Friday, 27 November 2015

Hibah Lebihan (Surplus) Kepada Pemegang Polisi Takaful Am (Motor) dan Masalah-Masalah Yang Timbul Daripadanya

1. Sebagai insentif kepada pelanggan, pemegang polisi Takaful Am motor dijanjikan hibah jika terdapat lebihan dalam dana takaful berkenaan. Yang dimaksudkan dengan lebihan atau surplus di sini ialah jika hasil pendapatan dana melebihi daripada kadar keuntungan yang dianggarkan dalam belajawan tahunan. Sebagai contoh sekiranya kadar keuntungan dianggarkan sebanyak 3% namun keuntungan sebenar adalah 3.5% maka 0.5% itu adalah lebihan. Sebagaimana yang dimaklumi keseluruhan caruman atau pembayaran takaful motor akan dimasukkan di dalam tabung risiko atau tabarru' bagi tujuan perlindungan.

2. Bagi pengiraan lebihan ini, item yang ditolak adalah tuntutan (claims), yuran wakalah (bagi yang menggunakan modul wakalah, Takaful Semula Diserahkan serta apa-apa perbelanjaan lain. Jumlah ini akan dicampurkan dengan keuntungan pelaburan jika ada.  Pemegang modal boleh berkongsi lebihan ini dengan hak maksimum sebanyak 50% sebagaimana yang ditentukan oleh pihak BNM (in a manner which ensure fair treatment of different groups of participants - GTOF 2013). Namun operator Takaful boleh memilih untuk tidak mengagihkan lebihan ini untuk tujuan-tujuan lain seperti pengukuhan dana risiko dan sebagainya. Perkara ini dinyatakan dengan jelas di dalam akad takaful di mana lebihan akan diagihkan kepada pemegang polisi mengikut budibicara pengendali takaful, namun tertakluk kepada persetujuan hibah bersyarat. 

3. Agihan apabila dibuat akan dibayar berasaskan kepada kadar sumbangan pemegang polisi yang akan dikongsi secara prorata. Cara bayaran pada masa dahulu adalah melalui cek yang dihantar kepada alamat pemegang polisi. Masalah yang timbul ialah cek berkenaan tidak ditunaikan oleh pemegang polisi kerana pelbagai sebab seperti surat tidak sampai kerana berpindah alamat, salah alamat dan sebagainya. Begitu juga kerana jumlah yang kecil pemegang polisi tidak berminat untuk menunaikannya. Mengikut polisi sesetengah pihak operator Takaful hanya jumlah hibah yang melebihi RM10 akan diagihkan kepada pemegang polisi. Keputusan ini dibuat berasaskan kepada amalan perniagaan dan kos yang perlu ditanggung oleh pihak operator tidak berbaloi bagi agihan sedemikian.

4. Masalah pemegang polisi tidak menunaikan bayaran yang dibuat pada masa kini sedang diatasi melalui pembayaran terus ke dalam akaun bank. Namun begitu terdapat juga maklumat-maklumat yang tidak lengkap atau kemaskini menyebabkan bayaran tidak dapat dibuat. Untuk memberi keadilan kepada pelanggan, pihak operator akan memberi notis secara bertulis yang dipos ke alamat terakhir serta akan juga diiklankan dalam laman sesawang syarikat takaful berkenaan memaklumkan perkara sedemikian.

5. Masa yang diberi untuk memberi respon ialah selama setahun. Dalam tempoh berkenaan wang yang diagihkan itu akan dianggap sebagai liabiliti operator. Apabila masa setahun sudah berlalu, maka lebihan berkenaan akan dimasukkan dalam dana risiko. Namun begitu, pihak pelanggan boleh pada bila-bila masa membuat tuntutan bagi mendapatkan jumlah lebihan berkenaan. Pada pandangan saya, hanya jumlah pokok sahaja yang dikembalikan sungguhpun semasa berada dalam dana berkenaan keuntungan dibuat kerana dana ini bertujuaan tabarru' dan mestilah mengutama kepentingan ramai.

6. Pada masa dahulu sekiranya cek yang dikeluarkan itu tidak ditunaikan dan dikembalikan kepada operator, selain daripada kos yang perlu ditanggung, kerana cek tidak ditunaikan, jumlah berkenaan mengikut undang-undang akan dianggap sebagai wang tidak dituntut.  Oleh yang demikian menjadi tanggungjawab operator untuk menyerahkannya kepada pemegang amanah raya sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Namun begitu persoalannya ialah apakah wang tidak dapat dimasukkan dalam akaun pelanggan sebagaimana yang dijelaskan di perenggan 4 dan 5 di atas tidak tertakluk kepada undang-undang sebagai wang tidak dituntut? Pada pandangan penulis, sewajarnya wang tersebut dimasukkan ke dalam dana risiko dan tidak dianggap sebagai wang tidak dituntut kerana ia berpunca daripada tindakan budibicara operator dan bukannya hak yang boleh disaman oleh pelanggan.

Sunday, 22 November 2015

Siapa Sebenarnya Yang Mengorbankan Umat Islam

Kedatangan Presiden Obama ke Malaysia pada 20 November 2015 telah mengundang pelbagai komen. Pihak yang menerima kecaman akibat lawatan ini tidak lain tidak bukan adalah kerajaan Malaysia yang dituduh tunduk kepada kemahuan negara Amerika itu. Sebagai sebuah negara yang paling kuat di dunia, Amerika sudah tentu mempunyai pengaruh dalam pergolakan politik dunia khususnya di Timur Tengah dengan polisi yang tidak adil menyokong kekejaman Israel. Kebanyakan komen-komen yang dibuat secara mudahnya menyatakan peperangan dan kematian ribuan umat Islam di Timur Tengah dan juga di seluruh dunia adalah berpunca daripada polisi pentadbiran Amerika. Oleh itu sesiapa yang cuba berbaik-baik dengan Amerika akan dianggap pengkhianat dan bersongkokol dengan kejahatannya. Namun begitu, komen-komen ini tidak pula cuba untuk memberi jalan penyelesaian kepada penderitaan umat Islam, melainkan sikap konfrantasi terhadap negara-negara Barat dan sekutunya. Persoalannya apakah pendirian sebegini memberi kelebihan kepada umat Islam? Dan selanjutnya apakah ianya sesuatu yang selaras dengan ajaran Islam?





Sudah tentu bagi protagonis-protagonis anti barat akan beranggapan inilah suatu bentuk jihad dan umat Islam mestilah bersedia menggadaikan nyawa untuk tujuan itu. Dan bagi golongan umat Islam yang berpandangan sebaliknya akan dituduh sebagai tidak islamik dan mementingkan keduniaan semata-mata melebihi daripada berjuang untuk Islam, Masya Allah! Tidak dapat dinafikan bahawa Amerika dan dunia barat mempunyai agenda politik dan ekonomi tertentu bukan sahaja kepada umat Islam bahkan juga dunia. Ini dapat dilihat kepada ketegangan dan perlumbaan antara negara berkenaan dengan China dan Rusia.  Namun begitu pada pandangan saya sebahagian daripada masalah ini juga berpunca daripada sikap umat Islam sendiri. 

Dalam menilai tindakan yang wajar dilakukan terhadap dunia barat, kita perlu melihat kepada sirah Nabi Muhammad s.a.w. dan mengambil pengajaran atau ‘ibrah daripadanya. Jika mengikut kefahaman protagonist anti barat, sudah tentu tindakan yang perlu diambil oleh Rasulullah sewajarnya secara konfrantasi dan hostile dengan kafir Quraysh. Namun sikap yang diambil oleh Baginda adalah sebaliknya iaitu dengan bersabar dan menunggu peluang yang sesuai. Ini terserlah pada peristiwa perjanjian Hudaibiyyah, di mana kebanyakan para sahabat merasa tidak wajar Rasulullah s.a.w. dan umat Islam diperlakukan sedemikian rupa. Sudah tentulah Rasulullah s.a.w. mengambil keputusan berkenaan bukan kerana takut atau tidak mahu berjuang, namun Baginda mempertimbangkan kemaslahatan yang lebih besar iaitu survival umat Islam. Peperangan yang berlaku selepas Hijrah Nabi s.a.w. bukanlah bermakna tindakan taktikal yang berlaku ketika perjanjian Hudaybiyyah itu tidak lagi diperlukan. Bahkan ianya perlu diperhatikan dan dipratikkan terutama dalam suasana masa kini.

Keutamaan Baginda s.a.w. adalah sentiasa untuk memelihara nyawa umat Islam dan kelangsungan dakwah Islam serta pelaksanaan rukun-rukun Islam dan Iman.  Baginda melalui satu Hadis akan memilih jalan yang lebih mudah di antara dua jalan. Pendirian ini diteruskan oleh para ulama dan ahli bijak pandai Islam dalam menghadapi kekuasaan pemerintah yang dikatakan kejam dan zalim. Ini adalah kerana untuk memelihara kemaslahatan umat Islam, selagi mana rukun-rukun dan syiar Islam dapat dilaksanakan. Kita boleh memerhatikan perkara ini berlaku ketika kota Baghdad ditawan oleh kaum Tartar yang mana akhirnya di atas kesabaran yang ditunjukkan kaum berkenaan akhirnya memeluk Islam. Namun begitu, akibat terpengaruh dengan elemen-elemen ekstrem, sikap dan pendirian sebegini dikatakan sebagai bercanggah dengan konsep amar makruf dan nahi munkar yang dinyatakan di dalam al-Quran. Namun begitu, mereka terlupa bahawa seruan nahi munkar jika mengikut hadis adalah mengikut kemampuan. Sikap ekstrem ini bukanlah perkara baru dalam sejarah Islam. Ianya telah ditunjukkan oleh golongan Khawarij yang menggunakan slogan-slogan agama bagi tujuan untuk menumpahkan darah umat Islam.

Persoalannya hari ini yang perlu kita pertimbangkan ialah apakah kita mempunyai kemampuan yang mencukupi untuk menghadapi kekuatan musuh. Ya benar, mati syahid adalah cita-cita setiap umat Islam, namun dari segi politik dan kemunasabahan apakah wajar kita mendedahkan keselamatan dan nyawa umat Islam kepada bahaya. Apatah lagi mereka yang memberi fatwa-fatwa jihad itu bersenang lenang di bilik-bilik hotel, sedangkan yang menimpa kesusahan atau bersusah payah berjuang adalah umat Islam yang percaya kepada fatwa-fatwa berkenaan. Apa yang lebih menghairankan mereka menggunakan kemudahan dan kebebasan Barat seperti di Amerika dan Eropah untuk mencapai cita-cita radikal mereka. Sebagaimana yang dinyatakan di atas tiada apa-apa jalan penyelesaian yang diutarakan selain berkonfrantasi. Saya percaya jika ditanya orang-orang awam Muslim di negara-negara yang bergolak mereka tidak perlu kepada fatwa-fatwa jihad dari kerusi-kerusi empok hotel-hotel lima bintang ini. Apa yang mereka perlu adalah keamanan bagi membolehkan mereka menjalani penghidupan secara biasa. Ini adalah juga sebahagian daripada ajaran Islam dan memelihara maqasidnya iaitu menolak kerosakan itu adalah lebih baik dari mendapat masalah. Menolak kerosakan kehilangan nyawa dan harta adalah lebih baik daripada perjuangan menjatuhkan pemerintahan yang dikatakan zalim yang mana dari segi kemunasabahannya akan mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam dan harta benda.

Ajaran yang menyatakan orang yang berjihad itu akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah swt. dan para malaikatnya, adalah benar. Namun apakah jihad itu dengan satu cara sahaja sebagaimana yang difahami oleh golongan protagonis. Saya percaya dalam keadaan umat Islam yang lemah dalam segala-gala aspek pada masa kini, jihad yang paling besar adalah bagaimana untuk mengembalikan maruah dan kemajuan umat Islam dari sudut keilmuan, perabadan dan ketamadunan. Dunia barat sungguhpun membenci Islam, namun memberi peluang kepada semua orang, termasuk umat Islam untuk maju dalam bidang ilmu. Jika tidak mana mungkin kebanyakan bijak pandai Islam yang ada pada masa kini mendapat pendidikan dari Barat. Begitu juga dalam kemajuan ekonomi. Dunia barat tidak menghalang kita untuk memajukan ekonomi kita, bahkan mereka menerima sistem perbankan Islam. Oleh itu jihad yang menguntungkan umat Islam di samping memelihara maqasid dan maslahah ialah kemajuan ilmu dan pengukuhan ekonomi dan bukannya retorik-retorik protagonist yang ingin mengekal kedudukan mereka melalui ilusi jihad dan perjuangan secara aggresif dan keganasan. Oleh itu bagi saya secara tidak langsung yang mengorbankan umat Islam dan membawa penderitaan kepada mereka adalah fatwa-fatwa golongan protagonist ini, tapi malangnya mereka tidak sedar ataupun tidak mahu sedar dan terus menerus dalam keegouan mereka kononnya sebagai pembela Islam!

Saturday, 24 October 2015

Berdakwah Melalui Sains

Berdakwah Melalui Sains


Oleh: Profesor Dr.Ahmad Hidayat Buang
Jabatan Syariah dan Undang-undang
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Emel: hidayat.buang@gmail.com
  

Kita selalu dihidangkan dengan sebaran berita bahawa terdapat hasil kajian telah membuktikan beberapa larangan Syariah terutama yang berkait rapat dengan makanan dan gaya hidup termasuk hukuman mempunyai kebaikan sains. Antara berita yang terpampang seperti terjumpanya kuman-kuman yang merbahaya di dalam air liur anjing, daging babi dan sebagainya. Begitu juga dengan hukuman rotan kepada pesalah seks boleh mengubati ketagihan seks seseorang dan pekerjaan tawaf Baitul Allah di Mekah menyebabkan putaran paksi bumi dan sebagainya. Mungkin ada di antara dakwaan ini telah jelas kebenaran sainsnya serta tidak perlu dibuktikan kerana ternyata kesannya secara zahir seperti keburukan minuman alkohol dan dadah termasuk rokok, namun terdapat sesetengan dakwaan lain tidak diasaskan kepada kaedah pembuktian yang jelas. Sesungguhnya umat Islam wajib menjauhi larangan-larangan berkenaan sebagaimana yang ditetapkan oleh Syariah, namun untuk memperkuatkan larangan-larangan berkenaan dengan dakwaan yang tidak sahih kebenarannya dari sudut pandangan metodologi ilmu sains dan teknologi malah lebih buruk lagi hanya dengan khabar-khabar angin yang selalunya dipetik melalui media-media popular, bukanlah sesuatu yang perlu disokong malahan pada pandangan saya tidak bertepatan dengan kaedah Islam sebagaimana ditunjukkan oleh al-Quran. Tambahan pula sekiranya terdapat perbahasan khilaf di kalangan para ulama dari segi kebersihan penggunaan bahan berkenaan sebagai contoh bahan-bahan yang telah melalui proses pembersihan atau apa yang dkenali dengan istilah istihalah.

Masyarakat Islam di Malaysia amat gemar kepada cerita-cerita sensasi mengenai kehalalan dan keharaman sesuatu produk makanan, barangan kegunaan harian, gaya hidup dan seumpamanya. Sebagai contoh baru-baru ini tersebar dakwaan mengenai pencemaran DNA babi di dalam produk coklat sebuah syarikat. Sungguhpun akhirnya terbukti kesalahan maklumat berkenaan, namun masyarakat Islam di negara ini menjadi gempar dan isu ini menjadi persoalan negara yang serius memandangkan bantahan, cemuhan, kerisauan malah luahan emosi yang keterlaluan di dalam media masa dan media sosial. Begitu juga dengan dakwaan bahawa beberapa produk makanan terutama sayuran yang dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan najis seperti khinzir dan air kencing. Tujuan penggunaan bahan-bahan ini mengikut maklumat yang disebarkan itu bagi menjadikan produk berkenaan lebih berkualiti! Dakwaan ini pula diperkuatkan lagi oleh komentar-komentar yang diberikan oleh saintis Muslim tempatan. Dakwaan sebegini adalah juga mengulangi peristiwa pencemaran DNA khinzir pada produk coklat seperti di atas kerana tidak dibuat berasaskan kepada kaedah dan metodologi yang kukuh dan pasti.  Bagi saintis dakwaan ini menunjukkan ketidakfahaman kepada proses alam iaitu di mana alam tumbuhan mengambil yang kotor dari alam buana ini dan memberi balik kepada manusia dan makluk lain yang terbaik dalam bentuk oksigen dan fiber. Manakala alam manusia dan haiwan mengambil yang baik dan elok tadi dan memulangkan yang buruk dan kotor dalam bentuk karbon kepada tumbuhan. Bagi saintis ini adalah proses semulajadi alam dan bagi Islam ia adalah sunnatul Allah yang telah ditetapkan.

Apa yang saya fahami, di dalam ilmu sains dan perubatan sesuatu penemuan hendaklah melalui ujikaji-ujikaji ilmiah yang mengikut kaedah dan metodologi yang ditetapkan. Untuk memperkukuhkan hasil dapatan berkenaan ia akan dibentangkan kepada pakar-pakar untuk perkongsian maklumat atau untuk mendapat pengiktirafan. Lazimnya hasil-hasil kajian berkenaan diterbitkan dalam penerbitan atau dibentangkan di seminar yang diiktiraf kesarjanaannya. Memandangkan negara-negara umat Islam masih lemah dalam bidang sains, teknologi dan perubatan, maka penerbitan dan seminar berkenaan banyak terdapat di negara-negara Barat. Keadaan sebegini mungkin boleh menimbulkan persepsi atau tanggapan bahawa umat Islam tidak perlu bergantung kepada Barat untuk menerima sesuatu kebenaran dalam ajaran Islam.  Dan bagi tujuan ini hasil kajian sains yang membuktikan kebenaran larangan di dalam Islam boleh diterima sebagai hujah, walaupun diragui kesahihan ujikajinya atau ketepatan sumber maklumatnya. Ini adalah dengan alasan keagamaan iaitu untuk berjaga-jaga atau apa yang diistilahkan sebagai ihtiyati dan wara‘. Metod pemikiran sebegini bukanlah sesuatu yang baru, malah ianya sudah timbul sejak dari dahulu lagi dan mungkin merupakan satu faktor kemunduran umat Islam. Ini adalah kerana cara berfikir sebegini timbul ketika zaman menurunnya ilmu pengetahuan sains dan juga agama pada zaman pertengahan Islam terdahulu. Sebagai contoh terdapat beberapa hadis yang jika dinilai dari sudut sanadnya boleh dianggap lemah, namun diperkuatkan dan diterima sebagai hujah dengan alasan ianya selaras dengan matlamat Syariah.

Secara peribadinya saya menyokong pendekatan keagamaan sebegini sebagai sesuatu yang wajar dipratikkan untuk mengelak seseorang Muslim itu terjebak dalam sesuatu yang haram. Namun begitu dalam konteks untuk membina keyakinan golongan intelek terutamanya saintis terhadap ajaran Islam ianya bukanlah sesuatu cara yang perlu diamalkan. Pada pandangan saya ini adalah cabaran sebenar umat Islam terutama para ulama dan saintis Muslim untuk membuktikan kebenaran ajaran Islam melalui kajian emperikal serta ujikaji makmal yang melalui kaedah dan metodologi yang menyakinkan dan kukuh. Pada pandangan saya kaedah inilah yang digunakan oleh al-Quran serta ulama-ulama saintis terdahulu untuk membuktikan kebenaran ajaran Islam. Diketahui bahawa bangsa Arab mempunyai kekuatan dan kemampuan bahasa dan sastera yang luar biasa hebatnya melalui syair-syair dan perbendaharaan kata-kata. Kehebatan syair-syair ini telah ditundukkan oleh ayat-ayat al-Quran yang lebih indah. Malahan al-Quran mencabar supaya orang-orang kafir membawa rangkuman ayat yang lebih baik daripadanya. Begitu juga penjelasan al-Quran terhadap fenomena sains seperti kejadian janin dan kelahiran manusia dan astronomi dijelaskan secara spesifik dan terperinci telah terbukti secara saintifik.

Oleh yang demikian pada ketika dan saat umat mengambil pendekatan berhati-hati dan mengelak yang syubhat, amatlah perlu usaha diambil bagi membuat kajian dan ujikaji mengikut kaedah dan standard yang diterima antarabangsa bagi membukti keagungan ajaran Islam. Jika tidak ajaran Islam itu hanya merupakan satu mitos atau cerita-cerita sensasi mengikut kacamata ilmu pengetahuan masa kini yang dikuasai oleh tamadun atau nilai barat. Mungkin akan ada dalam kalangan umat Islam yang akan berkata “mengapa kita perlu khuatirkan penerimaan orang bukan Islam terhadap ajaran Islam, kerana Islam dibina dengan keyakinan dan keimanan kepada Allah dan Rasulnya?” Ini adalah satu sikap berdiam diri dan cemburu kepada kemajuan dan kemakmuran barat melalui penafian dan pada masa jangkapanjang akan merugikan agama Islam dan umatnya. Pada pandangan saya kajian emperikal dan ujikaji saintifik merupakan satu medan dakwah yang masih belum diterokai oleh umat Islam. Ianya adalah satu metod dakwah yang paling berkesan dalam masyarakat dunia yang serba canggih dan maju kerana melaluinya umat Islam mampu untuk bercakap dan berdebat dengan bahasa yang mereka faham dan cara berfikir yang mereka dapat menerimanya. 

Tuesday, 20 October 2015

Is Islamic Investment Account Unsecured?

Under Islamic Financial Services Act 2013 (IFSA) there are two main accounts: deposit account and investment account. While the capital in deposit account is guaranteed, not only the return is not guaranteed in the investment account, the holder of this account may also loose the capital. This is a major change from the previous practice of investment account whereby the capital is guaranteed. Because of this new requirement, there has been a concern on its attractiveness to the investors/depositors. There has been also uncertainty among the industries that the new investment account would see a significant migration of deposits from Islamic to conventional banks especially among the institutional depositor. Although in principle as per Islamic rule of Mudarabah or Musyarakah both profit and capital are not guaranteed, in reality the element of risk is almost minimal as several steps have been taken to protect the  investment or capital from loss. One of the step is to tag the investment against secured assets that generates stable stream of income. In addition to that under IFSA (section 217 b) the interest of investment account holder are safeguarded in the event of a winding-up of the bank. More importantly, IFSA allows exclusion of capital adequacy ratio calculation, eligible liabilities for computation of statutory reserve requirement calculations and savings from PIDM premium. Because of these exclusions and savings, the bank is able to provide higher return the depositors. In the end, after all, the investment account, despite of its risk element, is actually  a very low risk investment with high return as compared to its older version prior to the enforcement of IFSA. 

Saturday, 17 October 2015

Beberapa Fakta Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia

Beberapa Fakta Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia

(1) Angka-angka

Mengikut laporan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2010 terdapat sebanyak 82,00 wanita yang berkahwin di Malaysia berumur antara 15-19 tahun. Perkara ini menimbulkan persoalan kerana Malaysia telah menerima resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada tahun 2013 untuk menamatkan amalan perkahwinan secara paksa dan di bawah umur. Dari data statistik yang dikumpulkan oleh Voice of Children iaitu sebuah badan NGO yang bergabung di bawah Child Rights Coalition menunjukkan sejak dari 10 tahun yang lepas terdapat seramai 6,800 kanak-kanak wanita dan 4,600 kanak-kanak lelaki yang berumur di bawah 15 tahun yang berkahwin. Dari jumlah ini seramai 2,450 pasangan adalah dari etnik Melayu, 1,600 Cina, 600 India dan lain-lain kaum 600. Jumlah ini sebenarnya adalah anggaran kerana tiada data rasmi seperti bancian yang mengumpul maklumat sebegini ditambah lagi dengan dua sistem pendaftaran perkahwinan Islam dan sivil di Malaysia yang menyukarkan data-data dikumpulkan secara holistik dan menyeluruh. Namun begitu bagi pasangan yang beragama Islam jumlah yang dikumpulkan oleh pihak JAKIM menunjukkan pada tahun 2014 sebanyak 1106 permohonan perkahwinan di bawah umur telah diterima dengan sebanyak 971 kelulusan diberikan. Negeri terbanyak yang menerima permohonan perkahwinan (dan kelulusan) di bawah umur di Mahkamah Syariah bagi bulan Januari dan Februari 2014 ialah Sabah dan Sarawak masing-masing sebanyak 37 (21; 23), Kelantan 31 (23), Terengganu 15 (15),  Johor 13 (12) dan Pahang 12 (10).




(2) Undang-undang dan Amalan

Undang-undang di Malaysia memperuntukkan umur minima bagi pasangan beragama Islam 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi wanita, manakala bagi pasangan bukan beragama Islam 18 tahun bagi kedua-dua jantina. Namun begitu undang-undang membenarkan perkahwinan di bawah umur dengan kebenaran Mahkamah Syariah bagi pasangan beragama Islam dan Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi pasangan bukan beragama Islam. Antara faktor-faktor yang diambil kira sewaktu mempertimbangkan permohonan perkahwinan di bawah umur ialah: (1) status ekonomi, (2) kematangan pasangan, (3) kesihatan dan (4) persetujuan kedua-dua keluarga pasangan. Dari segi amalan di Mahkamah Syariah pula Hakim akan memanggil kesemua pihak yang terlibat untuk menyiasat apakah sebab-sebab permohonan perkahwinan berkenaan, persetujuan pihak-pihak keluarga terutama pertanyaan kepada pasangan berkenaan apakah benar-benar mereka mahu berkahwin. Bagi memperkukuhkan proses permohonan ini, pihak kerajaan telah mewajibkan laporan perubatan dan laporan saikologi atau sosial kepada pihak Mahkamah dan Menteri Besar semasa menimbang sesuatu permohonan perkahwinan di bawah umur. 




(3) Faktor-faktor Perkahwinan dan Isu Sosial

Daripada amalan dan pemerhatian didapati antara faktor-faktor perkahwinan di bawah umur ialah (1) kehamilan awal yang tidak diingini oleh pasangan dan keluarga terbabit, (2) untuk menutup kesalahan pasangan (3) untuk membendung tindak-tanduk anak gadis yang sukar dikawal dan (4) bagi keluarga yang miskin sebagai jalan keluar bagi mengatasi masalah ekonomi. Sungguhpun perkahwinan di bawah umur ini dapat menyelesai beberapa masalah seperti di atas, sesetengah pengkaji berpandangan terdapat beberapa isu sosial dan kekeluargaan akibat daripada perkahwinan sebegini iaitu (1) pasangan berkenaan terdedah kepada risiko fisikal dan mental seperti emosi yang tertekan (2) keadaan tubuh fisikal yang masih belum bersedia untuk menjalani kehidupan suami isteri seperti kehamilan yang akan menjejaskan kesihatan dan kandungan (3) tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab berumah tangga sebagaimana pasangan normal yang lain - akan menyebabkan berlakunya perselisihan dan akhirnya perceraian, (4) akan berlaku pengabaian pendidikan dan menyebabkan pasangan berkenaan berkerja di sektor bawahan bagi menampung kehidupan dan (5) jika pasangan berbeza umur boleh menyebabkan berlakunya keganasan atau pengabaian rumah tangga.     



Monday, 7 September 2015

Ulasan Artikel Kemal A. Faruqi's Reconstruction of Islamic Law: A Modernist Position in Islamic Jurisprudence oleh Mark Gould (2008). The Muslim World 98(October): 423-442

Ulasan Artikel Kemal A. Faruqi's Reconstruction of Islamic Law: A Modernist Position in Islamic Jurisprudence oleh Mark Gould (2008). The Muslim World 98(October): 423-442

Artikel ini bertujuan untuk menonjolkan semula tokoh modernist Islam yang mana mengikut penulis ideanya mengenai perundangan Islam tidak mendapat tempat atau yang telah dikesampingkan daripada pemikiran arus perdana perundangan Islam. Faktor yang menyebabkan perkara sedemikian mengikut apa yang diistilahkan sebagai dominasi komitmen keagamaan ke atas dogma. Dengan menggunakan teori sosial Max Weber dan analisis perbandingan agama antara Islam dan Kristian aliran Protestan, penulis menghujah bahawa amalan keagamaan masyarakat banyak dipengaruhi oleh komitmen mereka daripada dogma. Ini diperkuatkan lagi dengan eskatologi agama Islam yang memberi penekanan kepada peraturan atau hukum hakam melebihi daripada kefahaman terhadap prinsip. Berasaskan kepada faktor ini sebarang percubaan untuk mengubah persepsi yang sudah dipegang sejak zaman berzaman akan menghadapi cabaran sukar. Oleh itu nasib yang diterima oleh Faruki adalah sama sahaja dengan tokoh modernis lain yang lebih hebat seperti Rashid Rida dan juga Abduh. Kita mungkin boleh membaca terus di dalam tulisan Faruki mengenai idea-idea modernismenya, namun apa yang dilakukan oleh penulis ialah meringkaskan idea-idea utama Faruki dan mengaitkannya dengan perbahasan-perbahasan semasa teori perundangan Islam. Mengikut penulis, Faruki sedar bahawa untuk membawa perubahan, dia perlu berada dalam tradisi ulama dari segi metodologi dan keperibadian. 

Terdapat tiga topik utama tradisi Islam yang digunakan olehnya untuk membawa idea-idea pembaharuan, iaitu gejala syirik, sifat munafik dan hikmat basmallah. Secara mudahnya idea modernisme bertujuan untuk menyerlahkan prinsip-prinsip universal Syariah yang ditenggelam dalam kerumitan teknikaliti hukum-hukum Syariah. Apatahlagi hukum-hukum berkenaan dibayangi dan dikongkong oleh gejala taqlid dan fanatism mazhab yang lazimnya membawa kepada sikap anti kemajuan kerana ianya dibawa oleh tamaddun Barat. Tujuan akhir Faruqi membincangkan tiga topik di atas ialah untuk mengendurkan pegangan mazhab atau tafsiran nas yang berasaskan kepada ijma'. Ianya juga bertujuan untuk menetapkan pendekatan bahawa dalam menjawab persoalan isu-isu semasa bukan merujuk kepada peraturan ditil fiqh, bahkan bagi mencapai prinsip atau dasar-dasar Syariah. Penentangan atau bantahan kepada pendekatan ini dijawab oleh Faruqi dengan menyatakan keenganan untuk menyatakan pandangan yang ijmak boleh di tinggalkan atau dibaharui boleh memberi kesan akidah yang serius iaitu syirik. Ini bermaksud orang yang menetapkan sesuatu hukum dan kefahaman itu sebagai ijmak yang tidak boleh diubah, seolah-olahnya bertindak sebagai al-shari' dan ini adalah satu bentuk syirik. Melalui argumen ini Faruqi cuba untuk menjadikan ketetapan hukum yang diperoleh melalui jalan ijma dipersoalkan atau "problematize"dan dengan demikian nas-nas Syariah dapat dihuraikan secara lebih bebas secara hermenuetik. 

Manakala dalam pelaksanaan hukum hakam Syariah Kamal menekankan kebebasan untuk mengamalkannya. Oleh itu baginya paksaan dalam pelaksanaan undang-undang Syariah melalui pendekatan yang bersifat dogmatism baginya adalah satu ciri hipokrisi yang dilarang oleh Islam. Alasan yang digunakan bagi argumen ini ialah kerana undang-undang Syariah itu bersifat keagamaan, oleh yang demikian balasannya itu adalah juga bersifat keagamaan. Dari premis ini Faruqi berhujah urusan sesama manusia hendaklah diuruskan oleh mereka sendiri. Namun ini tidak bermakna undang-undang Syariah tidak boleh dijadikan panduan, apa yang menjadi persoalan ialah memaksakan pelaksanaannya secara tidak demokratik kepada mana-mana kelompok yang tidak bersetuju dengan undang-undang berkenaan.  

Seterusnya dengan menekankan bahawa Islam adalah agama rahmat dan mementingkan kesejahteraan umatnya melalui nilai yang dibawa dalam basmalah, pelaksanaan undang-undang Syariah mestilah membawa kepada rahmat. Ini bermakna jika terdapat mana-mana aspek pelaksanaan undang-undang Syariah yang tidak membawa kepada rahmat ianya boleh ditinggalkan. Berbuat demikian bukanlah bermakna seseorang itu menolak ajaran Syariah, namun kembali kepada prinsip Syariah yang lebih utama iaitu kesejahteraan manusia. Mengikut Faruqi, perkara ini dilakukan sendiri oleh Saidina Umar dalam pelbagai kes seperti perceraian talak tiga dengan lafaz yang satu dan penangguhan hukuman hudud kepada pesalahan jenayah mencuri. Baginya tidak mungkin Saidina Umar membantah hukuman yang berlaku di zaman Rasulullah. Apa yang dilakukan oleh Umar ialah dengan memahami prinsip utama perundangan Islam yang terpakai kepada situasi yang berbeza di mana hukum akhirnya adalah berbeza mengikut masa dan tempat.

Sunday, 30 August 2015

Filem Baru Prophet's Life Dari Iran

Satu filem baru mengenai Nabi Muhammad s.a.w. diterbitkan dari Iran. Laporan akhbar menyatakan filem ini adalah yang termahal pernah dihasilkan iaitu memakan belanja sebesar USD40 juta atau sebanyak RM84 juta serta memakan masa selama 7 tahun untuk disiapkan. Ia juga membabitkan nama-nama besar dalam dunia perfileman barat. Melihat kepada latarbelakang ini filem ini sudah tentu mempunyai kualiti yang setaraf dengan filem-filem antarabangsa. Apatah lagi Iran sememangnya terkenal sebagai negara yang pernah memenangi anugerah filem antarabangsa. Cuma tidak dapat dipastikan apakah versi sejarah yang cuba dipaparkan oleh pengarah filem ini, memandangkan latarbelakang pegangan mazhab yang diikuti di Iran dan bagaimana reaksi negara-negara yang antigonis kepadanya seperti dunia Arab termasuk juga berkemungkinan Malaysia. Apapun filem ini diharapkan dapat memberi satu persepsi positif ugama Islam terutama kepada audiens daripada dunia barat.

  

Perniagaan Satu Jihad

“Perniagaan Satu Jihad“   Slogan ini dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim (1947-2017), bekas Ketua Pengawai Eksekutif...