Syarahan Perdana Universiti Malaya
Kontrak Syariah dalam Sistem Kewangan Islam Moden
30 Jun 2022
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين وكفى
صلاة وتسليما على سيدنا محمد المصطفي
وعلى آله وصحبه أجمعين
YBhg
Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan/Puan/ Saudara/i sekelian,
1.
Undang-undang
Syariah bersumberkan kepada wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Berpunca dari
dua sumber ini munculnya dua sumber utama yang lain iaitu Ijma’ dan Qiyas. Di
awal perkembangan undang-undang Islam, kedua-dua sumber ini digunakan bagi
menyelesaikan atau menjawab persoalan hukum. Dengan pembukaan negara Islam ke
wilayah-wilayah bukan Arab seperti Syam (wilayah jajahan Rom Timur), Mesir,
Parsi dan lain-lain serta pemelukan bangsa-bangsa lain ke dalam agama Islam,
timbulnya masalah-masalah baru yang memerlukan panduan hukum. Berbeza dengan
aturan hukum yang lain seperti di Rom atau Parsi yang berasaskan kepada sama
ada perintah daripada perintah Maharaja mahupun sumber adat, undang-undang
Islam berasaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Sebagaimana yang dimaklumi
tidak semua jawapan boleh diperolehi di dalam kedua-dua sumber ini. Oleh yang
demikian bandingan atau kiasan dibuat kepada ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah yang
boleh dikaitkan dengan masalah yang dihadapi. Perbuatan membuat perbandingan
dan kiasan ini diajar sendiri sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah dan
ianya dilakukan juga oleh para sahabat-sahabat Rasulullah selepas itu.
2.
Perbuatan
membuat perbandingan atau kiasan ini kemudian dikenali secara teknikalnya
sebagai Qiyas yang kemudiannya menjadi salah satu sumber utama Syariah
Islam. Namun perkara pokok dan penting dalam penerimaan sumber Qiyas
dalam perundangan Islam ialah pengiktirafan peranan akal dalam pengeluaran
hukum. Di dalam penggunaan Qiyas setiap hukum yang terdapat di dalam
al-Quran dan al-Sunnah itu akan dikaji dan difahami asas dan sebab hukumannya.
Asas atau sebab hukuman ini dikenali sebagai ‘ilat hukum atau rasional
hukum atau ratio decidendi yang boleh dikembangkan kepada
masalah-masalah lain yang mempunyai ‘ilat yang sama.
3.
Pada
masa permulaan perkembangan hukum Islam penggunaan kaedah Qiyas ini
adalah secara bebas dan tidak terdapat apa-apa peraturan tertentu. Oleh yang
demikian kaedah ini berupaya untuk memberi penyelesaian kepada masalah yang
dihadapi secara lebih mudah. Memandangkan kaedah ini melibatkan penggunaan
akal, ianya juga dikenali dengan istilah Ijtihad dan darinya lahir
beberapa kaedah yang mempunyai tatacara atau teknik pengeluaran hukum yang
hampir sama iaitu cuba memahami maksud dan sebab sesuatu hukum dikeluarkan. Antara
kaedah-kaedah yang lain ini ialah istihsan, istislah dan maslahah.
4.
Kepelbagaian
ini menyebabkan terdapatnya pelbagai jawapan hukum yang mungkin berbeza-beza
antara satu sama lain hanya dalam satu masalah hukum. Oleh yang demikian
beberapa percubaan telah dilakukan untuk menyelaras perbezaan ini. Antaranya cadangan
seorang menteri Khalifah Abbasiah bernama Abdullah ibn al-Muqaffa‘ supaya
menjadikan kitab al-Muwatta‘ karangan Imam Malik bin Anas sebagai undang-undang
negara yang terpakai kepada semua orang. Namun cadangan ini tidak dipersetujui
oleh Imam Malik dengan menyatakan setiap Mujtahid itu berhak kepada
pandangannya.
5.
Akhirnya
muncul Imam al-Syafi‘i melalui karangan kitabnya bertajuk al-Risalah serta
kemudiannya dihuraikan di dalam magnum opusnya al-Umm yang mengemukakan
kaedah-kaedah rujukan kepada nas-nas Syariah terutama mengenai kehujahan
al-Sunnah dan kaedah penggunaan Qiyas. Beberapa syarat telah dikenakan
yang menyebabkan beberapa kaedah dan teknik yang lain terutamanya al-Istihsan
tidak lagi dibenarkan. Atau kata lain ijtihad secara bebas tidak lagi
dibenarkan kerana harus mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Mengikut sesetengah
pengkaji syarat-syarat ini diperkenalkan bagi mengekang kegiatan golongan ahl
al-ray’ atau rasionalis iaitu mu’tazilah dari mendominasi dalam metod atau
kaedah pengeluaran hukum. Bermula dari sini para ulama telah membina metod
pengeluaran hukum dengan lebih sistematik melalui pengenalan disiplin ilmu yang
dikenali sebagai Usul al-Fiqh. Begitu juga kaedah penggunaan Qiyas dalam
pengeluaran hukum juga terus diperkemaskan. Tujuannya bagi memastikan proses
pengeluaran hukum Syarak benar-benar mengikut apa yang dinyatakan secara zahir
oleh al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana mengikut kaedah bahasa tanpa perlu
kepada teknik-teknik hermeneutics seperti terdapat dalam ajaran agama lain. Kesan
daripada sistematika kaedah pengeluaran hukum ini menyebabkan peranan akal yang
agak bebas pada zaman awal Islam terdahulu telah disempitkan kepada syarat-syarat
yang ditetapkan dalam ilmu Usul al-Fiqh.
YBhg
Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan/Puan/ Saudara/i sekelian,
6.
Ilmu
Usul al-Fiqh hanya menjelaskan kaedah pengeluaran hukum dan sumber-sumber
perundangan, namun tidak menjelaskan maksud atau makna sesuatu peruntukan hukum
yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Keadaan ini menyebabkan terdapat
perbezaan dalam memahami sesuatu maksud atau makna sesuatu perkataan atau ayat
di dalam nas-nas wahyu. Maksud atau makna sesuatu nas berkenaan akan
diperkukuhkan melalui persetujuan bersama para mujtahidin. Sebenarnya perkara
yang dipersetujui secara consensus di kalangan mujtahidin boleh dipertikaikan
kerana sentiasa akan ada ulama yang akan membantahnya. Oleh yang demikian apa
yang boleh dikatakan sesuatu persetujuan itu lazimnya diperolehi secara
majoriti dan melalui peredaran masa/zaman ianya diterima ramai sebagai maksud
yang sebenar kepada nas al-Quran dan al-Sunnah. Asas kepada kehujahan ini ialah
persetujuan umat Islam itu dan dalam konteks ini para mujtahidin adalah sesuatu
yang dijamin ketulenannya dan kebenarannya oleh al-Quran dan al-Sunnah.
7.
Apabila
berlaku kelemahan politik umat Islam dan akibatnya beberapa penguasa cuba untuk
menggunakan agama Islam bagi tujuan politik terutama semasa kejatuhan khalifah
Abbasiah pada kurun ke7 hijrah/13 Masehi (656H/1275 Masehi), maka ulama mengistiharkan
penutupan pintu ijtihad. Tujuannya supaya ajaran agama Islam itu terpelihara
daripada kerosakan dan mengelakkan mereka yang tidak mempunyai kelayakan
daripada berijtihad. Oleh yang demikian difatwakan bahawa setiap orang Islam
hendaklah bertaqlid kepada mana-mana mazhab yang empat iaitu Hanafi, Maliki,
Syafi‘i dan Hanbali. Sungguh pun demikian taqlid atau ikutan kepada mazhab
sudah diamalkan sebelum dari itu lagi iaitu apabila fatwa-fatwa imam mazhab
mula dibukukan pada kurun ke3 dan 4 Hijrah dan proses penetapan kaedah
pengeluaran hukum setiap mazhab ditetapkan. Ini menyebabkan para ulama akan
mengikuti kaedah dan fatwa-fatwa imam terdahulu di samping mengembangkan serta menyusun
perbincangan mazhab menjadi lebih sistematik melalui penulisan buku-buku
ringkasan (matan) dan komentari matan-matan berkenaan. Sejak dari zaman itu taqlid menjadi satu
karekter utama dalam perkembangan perundangan Islam dan ramai sarjana
berpandangan ianya penyebab kepada kejumudan fiqh Islam pada masa kurun-kurun
pertengahan.
YBhg
Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan/Puan/ Saudara/i sekelian,
8.
Apabila
menjelang abad ke17 Masehi kebanyakan wilayah orang Islam dijajah oleh kuasa
barat. Kejayaan kuasa penjajah barat menguasai wilayah umat Islam adalah kerana
kekuatan mereka dalam aspek politik, ekonomi dan militari, kesan daripada kebangkitan
ilmu di Eropah melalui Renaissance and revolusi industri yang kemudiannya
kemajuan sains dan teknologi. Melalui kekuatan politik dan ketenteraan ini,
nilai-nilai Eropah yang berasaskan kepada falsafah pasaran bebas serta
sekularisme (dan juga sosialisme kemudiannya), sistem pemerintahan dan ekonomi
negara Islam juga turut mengalami perubahan baik sama ada secara sukarela atau
secara dominasi kuasa penjajahan. Faktor lain yang tidak kurang pentingnya yang
menyebabkan penguasaan sistem pemerintahan dan ekonomi negara Islam oleh kuasa
penjajah barat adalah kerana kelemahan dan perpecahan politik umat dan negara
Islam. Banyak pengkaji menyatakan kelemahan ini berpunca daripada kelemahan
ilmu dan ketamadunan, perpecahan politik serta kefahaman agama kepada pelbagai
kumpulan. Kelemahan ilmu berpunca daripada sikap mengecilkan peranan penggunaan
akal secara bebas atau free reasoning akibat daripada penggunaan taqlid.
Akibat dari itu lahirnya ramai tokoh-tokoh pemikir Islam di akhir kurun 19 dan awal
kurun 20 masehi yang menyeru supaya meninggalkan taqlid dan kembali
kepada ijitihad. Serta seruan untuk kembali kepada ajaran asal Islam
iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
9.
Idea-idea
tokoh-tokoh pembaharuan undang-undang Islam yang dikenali sebagai mujaddid atau
reformis berpandangan undang-undang Islam boleh disegarkan semula bagi kegunaan
di zaman moden melalui ijtihad dan meninggalkan taqlid. Lanjutan
daripada seruan ini beberapa perubahan atau pembaharuan undang-undang telah
diperkenalkan terutama di Turki Uthmaniyyah dan Mesir terhadap beberapa
undang-undang utama seperti Perlembagaan, Obligasi sivil, kehakiman dan
Kekeluargaan. Terdapat beberapa aspek pembaharuan undang-undang ini dikatakan
terlalu liberal dan terpengaruh dengan idea-idea barat. Oleh yang demikian
sebagaimana yang berlaku pada zaman permulaan Islam dahulu idea-idea para
reformis ini telah disemak semula dan ditapis pemakaiannya oleh ulama-ulama
tradisi. Objektif utama ulama ini ialah mengekalkan tradisi fiqh yang diwarisi
sejak zaman berzaman, namun mereka bersetuju tentang keharusan untuk berijtihad
dan melakukan pembaharuan dengan menolak beberapa kefahaman atau amalan
berasaskan taqlid kepada mazhab. Oleh yang demikian golongan ulama ini dikenali
sebagai revivalis.
10.
Label
reformis dan revivalis digunakan bukanlah sebagai satu bentuk tipologi, namun
ianya hanyalah sebagai satu bentuk expediensi bagi memudahkan perbincangan.
Melalui penentangan golongan rivivalis ini pengaruh golongan reformis telah
berkurangan dalam usaha memperbaharui undang-undang Islam dalam konteks modern.
Pada masa kemerdekaan negara-negara Islam, golongan revivalis telah menguasai
naratif pembaharuan undang-undang Islam, terutama melalui institusi fatwa,
pendidikan tinggi baik sama ada secara formal atau informal serta melalui gerakan
dakwah dan politik. Namun begitu keadaan kedudukan undang-undang Islam sudah
tidak sebagaimana semasa zaman taqlid kerana ulama golongan revivalis
sungguhpun tidak bersetuju dengan kaedah liberal golongan reformis percaya
bahawa perubahan mesti dilakukan kepada undang-undang Islam namun mengikut
kerangka kefahaman tradisi yang masih tunduk kepada doktrin ijmak.
11.
Penggunaan
kefahaman tradisi bukanlah bermaksud masalah baru dunia moden hari ini mesti
ditolak dan oleh itu tiada penyelesaian diberikan. Malah sebaliknya ajaran
tradisi membenarkan mana-mana orang yang layak, berijtihad mengikut kerangka
mazhab masing-masing terutama kepada perkara-perkara baru yang dikenali sebagai
nawazil atau waqi’ah. Namun begitu keupayaan untuk berijtihad
tidaklah sampai ke peringkat untuk memberi makna dan tafsiran baru kepada makna
dan pengertian nas al-Quran yang telah dipersetujui secara ‘ijma’. Hasrat para
reformis ialah untuk memberikan tafsiran baru kepada maksud tertentu peruntukan
al-Quran dan al-Sunnah dalam konteks dan keperluan masa kini. Namun begitu perkara
ini tidak dipersetujui oleh ramai ulama revivalis yang menyatakan perkara-perkara
yang sudah dipersetujui secara ijmak tidak boleh dipertikaikan lagi maksud atau
maknanya. Sungguhpun secara teorinya ijmak ini boleh dirungkaikan melalui ijmak
yang baru, namun secara praktisnya adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk
mendapatkan ijmak berkenaan, terutama kepada perkara-perkara ditil hukum.
YBhg
Datuk/Datin, Tuan/Puan, Saudara/i sekelian,
12.
Melalui
kemerdekaan negara-negara Islam daripada penjajahan barat telah timbul
kesedaran untuk mengembalikan pengamalan undang-undang Islam. Kesedaran ini
timbul akibat daripada kegagalan penguasa politik golongan elitis Muslim untuk
memakmurkan negara setelah menggunakan model barat dalam aspek undang-undang
dan ekonomi. Ini ditambah lagi dengan masalah kemiskinan dan sosial yang dialami
oleh rakyat bawahan. Para aktivis politik dan sosial umat Islam dengan sokongan
para ulama tradisi mengkritik dasar barat yang dilaksanakan dan menyifatkannya
sebagai satu kegagalan kerana ianya sesuatu yang dipaksakan kepada ummah. Mereka
menyeru bahawa Islam dan Syariah adalah sistem dan model yang sedia ada dan
perlu digunakan bagi menganti model barat. Namun pada saat yang sama, ramai
juga menyedari bahawa dalam konteks ekonomi moden, amatlah sukar untuk menggunakan
model sendiri yang terpisah daripada amalan semasa kerana dinamika perniagaan
itu sendiri serta pergantungan kepada pihak-pihak lain dalam hubungan
perniagaan dan perdagangan.
13.
Halangan
utama untuk menerima sistem ekonomi modern terutama dalam perbankan dan
kewangan ialah penggunaan bunga atau faedah. Sungguhpun terdapat justifikasi
tertentu dari golongan reformis yang mengharuskan penggunaan faedah dalam
sistem perbankan dan kewangan, idea ini ditolak oleh golongan revivalis dengan
alasan amalan faedah itu adalah termasuk dalam makna riba yang diharamkan dalam
al-Quran dan al-Sunnah. Memandangkan naratif golongan revivalis dalam persoalan
bunga bank ini mendapat sokongan baik daripada ramai ulama dan rakyat bawahan
serta pemerintah termasuk dari kalangan ahli ekonomi Islam, maka satu
alternatif telah difikirkan atau dirangka bagi menganti sistem perbankan dan
kewangan moden. Dengan menggunakan alasan etika dan moral larangan riba iaitu
untuk mengelakkan kezaliman dan eksploitasi penggunaan wang sebagai alat
pertukaran model perkongsian untung rugi atau Profit and Loss Sharing (PLS)
telah diperkenalkan oleh ahli-ahli ekonomi Islam. Model PLS menggunakan kontrak
Mudarabah dan Musyarakah yang bersifat equity financing.
14.
Ternyata alternatif yang dicadangkan oleh
ahli-ahli ekonomi Islam lebih menjurus kepada keadilan ekonomi dalam penggunaan
sumber, peluang ekonomi dan agihan kekayaan. Mengikut hujah ahli ekonomi Islam
jika model PLS ini dilaksanakan maka sudah tentu lain-lain kebaikan ekonomi Islam
akan turut sama terhasil seperti yang diungkap sebagai baldatun tayyibatun
wa rabbun ghafur. Namun dari segi praktiknya terdapat beberapa cabaran
melaksanakan model ini, terutama dalam kerangka sistem perniagaan, perdagangan
serta kewangan yang mementingkan keuntungan. Sungguhpun terdapat beberapa
kejayaan sistem kewangan sosial yang menggunakan modul PLS seperti di Mesir dan
juga melalui penubuhan IDB, namun ianya bukanlah berskala besar atau bersifat
komersial yang benar-benar boleh menjadi alternatif kepada perbankan atau
kewangan konvensional.
YBhg
Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan/Puan/ Saudara/i sekelian,
15.
Faktor
peperangan Arab Israel serta ledakan harga minyak serta kebangkitan Islam (Islamic
resurgence) pada tahun 1970an telah mempercepatkan desakan untuk menubuhkan
perbankan secara Islam namun mengikut aturan dan kaedah perbankan komersil
konvesional. Pada peringkat ini, dengan menggunakan ideal dan contoh PLS,
ahli-ahli perbankan Islam dengan kerjasama para ulama revivalis memperkenalkan
model perbankan Islam dengan menggunakan kontrak-kontrak pertukaran (commutative
contracts/ ‘uqud mu’awadah) sebagai pendasar kepada produk-produk
kewangan/perbankan Islam atau IBF. Kejayaan memperkenalkan sistem perbankan
Islam yang mempunyai persamaan dengan sistem kewangan konvensional menyebabkan berlakunya
pertumbuhan dan perkembangan IBF bukan setakat sahaja di negara-negara Islam
timur tengah, tetapi juga ke negara-negara Islam lain bahkan juga di
negara-negara bukan Islam yang lain. Sebagaimana yang dimaklumi kontrak-kontrak
pertukaran ini seperti jual beli dan sewaan berbeza dengan kontrak PLS yang bersifat
debt financing.
16.
Kejayaan
pengenalan sistem kewangan Islam dan IBF pada masa kini berasaskan kepada
beberapa faktor utama iaitu produk kewangan yang berdaya saing dan komprehensif,
sokongan masyarakat dan negara, kestabilan politik dan kemakmuran
kewangan/ekonomi (oil money), sistem governans yang mantap bagi menjamin
keyakinan. Yang dimaksudkan faktor keyakinan di sini ialah produk-produk
perbankan berkenaan mendapat kelulusan Syariah daripada ulama-ulama yang
dilantik sebagai anggota penasihat Syariah bank berkenaan. Pelantikan penasihat
ini pada mulanya bersifat sukarela bagi mendapatkan kenyakinan pengguna
memandangkan bentuk perniagaan yang ditawarkan hampir sama sahaja dengan
perbankan dan kewangan konvensional. Kelulusan yang diberikan oleh penasihat
ini menandakan kehalalan dan keharusan produk kewangan berkenaan. Pada masa
kini pelantikan anggota penasihat ini sudah menjadi suatu kemestian bahkan
disyaratkan oleh undang-undang di sesetengah negara.
17.
Berbeza
dengan aktiviti fatwa yang lain, kegiatan memberi perakuan atau kelulusan
produk kewangan Islam tidak menimbulkan kontroversi memandangkan pelantikan
ahli-ahlinya dari kalangan yang diterima oleh masyarakat serta pimpinan negara dan
topik perbincangan fatwa hanya tertumpu pada perbankan dan kewangan Islam. Pada
masa kini di Malaysia pelantikan ahli jawatankuasa Syariah perbankan Islam
dilakukan oleh pihak Bank Negara bagi menjamin kompetensi, integriti dan kebebasan
badan ini. Penawaran produk-produk kewangan Islam ini dibuat melalui kerjasama
antara ahli-ahli perbankan dan ahli jawatankuasa ini. Dan bagi menjamin penguatkuasaannya
mengikut kerangka perundangan negara, pihak peguam atau ahli undang-undang akan
terlibat memberi nasihat bagaimana deraf perjanjian dibuat dengan mengubahsuai
antara prinsip undang-undang kontrak Islam dan undang-undang kontrak negara
yang berkuatkuasa.
18.
Berbeza
dengan golongan reformis, kefahaman yang digunakan oleh ahli jawatankuasa
penasihat Syariah ini semasa memberi penyelesaian hukum ini masih dalam
kerangka pandangan dunia atau worldview ulama tradisi. Oleh yang
demikian keadaan atau situasi yang digambarkan oleh sesetengah pengkaji barat
sebagai pertembungan antara teori dan praktik yakni prinsip-prinsip mualamat
Islam tradisi dengan keperluan atau amalan perbankan moden dapat dilihat dan
dirasakan. Ini adalah kerana kontrak berkenaan dibentuk semasa masyarakat zaman
pertengahan yang berbeza dengan keadaan perdagangan moden pada hari ini. Begitu
juga pembentukan kontrak berkenaan dikembangkan secara akademik bagi pemakaian
kepada orang Islam secara idealistik. Bagi mengharmonikan antara pertembungan
ini dua kaedah utama digunakan seperti hilah dan talfiq yang
melibatkan pemilhan pandangan daripada pebagai mazhab yang melibatkan teknik takhayyur.
Namun dalam pemilihan pandangan mazhab, metod untuk mengikut mazhab tertentu
atau mengikut pandangan ramai atau jumhur, sudah tidak lagi diikuti. Ini dalam
ertikata dengan menggabungkan antara prinsip taqlid dan keluasan
perbendaharaan fiqh tradisi tanpa mengira sama ada pandangan itu kuat atau
lemah akan dicari dan digunakan sebagai hujah atau justifikasi bagi menyokong
sesuatu cadangan atau penyelesaian hukum.
19.
Penggunaan
kaedah hilah dan talfiq dalam penyelesaian hukum selalunya
bersifat sementara bagi menanggani persoalan semasa yang mendesak atau menunggu
saat sesuai di mana penyelesaian akhir boleh diberikan. Oleh yang demikian
penggunaan kaedah ini tidak boleh bertahan lama. Sebagaimana yang dimaklumi pada
masa sebelum penubuhan sistem perbankan dan kewangan Islam, terutama di
Malaysia, prinsip darurah digunakan bagi membolehkan umat Islam bermu‘amalah
dengan kewangan moden, terutama membuka akaun simpanan, membuat pinjaman
perumahan dengan bayaran faedah serta penggunaan insurans. Penggunaan prinsip
ini diperluaskan melalui pemakaian prinsip maslahah bagi membolehkan
instrument-instrumen kewangan dan pelaburan yang mempunyai unsur-unsur bunga
digunakan. Penggunaan prinsip maslahah ini diperkuatkan lagi dengan pemakaian
kaedah-kaedah fiqh atau qawa‘id fiqhiyyah yang mengandungi prinsip-prinsip
umum Syariah melalui penyaringan dan ringkasan daripada masalah-masalah cabang
dan ranting fiqh. Akhirnya prinsip-prinsip Siyasah terutama dalam bentuk
arahan-arahan regulator dan prinsip Maqasid digunakan bagi membolehkan
beberapa objektif umum Syariah dicapai seperti dalam program strategik value-based
intermediaries (VBI).
YBhg
Datuk/Datin, Tuan/Puan, Saudara/i sekelian,
20.
Semenjak
pengenalan perbankan dan kewangan Islam pada tahun 1970an, produk-produk IBF
dengan menggunakan pendekatan golongan revivalis menjadikan akad-akad yang
terdapat di dalam fiqh Islam sebagai pendasar kontrak produk berkenaan. Ini
bermakna akad-akad fiqh yang selama ini terpendam di dalam manual-manual fiqh
tradisi digali semula bagi menyesuaikannya dengan kontrak produk-produk
berkenaan. Penggunaan akad-akad fiqh ini dalam produk kewangan dan perbankan
Islam tidak menghadapi kesukaran yang besar, memandangkan terdapat persamaan
yang banyak di antara akad fiqh dan kontrak moden. Ini terutamanya yang
melibatkan rukun-rukun utama pembentukan kontrak dan akad seperti keperluan/kelayakan
pihak-pihak berakad/berkontrak, persetujuan (rida/consent) pihak-pihak
dan subjek/tujuan kontrak/akad. Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan
antara kontrak dan akad antaranya keperluan kepada balasan atau consideration,
kebebasan berkontrak dan larangan riba dan larangan gharar.
21.
Maksud
kebebasan berkontrak ialah setiap pihak boleh meletakkan apa-apa syarat dalam
kontrak urusniaga mereka selagi tidak bertentangan dengan undang-undang dan
moraliti. Konsep kebebasan berkontrak ini tidak dikenali oleh fiqh tradisi
kerana kontrak atau akad di dalam fiqh tradisi dikembangkan mengikut skim kontrak-kontrak
penama atau ‘uqud musamma atau ‘uqud muayyanah. Ini bermaksud
semua kontrak-kontrak berkenaan sudah disusun mengikut tujuan-tujuan yang
ditetapkan iaitu pemilikan, keuntungan, pertolongan, kebajikan atau tabarru‘
serta lain-lainnya. Oleh yang demikian seseorang ahli perniagaan boleh memilih
mana-mana akad yang sudah tersedia itu mengikut kesesuaian tujuan urusniaganya.
Apabila suatu pilihan sudah dibuat, seseorang itu dilarang untuk mengubah sejadi
akad berkenaan seperti menambah atau mengurang syarat-syarat yang telah
ditetapkan. Tujuan larangan ini adalah bagi mengelakkan sesuatu akad itu
terkeluar daripada tujuannya. Di sinilah yang dimaksudkan sebagai akad
mu’ayyanah atau nominate contracts kerana tujuannya sudah ditentukan.
22.
Jesteru
dari perbincangn akad-akad penama ini, ramai pengkaji membuat kesimpulan bahawa
tidak ada apa yang disebut sebagai teori kontrak Islam sebagaimana di dalam
undang-undang barat sama ada tradisi undang-undang continental atau komon. Sungguhpun
demikian, terdapat beberapa percubaan penulis Islam mengutarakan teori kontrak
Islam atau nazariyyah ‘uqud dengan membincangkan rukun-rukun dan syarat-syarat
bersama yang terdapat di kesemua akad berkenaan seperti persetujuan dan subjek
perkara kepada kontrak. Terdapat juga penulis yang menjadikan akad atau kontrak
jual beli (bay‘) sebagai contoh atau prototaip yang terpakai kepada
semua bentuk kontrak. Akibat daripada ketiadaan teori umum kontrak Islam,
perkembangan kontrak Islam yang mengambil kira perubahan masa dan tempat kurang
dilakukan kerana terikat dengan syarat-syarat akad penama yang dibayangi oleh
doktrin al-Taqlid. Seolah-olah akad ini telah dikunci dalam ikatan skim
akad penama dan diletakkan di dalam kotak masa.
YBhg
Datuk/Datin, Tuan/Puan, Saudara/i sekelian,
23.
Aspek
kedua yang menjadi cabaran utama kepada perkembangan kontrak Islam ialah ethos keadilan
sosial dan kewajaran ekonomi yang cuba untuk dicapai oleh Syariah yang
ditunjukkan oleh nas al-Quran melalui larangan riba tidak terserlah. Sebaliknya
penekanan diberikan kepada aplikasi syarat-syarat larangan secara normatif dan
objektif yang menyebabkan aspek-aspek sosio ekonomi dan makro ekonomi larangan
riba tidak diberikan perhatian yang wajar. Perkara yang sama dilakukan kepada
akad-akad yang lain, Oleh itu pendekatan yang digunakan bagi menilai keharusan
sesuatu akad itu dilihat semata-mata dari segi zahiriyyahnya iaitu dari segi
objektiviti normatif sesuatu akad itu. Kaedah yang digunakan ialah nahkum
bilzawahir wa Allah yatawala al-sara’ir. Jika sesuatu akad itu memenuhi
rukun dan syarat-syaratnya ianya akan dihukum sah, walaupun kesannya atau
akibatnya akan menyebabkan pengabaian nilai-nilai moral dan etika perundangan
Syariah. Begitu juga sebaliknya larangan dibuat melihat kepada nilai objektiviti
normatif ini sungguhpun terdapat justifikasi logika yang menafikan sebab-sebab
moral dan etika larangan berkenaan berlaku.
24.
Sudah
tentu dalam beberapa keadaan skim akad penama ini yang diaplikasikan secara
langsung dan normative ini tidak dapat memberi jawapan atau penyelesaian secara
innovative dan memuaskan kepada pembangunan produk-produk kewangan Islam. Bagi
menyelesai masalah ini, kaedah taqlid bersama talfiq digunakan
bagi membenarkan syarat-syarat dimasukkan dalam akad-akad penama ini atau
dengan mengabungkan antara akad-akad ini sama ada secara kesatuan atau kompisit
atau secara orderly
atau tartib. Pemasukan
syarat-syarat tambahan dalam akad ini dibenarkan dengan alasan ianya tidak menafikan
tujuan utama akad berkenaan, manakala pengabungan akad-akad berkenaan dilakukan
atas alasan bahawa prinsp asas di dalam kontrak Islam adalah keharusan atau
legit melainkan terdapat larangan yang jelas daripada nas Syariah (al-Asl
al-Ibahah). Kedua-dua teknik pemasukan syarat dan penggabungan antara akad-akad
penama ini membolehkan inovasi dalam pembangunan produk IBF berlaku dalam
kerangka doktrin taqlid kepada mazhab.
25.
Secara
ringkasnya metod yang digunakan oleh ahli-ahli jawatankuasa Syariah atau Majlis
Penasihat Syariah perbankan Islam semasa memberi kelulusan kepada produk-produk
IBF ini menggunakan skim akad-akad penama ini secara objektif normative dengan
mengabungkan doktrin taqlid melalui penggunaan talfiq dan pemilihan
pandangan mazhab tanpa terikat dengan kekuatan hujah pandangan tersebut melalui
alasan maslahah atau hajah atau darurah. Namun sebagaimana
yang dihuraikan sebelum ini penggunaan prinsip maslahah yang lazimnya
digunakan melalui pemakaian kaedah-kaedah fiqh atau qawa‘id fiqhiyyah di
samping terdapat desakan-desakan semasa menyebabkan penggunaan kaedah maslahah
secara lebih liberal melalui prinsip Siyasah dan Maqasid. Ini menyebabkan
beberapa produk kewangan dan pelaburan Islam dibenarkan mutakhir ini, walaupun pada
permulaannya ianya dilarang.
26.
Instrumen
pembaharuan undang-undang Islam yang menjadi mercu cipta golongan reformis
tidaklah menjadi rujukan asas IBF kerana penggunaan pendekatan atau teknik
jurispruden yang berbeza, namun terdapat dalam beberapa ketika perintah
diberikan oleh mahkamah yang secara langsungnya mengubah beberapa dimensi
kontrak penama Islam tradisi yang dipegang oleh golongan revivalis. Perintah atau
keputusan mahkamah ini diterima dalam amalan produk IBF kerana ianya dianggap
sebagai satu bentuk siyasah daripada pemerintah yang perlu diikuti
selagi mana ianya tidak melanggar secara jelas dan langsung larangan nas-nas
Syariah yang jelas atau dilakukan secara sukarela dan pilihan sendiri serta
terdapat keuzuran atau darar syarie. Keupayaan perintah atau keputusan mahkamah
untuk mengubah syarat-syarat dalam akad penama ini menyebabkan kritikan dibuat
dengan menyatakan perakuan keharusan sesuatu produk IBF melalui jawatankuasa
Syariah adalah bersifat etika dalam konteks positivism perundangan negara. Namun
begitu pada pandangan saya perkara ini mungkin hasil analisis penggunaan
akad-akad penama ini dalam konteks perundangan barat yang tidak mengiktiraf
peranan Syariah dalam sistem kehakiman negara berkenaan.
27.
Dalam sistem
kehakiman dan perundangan negara Islam, perkembangan terkini menunjukkan
perubahan untuk menggubal skim akad berkenaan dalam bentuk ubahsuaian mengikut
kehendak semasa pasaran kewangan dan perbankan melalui metod dan teknik yang
dibincangkan di atas sudah mengalami proses perundangan melalui pengenalan
standard atau regulasi oleh pihak regulator kewangan. Sungguhpun usaha ini
merupakan usaha terpuji, namun dalam masa jangka panjang, terdapat hipotesis
yang menyatakan undang-undang dan peraturan ini akan menyebabkan rigiditi kerana
ianya digubal secara preskriptif. Namun hipotesis ini masih dalam kajian dan
hanya masa akan menentukannya. Ini berbeza di negara-negara Islam yang
menggubal undang-undang mereka mengikut pendekatan golongan reformis yang
membuat peruntukan secara deskriptif atau secara teori umum kontrak yang
menyebabkan terdapatnya fleksibiliti dalam pelaksanaan kontrak-kontrak Islam. Sebagai
contoh Perlembagaan di Mesir dan Pakistan menjadikan Syariah sebagai satu-satunya
sumber undang-undang akan menyebabkan apa-apa sahaja kontrak yang berlawanan
denga Syariah sebagai tidak sah. Begitu juga di sesetengah negara amalan
tentang pengenaan faedah atau bunga kepada pinjaman disekat atau dihapuskan
melalui peruntukan undang-undang Sivil/Obligasi mereka. Paling kurang pun
undang-undang Syariah dijadikan sebagai salah satu sumber undang-undang dan di
sesetengah negara seperti Jordan, Palestin dan Iraq, peruntukan Majallah al-Ahkam
al-Adliyyah terpakai sebagai undang-undang berbaki (residual law) dalam perkara
kontrak.
YBhg Datuk/Datin, Tuan/Puan,
Saudara/i sekelian,
28.
Hasil
perbincangan di atas menunjukkan kepada kita bahawa kontrak-kontrak Syariah yang
disusun beratus-ratus tahun dahulu digunakan sepenuhnya dalam pembangunan IBF
moden yang rata-ratanya merupakan hasil atau natijah daripada perkembangan
sistem ekonomi kapitalis masa kini yang mementingkan keuntungan dan menjaga
kepentingan pemegang saham, pelabur dan pengdeposit. Perkara ini bukanlah
sesuatu yang salah, cuma ia mungkin mengabaikan nilai etika dan moral
perundangan Syariah seperti yang pernah diperjuangkan oleh ahl-ahli ekonomi
Islam melalui model PLS dan juga golongan reformis melalui agenda neo-ijtihad
mereka. Cuma persoalannya apakah pendekatan dan teknik secara objektif sebegini
boleh bertahan dan mengembang secara sihat di masa hadapan. Ini adalah
memandangkan walaupun prinsip maqasid sudah digunakan oleh ahli-ahli Majlis
Penasihat Syariah, namun kebanyakannya masih dalam bentuk pengecualian atau
exemption kepada prinsip atau kefahaman asas fiqh tradisi. Oleh yang demikian
pada pandangan saya secara pendekatan golongan reformis terutama yang cuba
untuk menilai kefahaman tradisi fiqh kontrak-kontrak (terutama yang diputuskan
melalui ijma‘ baik sama ada kepada maksud sesuatu amalan atau teknik
pengeluaran hukum) berkenaan perlu ditimbang dan diarusperdanakan bagi
memastikan kelangsungan dan kelasterian perundangan Islam dalam konteks IBF di
masa-masa hadapan. Begitu juga usaha-usaha perlu dimantapkan bagi memastikan
nilai-nilai kontrak Islam dapat disisip masuk kedalam undang-undang kontrak dan
perdagangan negara menggunakan pendekatan di atas dan melalui proses
harmonisasi atau integrasi antara perundangan Syariah dan negara.
***
No comments:
Post a Comment