Kealpaan Membawa Padah: Tidak Patuh Syariah pada akad Bai
‘Inah dalam Kes FLH ICT Services & Anor v. Malaysian Debt Ventures Bhd
[2016] 1 CLJ 243.
Oleh Ahmad Hidayat Buang.
Mahkamah
Rayuan pada 13 November 2015 membuat keputusan yang selama ini ditunggu-tunggu
iaitu dengan menguatkuasakan syarat-syarat akad di dalam perundangan Islam. Di
dalam kes ini pihak responden yakni orang yang kena rayu mendapat perintah
Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan bayaran sebanyak RM12,139,615.23 beserta
ta’wid sebanyak 1% serta kos sebanyak RM50,000. Mahkamah Tinggi membenarkan
tuntutan responden kerana ia telah berjaya membuktikan tuntutan tersebut secara
imbangan keberangkalian. Dalam rayuan isu yang ditimbulkan ialah samada
kegagalan untuk mengenalpasti aset jualan dalam akad bai al-inah di dalam dokumen-dokumen perjanjian transaksi berkenaan
dapat dikatakan sebagai tidak patuh Syariah. Setelah membuat pertimbangan
Mahkamah Rayuan mendapati tiada pernyataan atau rujukan dibuat terhadap aset
yang dijual dan dibeli. Oleh kerana pihak-pihak yang terlibat dengan perjanjian
adalah terikat dengan apa yang mereka persetujui dan tidak boleh menulis semula
apa-apa tinggalan, mahkamah memutuskan kontrak bai al-inah yang dipersetujui oleh kedua-dua perayu dan responden
adalah tidak patuh Syariah. Rujukan kepada keputusan ini ialah resolusi Syariah
Penasihat Syariah Bank Negara di sidang ke16 pada 11 November 2000 dan sidang
ke82 pada 17 Februari 2009 yang memutuskan pada para (e) keperluan pindahmilik
dan qabd aset jualan sebagaimana
mengikut undang-undang Syariah dan kebiasaan perniagaan. Mahkamah menegaskan
bahawa “The essence of the bai al-inah
transaction entered into by the parties must be grounded upon the basic premise
that it must involve the sale and buy back transactions of an asset of a
seller. The existence of the asset in the transactions is imperative without
which such contract is not bai al-inah
contract, but something else outside the system”. Berasaskan kepada dapatan ini
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan perayu dan mengenepikan perintah Mahkamah
Tinggi.
Tidak
dapat dipastikan apakah kesan keputusan ini kepada kesahihan akad samada batal
atau tidak kerana mahkamah tidak menyatakannya dengan tuntas. Mahkamah hanya
menyatakan bentuk yang dipersetujui oleh pihak-pihak tidak mematuhi Syariah
sebagaimana yang dinyatakan dalam resolusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara
dan sesuatu yang berada di luar sistem (Syariah?). Oleh yang demikian mengikut Mahkamah lagi
remedi yang ada bagi responden ada di tempat lain dan bukan di bawah sistem
kewangan bai al-inah. Begitu juga
responden tidak boleh mengambil faedah daripada sistem yang mana kontrak mereka
meterai tidak dikenali oleh sistem itu (di halaman 252). Apakah kenyataan ini
bermaksud pihak responden boleh mengambil remedi selain daripada penyelesaian
secara Syariah?
Pada
pandangan saya Mahkamah Rayuan semasa membuat keputusan mengaplikasikan
syarat-syarat jual beli secara rigid dan literal tanpa menimbang tujuan-tujuan
dan niat pihak-pihak yang berkontrak sebagaimana yang berlaku dalam kes-kes
terdahulu. Saya tidak pasti apakah wang pihak responden yang sudah dikeluarkan
itu tidak boleh lagi dituntut daripada perayu. Di dalam kes ini sudah
dibuktikan bahawa responden sudah mengeluarkan wangnya dan perayu sudah
menerimanya. Barangkali pihak Mahkamah membuat perintah wang yang diterima itu
dikembalikan. Namun saya tidak nampak perkara ini dinyatakan dalam laporan penghakiman
kes. Oleh itu sungguhpun transaksi ini tidak mematuhi keperluan Syariah, namun
dari segi kewajaran pihak perayu perlu membayar kembali wang yang
diterima akibat dari transaksi yang tidak sah.
Pada pandangan saya ini adalah selaras dengan ajaran Syariah agar
mana-mana pihak tidak mendapat sebarang kemudaratan serta untuk menutup
pintu-pintu kejahatan yang mana nanti akan terdapat pihak-pihak tertentu memanipulasi aplikasi syarat-syarat jual beli ini secara literal untuk
kepentingan mereka tidak menunaikan tanggungjawab membayar hutang.
Sebagaimana
yang dimaklumi dalam kes-kes terdahulu mahkamah sivil mengelak untuk mengulas
prinsip-prinsip Syariah yang terlibat dalam sesuatu produk perbankan Islam dan
lebih gemar melihat keseluruhan produk itu dalam kerangka tujuan dan niat
pihak-pihak berkenaan. Namun begitu trend pada masa sekarang terutama di peringkat Mahkamah Rayuan, apa yang dipersetujui
oleh pihak-pihak dalam kontrak tidak perlu diganggu oleh Mahkamah. Oleh
yang demikian, terma-terma yang terdapat dalam kontrak itu perlu diperhalusi
dan diperhatikan oleh pihak-pihak terbabit agar tidak menimbulkan kesan negatif sebagaimana di dalam kes di atas.
Keputusan
kes ini juga menunjukkan bahawa terdapat ketidakcekapan atau kekurangan
pengetahuan pihak-pihak yang merangka deraf atau dokumen perjanjian transaksi
berkenaan sehingga menyebabkan remedi tidak boleh diperolehi oleh responden.
Bahkan mahkamah sendiri menegur saksi-saksi yang dibawa mempunyai pengetahuan
yang amat sedikit tentang Bai al-Inah.
Kes ini sudah tentu merupakan satu bentuk peringatan kepada institusi kewangan
Islam agar memberi perhatian dengan serius kepada terma-terma perjanjian mereka
agar patuh kepada keperluan-keperluan Syariah.
Pendekatan
literal mahkamah sivil di Malaysia dalam perkara kontrak perbankan Islam tidak
syak lagi akan memperkukuhkan lagi resolusi-resolusi Majlis Penasihat Syariah
Bank Negara kerana ia akan menjadi rujukan langsung pihak Mahkamah semasa
membuat keputusan di dalam sesuatu pertikaian. Pendekatan sebegini ada baik dan
buruknya. Kebaikannya ialah pihak Mahkamah Sivil secara tidak langsung mesti
mengaplikasikan prinsip-prinsip Syariah semasa membuat keputusan. Manakala
keburukannya sebagaimana yang dinyatakan di atas akan digunakan oleh
pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka bagi mengelak menunaikan
tanggungjawab membayar hutang.