Wednesday, 29 July 2026

Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr. Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026).

Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr. Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026, kulit nipis, 544 halaman).

 

Sungguhpun tajuk buku menyatakan ianya sebagai sebuah ensiklopedia, namun susunannya adalah sebuah buku biasa yang mengandungi bab-bab dan senarai bahan rujukan serta indeks di halaman belakang yang berdasarkan kepada kompilasi tulisan dan nota peribadi penulis sebagai pengamal perawatan Islam termasuk sedutan kertas kerja yang dibentangnya di seminar, konvesyen dan forum. Apa yang dimaksudkan oleh penulis sebagai ensiklopedia kerana baginya buku ini adalah karya asli yang julung kali diterbitkan (halaman iv). Sudah tentu maksud ini tidak sama apa yang difahami secara umumnya dengan perkataan ensiklopedia. Mungkin maksud yang tersirat daripada penggunaan perkataan ini ialah semua topik-topik mengenai perawatan atau pengubatan/perubatan Islam dibincangkan atau diperihalkan oleh penulis dalam buku ini, seolah-olah ia adalah sebuah ensiklopedia.

 

Istilah perawatan Islam perlu ditakrifkan secara tepat kerana ia boleh mengundang beberapa salah faham jika digunakan secara bebas. Perkataan perawatan ini tidak dapat lari daripada istilah perubatan di mana dalam sistem perubatan masa kini, perawatan atau “treatment“ melibatkan prosedur atau proses tertentu bagi merawat pesakit. Dalam perubatan moden proses perawatan pesakit melibatkan dignosa, prognosa, pemulihan, pencegahan dan sebagainya yang melibatkan prosedur perubatan seperti ujian darah, pemeriksaan fisikal, pembedahan, terapi dan sebagainya. Perawatan Islam dan juga pengubatan/perubatan Islam sebenarnya dari segi proses dan prosedur tidak banyak berbeza dengan perubatan moden kerana kedua-duanya berpunca dari sumber yang sama iaitu dari tamaddun Islam. Namun pada masa kini pengubatan/perubatan atau perawatan Islam sudah dikecilkan maksudnya kepada disiplin perubatan alternatif atau tradisional yang mengabungkan penggunaan ruqyah, bahan-bahan herbal, terapi saikologi dan keagamaan serta elemen-elemen kerohanian serta meta-fizik.

 

Pengecualian ini jelas melalui takrif amalan perubatan tradisional dan komplementari di bawah Seksyen 3 Akta 775 Undang-undang Malaysia memasukkan pengubatan Islam dalam takrif amalan perubatan tradisional dan komplementari bersama dengan amalan perubatan lain seperti tradisional Melayu, tradisional Cina, tradisional India dan homeopati. Amalan perubatan sebegini merangkumi untuk tujuan pencegahan, perawatan, mengurus penyakit bagi kesejahteraan fizikal dan mental. Dari takrif ini jelas bahawa perawatan Islam adalah sebahagian daripada konsep pengubatan/perubatan Islam. Apa yang menarik dari takrif undang-undang ini perkataan “perubatan“ tidak digunakan kepada Islam sebagaimana yang lainnya seperti Melayu, Cina dan India. Istilah yang diguna oleh undang-undang ialah “pengubatan“ yang diterjemahkan sebagai “Islamic medical practice“ berbeza dengan istilah “traditional medicine“. Penggunaan perkataan “pengubatan Islam“ oleh undang-undang ini boleh memberi maksud penggunaan perubatan moden mengikut nilai-nilai Islam. Perkara ini nampaknya dijelaskan secara tidak langsung oleh penulis melalui subtajuk integrasi antara perubatan Islam dan perubatan moden di halaman 164-170. Perkataan atau istilah pengubatan ini juga mempunyai asas teologi atau akidah Islam yang menekankan peri penting aspek tawakkal kepada Allah sebagai penyembuh kepada penyakit di mana perawat hanya bertindak sebagai sesorang yang berikhtiar dan berusaha.    

 

Dengan demikian maksud perawatan Islam sebagaimana tajuk buku ini ialah pengaplikasian nilai-nilai Islam dalam perubatan dan perawatan moden sebagai satu usaha untuk memulihkan penyakit dengan kenyakinan bahawa Allah swt sahaja yang menyembuhkannya. Proses islamisasi ini sebenarnya adalah dalam rangka transformasi yang lebih luas lagi melibatkan sistem kehidupan umat Islam kini yang didominasi oleh nilai-nilai barat yang bersifat sekular melalui pendekatan utilitarian (naf’iyyah) serta logika berasaskan sains. Dalam mengaplikasi nilai-nilai Islam ini dalam perubatan dan perawatan moden dengan elemen-elemen yang terdapat dalam perawatan Islam yang bersifat alternatif terutamanya terapi saikologi Islam seperti bacaan ayat suci dan doa serta tawakkal dan sabar, akan menambah baik nilai khidmat perubatan dan perawatan terutama kepada pesakit Islam yang akan mendapat faedah dari kebaikan kedua-dua sistem perubatan atau perawatan ini. Bentuk rawatan ini termasuk juga penggunaan herba-herba dan amalan kesihatan berasaskan kepada hadis atau sunnah yang dikenali dengan istilah Tibb Nabawi.

 

Memandangkan prinsip perawatan Islam sebagaimana yang dibentangkan dalam buku ini melibatkan elemen sipritual dan kerohanian, penulis cuba untuk menggabung atau mengaitkannya dengan perubatan moden. Oleh yang demikian pembaca akan mendapati secara keseluruhan perbincangan buku ini satu diskripsi kepada konsep dan amalan perubatan atau perawatan Islam yang diselangi dengan anekdot dan testimoni peribadi yang dilaluinya sebagai pengamal dan pengajar. Dengan kata lain, buku ini ditujukan secara khusus kepada pembaca yang beramal dengan teknik perawatan Islam bagi meningkatkan kefahaman, kemahiran dan kepatuhan mereka kepada etika dan nilai pengubatan Islam. Pada saat yang sama ia juga ditujukan kepada masyarakat umum sebagai panduan kepada bentuk rawatan moden dan alternatif yang menepati dan mematuhi kehendak dan keperluan Syariah. Penulis sebagai seorang ahli akademik di Universiti, masih mengekalkan gaya dan metod penulisan imiah melalui pembahagian bab-bab secara induktif dan memasukkan rujukan-rujukan penting. Buku ini secara umumnya adalah satu penerokaan separa ilmiah kepada tajuk perawatan atau pengubatan Islam yang baik kepada mereka yang mahu menambah maklumat atau beramal dengan pengubatan Islam. 




Saturday, 18 July 2026

Perniagaan Satu Jihad

“Perniagaan Satu Jihad“


 Slogan ini dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim (1947-2017), bekas Ketua Pengawai Eksekutif Johor Corporation. Idea ini bertitik tolak daripada pelbagai faktor dan cabaran yang melibatkan keadaan ekonomi dan sosial umat Islam di Malaysia dan juga dunia. Ini tidak kurang juga dari kepercayaan bahawa rezeki secupak tidak akan sejadi segantang. Oleh yang demikian keadaan yang menimpa umat Islam adalah ketentuan yang mesti diterima sebagai takdir. Ini ditambah lagi dengan pelbagai tanggapan sinikal yang disulam dengan petikan-petikan keagamaan yang menempelak kekayaan dan harta benda sebagai alat keduniaan yang mengalpakan serta melalaikan. Namun pada saat yang sama kita tidak boleh menyalahkan masyarakat Islam dan ulamanya yang mempunyai tanggapan sinikal ini. Ia perlu diteliti dalam konteks suasana amalan sistem ekonomi modern yang didominasi oleh sistem kapitalis dengan kerangka nilainya yang berbeza atau bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti yang diamalkan di Malaysia dan rata-rata negara lain dunia kini, objektif utama ahli perniagaan adalah membuat keuntungan. Kerangka nilai sistem kapitalis ini adalah bersifat persaingan yang selalunya melibatkan iklan pemasaran dan pengaruh lobi melobi serta lain-lainnya yang mengabaikan nilai-nilai moral. Ini ditambah lagi dengan penggunaan wang fiat dalam sistem ekonomi moden yang membolehkan penciptaan wang tanpa apa-apa sandaran yang mempunyai nilai intrinsik seperti emas atau barangan bernilai serta penggunaan faedah dalam pengambilan keuntungan kewangan adalah garis merah besar kepada sistem perniagaan Islam.  Oleh itu pandangan sinikal ini ada kewajarannya.

 

Sungguhpun pada masakini kesan-kesan negatif elemen-elemen persaingan sistem ekonomi dikurangi atau diimbangi dengan beberapa inisiatif awam seperti SDG, perlindungan hak-hak pengguna, undang-undang buruh dan lain-lain lagi, yang mana dasar-dasar ini mempunyai persamaan dengan nilai-nilai Islam, masyarakat Islam masih kurang berminat untuk terlibat dengan sektor ekonomi atau perniagaan. Sebabnya mudah sahaja, iaitu jentera utama sistem kewangan yang menjadi tunjang kepada kegiatan ekonomi modern adalah penggunaan faedah dalam sistem kewangan. Setelah halangan ini diatasi melalui pengenalan perbankan Islam di Malaysia pada tahun 1982, pertumbuhan ekonomi umat Islam di tanah air masih belum memberansangkan. Tidak dinafikan pada masa kini telah lahir golongan menengah Islam yang kuat melalui strategi pendidikan melalui dasar-dasar seperti penyediaan biasiswa, penubuhan institusi pendidikan tinggi dan pelbagai lagi.  Pun begitu pemilikan kekayaan negara oleh umat Islam masih rendah, kerana penglibatan umat Islam dalam sektor ekonomi tidak rancak sebagaimana yang diharapkan. Oleh yang demikian stigma atau paling kurang pun ketidakpedulian kepada kepentingan penguasaan ekonomi atau kekayaan sedikit sebanyak ada pengaruh yang mengambarnya sebagai korup atau yang dicemuh boleh membawa kepada lagha dan kelalaian.

 

Di sini terletak kebijakan Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang menyedari bahawa pegangan pandangan dunia sebegini perlu ditanggani dengan kaedah yang sama. Dari sini lahirlah slogan jihad perniagaan, jihad ekonomi, jihad busines dan seumpamanya. Jihad adalah satu istilah atau perkataan islamis yang sudah berakar umbi dalam pemikiran dan kepercayaan serta nilai dan jati diri umat Islam. Sudah tentu gabungannya dengan perniagaan akan memberi kesan saikologi yang mendalam kepada umat Islam mengenai kegiataan ekonomi. Slogan ini bukanlah satu manipulasi istilah islamis sebagaimana yang digunakan oleh banyak kumpulan lain bagi pelbagai tujuan terutama mencari sokongan dan pengaruh, kerana ianya bertitik tolak dari kelemahan umat Islam itu sendiri dalam pelbagai bidang. Menyedihkan lagi jumlah umat yang ramai dan “penguasaan“ dalam politik masih tidak boleh membebaskan mereka dari kepungan dan pergantungan penghidupan dalam aspek ekonomi dan kewangan dari sumber-sumber luar. Begitu juga anjuran-anjuran keagamaan supaya mencari punca penghidupan secara berdikari serta galakan melibatkan diri dalam perniagaan melalui hadis hadis bahawa 9/10 daripada rezeki adalah pada perniagaan, belum cukup untuk membangkitkan kesedaran betapa peri pentingnya perniagaan digerakkan oleh umat Islam Malaysia. Lantaran itu bergemalah slogan perniagaan satu jihad dari Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Menurutnya perkara ini diperlukan kerana keadaan ekonomi umat Islam adalah dalam keadaan darurat sehingga memerlukan jihad untuk membebaskannya.

 

Menyedari supaya penglibatan umat Islam dalam kegiataan ekonomi tidak terpengaruh dengan nilai-nilai barat atau kapitalis atau lebih serius lagi tanpa disedari nilai-nilai Islam dicairkan oleh nilai-nilai barat atau ia diterapkan dalam nilai-nilai Islam sebagaimana yang berlaku kepada beberapa projek islamisasi institusi barat, maka Tan Sri Muhammad Ali mengariskan beberapa nilai etika Islam yang perlu dipatuhi. Paling utama adalah mematuhi hukum-hukum Syariah dalam perniagaan kerana tanpanya perniagaan itu tidak akan mempunyai keberkahan. Bagi Tan Sri bergiat dalam kegiatan ekonomi yang halal adalah penting kerana ianya memberi keadilan dan seterusnya keberkahan dan mengikut keyakinannya akan meningkatkan penjualan serta keuntungan. Seterusnya mengambil sikap yang berbeza mengenai manusia dan harta dari sistem kapitalis yang memboleh kedua-duanya dimanipulasi semaksimum mungkin bagi mencapai objektif kekayaan. Bagi Tan Sri Muhammad Ali Hashim manusia adalah khalifah dan oleh itu perlu dihormati. Sesuai dengan ini kegiatan ekonomi atau perniagaan perlu menghormati manusia sebagai khalifah. Dalam hubungan ini kegiatan ekonomi tidak boleh menjejaskan atau memudaratkan kepentingtan dan pengidupan manusia. Kegiatan ekonomi mestilah mensejahterakan penghidupan manusia.

 

Manakala harta adalah satu amanah yang perlu dijaga dan digunakan untuk kepentingan semua melalui dasar-dasar serta amalan-amalan adil dan baik. Pada masa kini sikap ini diterapkan melalui pelbagai inisiatif seperti SDG, Valued Based Initiative dan Social Corporate Responsibility dan sebagainya. Namun begitu pada masa yang sama, ini tidak bermakna kebaikan model-model perniagaan barat atau kapitalis ditolak. Sesuai dengan ini, dalam konteks strategi perniagaan yang baik dan berkesan serta murah, ahli perniagaan Islam perlu mengambil peluang dengan menggunakan tanda-tanda perniagaan terkenal antarabangsa seperti KFC (yang mana tanda perniagaan ini begitu sinonim dengan Tan Sri Muhammad Ali Hashim). Atau dengan katanya kita perlu menghalalkan business berkenaan supaya ia cenderung kepada nuansa Islamik atau menjadi islamik lambat laun. Sungguhpun demikian penggunaan logo-logo antarabangsa ini mungkin boleh menimbulkan kontroversi terutama dalam konteks perkembangan geopolitik kini. Apapun hasil dari usaha dan kegigihan Tan Sri Muhammad Ali Hashim kesannya sudah dirasakan kini, walaupun masih banyak perlu dilakukan. Ternyata pendekatan Tan Sri Muhammad Ali dalam perubahan kegiatan ekonomi Islam, walaupun melalui slogan yang berapi iaitu jihad, namun sebenarnya adalah secara organik dan bertahap atau gradual. Ini adalah sesuai dengan Islam yang bersifat fitrah. 











 

Monday, 13 July 2026

Kepentingan Wakaf Secara Korporat

 Kepentingan Wakaf Secara Korporat*

Maksud wakaf secara korporat adalah wakaf berkenaan diuruskan oleh badan professional pelaburan dan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan maksima. Ianya berbeza dari wakaf masa lalu, yang terhad kepada hartanah. Wakaf secara korporat juga boleh bermakna pewakafan harta dalam pelbagai bentuk dengan mengekalkan tujuan asal wakaf iaitu untuk menahan harta berkenaan bagi mencapai maksud atau objektif pewakaf untuk tujuan atau kepentingan awam atau peribadi yang dibenarkan oleh hukum Syarak. Perkara utama tujuan dalam pewakafan secara korporat adalah mendapat keuntungan maksima bagi memenuhi objektif pewakaf. Dengan demikian wakaf secara pengurusan profesional ini mementingkan kecekapan dan penjimatan kos dalam urusan pelaburan harta wakaf dalam pelbagai bentuk dan dimensi perniagaan moden. Melalui cara ini hasil keuntungan pelaburan wakaf dapat diperoleh dengan banyak dan dalam jangka waktu yang cepat atau singkat. Yang paling penting dalam konteks pelaburan sebegini adalah kecairan hasil pelaburan wakaf berkenaan yang boleh digunakan dengan segera bagi faedah dan kepentingan umat Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan kecekapan pelaburan. Pada masa yang sama badan korporat yang menguruskan wakaf ini harus sentiasa beringat untuk mematuhi keperluan dan pematuhan Syariah semasa menjalankan urusan pelaburan. Perkara ini tidak sukar dilakukan lagi memandangkan sudah terdapat pelbagai instrumen pelaburan Islam serta kawalan-kawalan pematuhan Syariah oleh badan-badan regulasi kewangan dalam negara ataupun luar negara.

Faedah lain yang ketara daripada pengurusan wakaf secara korporat ini ialah kawalan kepada kelangsungan (sustainability or continuity) entiti pelaburan yang tidak akan terjejas dengan perubahan sosial, politik, ekonomi dan geopolitik. Lazimnya badan-badan korporat sentiasa terpengaruh dengan dinamika di atas, sama ada akan berlaku pengabungan, perubahan misi dan objektif mahupun dalam keadaan tertentu pembubaran atau penggulungan. Sebagai contoh apabila berlaku pertukaran kepimpinan samada di peringkat badan korporat atau negara, perubahan kepada objektif dan tujuan wakaf tidak boleh dilakukan sesuka hati atau dengan mudah. Sungguhpun tidak dinafikan badan korporat wakaf akan juga terdedah kepada ketidakstabilan politik dan ekonomi, namun dari segi kelangsungan objektif dan tujuannya tidak akan berubah dan akan kekal sentiasa sesuai dengan konsep wakaf iaitu “in perpetuity“. Oleh yang demikian kepentingan umat Islam melalui wakaf korporat ini akan sentiasa terjamin.

Melalui pelaburan wakaf secara korporat, sumber dan hasil kekayaan ekonomi melalui aktiviti pelaburan dan perniagaan tidak akan hanya dikuasai oleh golongan tertentu yang mungkin hanya mementingkan keuntungan. Dengan cara ini dominasi ekonomi dan kekayaan dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersifat materialistik, invidualistik dan lain-lain akan dapat dipecahkan. Perkara ini boleh dilakukan kerana pelaburan dan perniagaan yang dilakukan oleh badan korporat wakaf ini adalah dalam skala yang besar dan oleh itu ia  boleh bersaing, memberi pengaruh dan kesan kepada pemain-pemain lain. Perkara ini tidak boleh dilakukan oleh pemain individu atau oleh aktiviti ekonomi wakaf yang terhad melalui pembangunan hartanah yang memerlukan modal besar, kos yang tinggi dan masa yang lama untuk mendapat pulangan.  

Sehubungan dengan ini, beberapa peraturan lama yang berkaitan dengan wakaf mungkin lagi tidak relevan kerana boleh menghalang inovasi dan pelaburan harta wakaf secara efisien dan“cost effective“. Peraturan berkenaan perlu dikaji dan disemak semula supaya badan korporat wakaf boleh bergerak dengan pantas dan cekap bagi kesejahteraan masyarakat Islam dan negara. Sungguhpun pada masa sekarang sudah terdapat undang-undang wakaf di negeri-negeri yang memberi makna yang luas terhadap bentuk-bentuk wakaf yang sudah tentu memberi fleksibiliti kepada bentuk-bentuk pelaburan harta wakaf, namun dalam suasana ekonomi dan perniagaan dunia hari ini yang masih didominasi oleh sistem ekonomi kapitalis berasaskan kepada faedah, maka ijtihad-ijtihad baru perlu dikemukakan bagi membolehkan pelaburan dilakukan secara cekap dan murah. Ini terutamanya yang melibatkan penggunaan prinsip-prinsip darurah, hajah dan ma’alat yang bertunjang kepada maqasid untuk menjaga agama dan harta orang-orang Islam perlu dilakukan bagi membolehkan pelaburan harta wakaf sedemikian sentiasa patuh Syariah.



*Sedutan dari Multaqa Ekonomi MPI (Muzakarah Perundingan Islam) di PICC pada 28 Septemper 2016 di mana penulis hadir sebagai peserta dengan beberapa tambahan oleh penulis terutama di perenggan akhir.

Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr. Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026).

Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr. Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026, kulit nipis, 544 halaman). ...