“Perniagaan Satu Jihad“
Slogan ini dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim (1947-2017), bekas Ketua Pengawai Eksekutif Johor Corporation. Idea ini bertitik tolak daripada pelbagai faktor dan cabaran yang melibatkan keadaan ekonomi dan sosial umat Islam di Malaysia dan juga dunia. Ini tidak kurang juga dari kepercayaan bahawa rezeki secupak tidak akan sejadi segantang. Oleh yang demikian keadaan yang menimpa umat Islam adalah ketentuan yang mesti diterima sebagai takdir. Ini ditambah lagi dengan pelbagai tanggapan sinikal yang disulam dengan petikan-petikan keagamaan yang menempelak kekayaan dan harta benda sebagai alat keduniaan yang mengalpakan serta melalaikan. Namun pada saat yang sama kita tidak boleh menyalahkan masyarakat Islam dan ulamanya yang mempunyai tanggapan sinikal ini. Ia perlu diteliti dalam konteks suasana amalan sistem ekonomi modern yang didominasi oleh sistem kapitalis dengan kerangka nilainya yang berbeza atau bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti yang diamalkan di Malaysia dan rata-rata negara lain dunia kini, objektif utama ahli perniagaan adalah membuat keuntungan. Kerangka nilai sistem kapitalis ini adalah bersifat persaingan yang selalunya melibatkan iklan pemasaran dan pengaruh lobi melobi serta lain-lainnya yang mengabaikan nilai-nilai moral. Ini ditambah lagi dengan penggunaan wang fiat dalam sistem ekonomi moden yang membolehkan penciptaan wang tanpa apa-apa sandaran yang mempunyai nilai intrinsik seperti emas atau barangan bernilai serta penggunaan faedah dalam pengambilan keuntungan kewangan adalah garis merah besar kepada sistem perniagaan Islam. Oleh itu pandangan sinikal ini ada kewajarannya.
Sungguhpun pada masakini kesan-kesan negatif elemen-elemen persaingan sistem
ekonomi dikurangi atau diimbangi dengan beberapa inisiatif awam seperti SDG,
perlindungan hak-hak pengguna, undang-undang buruh dan lain-lain lagi, yang
mana dasar-dasar ini mempunyai persamaan dengan nilai-nilai Islam, masyarakat
Islam masih kurang berminat untuk terlibat dengan sektor ekonomi atau
perniagaan. Sebabnya mudah sahaja, iaitu jentera utama sistem kewangan yang
menjadi tunjang kepada kegiatan ekonomi modern adalah penggunaan faedah dalam
sistem kewangan. Setelah halangan ini diatasi melalui pengenalan perbankan
Islam di Malaysia pada tahun 1982, pertumbuhan ekonomi umat Islam di tanah air
masih belum memberansangkan. Tidak dinafikan pada masa kini telah lahir
golongan menengah Islam yang kuat melalui strategi pendidikan melalui
dasar-dasar seperti penyediaan biasiswa, penubuhan institusi pendidikan tinggi
dan pelbagai lagi. Pun begitu pemilikan
kekayaan negara oleh umat Islam masih rendah, kerana penglibatan umat Islam dalam
sektor ekonomi tidak rancak sebagaimana yang diharapkan. Oleh yang demikian
stigma atau paling kurang pun ketidakpedulian kepada kepentingan penguasaan
ekonomi atau kekayaan sedikit sebanyak ada pengaruh yang mengambarnya sebagai
korup atau yang dicemuh boleh membawa kepada lagha dan kelalaian.
Di sini terletak kebijakan Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang menyedari bahawa
pegangan pandangan dunia sebegini perlu ditanggani dengan kaedah yang sama.
Dari sini lahirlah slogan jihad perniagaan, jihad ekonomi, jihad busines dan seumpamanya.
Jihad adalah satu istilah atau perkataan islamis yang sudah berakar umbi dalam
pemikiran dan kepercayaan serta nilai dan jati diri umat Islam. Sudah tentu
gabungannya dengan perniagaan akan memberi kesan saikologi yang mendalam kepada
umat Islam mengenai kegiataan ekonomi. Slogan ini bukanlah satu manipulasi
istilah islamis sebagaimana yang digunakan oleh banyak kumpulan lain bagi
pelbagai tujuan terutama mencari sokongan dan pengaruh, kerana ianya bertitik
tolak dari kelemahan umat Islam itu sendiri dalam pelbagai bidang. Menyedihkan
lagi jumlah umat yang ramai dan “penguasaan“ dalam politik masih tidak boleh
membebaskan mereka dari kepungan dan pergantungan penghidupan dalam aspek
ekonomi dan kewangan dari sumber-sumber luar. Begitu juga anjuran-anjuran keagamaan
supaya mencari punca penghidupan secara berdikari serta galakan melibatkan diri
dalam perniagaan melalui hadis hadis bahawa 9/10 daripada rezeki adalah pada
perniagaan, belum cukup untuk membangkitkan kesedaran betapa peri pentingnya perniagaan
digerakkan oleh umat Islam Malaysia. Lantaran itu bergemalah slogan perniagaan
satu jihad dari Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Menurutnya perkara ini diperlukan
kerana keadaan ekonomi umat Islam adalah dalam keadaan darurat sehingga
memerlukan jihad untuk membebaskannya.
Menyedari supaya penglibatan umat Islam dalam kegiataan ekonomi tidak
terpengaruh dengan nilai-nilai barat atau kapitalis atau lebih serius lagi tanpa
disedari nilai-nilai Islam dicairkan oleh nilai-nilai barat atau ia diterapkan dalam
nilai-nilai Islam sebagaimana yang berlaku kepada beberapa projek islamisasi
institusi barat, maka Tan Sri Muhammad Ali mengariskan beberapa nilai etika
Islam yang perlu dipatuhi. Paling utama adalah mematuhi hukum-hukum Syariah
dalam perniagaan kerana tanpanya perniagaan itu tidak akan mempunyai
keberkahan. Bagi Tan Sri bergiat dalam kegiatan ekonomi yang halal adalah
penting kerana ianya memberi keadilan dan seterusnya keberkahan dan mengikut
keyakinannya akan meningkatkan penjualan serta keuntungan. Seterusnya mengambil
sikap yang berbeza mengenai manusia dan harta dari sistem kapitalis yang memboleh
kedua-duanya dimanipulasi semaksimum mungkin bagi mencapai objektif kekayaan. Bagi
Tan Sri Muhammad Ali Hashim manusia adalah khalifah dan oleh itu perlu
dihormati. Sesuai dengan ini kegiatan ekonomi atau perniagaan perlu menghormati
manusia sebagai khalifah. Dalam hubungan ini kegiatan ekonomi tidak boleh menjejaskan
atau memudaratkan kepentingtan dan pengidupan manusia. Kegiatan ekonomi
mestilah mensejahterakan penghidupan manusia.
Manakala harta adalah satu amanah yang perlu dijaga dan digunakan untuk
kepentingan semua melalui dasar-dasar serta amalan-amalan adil dan baik. Pada
masa kini sikap ini diterapkan melalui pelbagai inisiatif seperti SDG, Valued
Based Initiative dan Social Corporate Responsibility dan sebagainya. Namun begitu pada masa yang sama, ini
tidak bermakna kebaikan model-model perniagaan barat atau kapitalis ditolak. Sesuai
dengan ini, dalam konteks strategi perniagaan yang baik dan berkesan serta
murah, ahli perniagaan Islam perlu mengambil peluang dengan menggunakan
tanda-tanda perniagaan terkenal antarabangsa seperti KFC (yang mana tanda
perniagaan ini begitu sinonim dengan Tan Sri Muhammad Ali Hashim). Atau dengan
katanya kita perlu menghalalkan business berkenaan supaya ia cenderung kepada
nuansa Islamik atau menjadi islamik lambat laun. Sungguhpun demikian penggunaan
logo-logo antarabangsa ini mungkin boleh menimbulkan kontroversi terutama dalam
konteks perkembangan geopolitik kini. Apapun hasil dari usaha dan kegigihan Tan
Sri Muhammad Ali Hashim kesannya sudah dirasakan kini, walaupun masih banyak
perlu dilakukan. Ternyata pendekatan Tan Sri Muhammad Ali dalam perubahan kegiatan
ekonomi Islam, walaupun melalui slogan yang berapi iaitu jihad, namun sebenarnya
adalah secara organik dan bertahap atau gradual. Ini adalah sesuai dengan Islam
yang bersifat fitrah.


No comments:
Post a Comment