12 Mei 2017 (Balai Ilmu, APIUM)

Panel kedua iaitu Ustaz Muhammad Abdullah, Pengarah I-Divers iaitu sebuah syarikat bumiputra dalam bidang sukan selaman di Shah Alam, berpandangan sukan ini terutama sekiranya ianya disertai oleh golongan lulusan agamawan boleh dijadikan satu platform dakwah yang berkesan terutama kepada golongan belia yang sukar didekati dengan cara dakwah yang biasa seperti ceramah-ceramah dan sebagainya. Mengikut pengalamannya melibatkan diri dalam sukan ini, beliau mendapati ramai golongan belia Islam dan juga dewasa mempunyai minat kepada perkara agama, cuma mereka tidak berminat dengan cara-cara dakwah konvensional. Malah penglibatannya dalam sukan ini telah berjaya mengislamkan seorang wanita berketurunan Tioghua dari luar negara. Begitu juga beliau menyatakan bahawa sukan diving dapat membantu memulihkan remaja bermasalah. Pematuhan yang ketat kepada peraturan dan tatacara selaman telah menyemai perasaan hormat kepada instruktor kursus dan ini akhirnya memberi kesan kepada mereka untuk menghormati orang lain dan seterusnya menyebabkan perubahan kepada sikap dan peribadi mereka.

Forum ini telah diadakan dengan lancar kerana dimudahcarakan dengan cemerlang oleh Dr. Zalina Zakaria, pensyarah kanan jabatan dan juga penyelaras IHRUM, yang berjaya membuatkan kesemua ahli panel memfokuskan kepada tajuk perbincangan dengan soalan-soalan yang relevan. Sebagai contoh melalui soalan yang dikemukakan, Ustaz Muhamad menjelaskan adalah penting bagi masyarakat Islam menyertai sukan diving, terutama sebagai instruktor atau master diver, kerana buat masa kini pasaran di Malaysia dikuasai oleh bukan Islam. Bahkan menurutnya lagi, hanya dua orang Islam yang mempunyai kelulusan Course Director Level 5 di Malaysia. Sukan diving ini pada masa kini telah berkembang dengan pesat sekali di mana sebanyak 25 juta lesen selaman telah dikeluarkan di negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Maldives. Sukan ini juga telah mula menarik minat dari pelancung timur tengah yang datang ke Malaysia. Oleh yang demikian sukan ini sebenarnya akan memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat Malaysia khususnya kepada masyarakat Islam terutamanya wanita. Ini adalah kerana kebanyakan wanita tidak mahu menyertai sukan ini kerana kekurangan instruktor wanita. Untuk mengatasi masalah ini, lebih banyak wanita Muslimah perlu tampil untuk mendapatkan lesen sebagai instruktor dan pihak Syarikat I-Divers bersedia untuk melatih mana-mana individu yang berminat.
Bagi menjawab kenyataan bahawa sukan ini bersikap eksklusif dan mungkin mahal, Ustaz Muhammad menjelaskan bahawa kos yang terlibat adalah tidak semahal mana. Namun bagi mengelakkan masalah dengan lain-lain syarikat, pihak I-Divers terpaksa mengikut harga pasaran iaitu sebanyak RM1,500 seorang bagi mendapat lesen selaman. Namun begitu pihak Syarikat bekerjasama dengan badan-badan dermawan untuk memberi bantuan kewangan kepada mereka yang berminat. Dalam hubungan ini, Cik Mustafiyyah memberitahu pengalamannya menjalani aktiviti snokling terlebih dahulu bagi membiasakan diri dengan persekitaran laut. Walaubagaimana pun menurut Dr. Wirdati kegiatan berkenaan mempunyai risiko tersendiri iaitu tiada perlindungan insurans diberikan. Perkara seterusnya dijelaskan di Malaysia tiada perlindungan komprehensif samada undang-undang atau insurans/takaful kepada kegiatan sukan. Perkara ini menurut Dr. Wirdati boleh membantutkan perkembangan sukan negara iaitu ketiadaan perlindungan terhadap kemalangan dan kecederaan dalam aktiviti sukan. Sebagai kesimpulan, kesemua ahli panel menggesa supaya muslimah menyertai aktiviti diving ini memandangkan sudah terdapat banyak kemudahan untuk mereka terutama dari segi peralatan, pakaian menutup aurat yang sesuai dengan aktiviti diving dan jurulatih wanita serta kos yang mampu dibayar oleh semua golongan.
No comments:
Post a Comment