Apakah itu Indeks
Syariah?
Dalam
dunia hari ini, terutama dalam masyarakat yang mementingkan sains dan
teknologi, sesuatu perkara itu hanya akan dapat diterima sebagai benar atau
tepat, sebagai berkualiti dan sebaliknya dengan menunjukkan nilaian yang dapat
dikira atau dikuatitikan (disebut dalam bahasa Inggeris sebagai quantify atau bahasa Arab dengan kamiyyah). Pada masa dahulu hanya
perkara yang bersifat fisikal atau monetari yang akan diberi perkiraan
berdasarkan kepada formula-formula metametik atau statistik tertentu bagi
tujuan mengukur atau membuat taksiran seperti banyak atau sedikit, turun atau
naik, kuat atau lemah dan sebagainya. Dengan perluasan dan kemajuan ilmu
pengetahuan serta keinginan untuk meningkat displin pengajian kemanusiaan
menjadi lebih saintifik beberapa kaedah pengukuran dan taksiran melalui formula
metametik dan statistik diperkenalkan terutama pada dekat 1990an dan secara
aktifnya selepas melenia baru. Pada masa sekarang kajian kemanusiaan yang
bersifat tulin sungguhpun masih ada, namun sudah dibayangi oleh kajian-kajian
serta penulisan yang disokong oleh data-data emperik yang menggunakan kaedah
pengukuran ini.
Salah
satu cara untuk menentukan apakah sesuatu perkara itu baik atau buruk ialah
melalui penetapan standard atau tandaras (benchmark) tertentu. Lazimnya skim
pemarkahan diberikan bagi menentukan tandaras ini seperti penggunaan skala
nominal atau gred. Pelbagai aspek sains sosial dan kemanusiaan pada masa kini,
termasuk pengajian Islam, telah menggunakan kaedah atau metod ini dalam
penyelidikan dan penulisan ilmiah bagi menyokong teori atau hipotesis serta
asumsi tertentu terutama untuk memahami gelagat dan faktor sesuatu fenomena
atau trend. Namun begitu untuk membolehkan sesuatu tandaras itu menjadi satu
indeks yang boleh dijadikan ukuran secara reliabel ianya perlu mengambil kira
angkubah-angkubah yang mempunyai kaitan serta kepentingan langsung dengan
indeks yang hendak dibentuk itu. Sebagai contoh indeks harga pengguna atau consumer price index akan mengambil kira
gelagat pengguna dalam pembelian barangan dan perkhidmatan. Tujuan indeks ini
adalah pelbagai iaitu namun secara utamanya ialah sebagai petunjuk ekonomi
sesebuah negara atau negeri. Maka, begitu juga keadaan yang sama kepada indeks
Syariah seperti yang dibangunkan oleh pihak JAKIM sebagai indikator kepada
tahap amalan Islami negara Malaysia.
Indeks
Syariah yang dibangunkan oleh pihak JAKIM adalah satu usaha untuk mengukur
tahap keseriusan pihak kerajaan dalam menepati piawaian Islam dalam dasar dan
programnya. Ia juga bertujuan untuk mengenalpasti kelemahan yang ada dalam
konteks berkenaan bagi tujuan penambahbaikan (http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1107753). Indeks ini tidak boleh dikelirukan dengan indeks Syariah yang dibangunkan bagi tujuan pasaran saham atau kewangan yang sedia ada di beberapa negara ketika ini. Maksud piawaian Islam ialah
pengukuran mengikut maqasid Syariah yang lima iaitu memelihara agama, nyawa,
harta, keturunan dan minda dalam lapan domain keutamaan yang dipilih iaitu
perundangan, ekonomi, politik, pendidikan, budaya, kesihatan, sosial dan,
prasarana atau infrastuktur dan persekitaran. Bagi mereka yang sudah biasa
dengan penyelidikan tinggi, domain ini bukanlah sesuatu yang asing kerana ia
juga merupa tumpuan keutamaan yang diberikan dalam pentadbiran kerajaan. Angkubah
yang diambil kira semasa membentuk indeks ini ialah item-item yang boleh diukur
dalam perancangan serta pelaksanaan dasar kerajaan iaitu berasaskan formula
hubungan fungsi dengan maqasid Syariah iaitu seperti dasar/polisi, instrument,
kesungguhan politik, kepimpinan, sumber manusia, sistem perundangan Islam,
pendidikan agama, dakwah, mekanisme semak dan imbang, penerimaan masyarakat dan
sebagainya. Rasanya formula ini tidak banyak bezanya dengan kaedah pembentukan
indeks-indeks yang lain.
Sebagaimana dengan penggunaan indeks yang lain,
pengukuran indeks Syariah ini tidak akan terlepas daripada bias di mana
markah-markah yang diperoleh tidak boleh dilihat secara isolasi dari
faktor-faktor keagamaan, sosial, ekonomi dan politik yang lain. Sebagai contoh
indeks islamisiti (Islamicity Index)
yang cuba dibangunkan oleh beberapa sarjana di Universiti George Washington,
Amerika Syarikat boleh memberi gambaran yang kurang tepat apabila tidak sebuah
negara Islam pun berada dalam senarai 25 tertinggi (top 25) negara yang
menepati indeks berkenaan (http://english.astroawani.com/malaysia-news/islamicity-index-study-not-thorough-says-islamic-academic-37577). Ini adalah kerana indeks tersebut tidak melihat
elemen atau kriteria lain yang penting iaitu amalan keagamaan serta keimanan
semasa membuat pengukuran. Daripada apa yang dibentangkan didapati indeks
Syariah yang dibangunkan oleh pihak JAKIM nampaknya mengambil kira kedua-dua
aspek spiritual dan amalan. Sungguhpun demikian terdapat beberapa aspek yang
boleh dibincangkan dari segi skop pengumpulan maklumat. Sebagai contoh empat
negara telah dipilih untuk dilawati iaitu Indonesia, Pakistan, Turki dan Moroko.
Pihak urusetia mungkin mempunyai alasan tertentu memilih negara-negara
berkenaan. Moroko dipilih kerana mewakili negara Arab dan mungkin benua Afrika.
Mungkin akan ada orang bertanya mengapa tidak dipilih Arab Saudi atau salah
satu negara-negara teluk?