Kepentingan Wakaf Secara
Korporat[1]
Oleh:
Ahmad Hidayat Buang
Jabatan Syariah dan Undang-undang
Universiti Malaya
Maksud wakaf secara korporat adalah wakaf berkenaan diuruskan oleh badan professional
pelaburan dan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan maksima. Ianya berbeza
dari wakaf masa lalu, yang terhad kepada hartanah. Wakaf secara korporat juga
boleh bermakna pewakafan harta dalam pelbagai bentuk dengan mengekalkan tujuan
asal wakaf iaitu untuk menahan harta berkenaan bagi mencapai maksud atau objektif
pewakaf untuk tujuan atau kepentingan awam atau peribadi yang dibenarkan oleh
hukum Syarak. Perkara utama tujuan dalam pewakafan secara korporat adalah
mendapat keuntungan maksima bagi memenuhi objektif pewakaf. Dengan demikian wakaf
secara pengurusan profesional ini mementingkan kecekapan dan penjimatan kos dalam
urusan pelaburan harta wakaf dalam pelbagai bentuk dan dimensi perniagaan
moden. Melalui cara ini hasil keuntungan pelaburan wakaf dapat diperoleh dengan
banyak dan dalam jangka waktu yang cepat atau singkat. Yang paling penting dalam
konteks pelaburan sebegini adalah kecairan hasil pelaburan wakaf berkenaan yang
boleh digunakan dengan segera bagi faedah dan kepentingan umat Islam. Inilah
yang dimaksudkan dengan kecekapan pelaburan. Pada masa yang sama badan korporat
yang menguruskan wakaf ini harus sentiasa beringat untuk mematuhi keperluan dan
pematuhan Syariah semasa menjalankan urusan pelaburan. Perkara ini tidak sukar
dilakukan lagi memandangkan sudah terdapat pelbagai instrumen pelaburan Islam
serta kawalan-kawalan pematuhan Syariah oleh badan-badan regulasi kewangan
dalam negara ataupun luar negara.
Faedah lain yang ketara daripada pengurusan wakaf secara korporat ini ialah
kawalan kepada kelangsungan (sustainability or continuity) entiti pelaburan yang
tidak akan terjejas dengan perubahan sosial, politik dan geopolitik semasa
mahupun ekonomi. Lazimnya badan-badan korporat sentiasa terpengaruh dengan dinamika
di atas, sama ada akan berlaku pengabungan, perubahan misi dan objektif mahupun
dalam keadaan tertentu pembubaran atau penggulungan. Sebagai contoh apabila
berlaku pertukaran kepimpinan samada di peringkat badan korporat atau negara,
perubahan kepada objektif dan tujuan wakaf tidak boleh dilakukan sesuka hati
atau dengan mudah. Sungguhpun tidak dinafikan badan korporat wakaf akan juga
terdedah kepada ketidakstabilan politik dan ekonomi, namun dari segi
kelangsungan objektif dan tujuannya tidak akan berubah dan akan kekal sentiasa
sesuai dengan konsep wakaf iaitu “in perpetuity“. Oleh yang demikian
kepentingan umat Islam melalui wakaf korporat ini akan sentiasa terjamin.
Melalui pelaburan wakaf secara korporat, sumber dah hasil kekayaan ekonomi
melalui aktiviti pelaburan dan perniagaan tidak akan hanya dikuasai oleh
golongan tertentu yang mungkin hanya mementingkan keuntungan. Dengan cara ini
dominasi ekonomi dan kekayaan dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersifat materialistik,
invidualistik dan lain-lain akan dapat dipecahkan. Perkara ini boleh dilakukan
kerana pelaburan dan perniagaan yang dilakukan oleh badan korporat wakaf ini
adalah dalam skala yang besar dan oleh itu ia
boleh bersaing, memberi pengaruh dan kesan kepada pemain-pemain lain. Perkara
ini tidak boleh dilakukan oleh pemain individu atau oleh aktiviti ekonomi wakaf
yang terhad melalui pembangunan hartanah yang memerlukan modal besar, kos yang
tinggi dan masa yang lama untuk mendapat pulangan.
Sehubungan dengan ini, beberapa peraturan lama yang berkaitan dengan wakaf
mungkin lagi tidak relevan kerana boleh menghalang inovasi dan pelaburan harta
wakaf secara efisien dan“cost effective“. Peraturan berkenaan perlu
dikaji dan disemak semula supaya badan korporat wakaf boleh bergerak dengan
pantas dan cekap bagi kesejahteraan masyarakat Islam dan negara. Sungguhpun
pada masa sekarang sudah terdapat undang-undang wakaf di negeri-negeri yang
memberi makna yang luas terhadap bentuk-bentuk wakaf yang sudah tentu memberi
fleksibiliti kepada bentuk-bentuk pelaburan harta wakaf, namun dalam suasana ekonomi
dan perniagaan dunia hari ini yang masih didominasi oleh sistem ekonomi kapitalis
berasaskan kepada faedah, maka ijtihad-ijtihad baru perlu dikemukakan bagi membolehkan
pelaburan dilakukan secara cekap dan murah. Ini terutamanya yang melibatkan
penggunaan prinsip-prinsip darurah, hajah dan ma’alat yang bertunjang kepada
maqasid untuk menjaga agama dan harta orang-orang Islam perlu dilakukan bagi
membolehkan pelaburan harta wakaf sedemikian sentiasa patuh Syariah.
[1] Sedutan dari Multaqa Ekonomi MPI (Muzakarah
Perundingan Islam) di PICC pada 28 Septemper 2016 di mana penulis hadir sebagai
peserta dengan beberapa tambahan oleh penulis terutama di perenggan akhir.
No comments:
Post a Comment