Abdullah Yusuf Ali dan Tafsir Majma‘ al-Bahrayn: Justifikasi Dr. Surin Pitsuwan Inggeris
Sebagai Bahasa Ilmu Islam Zaman Moden
Siri
Syarahan Kenangan Abdullah Yusuf Ali kali keempat yang diadakan di Institute of
Advanced Islamic Studies, Petaling Jaya, pada 16 April 2016 yang lalu
disampaikan oleh Bekas Menteri Luar Thailand Dr. Surin Pitsuwan. Majlis
syarahan tersebut dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Badawi.
Bersempena siri syarahan ini, satu buku bertajuk Quranic Pictures of the Universe tulisan YBhg Profesor Emeritus
Datuk Dr. Osman Bakar dari Universiti Brunei turut dilancarkan oleh Yang Amat
Berbahagia Tun. Tajuk syarahan kali ini ialah Inggeris sebagai bahasa modern Islam
(English as a modern literary language of
Islam). Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan tajuk ini, kerana boleh
mengabaikan bahasa-bahasa Islam yang lain seperti Parsi,
Turki, Melayu, Urdu dan Swahili. Ini adalah kerana bahasa-bahasa itu
sudah berakar berumbi dengan perabadan dan nilai ilmu Islam yang berasaskan
kepada Bahasa Arab terutama melalui penulisan dan pendidikan. Namun begitu
faktor sejarah dan kemajuan ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi
serta penguasaan ekonomi, politik dan ketenteraan Barat telah menjadikan Bahasa
Inggeris sebagai bahasa dunia. Bahasa Arab sekalipun merupakan bahasa Islam
yang asli kerana teks al-Quran dan al-Hadith serta juga penulisan utama agama
di dalam bahasa berkenaan, penggunaannya dalam komunikasi dan pengembangan ilmu
aqli atau juga disebut sebagai acquired
atau empirical knowledge tidak
meluas sebagaimana bahasa Inggeris. Tambahan pula penggunaan bahasa Arab dalam konteks
komunikasi dan ilmu aqli terhad
kepada penutur bahasa berkenaan sebagaimana juga bahasa-bahasa utama dunia yang
lain seperti Peranchis, Sepanyol, Rusia, China dan Hindi. Faktor globalisasi
dan komunikasi melalui internet yang dikuasai oleh syarikat-syarikat Amerika seperti Microsoft,
Apple, Google, Yahoo, Whatsapp dan lain-lain telah melipatgandakan lagi
penggunaan bahasa Inggeris di peringkat dunia.
Analisis
akhir penguasaan bahasa ini ialah siapa yang menguasai ilmu, ekonomi dan
politik termasuk ketenteraan akan mendominasi bahasa yang digunakan. Justeru walaubagaimana hebatpun sejarah sesuatu bahasa itu ia akan tunduk kepada pengaruh di atas. Inilah yang berlaku kepada Bahasa Latin dan Sanskrit yang sungguhpun merupakan bahasa ilmu dan tamaddun, namun sudah lagi tidak ditutur. Bagi bahasa Latin kerana kejatuhan Empayar Rom dan bagi bahasa Sanskrit kerana dominasi kuasa politik Parsi dan Arab/Islam. Pada masa kini kedua-dua bahasa berkenaan terhad kepada teks-teks keagamaan. Dalam konteks pengajian Islam, sungguhpun peranan Bahasa Arab sebagai bahasa utama tidak dapat diabaikan, namun kepentingan bahasa Inggeris meningkat sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antara sarjana Islam dan juga khalayak umum. Perkembangan ini berlaku kerana bahasa Inggeris di samping faktor utama dominasi ekonomi dan politik, ia memberi peluang sebagai satu medium berkesan kepada pengkaji-pengkaji untuk menilai
semula kefahaman tradisi Islam. Pada pandangan saya ini adalah garisbawah utama
daripada syarahan yang diberikan oleh Dr. Surin. Dengan membawa pengalamannya
sebagai seorang pelajar di Pondok di Selatan Thailand, pendidikan ilmu
politiknya di Harvard Universiti telah membuka lembaran baru dalam kefahaman terhadap
nilai tradisi Islam yang katanya melalui pembacaan terjemahan Inggeris al-Quran Abdullah Yusuf
Ali. Menurutnya Bahasa Inggeris memberi ruang kepada
sarjana-sarjana Muslim untuk berfikir secara berbeza ataupun sekurang-kurangnya
memetik daripada pandangan tradisi yang kurang terkenal untuk disesuaikan dalam
konteks masyarakat moden masa kini. Melalui pengalamannya membaca terjemahan
al-Quran Abdullah Yusuf Ali, Dr. Surin membawa contoh tafsiran ayat al-Quran di dalam
surah al-Kafh (Cave) ayat 60 tentang makna perkataan al-Bahrayn (two seas) yang lazim ditafsirkan oleh kebanyakan ulama
terdahulu sebagai pertemuan antara dua lautan secara fisikal, namun jika
dikutip dari beberapa pandangan lain seperti Baydawi, boleh memberi makna lain
iaitu pertemuan atau campuran antara dua ilmu yang diwakili oleh Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s. Menurut Dr. Surin, Abdullah Yusuf Ali dalam terjemahannya memberi ruang kepada pembacanya
untuk memikirkan apakah makna atau maksud yang lebih sesuai daripada hanya
bergantung kepada kefahaman tradisi makna perkataan berkenaan.
|
Dari kiri Prof Hashim Kamali, Tun Abdullah Ahmad Badawi,
Dr. Surin Pitsuwan dan Prof Dr. Osman Bakar |
Peluang
untuk berfikir dan mengutarakan pandangan secara berbeza ini boleh berlaku
kerana para sarjana dan ilmuan Islam berkenaan, termasuk Abdullah Yusuf Ali diberikan
tempat, pekerjaan dan bahkan perlindungan termasuk sanjungan di tanah-tanah
Barat seperti Amerika dan Eropah. Faktor seterusnya, yang tidak disentuh oleh
Dr.Surin ialah metodologi yang digunakan untuk mengkaji Islam dan juga peluang
penerbitan atau penyebaran hasil kajian secara sistematik dan terfokus. Menjadi maklum bahawa kajian Islam di Barat hampir kesemuanya dilakukan di universiti atau pusat penyelidikan tinggi yang mana teknik terkini teori dan ilmu penyelidikan digunakan keatas material pengajian Islam. Ini berbeza dengan kaedah pengajian Islam di universiti-universiti negara-negara Islam
seperti al-Azhar dan kemudiannya di lain-lain negara Arab seperti Iraq, Syria,
Jordan dan Arab Saudi yang kebanyakannya masih sehingga sekarang dalam bentuk pemikiran dan kerangka
metodologi tradisi. Sungguhpun ada percubaan untuk melakukan perubahan seperti
penggunaan metodologi moden seperti pendekatan sejarah, sosiologi dan
antropologi, namun penggunaannya di universiti-universiti negara-negara Islam adalah terhad dan bahkan dalam keadaan
tertentu mendapat tentangan. Sebagai contoh pendekatan golongan modernis atau
reformis seperti Iqbal, Abduh dan lain-lain dianggap sebagai terlalu longgar
dan bebas. Ini tidak termasuk penulis atau aktivis sosial Muslim yang dianggap
sebagai liberal dan terpengaruh dengan kebudayaan Barat bukan setakat sahaja
dicemuh bahkan diancam dengan tindakan undang-undang, semuanya atas dasar untuk
melindungi agama Islam. Bahkan kritikan ini bukan sahaja datang dari ulama bahkan dari cerdik pandai Islam sendiri yang mempersoalkan keperluan untuk menganalisis tafsiran al-Quran atau Hadith kerana kedua-duanya adalah muqaddas!
Natijah
daripada pobia ini pada peringkat awal ialah percubaan untuk mendominasikan
pengajian Islam melalui perantara bahasa Inggeris masih belum berhasil, kerana
terdapat sentimen atau perasaan curiga terhadap tujuan Barat serta ilmuan Islam
yang bersama-sama Barat terhadap ajaran Islam sebagaimana yang dipelopori oleh
Edward Said, Tibawi dan Muslehuddin dalam penulisan mereka. Sebagai contoh terjemahan al-Quran oleh Abdullah Yusuf Ali bukanlah yang pertama di dalam bahasa Inggeris kerana terjemahan al-Quran yang dianggap berpengaruh di kalangan sarjana Barat ialah The al-Quran oleh Richard Bell yang diterbitkan antara tahun 1937-39. Bagi banyak kalangan pengkaji atau pembaca Muslim terjemahan Bell bukanlah sesuatu yang mempunyai kekurangan namun mereka lebih selesa membaca terjemahan Abdullah Yusuf Ali. Hanya selepas kemasukan
beramai-ramai pelajar-pelajar ijazah tinggi Islam ke institusi-institusi Barat
yang melakukan kajian lanjutan di peringkat sarjana dan PhD maka lahirnya
golongan ilmuan Islam yang mempunyai kemahiran dalam Bahasa Inggeris.
Eksperimen ini sudah lama dilakukan oleh Al-Azhar pada tahun 1950an dengan
menghantar beberapa lulusan mereka belajar di Eropah seperti Syaikh Abdul Halim
Mahmod di Universiti Sourbone, Paris dan Prof Muhammad Abdul Rauf dan Prof
Ahmad Syalabi di Universiti Cambridge, UK. Barangkali semua sudah tahu apakah
natijah eksperimen ini. Namun bagi Dr. Surin hasil daripada gabungan metodologi
Barat dan ilmu Islam melahirkan kalangan ilmuan Islam yang berbeza dari
latarbelakang tradisi yang disifatnya sebagai majma‘ al-bahrayn.
Sungguhpun
demikian, terdapat dua lagi dimensi hasil kesan daripada penggunaan bahasa Inggeris dan
metodologi empirikal barat terhadap pengajian Islam iaitu kelahiran ilmuan bukan beragama Islam yang
berjaya membuat kajian Islam secara ilmiah dan hasilnya diterima dan diiktiraf
oleh masyarakat Barat dan juga Islam. Berbeza dengan sikap dan prejudis
orientalis terdahulu seperti yang dikritik oleh Edward Said, golongan ilmuan
bukan Islam ini lebih objektif dalam penelitian mereka terhadap Islam. Ini
ditambah dengan bahan-bahan bacaan penting yang diterjemah ke dalam bahasa
Inggeris seperti al-Quran, Hadith, buku klasikal utama seperti Muqaddimah Ibnu Khaldun, Ihya Ulumuddin Ghazali, Muwatta’ Malik dan lain-lain lagi.
Hasil-hasil kajian dan terjemahan yang banyak diterbitkan ini baik samada dalam
bentuk buku dan artikel dalam jurnal khusus bagi pengajian Islam telah
menimbulkan dimensi seterusnya iaitu menarik minat golongan ilmuan Islam yang
tidak terlatih dalam aliran tradisi Islam seperti ahli sains, falsafah,
sosiologi, jurutera, ekonomi, undang-undang, kedokteran dan sebagainya untuk
membuat kajian lanjut secara perbandingan. Gabungan antara faktor-faktor ini
menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajian Islam telah menjadi
bertambah penting kerana ia telah dijadikan sebagai satu pintu gerbang utama
mendapatkan ilmu Islam melalui analisis-analisis empirikal dan seterusnya untuk
menyebarluaskan dapatan kajian bukan setakat sebagai satu disiplin ilmu tetapi
alat dakwah yang berkesan.
|
Penulis bersama Dr.Surin di tengah dan Prof Datuk Osman
di kiri sekali seusai Syarahan Peringatan |
Di samping golongan ilmuan Islam yang
menjalankan kajian secara saintifik, mutakhir ini lahirnya kalangan sarjana
atau ulama Islam Eropah atau Amerika yang pada mulanya imigran dari tanah-tanah
Islam namun kini telah diambil alih oleh penduduk asal Barat yang mengikuti
pendidikan secara tradisi di pusat-pusat pengajian Islam Timur Tengah. Mereka
ini yang mana bahasa ibundanya adalah Inggeris namun mempunyai kemahiran dalam
bahasa Arab dan berkelulusan dalam bidang pengajian Islam. Kini menjadi satu
fenomena atau tren baru penyebaran dakwah Islam melalui bahasa Inggeris melalui
saluran media. Sudah tentu medium komunikasi dakwah dalam bahasa Inggeris telah
menarik minat ramai golongan profesional Islam dan juga bukan Islam untuk mendalami ajaran agama
kerana prestij bahasa Inggeris itu sendiri yang sinonim dengan imej moden,
intelektual dan cultured. Jika Abdullah Yusuf Ali masih hidup sudah tentu beliau akan berpuashati kerana usahanya
menterjemah al-Quran kedalam bahasa Inggeris telah memberi impak yang besar
kepada perkembangan Islam masakini.