Saturday, 11 February 2023

Ulasan Buku: The Malay Kingdom of Patani (Sejarah Kerajaan Melayu Patani)

Ulasan Buku: The Malay Kingdom of Patani (Sejarah Kerajaan Melayu Patani) by Ibrahim Syukri, translated by C.Bailey dan N.Miksic, Silkworm Books: Chiang Mai. 2005 (originally published in 1985 by Center for International Studies, University of Ohio, USA). Soft Bind, 115 pages with references.


Buku ini berasal dari teks bahasa Melayu tulisan jawi yang diterbitkan di Pasir Puteh, tanpa tahun. Namun kita boleh agak ianya diterbitkan di sekitar 1970an sehingga awal 1980an memandangkan terjemahannya diterbitkan pada tahun 1985. Tempoh masa berkenaan menyaksikan keganasan yang berlaku di Wilayah Selatan Thailand memuncak. Penulis buku ini menggunakan nama samaran dan oleh itu tidak diketahui siapa penulisnya yang sebenar. Namun mengikut penterjemah ianya seorang yang terpelajar dalam selok belok sejarah Melayu Patani dan juga berpengetahuan dalam Bahasa Inggeris - suatu kemahiran yang sukar dan jarang bagi seseorang di wilayah Patani ketika itu. Buku ini mengikut penterjemah bukanlah buku sejarah yang akan diterima faktanya oleh pengkaji atau ahli sejarah pendidikan Barat, namun ia adalah satu penulisan  yang bertujuan untuk mengekal ingatan penduduk Melayu Islam Patani kepada sejarah sebuah kerajaan mereka yang dulu berdiri megah yang kini sudah tiada lagi. Pada masa yang sama buku ini, memaparkan sebab musabab kemunduran dan kemiskinan masyarakat Melayu Patani pada masa kini akibat daripada dasar-dasar pemerintahan kerajaan Thai terutama pasca pemerintahan secara demokrasi dan peperangan dunia kedua. Kemakmuran wilayah Patani tidak diagihkan sama rata kepada penduduk-penduduk Patani menyebabkan wilayah ini ketinggalan dari segi pembangunan dan berada dalam kemunduran, tidak sebagaimana dahulu semasa pemerintahan kerajaan Melayu Patani. Penulis mendedahkan jika terdapat bantahan atau rungutan daripada orang Melayu Patani terhadap kerajaan Thai terhadap hak mereka yang dinafikan, maka akan terdapat reaksi agresif daripada pihak kerajaan. Terlebih malang lagi segala masalah dan penindasan berlaku akan disembunyikan dari pengetahuan umum. Kerajaan Thai sejak dari dahulu ingin memecah mental dan keazaman orang Melayu Patani dengan pelbagai cara, namun gagal. Oleh itu sebarang usaha dari masyarakat atau individu Melayu Patani yang dilihat bakal mencabar polisi kerajaan Thai akan dianggap sebagai satu ancaman kepada negara. Yang demikian tidak menghairankan buku ini diharamkan di Thailand dan lebih menyedihkan turut diharamkan di Malaysia. 

Buku ini mengandungi empat bab. Sebagai mukaddimah ia dimulai dengan menjelaskan sejarah nusantara dan asal usul penduduknya. Bab seterusnya menceritakan tentang sejarah penubuhan kerajaan Patani sejak zaman sebelum Islam dan kecemerlangan pemerintahannya semasa zaman Islam terutama pada masa kurun ke 17 masehi. Bab ketiga memberitahu tentang saat kerajaan Melayu Patani mulai menurun pengaruh dan kekuasaannya sehingga dikalahkan oleh Raja Siam di pertengahan tahun 1785 akibat daripada pembelotan seorang berbangsa Siam kepercayaan Sultan Patani (h.56). Sungguhpun demikian kerajaan Melayu Patani mampu untuk bangkit semula selepas itu dan memberi tentangan sehingga dikalahkan sekali lagi oleh pihak Siam pada tahun 1791. Sejak dari masa itu pemerintahan kerajaan Melayu Patani mulai merosot dan akhirnya pada tahun 1906 pemerintahan orang-orang Melayu di Patani ditamatkan oleh Raja Siam dan pemerintahan wilayah-wilayah Selatan Thai ditadbir oleh pegawai yang dilantik oleh Raja Siam. Sebagai lambang kejayaan Siam menguasai Patani, meriam kerajaan Patani yang selama ini berjaya mematah serangan mereka kini dipamer dengan megah di hadapan kementerian pertahanan Thai di Bangkok (h.59). Bab terakhir buku ini mendedahkan dasar asilimasi Thai yang menyebabkan kesengsaraan dan penghinaan kepada bangsa Islam Melayu Patani (hh.87-88). Tekanan sebegini sudah tentulah akan dibalas dengan reaksi agresif dari kalangan  masyarakat Melayu. Akibat daripada tekanan, penindasan dan konflik berpanjangan, masyarakat Islam  Melayu Patani, menjadi mundur dan miskin. 

Pateemoh Sadeeyamu, Gabenor Muslimah
Pertama Pattani dilantik pada 22/11/2022

Sudah tentu keadaan sebegini, sudah berubah masa kini di wilayah-wilayah Selatan, di mana keadaaan sudah menjadi lebih stabil dan banyak kebebasan  diberikan kepada penduduk Islam Melayu beramal dengan agama dan budaya mereka. Namun kesan polisi-polisi zalim pada masa lalu masih terasa. Kini cabaran baru masyarakat Islam Melayu Patani adalah perjuangan untuk mengekal identiti agama, bahasa dan budaya mereka di sana yang semakin hari terhakis dengan proses asilimasi arus perdana masyarakat Thai.                           


No comments:

Post a Comment

Global Internal Audit Standard

This a release of a new standard by the Institute of Internal Auditor (IIA) last January 9, 2024 and will become effective on January 9, 202...