Showing posts with label Pentadbiran Undang-Undang Islam: Akta Halal. Show all posts
Showing posts with label Pentadbiran Undang-Undang Islam: Akta Halal. Show all posts

Wednesday, 1 January 2025

Kurang Kesedaran Pengguna Punca Peningkatan Sijil Halal Palsu?

Mengikut laporan akhbar pada 21/12/2024 kurangnya kesedaran pengguna antara punca peningkatan sijil halal palsu atau penyalahgunaan sijil berkenaan. Faktor lain ialah kekurangan tenaga manusia agensi berkenaan untuk memantau sijil berkenaan. Ini dapat dilihat kepada jumlah kompaun yang dikenakan pada tahun 2024 sebanyak RM140,500 dengan jumlah rampasan bernilai RM1.813 juta dari 800,000 pemeriksaan. Tidak dapat dinafikan jumlah pemeriksaan ini adalah banyak dan oleh itu secara nisbahnya jumlah rampasan dan kompaun ini adalah kecil. Ini juga boleh bermakna pemantauan yang berkesan sungguhpun laporan akhbar menyatakan sebaliknya. Selain itu, daripada pemerhatian penulis sendiri mendapati ada premis-premis jualan makanan yang menggunakan lambang-lambang agama Islam seperti tulisan ayat al-Quran, namun secara zahirnya kesemua pekerjanya adalah bukan Islam. Penggunaan lambang-lambang agama berkenaan boleh juga disalahgunakan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dan pemeriksaan ke atas premis-premis sebegini perlu dilakukan untuk menjaga kemaslahatan orang-orang Islam dari segi makanan dan minuman halal.   



 

Tuesday, 31 December 2024

Kewajipan Sijil Halal Melalui Perlesenan Perniagaan?

Cadangan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu, Kelantan (MPKB) melalui laporan akhbar pada 28 Disember 2024 yang lalu untuk mewajibkan pemilik premis makanan yang menjual makanan dan minuman kepada orang Islam sebelum kelulusan lesen perniagaan diberikan menerima pelbagai reaksi dari masyarakat. Walaupun begitu, isu ini tidaklah panas, memandangkan pada masa yang sama, tumpuan media diberikan terhadap isu hukuman sebatan di luar penjara terhadap pesalah jenayah Syariah. Berita akhbar di atas pada mulanya melaporkan pandangan atau kenyataan seorang menteri yang menyatakan bahawa keputusan MPKB tersebut tidak selaras dengan pendirian kerajaan persekutuan yang hanya menggalakkan premis penjualan makanan memperolehi sijil pengesahan halal Malaysia (SPHM). Begitu juga terdapat kebimbangan syarat sebegini akan membebankan peniaga kecil memandangkan terdapat kos permohonan SPHM yang terpaksa ditanggung oleh mereka serta juga proses permohonan yang perlu memenuhi pelbagai syarat yang mungkin boleh menimbulkan kerumitan dan kelewatan. Sungguhpun pihak JAKIM sebelum ini memberi jaminan bahawa semua permohonan akan diproses secepat mungkin, namun komplikasi boleh timbul memandangkan ramai di antara peniaga-peniaga kecil ini tidak memahami atau perihatin kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Kebimbangan ini sudah diantisipasi oleh pihak MPKB melalui kenyataan di akhbar pada 29 Disember 2024 bahawa kewajipan ini tidak terpakai kepada peniaga kecil atau gerai jalanan. Ianya lebih tertumpu kepada premis menjual makanan milik bukan Islam yang turut menjual makanan kepada orang Islam. Namun dalam laporan akhbar berbahasa Melayu syarat SPHM hanya dikenakan pada tujuh tempat sahaja tanpa menyebut sama ada ianya milik orang Islam atau tidak. Alasan yang diberikan bagi keputusan ini adalah untuk menjaga kemaslahatan 95 peratus penduduk Islam di Kelantan. Pada pandangan saya langkah ini adalah wajar memandangkan terdapat pelbagai laporan akhbar mengenai gerai makanan atau restoran tertentu yang menjadi tumpuan ramai termasuk orang Islam selepas digembar gemburkan di dalam media sosial. Ada di antara gerai makanan dan restoran ini diragukan tentang status halal makanan yang dijual. Berbalik kepada kenyataan bahawa kewajipan ini bercanggah dengan polisi kerajaan Persekutuan dan justru itu tindakan MPKB ini sesuatu yang tidak betul mungkin kurang tepat. Ini adalah kerana syarat berkenaan ditentukan oleh badan berkuasa negeri dan kerajaan tempatan yang berbidangkuasa. Pengenaan syarat ini pada pandangan saya adalah sama sahaja dengan syarat-syarat tambahan lain yang dikenakan sebelum ini seperti permastautin, umur, perkerjaan, jantina, pendidikan, pendapatan dan sebagainya. Namun yang lebih penting dari itu ia tidak menghalang mana-mana orang yang ingin menjual makanan tidak halal kepada orang bukan Islam sesuai dengan prinsip kebebasan beragama Perlembagaan Malaysia.    






 

Friday, 25 October 2024

Akta Halal Masih Jauh Lagi Perjalanannya

21 Mei 2012 

Ahmad Hidayat Buang



Akta atau Undang-undang Halal yang diwawarkan dalam media cetak dan elektronik sebagai mendapat kelulusan kabinet dan sebagainya tidaklah semudah sebagaimana yang digambarkan. Perbincangan yang dianjurkan oleh Bahagian Halal JAKIM menyerlahkan beberapa masalah dasar yang masih belum dapat diselesaikan. Akta ini bertujuan untuk menyelaraskan semua peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan urusan halal dan memberi JAKIM kuasa perundangan berkaitan halal terutama dari segi pengeluaran sijil halal, pemantauan dan penguatkuasaan peraturan halal. Perkara pokok yang dijelaskan menghalang pelaksanaan cadangan Akta Halal ini nampaknya masih berkait rapat dengan persoalan kuasa negeri berkaitan dengan agama Islam sebagaimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Memandangkan cadangan Akta Halal ditafsirkan sebagai perkara yang berkaitan dengan agama Islam maka ianya terletak di bawah bidang kuasa negeri dan oleh itu Parlimen tidak berhak untuk membuat undang-undang yang berkaitan dengannya. Hujah untuk menyamakan perkara halal ini dengan kewangan dan perbankan Islam pun tidak dapat diterima, memandangkan perkara mengenai perniagaan dan perbankan memang jelas diperuntukan dalam Perlembagaan terletak di bawah senarai Persekutuan. Begitu juga alasan untuk menyamakan dengan urusan tanah tidak dapat diterima kerana terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang berkaitan dengan penyelarasan pentadbiran tanah. 

Oleh yang demikian mengapa tidak dibiarkan sahaja urusan halal ini ditangani oleh pihak negeri, tanpa campur tangan kerajaan Persekutuan. Mengapa pihak JAKIM perlu bersusah payah mahu mencadangkan satu undang-undang atau akta yang jelas sukar untuk dilaksanakan? Jikalau dalam perkara-perkara lain seperti Mahkamah Syariah, perkahwinan, perceraian, wakaf, zakat, baitulmal, fatwa dan lain-lain boleh diuruskan oleh pihak negeri sebagaimana biasa mengapa tidak pula urusan halal. Bahkan mengikut pengamatan penulis, sudah ada pun peruntukan mengenai makanan halal di dalam undang-undang negeri terutamanya Enakmen Jenayah Syariah. Manakala dari segi fatwa pula sudah banyak pandangan dan nasihat agama dikeluarkan mengenai perkara halal. Tambahan pula pihak negeri sendiripun mahu menguruskan perkara halal sebagaimana dengan kewujudan sijil-sijil halal negeri. Jawapan kepada persoalan ini harus dilihat dari segi keberkesanan undang-undang. Sudah banyak rungutan mengenai urusan pentadbiran agama Islam di Malaysia akibat kepelbagaian dari segi undang-undang, pentadbiran, proses dan amalan. Sungguhpun perkara ini telah di atasi namun masih terdapat beberapa perkara yang kerapkali dibangkitkan di media massa. Jika dilihat secara kos-efektif dan keberkesanan pentadbiran sudah tentulah perkara ini adalah lebih baik jika ditadbir secara bersepadu dan terselaras. Namun begitu realiti undang-undang dan institusi yang diwarisi sejak dari dahulu menjadikan urusan agama itu diuruskan secara tersendiri oleh negeri-negeri. Mungkin ada kebaikan atau keunikan tertentu di dalam sistem yang diamalkan kini. Itu tidak dapat dinafikan. 

Sungguhpun demikian, akibat perubahan masa terdapat perbezaan dalam urusan halal ini dengan urusan keagamaan lain. Jika pada masa dahulu urusan halal dan haram adalah perkara keperluan persendirian umat Islam namun kini ianya sudah menjadi satu industri, satu bentuk perniagaan multinasional dan internasional. Urusannya lebih hampir kepada industri kewangan Islam. Oleh yang demikian meletakan urusan halal dalam situasi masa dahulu mungkin akan menjejas keberkesan urusannya dari segi proses, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang. Berbeza dengan urusan agama yang lain, urusan halal ini sejak dari dahulu lagi apabila melibatkan agensi-agensi kerajaan yang lain yang melibatkan import eskport barangan makanan diuruskan oleh pihak JAKIM. Apatah lagi untuk melindungi kemaslahatan masyarakat Islam daripada penyelewengan dan penyalahgunaan logo halal oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh yang demikian mahu tidak mahu urusan halal ini perlu ditanggani oleh satu pihak di peringkat Pusat, khususnya apabila melibatkan pihak dari luar negara.

Memang tidak dinafikan bahawa pada masa kini pihak JAKIM bagi pihak kerajaan Pusat telah diberi tanggungjawab bagi menguruskan urusan halal seperti pengeluaran sijil dan penguatkuasaan logo halal. Namun tangunggjawab ini hanya berpunca daripada arahan eksekutif dan bukan daripada kuasa undang-undang melalui Akta tertentu. Ini adalah kerana urusan produk dan makanan halal di Malaysia melibatkan beberapa agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) dan pihak kerajaan tempatan. Kementerian-kementerian dan jabatan ini mempunyai kuasa melalui akta mereka bagi menjalankan tanggungjawab dan fungsi masing-masing. Oleh yang demikian Akta Halal ini boleh memberikan JAKIM kuasa undang-undang yang dikehendakinya menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya dalam urusan halal. Memang tidak dapat dinafikan kerjasama yang erat telah diberikan oleh agensi kerajaan yang lain kepada JAKIM untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam perkara halal. Sebagai contoh Akta Perihal Dagangan 2011 yang diluluskan baru-baru ini telah mengiktiraf penggunaan logo halal JAKIM dan Majlis Agama Islam negeri sebagai logo halal yang boleh dipamerkan oleh badan perniagaan. Begitu juga kakitangan JAKIM dilantik sebagai pegawai penguatkuasa di bawah Akta berkenaan. Namun begitu Akta diletakkan di bawah KPDNKK.    

Perlembagaan Malaysia telah digubal sejak 50 tahun yang lalu. Dalam tempoh masa itu kita melihat banyak pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan. Tujuan pindaan ini dibuat adalah bagi menyesuaikan Perlembagaan berkenaan dengan perkembangan semasa. Sebagai contoh utama ialah pindaan kepada perkara 121 (1A) Perlembagaan Malaysia pada tahun 1988 terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes yang berkaitan dengan undang-undang Islam secara eksklusif. Kita melihat selepas pindaan ini Mahkamah Syariah telah berkembang menjadi institusi agama Islam yang mantap dan kukuh. Persoalan halal haram dalam kerangka Perlembagaan mungkin sesuai pada masa dahulu. Dengan perkembangan perniagaan halal pada masa kini kerangka ini mungkin lagi tidak sesuai. Ramai pihak kurang selesa dengan pendekatan pindaan Perlembagaan ini bagi membolehkan penggubalan Akta Halal kerana melibatkan banyak perkara yang sensitif dan seterusnya menjadikan usaha yang murni ini sesuatu yang sukar terutama dalam keadaan politik semasa yang tidak menentu. Namun begitu didapati banyak perkara yang berkaitan dengan kemaslahatan umat Islam di Malaysia pada hari ini nampaknya bukan dihalang oleh kehendak masyarakat atau rakyat, dan bukan juga oleh pengaruh politik atau pemerintahan, tetapi halangannya banyak kepada aspek-aspek kuasa dan teknikal perundangan serta pentadbiran. Jika dilihat kepada pengalaman negara-negara Islam yang lain yang cuba untuk melaksanakan prinsip-prinsip Syariah dalam pemerintahan dan pentadbiran negara, kegagalan berlaku bukan kerana tiada kehendak atau peruntukan undang-undang, namun berpunca daripada kekurangan kepakaran dalam sistem pentadbiran yang menyokong usaha-usaha itu.

Tinjauan Penyelidikan Pengajian Islam Global 2026: Trend Baharu, Bidang Terokaan Penyelidikan dan Hala Tuju Masa Hadapan

Syarahan Perdana di Minggu Penyelidikan Pengajian Islam di APIUM pada 03 November 2026 Tinjauan Penyelidikan Pengajian Islam Global 2026: Tr...