Saturday 24 August 2024

Justifikasi Wasiat Kepada Waris Mengikut Sudan Judicial Circular 1945 dan Undang-undang Wasiat Mesir 1946

Dipetik daripada Carolyn Fluehr-Lobban. Islamic Law and Society in the Sudan. Oxford: Routledge, 2008. (First published in 1987 by Frank Cass & Co. London).

Berikut adalah beberapa alasan dari sudut rasional dan konteks mengapa perubahan atau pembaharuan terhadap undang-undang wasiat Islam dilakukan di Sudan melalui Judicial Circular No.53 Tahun 1945 iaitu keharusan membuat wasiat kepada waris tidak melebihi 1/3. Judicial Circular ini atau di dalam bahasa Arabnya al-Manshurat al-Qada'iyyah adalah bersamaan dengan Arahan Amalan atau Judicial Practice yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim. Sungguhpun begitu peruntukan ini telah diganti dengan Undang-undang Personal Sudan yang baru iaitu Qanun al-Ahwal al-Shakhsiyyah li Muslimin Tahun 1991. Melalui artikel 297 Undang-undang Personal Sudan 1991 wasiat tidak boleh dibuat kepada waris melainkan dengan keizinan waris.

Perubahan yang sama dibuat oleh Undang-undang Wasiat Mesir No.77 Tahun 1946 artikel 37 sebagaimana berikut:

تصح الوصية بالثلث للوارث وغيره، وتنفذ من غير اجازة الورثة 

Alasan-alasan yang diberikan dalam petikan dibawah ini hanya dari aspek sosio perundangan. Untuk alasan atau justifikasi perundangan Islam, ianya diberikan oleh Muhammad Abu Zahrah dengan memetik dari nota penjelasan undang-undang itu sendiri antaranya:

(1) Ayat al-Quran mengenai wasiat di Surah al-Baqarah ayat 180 yang memerintahkan wasiat kepada kaum keluarga

(2) Pandangan sesetengah ahli tafsir seperti Abu Muslim al-Isfahani bahawa wasiat kepada waris terlaksana

(3) Sesetengah fuqaha yang bukan dari mazhab yang empat melaksanakan wasiat kepada waris tanpa perlu kepada keizinan atau persetujuan waris 

(4) Keperluan semasa kepada wasiat sebegini

Muhammad Abu Zahrah tidak bersetuju dengan alasan-alasan ini dan jawapan diberikan di dalam bukunya bertajuk Sharh Qanun al-Wasiah: Dirasah Muqaranah li Masa'ihi wa Bayan li Masadirihi al-Fiqhiyyah. Dar al-Fikr al-Arabi, 1988 (2nd edition). hh.63-66.

Pada tahun 2015 Mahkamah Perlembagaan Mesir di dalam kes Ahmad Abdul Latif Muhamad Diyab v. Presiden Mesir et.al. menolak petisyen untuk mengistiharkan artikel 37 Undang-undang Wasiat 1946 ini sebagai tidak sah kerana bercanggah dengan artikel 2 Perlembagaan Mesir yang menjadikan Syariah sebagai sumber undang-undang di Mesir.






No comments:

Post a Comment

Sumbangan Buku Profesor Dr. Md Amin al-Jarumi

Pada 2hb Ogos 2024 yang lalu saya menerima kunjungan dari Profesor Dr. Md Amin Abdul Rahman al-Jarumi atau lebih dikenali dengan Profesor Am...