Berdakwah
Melalui Sains
Oleh: Profesor Dr.Ahmad
Hidayat Buang
Jabatan Syariah dan
Undang-undang
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Emel:
hidayat.buang@gmail.com
Kita
selalu dihidangkan dengan sebaran berita bahawa terdapat hasil kajian telah membuktikan
beberapa larangan Syariah terutama yang berkait rapat dengan makanan dan gaya
hidup termasuk hukuman mempunyai kebaikan sains. Antara berita yang terpampang
seperti terjumpanya kuman-kuman yang merbahaya di dalam air liur anjing, daging
babi dan sebagainya. Begitu juga dengan hukuman rotan kepada pesalah seks boleh
mengubati ketagihan seks seseorang dan pekerjaan tawaf Baitul Allah di Mekah
menyebabkan putaran paksi bumi dan sebagainya. Mungkin ada di antara dakwaan
ini telah jelas kebenaran sainsnya serta tidak perlu dibuktikan kerana ternyata
kesannya secara zahir seperti keburukan minuman alkohol dan dadah termasuk
rokok, namun terdapat sesetengan dakwaan lain tidak diasaskan kepada kaedah
pembuktian yang jelas. Sesungguhnya umat Islam wajib menjauhi larangan-larangan
berkenaan sebagaimana yang ditetapkan oleh Syariah, namun untuk memperkuatkan
larangan-larangan berkenaan dengan dakwaan yang tidak sahih kebenarannya dari
sudut pandangan metodologi ilmu sains dan teknologi malah lebih buruk lagi
hanya dengan khabar-khabar angin yang selalunya dipetik melalui media-media
popular, bukanlah sesuatu yang perlu disokong malahan pada pandangan saya tidak
bertepatan dengan kaedah Islam sebagaimana ditunjukkan oleh al-Quran. Tambahan
pula sekiranya terdapat perbahasan khilaf di kalangan para ulama dari segi
kebersihan penggunaan bahan berkenaan sebagai contoh bahan-bahan yang telah
melalui proses pembersihan atau apa yang dkenali dengan istilah istihalah.
Masyarakat
Islam di Malaysia amat gemar kepada cerita-cerita sensasi mengenai kehalalan
dan keharaman sesuatu produk makanan, barangan kegunaan harian, gaya hidup dan
seumpamanya. Sebagai contoh baru-baru ini tersebar dakwaan mengenai pencemaran
DNA babi di dalam produk coklat sebuah syarikat. Sungguhpun akhirnya terbukti
kesalahan maklumat berkenaan, namun masyarakat Islam di negara ini menjadi
gempar dan isu ini menjadi persoalan negara yang serius memandangkan bantahan,
cemuhan, kerisauan malah luahan emosi yang keterlaluan di dalam media masa dan
media sosial. Begitu juga dengan dakwaan bahawa beberapa produk makanan
terutama sayuran yang dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan najis seperti
khinzir dan air kencing. Tujuan penggunaan bahan-bahan ini mengikut maklumat
yang disebarkan itu bagi menjadikan produk berkenaan lebih berkualiti! Dakwaan
ini pula diperkuatkan lagi oleh komentar-komentar yang diberikan oleh saintis
Muslim tempatan. Dakwaan sebegini adalah juga mengulangi peristiwa pencemaran
DNA khinzir pada produk coklat seperti di atas kerana tidak dibuat berasaskan
kepada kaedah dan metodologi yang kukuh dan pasti. Bagi saintis dakwaan ini menunjukkan
ketidakfahaman kepada proses alam iaitu di mana alam tumbuhan mengambil yang
kotor dari alam buana ini dan memberi balik kepada manusia dan makluk lain yang
terbaik dalam bentuk oksigen dan fiber. Manakala alam manusia dan haiwan
mengambil yang baik dan elok tadi dan memulangkan yang buruk
dan kotor dalam bentuk karbon kepada tumbuhan. Bagi saintis ini adalah proses semulajadi alam
dan bagi Islam ia adalah sunnatul Allah yang telah ditetapkan.
Apa
yang saya fahami, di dalam ilmu sains dan perubatan sesuatu penemuan hendaklah
melalui ujikaji-ujikaji ilmiah yang mengikut kaedah dan metodologi yang
ditetapkan. Untuk memperkukuhkan hasil dapatan berkenaan ia akan dibentangkan
kepada pakar-pakar untuk perkongsian maklumat atau untuk mendapat
pengiktirafan. Lazimnya hasil-hasil kajian berkenaan diterbitkan dalam penerbitan
atau dibentangkan di seminar yang diiktiraf kesarjanaannya. Memandangkan negara-negara
umat Islam masih lemah dalam bidang sains, teknologi dan perubatan, maka
penerbitan dan seminar berkenaan banyak terdapat di negara-negara Barat.
Keadaan sebegini mungkin boleh menimbulkan persepsi atau tanggapan bahawa umat
Islam tidak perlu bergantung kepada Barat untuk menerima sesuatu kebenaran
dalam ajaran Islam. Dan bagi tujuan ini hasil
kajian sains yang membuktikan kebenaran larangan di dalam Islam boleh diterima sebagai
hujah, walaupun diragui kesahihan ujikajinya atau ketepatan sumber maklumatnya.
Ini adalah dengan alasan keagamaan iaitu untuk berjaga-jaga atau apa yang
diistilahkan sebagai ihtiyati dan wara‘. Metod pemikiran sebegini bukanlah
sesuatu yang baru, malah ianya sudah timbul sejak dari dahulu lagi dan mungkin
merupakan satu faktor kemunduran umat Islam. Ini adalah kerana cara berfikir
sebegini timbul ketika zaman menurunnya ilmu pengetahuan sains dan juga agama
pada zaman pertengahan Islam terdahulu. Sebagai contoh terdapat beberapa hadis
yang jika dinilai dari sudut sanadnya boleh dianggap lemah, namun diperkuatkan
dan diterima sebagai hujah dengan alasan ianya selaras dengan matlamat Syariah.
Secara
peribadinya saya menyokong pendekatan keagamaan sebegini sebagai sesuatu yang
wajar dipratikkan untuk mengelak seseorang Muslim itu terjebak dalam sesuatu
yang haram. Namun begitu dalam konteks untuk membina keyakinan golongan intelek
terutamanya saintis terhadap ajaran Islam ianya bukanlah sesuatu cara yang
perlu diamalkan. Pada pandangan saya ini adalah cabaran sebenar umat Islam
terutama para ulama dan saintis Muslim untuk membuktikan kebenaran ajaran Islam
melalui kajian emperikal serta ujikaji makmal yang melalui kaedah dan
metodologi yang menyakinkan dan kukuh. Pada pandangan saya kaedah inilah yang
digunakan oleh al-Quran serta ulama-ulama saintis terdahulu untuk membuktikan
kebenaran ajaran Islam. Diketahui bahawa bangsa Arab mempunyai kekuatan dan
kemampuan bahasa dan sastera yang luar biasa hebatnya melalui syair-syair dan
perbendaharaan kata-kata. Kehebatan syair-syair ini telah ditundukkan oleh
ayat-ayat al-Quran yang lebih indah. Malahan al-Quran mencabar supaya
orang-orang kafir membawa rangkuman ayat yang lebih baik daripadanya. Begitu
juga penjelasan al-Quran terhadap fenomena sains seperti kejadian janin dan
kelahiran manusia dan astronomi dijelaskan secara spesifik dan terperinci telah terbukti secara saintifik.
Oleh yang demikian pada ketika dan saat umat
mengambil pendekatan berhati-hati dan mengelak yang syubhat, amatlah perlu
usaha diambil bagi membuat kajian dan ujikaji mengikut kaedah dan standard yang
diterima antarabangsa bagi membukti keagungan ajaran Islam. Jika tidak ajaran
Islam itu hanya merupakan satu mitos atau cerita-cerita sensasi mengikut
kacamata ilmu pengetahuan masa kini yang dikuasai oleh tamadun atau nilai
barat. Mungkin akan ada dalam kalangan umat Islam yang akan berkata “mengapa
kita perlu khuatirkan penerimaan orang bukan Islam terhadap ajaran Islam,
kerana Islam dibina dengan keyakinan dan keimanan kepada Allah dan Rasulnya?”
Ini adalah satu sikap berdiam diri dan cemburu kepada kemajuan dan kemakmuran
barat melalui penafian dan pada masa jangkapanjang akan merugikan agama Islam
dan umatnya. Pada pandangan saya kajian emperikal dan ujikaji saintifik
merupakan satu medan dakwah yang masih belum diterokai oleh umat Islam. Ianya
adalah satu metod dakwah yang paling berkesan dalam masyarakat dunia yang serba
canggih dan maju kerana melaluinya umat Islam mampu untuk bercakap dan berdebat dengan
bahasa yang mereka faham dan cara berfikir yang mereka dapat menerimanya.