*Artikel ini ditulis pada November 2011
© Ahmad
Hidayat Buang 2011
Peristiwa terbunuhnya
bekas pemimpin Libya Kolonel Muamar Ghadafi bersama anak dan bekas menterinya
mengundang pelbagai spekulasi. Bagi ramai orang, terutama rakyat Libya dan pihak
Barat apa yang penting sekarang ini ialah Ghadafi yang dikatakan seorang diktator
yang kejam kepada rakyatnya sendiri telah berjaya dihapuskan. Ini sekaligus
menamatkan episode lama dan bermulanya era baru Libya yang bebas dan
demokratik. Sungguhpun terdapat gesaan pihak tertentu untuk menyiasat bagaimana
Ghadafi terbunuh, namun perkara ini nampaknya bukan satu keutamaan buat masa
kini. Kata orang, penawar atau ubat kepada sesuatu yang trajik adalah masa.
Oleh yang demikian kejadian ini akan hanya dibincangkan apabila keadaan sudah
tenang, emosi sudah pudar, perasaan marah sudah hilang dari ingatan. Apatahlagi
di Libya pada saat ini, untuk dianggap sebagai simpatisan kepada Ghadafi boleh
membahayakan diri dan keluarga. Tujuan saya bukanlah untuk menyokong kezaliman
yang dikatakan dilakukan oleh Ghadafi, tetapi untuk menjelaskan beberapa
perkara yang berkaitan hukum Islam yang mungkin boleh dilihat dari perspektif
yang bebas dari emosi dan sentimen. Perkara ini penting kerana beberapa fatwa
yang dikeluarkan oleh beberapa pihak menyatakan pembunuhan Ghadafi, sebagaimana
yang dipaparkan di dada media atau internet, adalah sesuatu yang halal boleh
menimbulkan salah tanggapan kepada ajaran Islam.
Tidak syak lagi Islam membenarkan peperangan
bagi tujuan mempertahankan diri dan membela agama daripada penindasan. Atas
dasar ini, bagi mempertahankan harta, diri dan keluarga serta amalan agama,
apatah lagi setelah berlakunya kezaliman menyebabkan sesetengah ulama
membenarkan tindakan balas dalam bentuk kekerasan. Sungguhpun demikian, terdapat
pandangan ulama sunni yang tidak membenarkan tindakan menentang pemerintah
Islam walaupun mereka itu kejam, selagimana syiar-syiar dan rukun-rukun Islam
boleh terus diamalkan tanpa halangan. Perkara ini jelas dalam sejarah umat
Islam di mana majoriti ulama, termasuk semua ulama pendiri mazhab yang empat
mengambil sikap berkecuali dalam politik dan pemerintahan Khalifah Umayyah dan
Abasiah. Namun ini tidaklah bermakna ulama-ulama berkenaan berdiam diri. Apa
yang berlaku ialah mereka memberi nasihat dan teguran kepada pemerintah supaya
kembali kepada ajaran Islam sebagaimana Imam Malik yang memberi teguran kepada
Khalifah Abasiah terhadap lafaz taat setia atau bay‘ah yang dibuat
secara paksa.
Walaupun apa hujah yang diberi, jika kita
menerima sekalipun keharusan melakukan tindakan kekerasan yang termasuk antaranya
pembunuhan nyawa manusia Muslim yang lain, masih ada lagi peraturan-peraturan
hukum Syarak dalam pertempuran atau peperangan yang perlu dipatuhi. Dalam
hubungan ini adalah layanan terhadap tawanan perang. Al-Quran jelas memberi
panduan terhadap pilihan yang boleh diambil oleh pihak pemerintah iaitu (1)
dibebaskan, (2) diambil harta tebusan (sebagaimana yang berlaku dalam
peperangan Badr) dan (3) dibunuh. Dalam perbincangan seterusnya melalui al-Sunnah
selain daripada tiga yang di atas tawanan perang juga dijadikan hamba sebagai
tindakan reciprocal amalan musuh Islam yang menjadikan tawanan Muslim
sebagai hamba. Yang dimaksudkan dengan tawanan perang itu ialah apabila
pertempuran telah selesai atau musuh menyerah diri. Apabila keadaan ini berlaku
maka menjadi tanggungjawab pihak yang menang untuk melindungi tawanan perang serta
menjamin hak mereka sebagai seorang manusia seperti makanan, pakaian dan sama
sekali tidak boleh disiksa (apatah lagi dibunuh tanpa proses yang sah). Layanan
secara baik ini bukan sahaja kepada yang masih hidup bahkan kepada yang sudah
terbunuh, di mana Rasulullah s.a.w. melarang para sahabat melakukan perbuatan
menghina mayat tentera kaum Quraisyh yang sebelum ini telah menghina secara
kejam jenazah bapa saudara Nabi, Hamzah ibn Abdul Mutallib yang syahid dalam
peperangan Uhud. Oleh itu apa yang diperlakukan kepada jenazah Ghadafi dan
anaknya adalah sesuatu yang tidak menepati apa yang diajar oleh Baginda
Rasulullah s.a.w. terutama sekali apabila jenazah Muslim.
Para ulama berpendapat apa-apa pilihan tindakan
seperti di atas yang akan diambil oleh pemerintah kepada tawanan perang adalah
berasaskan kepada maslahah dan kepentingan awam. Dalam sejarah Islam, tiga
orang tawanan perang yang dijatuhkah hukuman bunuh oleh Baginda Rasullullah
s.a.w. iaitu Nadir ibn al-Harith, Uqbah ibn Mu’ayt (kedua-duanya dalam
peperangan Badr) dan Abu ‘Azzah al-Jumahi (dalam peperangan Uhud). Mengikut
para pengkaji ketiga-ketiga mereka dijatuhkan hukuman bunuh kerana sikap mereka
yang kejam dan zalim terhadap orang Islam di Mekah. Oleh itu mereka dibunuh
kerana kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan. Dan ianya dilakukan selepas
diperintah oleh Rasulullah s.a.w.. Peristiwa ini dijadikan satu kaedah dalam
undang-undang jenayah Islam iaitu hukuman bunuh termasuk kepada tawanan perang
mesti melalui kuasa pemerintah. Perkara ini juga selaras dengan Konvensyen
Geneva 1949 dalam perkara peperangan. Berkemungkinan besar Ghadafi akan
dijatuhkan hukuman bunuh sebagaimana yang dialami oleh Saddam Husein melalui
proses perundangan. Namun berbeza dengan Ghadafi, Saddam ditawan oleh tentera
Amerika. Jika tidak kemungkinan Saddam juga akan mengalami nasib yang sama.
Dalam apa-apa keadaanpun pengajaran kepada kita ialah sesiapa yang melakukan
perbuatan jenayah dan zalim lambat laun akan menerima hukuman juga samada secara
sewajarnya mengikut lunas-lunas Syariah dan undang-undang atau sebaliknya.
Rujukan
Ahmad al-Dawoody,
The Islamic Law of War: Justifications and Regulations, New York:
Palgrave Macmillan, 2011, hh.136-138.
Muhammad
Abu Zahrah, al-Jarimah wa al-‘Uqubah fi al-Fiqh al-Islami, Kaherah: Dar
al-Fikr al-‘Arabi, 1966.
No comments:
Post a Comment