur tengah kerana disitunya bermula agama Islam dan disitu juga bahasa al-Quran ditutur dan digunakan. Persoalannya apakah boleh negara-negara di luar timur tengah boleh juga menjadi pusat pengajian Islam? Kita lihat negara-negara Barat terutama Eropah berjaya menjadi pusat penyelidikan Islam terkemuka. Namun perkara ini sebagaimana yang disebutkan kerana penjajahan dan kemudiannya dominasi geo-poitik dunia yang berlaku selepasnya. Apapun persoalannya, telah terdapat perubahan sikap terhadap Islam dan pengaruhnya diluar daripada Timur Tengah. Kesempatan perubahan ini boleh digunakan bagi menempatkan wilayah lain seperti Asia Tenggara sebagai contoh tempat pertumbuhan pengajian Islam.

 

29.    Di sesetengah Universiti di Eropah dan juga Amerika penyelidikan berasaskan artifak sejarah dan manuskrip merupakan fokus utama. Terdapat beberapa penerbitan telah dihasilkan berasaskan kepada manuskrip dan juga dokumen-dokumen primari pemerintahan Islam masa lalu seperti di Turki Uthmaniyyah dan juga Mesir. Di Nusantara terdapat juga beberapa kajian artifak seperti terhadap Batu Bersurat Terengganu serta manuskrip undang-undang Melayu di jalankan.

 

30.    Dalam konteks APIUM kini terdapat  pengajian Islam dengan atau bersama disiplin pengajian sains gunaan. Apa yang berlaku ialah pendidikan kedua-dua disiplin pengajian ini berlaku secara sebelah menyebelah. Usaha-usaha mengabungkannya berlaku secara kurikulum melalui pengenalan kursus-kursus bersifat falsafah dan juga aplikasi hukum seperti fatwa halal dan haram. Namun melalui pendidikan kurikulum pengajian ini (sungguhpun ada yang menyatakan ianya dilakukan secara integrasi) kepada pelajar lulusan agama, diharapkan melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran dalam kedua-dua disiplin ilmu yang akhirnya tergabung dalam kompetensi, kognitif serta kemahiran mereka.


[1] Syarahan Perdana Minggu Penyelidikan Pengajian Islam (ISRW) 2026, Balai Ilmu Mamud Zuhdi APIUM, 3 November 2026.


Wednesday, 29 July 2026

Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr. Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026).

Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr. Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026, kulit nipis, 544 halaman).

 

Sungguhpun tajuk buku menyatakan ianya sebagai sebuah ensiklopedia, namun susunannya adalah sebuah buku biasa yang mengandungi bab-bab dan senarai bahan rujukan serta indeks di halaman belakang yang berdasarkan kepada kompilasi tulisan dan nota peribadi penulis sebagai pengamal perawatan Islam termasuk sedutan kertas kerja yang dibentangnya di seminar, konvesyen dan forum. Apa yang dimaksudkan oleh penulis sebagai ensiklopedia kerana baginya buku ini adalah karya asli yang julung kali diterbitkan (halaman iv). Sudah tentu maksud ini tidak sama apa yang difahami secara umumnya dengan perkataan ensiklopedia. Mungkin maksud yang tersirat daripada penggunaan perkataan ini ialah semua topik-topik mengenai perawatan atau pengubatan/perubatan Islam dibincangkan atau diperihalkan oleh penulis dalam buku ini, seolah-olah ia adalah sebuah ensiklopedia.

 

Istilah perawatan Islam perlu ditakrifkan secara tepat kerana ia boleh mengundang beberapa salah faham jika digunakan secara bebas. Perkataan perawatan ini tidak dapat lari daripada istilah perubatan di mana dalam sistem perubatan masa kini, perawatan atau “treatment“ melibatkan prosedur atau proses tertentu bagi merawat pesakit. Dalam perubatan moden proses perawatan pesakit melibatkan dignosa, prognosa, pemulihan, pencegahan dan sebagainya yang melibatkan prosedur perubatan seperti ujian darah, pemeriksaan fisikal, pembedahan, terapi dan sebagainya. Perawatan Islam dan juga pengubatan/perubatan Islam sebenarnya dari segi proses dan prosedur tidak banyak berbeza dengan perubatan moden kerana kedua-duanya berpunca dari sumber yang sama iaitu dari tamaddun Islam. Namun pada masa kini pengubatan/perubatan atau perawatan Islam sudah dikecilkan maksudnya kepada disiplin perubatan alternatif atau tradisional yang mengabungkan penggunaan ruqyah, bahan-bahan herbal, terapi saikologi dan keagamaan serta elemen-elemen kerohanian serta meta-fizik.

 

Pengecualian ini jelas melalui takrif amalan perubatan tradisional dan komplementari di bawah Seksyen 3 Akta 775 Undang-undang Malaysia memasukkan pengubatan Islam dalam takrif amalan perubatan tradisional dan komplementari bersama dengan amalan perubatan lain seperti tradisional Melayu, tradisional Cina, tradisional India dan homeopati. Amalan perubatan sebegini merangkumi untuk tujuan pencegahan, perawatan, mengurus penyakit bagi kesejahteraan fizikal dan mental. Dari takrif ini jelas bahawa perawatan Islam adalah sebahagian daripada konsep pengubatan/perubatan Islam. Apa yang menarik dari takrif undang-undang ini perkataan “perubatan“ tidak digunakan kepada Islam sebagaimana yang lainnya seperti Melayu, Cina dan India. Istilah yang diguna oleh undang-undang ialah “pengubatan“ yang diterjemahkan sebagai “Islamic medical practice“ berbeza dengan istilah “traditional medicine“. Penggunaan perkataan “pengubatan Islam“ oleh undang-undang ini boleh memberi maksud penggunaan perubatan moden mengikut nilai-nilai Islam. Perkara ini nampaknya dijelaskan secara tidak langsung oleh penulis melalui subtajuk integrasi antara perubatan Islam dan perubatan moden di halaman 164-170. Perkataan atau istilah pengubatan ini juga mempunyai asas teologi atau akidah Islam yang menekankan peri penting aspek tawakkal kepada Allah sebagai penyembuh kepada penyakit di mana perawat hanya bertindak sebagai sesorang yang berikhtiar dan berusaha.    

 

Dengan demikian maksud perawatan Islam sebagaimana tajuk buku ini ialah pengaplikasian nilai-nilai Islam dalam perubatan dan perawatan moden sebagai satu usaha untuk memulihkan penyakit dengan kenyakinan bahawa Allah swt sahaja yang menyembuhkannya. Proses islamisasi ini sebenarnya adalah dalam rangka transformasi yang lebih luas lagi melibatkan sistem kehidupan umat Islam kini yang didominasi oleh nilai-nilai barat yang bersifat sekular melalui pendekatan utilitarian (naf’iyyah) serta logika berasaskan sains. Dalam mengaplikasi nilai-nilai Islam ini dalam perubatan dan perawatan moden dengan elemen-elemen yang terdapat dalam perawatan Islam yang bersifat alternatif terutamanya terapi saikologi Islam seperti bacaan ayat suci dan doa serta tawakkal dan sabar, akan menambah baik nilai khidmat perubatan dan perawatan terutama kepada pesakit Islam yang akan mendapat faedah dari kebaikan kedua-dua sistem perubatan atau perawatan ini. Bentuk rawatan ini termasuk juga penggunaan herba-herba dan amalan kesihatan berasaskan kepada hadis atau sunnah yang dikenali dengan istilah Tibb Nabawi.

 

Memandangkan prinsip perawatan Islam sebagaimana yang dibentangkan dalam buku ini melibatkan elemen sipritual dan kerohanian, penulis cuba untuk menggabung atau mengaitkannya dengan perubatan moden. Oleh yang demikian pembaca akan mendapati secara keseluruhan perbincangan buku ini satu diskripsi kepada konsep dan amalan perubatan atau perawatan Islam yang diselangi dengan anekdot dan testimoni peribadi yang dilaluinya sebagai pengamal dan pengajar. Dengan kata lain, buku ini ditujukan secara khusus kepada pembaca yang beramal dengan teknik perawatan Islam bagi meningkatkan kefahaman, kemahiran dan kepatuhan mereka kepada etika dan nilai pengubatan Islam. Pada saat yang sama ia juga ditujukan kepada masyarakat umum sebagai panduan kepada bentuk rawatan moden dan alternatif yang menepati dan mematuhi kehendak dan keperluan Syariah. Penulis sebagai seorang ahli akademik di Universiti, masih mengekalkan gaya dan metod penulisan imiah melalui pembahagian bab-bab secara induktif dan memasukkan rujukan-rujukan penting. Buku ini secara umumnya adalah satu penerokaan separa ilmiah kepada tajuk perawatan atau pengubatan Islam yang baik kepada mereka yang mahu menambah maklumat atau beramal dengan pengubatan Islam. 




Saturday, 18 July 2026

Perniagaan Satu Jihad

“Perniagaan Satu Jihad“


 Slogan ini dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim (1947-2017), bekas Ketua Pengawai Eksekutif Johor Corporation. Idea ini bertitik tolak daripada pelbagai faktor dan cabaran yang melibatkan keadaan ekonomi dan sosial umat Islam di Malaysia dan juga dunia. Ini tidak kurang juga dari kepercayaan bahawa rezeki secupak tidak akan sejadi segantang. Oleh yang demikian keadaan yang menimpa umat Islam adalah ketentuan yang mesti diterima sebagai takdir. Ini ditambah lagi dengan pelbagai tanggapan sinikal yang disulam dengan petikan-petikan keagamaan yang menempelak kekayaan dan harta benda sebagai alat keduniaan yang mengalpakan serta melalaikan. Namun pada saat yang sama kita tidak boleh menyalahkan masyarakat Islam dan ulamanya yang mempunyai tanggapan sinikal ini. Ia perlu diteliti dalam konteks suasana amalan sistem ekonomi modern yang didominasi oleh sistem kapitalis dengan kerangka nilainya yang berbeza atau bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti yang diamalkan di Malaysia dan rata-rata negara lain dunia kini, objektif utama ahli perniagaan adalah membuat keuntungan. Kerangka nilai sistem kapitalis ini adalah bersifat persaingan yang selalunya melibatkan iklan pemasaran dan pengaruh lobi melobi serta lain-lainnya yang mengabaikan nilai-nilai moral. Ini ditambah lagi dengan penggunaan wang fiat dalam sistem ekonomi moden yang membolehkan penciptaan wang tanpa apa-apa sandaran yang mempunyai nilai intrinsik seperti emas atau barangan bernilai serta penggunaan faedah dalam pengambilan keuntungan kewangan adalah garis merah besar kepada sistem perniagaan Islam.  Oleh itu pandangan sinikal ini ada kewajarannya.

 

Sungguhpun pada masakini kesan-kesan negatif elemen-elemen persaingan sistem ekonomi dikurangi atau diimbangi dengan beberapa inisiatif awam seperti SDG, perlindungan hak-hak pengguna, undang-undang buruh dan lain-lain lagi, yang mana dasar-dasar ini mempunyai persamaan dengan nilai-nilai Islam, masyarakat Islam masih kurang berminat untuk terlibat dengan sektor ekonomi atau perniagaan. Sebabnya mudah sahaja, iaitu jentera utama sistem kewangan yang menjadi tunjang kepada kegiatan ekonomi modern adalah penggunaan faedah dalam sistem kewangan. Setelah halangan ini diatasi melalui pengenalan perbankan Islam di Malaysia pada tahun 1982, pertumbuhan ekonomi umat Islam di tanah air masih belum memberansangkan. Tidak dinafikan pada masa kini telah lahir golongan menengah Islam yang kuat melalui strategi pendidikan melalui dasar-dasar seperti penyediaan biasiswa, penubuhan institusi pendidikan tinggi dan pelbagai lagi.  Pun begitu pemilikan kekayaan negara oleh umat Islam masih rendah, kerana penglibatan umat Islam dalam sektor ekonomi tidak rancak sebagaimana yang diharapkan. Oleh yang demikian stigma atau paling kurang pun ketidakpedulian kepada kepentingan penguasaan ekonomi atau kekayaan sedikit sebanyak ada pengaruh yang mengambarnya sebagai korup atau yang dicemuh boleh membawa kepada lagha dan kelalaian.

 

Di sini terletak kebijakan Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang menyedari bahawa pegangan pandangan dunia sebegini perlu ditanggani dengan kaedah yang sama. Dari sini lahirlah slogan jihad perniagaan, jihad ekonomi, jihad busines dan seumpamanya. Jihad adalah satu istilah atau perkataan islamis yang sudah berakar umbi dalam pemikiran dan kepercayaan serta nilai dan jati diri umat Islam. Sudah tentu gabungannya dengan perniagaan akan memberi kesan saikologi yang mendalam kepada umat Islam mengenai kegiataan ekonomi. Slogan ini bukanlah satu manipulasi istilah islamis sebagaimana yang digunakan oleh banyak kumpulan lain bagi pelbagai tujuan terutama mencari sokongan dan pengaruh, kerana ianya bertitik tolak dari kelemahan umat Islam itu sendiri dalam pelbagai bidang. Menyedihkan lagi jumlah umat yang ramai dan “penguasaan“ dalam politik masih tidak boleh membebaskan mereka dari kepungan dan pergantungan penghidupan dalam aspek ekonomi dan kewangan dari sumber-sumber luar. Begitu juga anjuran-anjuran keagamaan supaya mencari punca penghidupan secara berdikari serta galakan melibatkan diri dalam perniagaan melalui hadis hadis bahawa 9/10 daripada rezeki adalah pada perniagaan, belum cukup untuk membangkitkan kesedaran betapa peri pentingnya perniagaan digerakkan oleh umat Islam Malaysia. Lantaran itu bergemalah slogan perniagaan satu jihad dari Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Menurutnya perkara ini diperlukan kerana keadaan ekonomi umat Islam adalah dalam keadaan darurat sehingga memerlukan jihad untuk membebaskannya.

 

Menyedari supaya penglibatan umat Islam dalam kegiataan ekonomi tidak terpengaruh dengan nilai-nilai barat atau kapitalis atau lebih serius lagi tanpa disedari nilai-nilai Islam dicairkan oleh nilai-nilai barat atau ia diterapkan dalam nilai-nilai Islam sebagaimana yang berlaku kepada beberapa projek islamisasi institusi barat, maka Tan Sri Muhammad Ali mengariskan beberapa nilai etika Islam yang perlu dipatuhi. Paling utama adalah mematuhi hukum-hukum Syariah dalam perniagaan kerana tanpanya perniagaan itu tidak akan mempunyai keberkahan. Bagi Tan Sri bergiat dalam kegiatan ekonomi yang halal adalah penting kerana ianya memberi keadilan dan seterusnya keberkahan dan mengikut keyakinannya akan meningkatkan penjualan serta keuntungan. Seterusnya mengambil sikap yang berbeza mengenai manusia dan harta dari sistem kapitalis yang memboleh kedua-duanya dimanipulasi semaksimum mungkin bagi mencapai objektif kekayaan. Bagi Tan Sri Muhammad Ali Hashim manusia adalah khalifah dan oleh itu perlu dihormati. Sesuai dengan ini kegiatan ekonomi atau perniagaan perlu menghormati manusia sebagai khalifah. Dalam hubungan ini kegiatan ekonomi tidak boleh menjejaskan atau memudaratkan kepentingtan dan pengidupan manusia. Kegiatan ekonomi mestilah mensejahterakan penghidupan manusia.

 

Manakala harta adalah satu amanah yang perlu dijaga dan digunakan untuk kepentingan semua melalui dasar-dasar serta amalan-amalan adil dan baik. Pada masa kini sikap ini diterapkan melalui pelbagai inisiatif seperti SDG, Valued Based Initiative dan Social Corporate Responsibility dan sebagainya. Namun begitu pada masa yang sama, ini tidak bermakna kebaikan model-model perniagaan barat atau kapitalis ditolak. Sesuai dengan ini, dalam konteks strategi perniagaan yang baik dan berkesan serta murah, ahli perniagaan Islam perlu mengambil peluang dengan menggunakan tanda-tanda perniagaan terkenal antarabangsa seperti KFC (yang mana tanda perniagaan ini begitu sinonim dengan Tan Sri Muhammad Ali Hashim). Atau dengan katanya kita perlu menghalalkan business berkenaan supaya ia cenderung kepada nuansa Islamik atau menjadi islamik lambat laun. Sungguhpun demikian penggunaan logo-logo antarabangsa ini mungkin boleh menimbulkan kontroversi terutama dalam konteks perkembangan geopolitik kini. Apapun hasil dari usaha dan kegigihan Tan Sri Muhammad Ali Hashim kesannya sudah dirasakan kini, walaupun masih banyak perlu dilakukan. Ternyata pendekatan Tan Sri Muhammad Ali dalam perubahan kegiatan ekonomi Islam, walaupun melalui slogan yang berapi iaitu jihad, namun sebenarnya adalah secara organik dan bertahap atau gradual. Ini adalah sesuai dengan Islam yang bersifat fitrah. 











 

Monday, 13 July 2026

Kepentingan Wakaf Secara Korporat

 Kepentingan Wakaf Secara Korporat*

Maksud wakaf secara korporat adalah wakaf berkenaan diuruskan oleh badan professional pelaburan dan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan maksima. Ianya berbeza dari wakaf masa lalu, yang terhad kepada hartanah. Wakaf secara korporat juga boleh bermakna pewakafan harta dalam pelbagai bentuk dengan mengekalkan tujuan asal wakaf iaitu untuk menahan harta berkenaan bagi mencapai maksud atau objektif pewakaf untuk tujuan atau kepentingan awam atau peribadi yang dibenarkan oleh hukum Syarak. Perkara utama tujuan dalam pewakafan secara korporat adalah mendapat keuntungan maksima bagi memenuhi objektif pewakaf. Dengan demikian wakaf secara pengurusan profesional ini mementingkan kecekapan dan penjimatan kos dalam urusan pelaburan harta wakaf dalam pelbagai bentuk dan dimensi perniagaan moden. Melalui cara ini hasil keuntungan pelaburan wakaf dapat diperoleh dengan banyak dan dalam jangka waktu yang cepat atau singkat. Yang paling penting dalam konteks pelaburan sebegini adalah kecairan hasil pelaburan wakaf berkenaan yang boleh digunakan dengan segera bagi faedah dan kepentingan umat Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan kecekapan pelaburan. Pada masa yang sama badan korporat yang menguruskan wakaf ini harus sentiasa beringat untuk mematuhi keperluan dan pematuhan Syariah semasa menjalankan urusan pelaburan. Perkara ini tidak sukar dilakukan lagi memandangkan sudah terdapat pelbagai instrumen pelaburan Islam serta kawalan-kawalan pematuhan Syariah oleh badan-badan regulasi kewangan dalam negara ataupun luar negara.

Faedah lain yang ketara daripada pengurusan wakaf secara korporat ini ialah kawalan kepada kelangsungan (sustainability or continuity) entiti pelaburan yang tidak akan terjejas dengan perubahan sosial, politik, ekonomi dan geopolitik. Lazimnya badan-badan korporat sentiasa terpengaruh dengan dinamika di atas, sama ada akan berlaku pengabungan, perubahan misi dan objektif mahupun dalam keadaan tertentu pembubaran atau penggulungan. Sebagai contoh apabila berlaku pertukaran kepimpinan samada di peringkat badan korporat atau negara, perubahan kepada objektif dan tujuan wakaf tidak boleh dilakukan sesuka hati atau dengan mudah. Sungguhpun tidak dinafikan badan korporat wakaf akan juga terdedah kepada ketidakstabilan politik dan ekonomi, namun dari segi kelangsungan objektif dan tujuannya tidak akan berubah dan akan kekal sentiasa sesuai dengan konsep wakaf iaitu “in perpetuity“. Oleh yang demikian kepentingan umat Islam melalui wakaf korporat ini akan sentiasa terjamin.

Melalui pelaburan wakaf secara korporat, sumber dan hasil kekayaan ekonomi melalui aktiviti pelaburan dan perniagaan tidak akan hanya dikuasai oleh golongan tertentu yang mungkin hanya mementingkan keuntungan. Dengan cara ini dominasi ekonomi dan kekayaan dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersifat materialistik, invidualistik dan lain-lain akan dapat dipecahkan. Perkara ini boleh dilakukan kerana pelaburan dan perniagaan yang dilakukan oleh badan korporat wakaf ini adalah dalam skala yang besar dan oleh itu ia  boleh bersaing, memberi pengaruh dan kesan kepada pemain-pemain lain. Perkara ini tidak boleh dilakukan oleh pemain individu atau oleh aktiviti ekonomi wakaf yang terhad melalui pembangunan hartanah yang memerlukan modal besar, kos yang tinggi dan masa yang lama untuk mendapat pulangan.  

Sehubungan dengan ini, beberapa peraturan lama yang berkaitan dengan wakaf mungkin lagi tidak relevan kerana boleh menghalang inovasi dan pelaburan harta wakaf secara efisien dan“cost effective“. Peraturan berkenaan perlu dikaji dan disemak semula supaya badan korporat wakaf boleh bergerak dengan pantas dan cekap bagi kesejahteraan masyarakat Islam dan negara. Sungguhpun pada masa sekarang sudah terdapat undang-undang wakaf di negeri-negeri yang memberi makna yang luas terhadap bentuk-bentuk wakaf yang sudah tentu memberi fleksibiliti kepada bentuk-bentuk pelaburan harta wakaf, namun dalam suasana ekonomi dan perniagaan dunia hari ini yang masih didominasi oleh sistem ekonomi kapitalis berasaskan kepada faedah, maka ijtihad-ijtihad baru perlu dikemukakan bagi membolehkan pelaburan dilakukan secara cekap dan murah. Ini terutamanya yang melibatkan penggunaan prinsip-prinsip darurah, hajah dan ma’alat yang bertunjang kepada maqasid untuk menjaga agama dan harta orang-orang Islam perlu dilakukan bagi membolehkan pelaburan harta wakaf sedemikian sentiasa patuh Syariah.



*Sedutan dari Multaqa Ekonomi MPI (Muzakarah Perundingan Islam) di PICC pada 28 Septemper 2016 di mana penulis hadir sebagai peserta dengan beberapa tambahan oleh penulis terutama di perenggan akhir.

Sunday, 22 February 2026

Ulasan Buku Palestin: Harapan Yang Tidak Pernah Padam

Ulasan Buku - Palestin: Harapan Yang Tidak Pernah Padam. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. 2025. Kulit nipis. 163 halaman.

Buku ini diterbitkan semasa rakyat Palestin, terutama di Gaza, menderita dibunuh dan dizalimi secara yang amat kejam oleh teroris zionis Israel dan sekutu-sekutu barat. Ia memaparkan sejarah perjuangan rakyat Palestin melawan kekejaman Israel di tanah air mereka sendiri. Buku ini diberi kata-kata aluan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri JPM menunjukkan komitmen yang berterusan kepada perjuangan rakyat Palestin sejak dari dahulu lagi oleh kerajaan dan rakyat Malaysia. Buku ini diterbitkan dengan inisiatif Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bagi tujuan memberi maklumat yang tepat dan terkini mengenai perjuangan rakyat Palestin dan umat Islam di serata dunia mempertahankan bumi Palestin dari penjajahan zionis Israel dan sekutu-sekutunya baik dari barat dan timur. Buku ini agak ringkas dengan hanya 163 halaman di dalam 14 bab kecil yang menjelaskan Palestin dari pelbagai sudut seperti sejarah, geografi, tokoh-tokoh ilmuan Islam, kejahatan Bani Israel, fahaman zionis, politik, hubungan antarabangsa dan fatwa. Bab-bab ini ditulis oleh penulis-penulis yang berbeza yang meringkaskan perbincangan topik-topik berkenaan bagi bacaan umum secara mudah dan santai. Namun bagi mereka yang ingin menambah maklumat lanjut boleh membuat bacaan kepada sumber-sumber rujukan yang diberikan pada setiap akhir bab berkenaan. Bagi mereka yang ingin mengetahui hukum Syariah, bab akhir mengenai fatwa menjelaskan beberapa hukum menyentuh Palestin. Fatwa-fatwa ini merupakan hakam biasa namun dalam konteks tanah Palestin yang sedang dalam jajahan penjenayah zionis Israel seperti hukum zakat dan korban serta lain-lain. Secara umumnya persoalan-persoalan ini dipersetujui oleh semua badan-badan fatwa antarabangsa. Namun satu persoalan yang menjadi perbezaan iaitu visa ziarah ke Masjid al-Aqsa menunjukkan perbincangan berhati-hati. Namun pada pandangan penulis fatwa yang dikemukakan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa seperti di halaman 142-143 nampaknya tidak menjawab soalan dan cuba untuk mengelak dari dilihat mengambil pendirian. Satu lagi hukum yang melibatkan perbincangan ialah hukum memboikot syarikat yang menyokong penjenayah zionis Israel. Badan-badan fatwa antarabangsa nampaknya sepakat menyokong pemboikotan syarikat berkenaan, namun dari segi perlaksanaannya mempunyai pelbagai dimensi melihat realiti perniagaan semasa yang beragam. Dua aspek yang mungkin kekurangan dalam buku ini ialah bidang ekonomi dan pendidikan yang tidak dibincangkan. Mungkin di penerbitan masa akan datang aspek-aspek ini boleh dimasukkan di samping aspek-aspek lain yang difikirkan sesuai dan relevan. Apapun buku ini adalah usaha terpuji untuk terus meniup semangat membela Palestin dan rakyat Palestin yang terjajah. Ucapan syabas kepada Sahibuh Samahah Mufti dan penulis-penulis yang berusaha menerbitkan buku kecil yang amat bermakna ini.




Saturday, 24 May 2025

Guru dan Pengajian Pondok Guna Hadis Lemah/Palsu?

Saya terbaca satu status di dalam FB yang mengulas satu kajian ilmiah sebuah universiti tempatan yang mendapati guru-guru pondok dikatakan merujuk kepada kitab-kitab yang memuatkan hadis-hadis yang bertaraf daif atau lebih buruk lagi berstatus palsu. Taraf dan status hadis ini dinilai dengan merujuk kepada kitab-kitab takhrij hadis. Saya tidak pasti apakah hadis-hadis berkenaan dan apakah kitab-kitab yang dirujuk oleh guru-guru pondok kita. Namun kelihatannya kitab-kitab yang dikarang oleh ulama-ulama terkemudian yang merujuk atau bersandar kepada Ihya' Imam al-Ghazali. Sekali pandang memang tidak wajar perkara ini berlaku memandangkan pengkaji di atas seterusnya mendapati hadis-hadis itu digunakan secara berleluasa dan mudah oleh penceramah-penceramah agama di masjid-masjid kepada masyarakat umum Islam. Ini adalah kerana secara logiknya menyebarkan sesuatu yang tidak benar atau tidak pasti adalah satu perbuatan yang salah apatah lagi ianya hadis dan berkemungkinan besar satu perbuatan dosa. Untuk berlaku adil kepada penulis kajian ilmiah berkenaan saya tidak bermaksud untuk mengulas kesahihan kajian berkenaan kerana saya tidak membaca penulisan itu. Saya hanya membaca status FB yang mengulas dapatan kajian ilmiah terlibat. Oleh itu pandangan saya tertumpu kepada penulis status FB itu sahaja. Dalam menilai perkara ini, ianya tidak semudah sebagaimana kesimpulan penulis di atas, iaitu rujukan atau penggunaan hadis berkenaan adalah sesuatu yang bahaya kepada agama. Kita perlu menyiasat lebih lanjut apakah tujuan dan matlamat penggunaan hadis-hadis itu dan apakah latarbelakang suasana dan konteksnya. Begitu juga kita perlu memahami metodologi penggunaan hadis mengikut displin pelbagai ilmu terutama yang berkaitan dengan targhib wa tarhib. Saya tidak pasti samada penulis kajian ilmiah universiti berkenaan ada membuat temubual dengan guru-guru pondok berkaitan bagi mendapat penjelasan atau alasan mengapa mereka merujuk kepada hadis-hadis tersebut. Selalunya dalam mana-mana kajian ilmiah antara sumber makluman adalah informan atau responden yang menjadi objek kepada sesuatu kajian yang mana dalam konteks ini adalah guru-guru pondok yang dikaji. Mungkin penulis telah menemubual mereka. Amatlah penting untuk mendengar perspektif atau alasan mereka mengapa hadis-hadis sedemikian dirujuk dan dijadikan bahan dalam pengajaran atau ceramah. Ini adalah kerana sebagaimana yang disebut di atas kita perlu memahami atau mungkin empatik dalam perkara ini memandangkan tidensi penulis FB yang mengulas tulisan ilmuah itu hanya melihat dari sudut sanad semata-mata, tanpa memerhatikan konteks atau dimensi lain seperti metodologi penerimaan atau penggunaan hadis yang berbeza. Sebagai contoh ada ulama fiqh menolak penggunaan hadis ahad yang sahih sebagai hujah, namun pada saat yang sama ada ulama fiqh yang lain yang menolak penggunaan qiyas dengan mengutamakan hadis ahad. Begitu juga ada yang menerima qawl sahabi sebagai hujah manakala ada yang menolak dan begitu seterusnya. Oleh demikian dalam konteks amalan-amalan yang bersifat targhib dan tarhib atau nawafil atau fada'il a'mal hadis-hadis yang lemah diterima sebagai panduan. Untuk memandu penggunaan hadis-hadis ini, kaedah yang ditetapkan ialah sesuatu hadis yang bertaraf lemah tersebut tidaklah boleh bercanggah dengan kaedah umum agama seperti nas-nas al-Quran, hadis yang sahih, ijma ummah, bahkan yang bertentangan dengan akal yang boleh membawa kepada kemudaratan. Panduan-panduan ini sebenarnya ditunjukkan kepada kita oleh hadis itu sendiri secara tidak langsung. Sebagai contoh bacaan doa iftitah dan solat sunat wudu dilakukan oleh para sahabat tanpa menunggu suruhan daripada Baginda Rasulullah s.a.w. Sungguhpun mungkin ada yang akan berhujah bahawa perbuatan sahabat berkenaan diperkenankan oleh Baginda dan akhirnya menjadi satu bentuk sunnah taqririyyah, namun ia memberi satu pengajaran bagi membentuk panduan di atas. Oleh itu, penolakan penggunaan hadis-hadis berkenaan sebagaimana yang diulas dalam status FB berkenaan perlu juga dinilai dari panduan ini. Jika kita mengkaji kurikulum pengajian pondok, ilmu ulum hadis merupakan salah satu mata pelajaran utama yang diajar dengan mengunakan kitab-kitab mustalah hadis yang muktabar. Sudah pasti Tuan-tuan Guru Pondok ini mereka sedia maklum dan mempunyai maklumat lengkap tentang status hadis-hadis berkenaan yang dikatakan lemah atau palsu. Kita cuma perlu memahami apakah alasan mereka menggunakannya. Oleh itu, kita tidak perlu secara simplistik membuat kesimpulan yang boleh menguris kredibiliti mereka yang beramal dengan hadis-hadis berkenaan. Jika kita melihat sejarah dan latarbelakang mengapa Imam Ghazali menulis Ihya' yang dikatakan disaluti oleh hadis-hadis lemah, sudah tentu kita akan lebih bertoleransi bahkan berterima kasih di atas usaha beliau. Oleh yang demikian penerimaan dan penolakan sesuatu hadis perlu difahami dalam konteks penulisan, metodologi, displin ilmu yang berbeza serta juga mungkin ilmu kejiwaan atau saikologi pendidikan masyarakat Islam yang berdepan dengan kelemahan dan kerosakan. Jika kita melakukan yang sedemikian kita akan lebih menghormati dan mencintai guru-guru pondok ini yang bersusah payah dengan segala kedaifan dan kekurangan memartabatkan kesinambungan tradisi ilmu Islam sejak zaman berzaman.    

Sunday, 11 May 2025

Indonesians’ Anecdotes on Halal Issues

Indonesia, a majority-Muslim country, boasts a rich historical, cultural, and religious heritage that predates the arrival of Islam. Like other Muslim societies with ancient civilizations, the practice of Islam here has long involved an accommodation of local traditions. For novice students of Sharia, the assimilation—or retention—of pre-Islamic customs within Islamic teachings might appear contradictory. However, this process is gradual: as knowledge of the Sharia principles grows, traditional practices may fade, integrate into Islamic universality, or coexist through social tolerance. The perceived tension between Islamic teachings and local customs often stems less from inherent conflict than from ignorance or the pluralistic ethos of Southeast Asian societies.

Against this backdrop, Indonesia’s Muslim population faces challenges reconciling inherited traditions with Sharia standards. Social media, for instance, circulates stories of Muslims openly consuming or trading non-halal food—acts that seemingly flout Islamic dietary laws. While economic pressures and ignorance may explain such lapses, these anecdotes often prioritize sensationalism over nuance. Yet the issue takes on greater gravity in public commerce, particularly regarding Indonesia’s 2016 halal labeling law. Unlike private choices, mandatory halal certification for food products is a matter of public order under this new law. Mainstream media has exposed cases of halal certification fraud, such as mixing halal and non-halal meats at ports or processing facilities. Audits have even revealed products with porcine DNA despite official certification, prompting authorities to revoke licenses.These breaches highlight the vulnerabilities in the issuance process of halal certification that should be reviewed or updated from time to time.

Indonesia’s national unity—rooted in a shared language, legal system, and citizenship—coexists with striking regional diversity. In areas like Hindu-majority Bali, Christian-majority North Sumatra (the Bataks), Sulawesi (the Menados), Papua, and Kalimantan (the Dayaks), non-halal foods like pork, dog meat, or crocodile are sold openly, sometimes even by Muslims. Markets may sell halal and non-halal meats side by side—a practice unthinkable in more conservative Muslim nations like Malaysia. Remarkably, some Muslim vendors may sell non halal meats and would warn inattentive Muslim customers that those meats are not halal!

Such scenarios, however, are exceptions. Most Indonesian Muslims adhere to Sharia dietary laws. Public outcry over violations is rare, though exceptions exist—e.g., a boycott campaign led by the Indonesian Ulema Council against non-halal seasoning. Generally, society treats lapses as private matters, reflecting a broader tolerance seen in other daily activities: For example Bali’s Hindu statues are crafted by Muslim artisans in East Java, and would pause working for prayers in the nearby local masjid. Similarly, some Muslim religious seminaries in Java may feature Ganesha statues at entrance gate of their establishment as cultural—not religious—symbols.

The Indonesian 2016 halal labeling law aims to protect Muslim consumers, but implementation remains phased and inconsistent. Airport eateries, especially in the terminals for example, often lack halal labels , suggesting exemptions or lax enforcement. For observant Muslims, they would want to avoid these eateries for the moment just to be sure. On a social theory analysis, the introduction of this law would suggest the increase adaptation of or compliance with the Sharia in Indonesia’s pluralism -  a continuing process of Islamization in any given Muslim societies. 

Tinjauan Penyelidikan Pengajian Islam Global 2026: Trend Baharu, Bidang Terokaan Penyelidikan dan Hala Tuju Masa Hadapan

Syarahan Perdana di Minggu Penyelidikan Pengajian Islam di APIUM pada 03 November 2026 Tinjauan Penyelidikan Pengajian Islam Global 2026: Tr...