Mencari Perpaduan dan Menanggani Keganasan Melalui Kesederhanaan
Ahmad Hidayat Buang, LLM, PhD
Universiti Malaya
Perkataan Ummah di dalam al-Quran sering
dikaitkan dengan perpaduan di mana kesatuan akidah dan cara fikir serta
tindakan dizahirkan secara bersama. Namun begitu naluri serta tabiat manusia
akan sentiasa berbeza. Bahkan perbezaan itu dikatakan sebagai sunnatul Allah.
Jika begitu, bagaimanakah perbezaan ini wajar ditoleransikan. Realitinya kita
menyaksikan bahawa perbezaan ini baik dari segi kefahaman mahupun kaedah serta
pendekatan telah membawa kepada akibat serta hasil yang sangat negatif kepada
masyarakat Islam iaitu perpecahan, kemusnahan harta benda dan pertumpahan
darah. Yang paling mendukacitakan kehilangan nyawa dan kecederaan ini berlaku
dalam skala besar sebagaimana di negara-negara Timur Tengah. Sudah tentu
perkara ini berlaku bukan secara spontan atau berkebetulan, namun sudah tentu terhasil
dari cara atau kefahaman ideologi yang merosakkan yang sengaja diprogram dan
dirancang. Ini adalah kerana apa yang berlaku pada masa kini di kalangan umat
Islam adalah sesuatu yang bertentangan secara fundamentalnya dengan ajaran
Islam. Dalam menelusuri kepelbagaian kefahaman Islam moden Profesor Tan Sri Dr.
Muhammad Kamal Hassan menyatakan terdapat dua pola besar pemikiran moden umat
Islam iaitu: (1) sekular/modernist dalam pelbagai bentuknya seperti humanistik,
liberal/pluralistik dan modernis, dan (2) keagamaan juga dalam pelbagai
bentuknya seperti kemajuan, kapitalistik dan rasional (muktazilah baru?). Ini
ditambah lagi dengan perbezaan sektarian agama yang menajam mutakhir ini antara
Shiah dan Sunni dan akhirnya perbezaan dalam aliran politik.
Kemuncak daripada perpecahan itu ialah lahirnya
ektremism serta fanatism dalam kelompok agama sebagaimana yang dianuti oleh
sebahagian kelompok umat Islam yang diwakili oleh Daesh, al-Qaedah dan Taliban.
Tidak dapat dipastikan samada benar atau tidak bahawa kelompok-kelompok
ektremis ini dipengaruhi oleh idealism “salafism” yang lazimnya dilabel sebagai
“wahabism”. Sungguhpun demikian tidak sukar untuk mengaitkan perhubungan antara
wahabism dengan kelompok-kelompok ini berdasarkan kepada kefahaman, amalan
serta tarbiah yang mereka terima. Begitu juga melalui pemerhatian gerakan
wahabism ini banyak tertumpu kepada masyarakat Islam yang tidak sealiran dengan
mereka. Alasan yang lazim digunakan ialah untuk membebaskan masyarakat Islam
berkenaan atau mengembalikan mereka kepada ajaran Islam yang sebenar; tanpa
takwilan dan tanpa tafsiran kepada nas-nas Syariah! yang selama ini dikatakan
dicemari oleh amalan bid’ah dan khurafat. Tidak mereka sedari bahawa apa yang
mereka usahakan itu sebenarnya satu bentuk paksaan mental yang dibaluti dengan
kefahaman literal nas-nas Syariah, tanpa logik dan kemanasabahan serta dalam
banyak hal mengadoptasi budaya Arab teluk. Taktik di atas dengan ditambah
dengan laungan atau slogan kembali kepada Syariah atau pelaksanaan Syariah
merupakan propaganda ampuh dan berkesan bagi menarik sokongan masyarakat Islam
bagi melemahkan pengaruh dan peranan ulama tradisi yang selama ini bersikap
toleransi dengan pemerintah-pemerintah Islam yang dikatakan sekular.
Perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam
baik dari segi politik mahupun keagamaan bukanlah perkara baru. Namun yang
menjadi kerisauan dan kebimbangan ialah penggunaan kekerasan (irhabiyyah) ke atas nyawa dan harta
dalam perpecahan ini. Perkara ini berpunca daripada aktiviti takfiri atau
mengkafirkan pihak-pihak lawan sebagai satu strategi menakut-nakutkan
masyarakat awam Islam serta menghapus golongan yang mempunyai kefahaman
berbeza. Manakala dominasi dunia barat yang bukan Islam dijadikan kamuflage atau sesumpah bagi membangkitkan kebencian kepada golongan atau kelompok yang berfahaman
sederhana. Tanpa menafikan konspirasi kuasa politik-ekonomi Barat untuk melemahkan
umat Islam, propaganda golongan ektremis ini sebenarnya membawa banyak
kerosakan dan bencana kepada umat Islam. Konsep jihad telah disalahgunakan
bukan bagi mencari dan mencapai kemaslahatan umat Islam, namun membawa
kesengsaraan dan penderitaan bahkan penghinaan kepada umat Islam. Konflik Iraq
dan Syria menyaksikan jutaan umat Islam baik samada Sunni atau Syiah terpaksa
menjadi pelarian bukan ke negara-negara umat Islam tetapi ke negara-negara
bukan Islam yang mana terhadap negara-negara inilah slogan jihad dilaungkan
pada permulaannya. Tidakkah ini satu paradoks bagi sesiapa yang boleh berfikir!
Mengikut analisis ilmuan dan sarjana Islam
seperti Tan Sri Profesor Muhammad Naquib al-Attas dan Tan Sri Profesor Muhammad
Kamal Hasan, kegawatan fitnah perpecahan umat Islam masakini berpunca daripada
kehilangan peradaban yang dibina berasaskan kepada akhlak atau budi pekerti
yang menjadi tunjang kepada jati diri umat Islam. Aliran wahabisme sungguhpun
mendakwa kembali kepada ajaran Islam yang berasaskan kepada al-Quran dan
al-Sunnah yang sebenar, namun jika dilihat apa yang berlaku dalam masyarakat
Islam nusantara dan juga di tempat-tempat lain seperti benua kecil India dan
Afrika melebarkan perpecahan dan perseteruan di kalangan umat Islam. Sikap
toleransi, kesabaran, meraikan uruf dan kebiasaan serta perbezaan pandangan
hampir tiada dalam aliran ini. Oleh yang demikian amatlah penting untuk
mengembalikan pembinaan tamadun dan peradaban Islam yang berasaskan kepada
akhlak yang terpuji ini. Namun untuk memulihkan kerosakan yang telah dilakukan
ini bukanlah mudah, apatah lagi perkara yang melibatkan tamadun ini bersifat
abstrak dan tidak dapat difahami dengan senang oleh masyarakat kebanyakan. Oleh
itu sesetengah pihak seperti Rabitah Antarabangsa Alumni Universiti Al-Azhar
Cawangan Malaysia sebagai contohnya menyeru supaya manhaj Wasatiyyah yang dipelopori
oleh Al-Azhar Universiti di Mesir dijadikan model bagi menyelesai cabaran
perpecahan umat Islam ketika ini.
Mengikut Presiden Rabitah cawangan Malaysia,
Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, kewujudan Al-Azhar selama
berabad-abad di pelbagai bentuk pemerintahan di Mesir adalah bukti
kejayaan pendekatan sederhana atau wasatiyyah tersebut. Mengikutnya lagi pendirian yang diambil oleh Al-Azhar dalam
menghadapi kepelbagaian cabaran dan perbezaan pandangan melalui enam pendekatan
iaitu: (1) tidak taksub kepada mana-mana mazhab dengan menggalakan kajian secara
perbandingan dan bersedia menerima perbezaan melalui pendebatan ilmiah dan
beradab, (2) mazhab yang empat adalah menjadi asas kepada pemikiran Al-Azhar,
sungguhpun pandangan mazhab-mazhab lain juga diambil kira, (3) mengutamakan
penggunaan bahasa Arab dalam pengajian dan komunikasi, ini adalah kerana
Bahasa Arab merupakan alat terpenting untuk memahami nas-nas Syariah (4)
berasaskan kepada aliran pemikiran Asya’irah dalam ilmu akidah, ini adalah
kerana sudah terbukti aliran ini mencari titik pertemuan yang harmonis antara
kepelbagaian budaya dan kefahaman dalam menjelaskan asas-asas akidah Islam (5)
menggunakan mantiq atau logik serta kemunasabahan di dalam kefahaman terhadap
nas-nas Syariah dan (6) menerima tasauf sebagai sebahagian daripada displin di
dalam Islam kerana sudah terbukti amalan tasauf sebagai benteng kesederhanaan
Islam melalui akhlak dan adab yang terpuji. Tidak syak lagi jika dibuat
perbandingan dengan kelompok-kelompok yang menggunakan kekerasan dalam
perjuangan mereka kita akan mendapati sebahagian daripada pendekatan sederhana
di atas tidak termasuk dalam kaedah aliran tersebut.
Dari perbincangan di atas, kita dapat menelah
dan memahami bahawa perbezaan pandangan itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan,
bahkan jika mengikut pandangan Profesor Dr. Quraisyh Shibab (sungguhpun banyak
pihak yang mempertikaikan beberapa pandangan beliau yang dianggap kontroversial),
perbezaan ini adalah sesuatu yang dikehendaki oleh Islam berasaskan kepada
nas-nas al-Quran sendiri. Perbezaan ini mengikut beliau lagi adalah sebagai
kurniaan Allah kepada manusia untuk menguji mereka, kerana dalam perbezaan itu
terdapat rahmat dan manfaat. Oleh kerana perbezaan itu adalah sebagai satu
bentuk ujian, sebagaimana kekayaan dan harta benda juga sebagai satu bentuk
ujian, maka terpulanglah kepada kita untuk mencari jalan-jalan bijaksana dan
saksama bagaimana untuk menguruskan perbezaan ini berasaskan kepada tamaddun
dan peradaban Islam yang bertunjangkan kepada akhlak dan nilai murni pekerti
seseorang Islam iaitu pada Rasulullah s.a.w. itu adalah satu qudwah yang cemerlang.