Muhammad bin Salih bin
‘Uthaymin, ‘Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, Direktorat Urusan Masjid
Haram dan Masjid Nabawi, t.t. (48 halaman).
Saya diberikan risalah kecil ini sewaktu mengerjakan ibadah Haji bersama
isteri baru-baru ini. Ia mungkin bertujuan sebagai bacaan ringan Jemaah Haji
semasa berada di Tanah Suci. Satu usaha yang baik pada pandangan saya. Turut
diberikan beberapa risalah lain yang terjemahan Bahasa Indonesia dan beberapa
kaset yang pada pandangan saya mungkin kurang sesuai pada Jemaah dari Malaysia.
Risalah kecil ini secara umumnya cuba menjelaskan dasar-dasar akidah yang dianggap
sebagai pegangan Ahl al-Sunnah Wa Jama’ah. Bagi menjelaskan perkara yang
penting ini penulis risalah ini tidak lain tidak bukan ialah ideologue aliran
kefahaman salafi Muhamad bin Salih bin ‘Uthaymin (1925-2001) yang mempunyai
kepakaran bukan sahaja dalam bidang akidah namun juga dalam bidang Syariah
dimana beliau terlibat dalam pengajaran di Masjid Haram dan pensyarah di
Universiti Imam al-Sa‘ud di al-Qasim, Arab Saudi.
Muhammad bin Salih bin 'Uthaymin
Penjelasan yang dibuat di dalam Risalah ini dapat dibahagikan kepada
tiga iaitu (1) metod yang digunakan untuk memahami dan menjelaskan akidah Ahl
al-Sunnah wa al-Jamaah, (2) penjelasan mengenai dasar-dasar akidah itu sendiri
yang berpaksi kepada rukun Iman yang enam dan (3) kesan-kesan keimanan kepada
rukun berkenaan kepada peribadi seseorang Muslim. Sebagaimana yang dimaklumi
bahawa metod yang digunakan untuk menjelaskan prinsip akidah Ahl Sunnah
sebagaimana yang difahami oleh ‘Uthaymin ialah dengan menegaskan apa-apa yang
ditegaskan oleh nas-nas Syariah dan menafikan apa-apa yang dinafikan oleh nas
berkenaan. Tiada yang banyak berbeza penjelasan ini dengan aliran akidah yang
lain, cuma barangkali pengarang semasa menjelaskan tentang keimanan kepada
Allah swt pengarang menyatakan bahawa beliau berpandangan wajib memahami
nas-nas Syarak secara zahirnya dan memahami hakikat nas berkenaan secara yang
layak kepada Allah swt. (halaman 18)
(ونرى وجوب إجراء نصوص الكتاب والسنة في ذلك على ظاهرها وحملها على
حقيقتها اللائقة بالله عز وجل)
Lantaran daripada itu ‘Uthaymin menempelak
mereka yang cuba memberi makna ini selain daripada apa yang dijelaskan oleh nas
Syarak. Golongan ini disifatkan oleh ‘Uthaymin sebagai al-Mu’atilun ((المعطلون
dan golongan al-Ghalun الغالون)). Bagi golongan yang
pertama mereka telah menukarkan apa yang yang dijelaskan oleh Syarak manakala
golongan yang kedua yang memahami keimanan kepada Allah swt dengan memasukkan
unsur-unsur tamthil dan takyif. Penolakan ini walaupun tidak
disebut secara langsung ada kaitannya dengan kaedah golongan ahlu al-kalam dalam
perbincangan sifat Allah swt melalui ta’wil yang dianggap oleh “Uthaymin
sebagai satu bentuk ta‘til (pengurangan) kepada apa yang dikehendaki
oleh nas Syarak. Penjelasan lain yang mungkin relevan terutama dalam konteks
Syiah di Malaysia ialah penegasan beliau bahawa perselisihan yang berlaku di
kalangan para Sahabat RasuluLlah s.a.w. adalah berasaskan kepada ijtihad para
sahabat berkenaan di mana jika benar ijtihad itu mendapat dua pahala dan jika
salah mendapat satu pahala dan kesalahan itu diampunkan oleh Allah swt (halaman
28). ‘Uthaymin menjelaskan perkara ini sebahagian daripada keimanan kepada
RasuluLlah s.a.w. kerana para Sahabat Nabi s.a.w. itu adalah sebaik-baik
golongan daripada umat Muhammad (Ali Imran, 110).
Assalamualaikum....sekadar pdgn tuan pengulas...adakah wajar dan sepatutnya kita mengambil pdagan penulis buku ini?
ReplyDeleteAlaikum salam, secara umumnya boleh tidak ada apa-apa yang boleh menimbulkan isu atau masalah, kecuali beberapa poin yang saya timbulkan mungkin berbeza dengan aliran ilmu kalam yang diamalkan di Malaysia.
ReplyDeleteSalam alaik...ulasan yg bagus berkaitan buku tersebut,saya ada mengikuti 1 pengajian dan menyatakan berkaitan dengan golongan mujassimah dan mereka menyatakan bahawa golongan mujassimah ini termasuklah Ibn Taymiyyah,Ibn Qayyim dan para ulama dari saudi...asas mereka megatakan sedemikian adalah golongan tersebut tidak mentakwil ayat mutasyabihat dalam AQ....walhal dalam pengajian subjek AQ dan AS semasa saya berada di tgkatan 4 dan 5 menyatakan bahawa padangn yg tidak mentakwilkan ayat mutasyabihat tersebut merupakan pdgn dari ulama salaf. Saya keliru dan minta penjelasan tuan
ReplyDelete