Saturday, 12 May 2018

Persoalan Matawang Kripto

Persoalan Matawang Kripto - Ahmad Hidayat Buang

New Straits Times menerbitkan sebuah rencana bertajuk "Cryptocurrency A Potential For Terror Financing?" ditulis oleh Ahmad Helmi Hasbi dan Remy Mahzan dari International Centre for Political Violence and Terrorism Research, S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University, Singapura pada 5 Mei 2018. Rencana ini sungguhpun bertajuk umum, perbincangannya banyak menyentuh pandangan Islam terhadap hukum matawang kripto. Perkara ini berlaku kerana penulis banyak memfokuskan penggunaan matawang bentuk ini oleh kumpulan-kumpulan penganas Islam terutama al-Qaedah dan tindakan-tindakan keganasan di merata-merata tempat di dunia seperti Indonesia, Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah. Tidak ditunjukkan penggunaan matawang kripto ini oleh kegiatan-kegiatan jenayah lain. Penulis menegaskan melalui data-data kajian oleh Majallah al-Jazeera pada Februari 2018, Agensi Kebangsaan Anti Terrorisme Indonesia dan Ghost Security Group iaitu sebuah pertubuhan vigilante penggodaman maklumat internet kumpulan-kumpulan pengganas, menunjukkan matawang kripto telah digunakan oleh pengganas untuk mendapatkan dana dan menyalur bantuan kewangan bagi menampung kegiatan kegananasan. Berasaskan kepada data-data ini, beberapa negara Islam seperti Mesir, Arab Saudi dan Turki telah mengeluarkan fatwa atau pendirian bahawa matawang kripto adalah tidak sah mengikut pandangan Syariah. Asas larangan ini dijelaskan oleh Fatwa Mufti Mesir pada Januari 2018 yang menyatakan matawang kripto tidak sah mengikut Syariah kerana mengandungi unsur gharar kerana ianya tidak diregulasikan dan ini mendedahkan pengguna kepada darar atau kemudaratan. Ini adalah kerana ia senang digunakan oleh kumpulan pengganas yang boleh mengancam keselamatan masyarakat umum. Elemen gharar atau perjudian (maysir) dalam penggunaan matawang ini dibuktikan dengan volatiliti pasaran kewangan tersebut yang sukar dikawal dan dijangka oleh mana-mana badan berkuasa kewangan. Oleh yang demikian asas larangan ini ialah untuk menjaga kepentingan awam terutama harta dan nyawa menurut teori maqasid atau maslahah Imam Ghazali. Namun begitu hukum penggunaan matawang kripto itu sendiri sebenarnya adalah harus kerana ianya mempunyai nilai dan diterima sebagai matawang dalam urusan perniagaan secara pasaran atau uruf. Minat kumpulan pengganas kepada matawang kripto adalah kerana ianya bersifat confidential dan berada di luar kawalan badan berkuasa kewangan yang mana ini memudahkan kegiatan kewangan yang bersifat anonimos dan senang untuk mengelakkan pengesanan daripada agensi anti terrorism dan pencucian wang.
        

Monday, 9 April 2018

GST dan Hukum Mengambil Cukai dari Orang Miskin

GST dan Hukum Mengambil Cukai dari Orang Miskin

Secara sepintas lalu, mungkin tidak manasabah cukai dipungut dari orang miskin. Dalam hukum Islam ianya tidak dibenarkan kerana menyalahi kaedah bahawa harta orang Islam itu adalah terpelihara, hanya diambil dengan izin atau melalui kewajipan Syarak seperti bayaran zakat, nafkah serta mahar dan seumpamanya. Namun begitu demi maslahah dan kepentingan umum, sesetengah ulama membenarkan cukai atau daribah dipungut daripada orang Islam yang berkemampuan. Ini adalah kerana tanpa cukai, pemerintah tidak mempunyai keupayaan untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan negara. Dalam negara moden pada masakini terdapat banyak perkhidmatan dan projek pembangunan yang perlu dibiayai melalui dana awam. Sumber dana ini kebanyakannya dari kutipan cukai, sungguhpun ada antara negara Islam yang dianugerahkan oleh Allah swt dengan sumber alam seperti minyak dan bahan galian lainnya yang boleh menampung perbelanjaan awam. Oleh yang demikian dari segi hukum Islam dengan mengambil kira maslahah dan keperluan atau darurah maka pemerintah boleh memungut cukai. Beberapa syarat diletakkan, antaranya secara ringkas seperti berikut: (1)  cukai tersebut bagi tujuan perbelanjaan awam yang memberi manfaat kepada semua atau kepada golongan yang dikenalpasti benar-benar memerlukannya, (2) tidak melibatkan sebarang unsur-unsur pembaziran dan kemewahan, (3) sudah tiada sumber lain yang boleh menampung perbelanjaan tersebut, (4) cukai dipungut dari mereka yang berkemampuan dan (5) diuruskan secara telus dan bertanggungjawab. Mungkin terdapat lagi syarat-syarat selain dari di atas bagaimana untuk memungut cukai berkenaan.

Mutakhir ini dibangkitkan persoalan kutipan cukai melalui GST. Bentuk kutipan ini ialah setiap pengguna akan membayar cukai terhadap barangan yang dimiliki atau perkhidmatan yang digunakan. Itulah yang dimaksudkan dengan GST iaitu Goods and Services Tax atau Cukai Ke Atas Barangan dan Perkhidmatan. Jika kita menggunakan kaedah hukum di atas, mungkin cara kutipan GST ini agak sedikit bercanggah dengan hukum Islam kerana secara tidak langsung orang miskin terpaksa membayar cukai tersebut. Namun begitu jika dihalusi cara pelaksanaannya di Malaysia, kemungkinan ianya tidak bercanggah dengan hukum Syariah. Terdapat beberapa alasan kepada pandangan ini seperti berikut: (1) Tidak semua barangan dikenakan cukai GST. Barangan keperluan utama seperti makanan asasi, ubat-ubatan, pendidikan, bahan bakar dan seumpamanya dikecualikan GST. Oleh yang demikian orang miskin hanya perlu membayar cukai tersebut kepada barang-barang bukan keperluan utama. (2) Jika pun orang miskin membayar cukai tersebut terutama pada barangan bukan utama, pihak kerajaaan menyediakan bantuan kewangan melalui BR1M yang berjumlah sebanyak RM1,500 setahun. Bantuan kewangan ini jika ditukarkan kepada 6% cukai GST tersebut boleh mengecualikan pembelian dan penggunaan perkhidmatan yang bernilai RM25,000. Oleh yang demikian sebenarnya orang miskin yang menerima BR1M tidak membayar cukai GST secara tidak langsung. (3) agak sukar untuk mengecualikan bayaran GST kepada orang miskin ketika berurusniaga kerana melibatkan proses pentadbiran yang banyak melibatkan jumlah urusniaga yang kecil. Ini termasuk dalam hukum masyaqqah. Dan (4) Cukai GST ini secara tidak langsung melatih dan mendidik masyarakat, terutama orang Islam, di dalam negara supaya bercermat dalam perbelanjaan yang tidak perlu. Sudah menjadi pengetahuan umum terdapat pembaziran dalam penggunaan barang makanan dan sebagainya di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh badan-badan bukan kerajaan.

Persoalan sama ada GST itu dibelanjakan sebagaimana yang sepatutnya, tidak dapat dijawab dengan jelas di sini. Namun jika diandaikan ianya memenuhi kriteria yang digariskan di atas, maka pengenaan cukai GST pada pandangan saya tidaklah bersalahan dengan hukum Syarak memandangkan manfaat dan maslahah yang diterima oleh masyarakat dan negara. Namun begitu untuk menyatakan ianya bertentangan dengan ajaran Islam dengan alasan orang miskin dipaksa membayarnya, pada fikiran saya, pandangan atau dakwaan ini adalah kurang tepat dan perlu dinilai semula. Ini adalah kerana bagi orang miskin bantuan dan pengecualian telah diberikan kepada mereka daripada membayar cukai berkenaan dalam bentuk pembelian dan penggunaan barangan dan perkhidmatan asasi dan pembayaran BR1M. Manakala persoalan bagaimana hasil GST itu dibelanjakan sebagaimana yang dibahaskan tidak menyentuh isu orang miskin terpaksa membayar cukai berkenaan berasaskan alasan yang ditunjukkan di atas. Isu tentang bagaimana hasil pungatan GST digunakan, pada pandangan saya, perlu dilihat secara menyeluruh kepada semua bentuk-bentuk cukai dan tidak hanya terhad kepada cukai GST. 

Wa Allah A'lam.  

Tuesday, 3 April 2018

Can a student give teacher a present

حكم الدين فى إهداء التلميذ للمعلم هدية
لا يجوز لمعلم قبول هدية من تلميذ فى مرحلة الدراسة لكونها تعتبر رشوة لوجود منفعة وهى أن ينجح المعلم التلميذ الراسب أو يوصى أصحابه المعلمين بأن ينجحوه وتجوز تلك الهدية إذا انقطعت علاقة التلميذ بالدراسة بسبب تخرجه أو عمله

Religious view on student giving present to teacher

It is not permitted for a teacher to accept present or gift from a student during the period of study for it can be considered as a bribery for the benefit whereby the teacher may give a pass to a non-performing student, or the teacher may ask a favour of another fellow's teacher to do the same. However the act of student giving present to the teacher is permissible when the relation between them expires because the student has finished the studies or already found a job.

Quoted from Rida al-Bitawi al-Bitawi, al-Hadiyyah fi al-Quran, 13 May 2016, http://www.ahl-alquran.com/arabic.

My comments:

This is probably a strict view, but nonetheless should be a standard practice. However if a performing student wanted to give a present to a teacher out of respect or appreciation even during the period of their student-teacher relationship and the amount or value of such a present is small or consumable in nature like food and alike, I do not see any harm for the teacher to accept it. In case of a weak or new student, additional precaution shall be put in place to avert allegation of wrong-doings. But if this can be avoided, it is probably preferable.

Monday, 2 April 2018

Mahar Hutang Sebagai Alternatif Dalam Perancangan Harta Islam

Mahar Mu'ajjal Sebagai Alternatif Dalam Perancangan Harta Islam?
Oleh: Ahmad Hidayat Buang© 2018

Mahar sebagaimana yang dimaklumi wajib dibayar oleh suami kepada isteri dalam perkahwinan. Sekiranya tidak dibayar ia akan dianggap hutang suami kepada isteri. Di Malaysia amalan yang dibuat adalah membayar mahar secara tunai. Perkara ini mampu dilakukan kerana jumlah mahar yang kecil. Di sesetengah dalam masyarakat dan negara Islam yang lain, jumlah mahar adalah besar dan oleh itu bayarannya ditangguhkan pada masa hadapan, selalunya ditunaikan ketika bercerai atau kematian. Mahar sebegini dikenali dalam istilah fiqh sebagai mahar mu'ajjal atau mahar mu'akkhar. Ia bertujuan sebagai jaminan kewangan kepada isteri jika suami menceraikannya atau meninggal dunia. Sebagaimana yang dimaklumi apabila berlaku kematian suami, bahagian pusaka isteri adalah kecil, iaitu 1/4 dalam ketiadaan anak atau 1/8 jika suami mempunyai anak. Sungguhpun terdapat alternatif lain bagi meningkatkan hak isteri dalam tuntutan pusaka suami melalui harta sepencarian, ia perlu melalui proses mahkamah yang mungkin melibatkan kos dan masa. Tidak dapat dinafikan juga pada masa kini terdapat beberapa syarikat perancangan harta yang menawarkan dokumen persetujuan harta sepencarian bagi memudahkan proses di Mahkamah. Namun begitu sebagai alternatif lain perancangan harta terutama kepada isteri ialah melalui mahar hutang. Apa yang akan berlaku ialah semasa perkahwinan mahar tidak dibayar tunai, namun ditangguhkan dan perkara akan menyebabkan ianya adalah satu bentuk hutang atau dayn yang tertanggung ke atas suami. Mengikut pandangan ulama jumlah atau kadar atau nilai mahar yang ditangguhkan ini boleh dikurangi dan ditambah selepas perkahwinan dengan syarat ianya dipersetujui oleh suami. Sebagai contoh sekiranya ketika perkahwinan dipersetujui mahar sebanyak RM5,000 secara tangguh, namun selepas 10 tahun perkahwinan suami ingin menambah nilaian mahar tersebut kepada RM50,000 atau lain-lain aset seperti rumah atau tanah, perkara ini adalah harus pada pandangan hukum Syarak. Ini adalah kerana kadar nilaian atau bentuk mahar merupakan persetujuan daripada suami dan isteri semasa akad nikah. Persetujuan suami diperlukan kerana tuntutan akan dibuat kepada hartanya. Oleh demikian sekiranya suami meninggal dunia, mahar mu'ajjal tersebut dianggap hutang dan akan diagihkan sebelum pusaka. Dalam hal ini isteri akan mendapat bahagian daripada peninggalan suaminya sebagai hutang dan juga bahagian dari pusaka sebagai waris. Persoalan mungkin ditanya, bagaimana keadaannya sekiranya isteri tersebut meninggal dahulu daripada suaminya? Sudah tentu suaminya masih perlu menjelaskan hutang tersebut dan akhirnya menjadi pusaka waris atau waris-waris isterinya. Pun begitu syarat boleh dimasukkan dalam persetujuan mahar tadi dalam keadaan isteri meninggal dahulu dari suami dengan melepaskan hutang tersebut. Pada pandangan saya syarat sebegini boleh dimasukkan kerana ia tidak menjejaskan kepentingan mana-mana pihak. Jika dihujahkan perkara ini boleh menjejaskan kepentingan waris-waris isteri, persetujuan mereka boleh diperolehi bagi melepaskan hutang tersebut. Begitu juga akan timbul persoalan apakah boleh mahar yang sudah ditunaikan boleh dipersetujui semula sebagai mahar mu'ajjal bagi tujuan di atas? Pada masa kini, terdapat beberapa majlis yang dinamakan sebagai marriage re-vow atau wedding re-vow yang bermaksud untuk memperbaharui ikatan perkahwinan bagi pasangan yang telah lama berkahwin. Sungguhpun majlis sebegini berasal daripada budaya barat, ianya telah diikuti oleh sesetengah orang Islam. Pada pandangan saya majlis sebegini tidak menyalahi apa-apa kaedah dan hukum Syariah kerana ianya termasuk dalam ertikata mu'asyarah bi al-ma'ruf bayna zayjayn yang dianjurkan oleh al-Quran. Didapati dalam kebanyakan majlis sebegini, hadiah atau wang diberikan oleh suami kepada isteri dan sebaliknya. Oleh yang demikian majlis sebegini boleh digunakan sebagai cara di mana suami akan menyatakan komitmen kewangan kepada isterinya dalam bentuk penangguhan dan akan tertunai apabila berlaku perceraian atau kematian bagi mencapai objektif di atas iaitu sebagai alternatif penyelesaian perancangan harta orang Islam. Proses pengamanahan (trust) boleh digunakan bagi maksud pelaksanaan komitmen ini selepas kematian suami dan tidak dianggap sebahagian daripada pusaka. Sebagaimana yang dimaklumi konsep amanah atau trust adalah sesuatu yang baru di dalam fiqh Islam. Ia dikatakan salah satu faktor kejayaan sukuk kewangan Islam Malaysia, kerana terdapat elemen pengamahan dalam urusniaga tersebut melalui penubuhan syarikat SPV (special purpose vehicle) yang bertindak sebagai pemegang amanah di dalam urusniaga sukuk. Kemungkinan prinsip amanah sebegini boleh digunakan dalam konteks komitmen kewangan wedding re-vow bagi mereka yang sudah menunaikan bayaran mahar ketika perkahwinan terdahulu dan ingin mengatur perancangan harta mereka kepada orang yang tersayang.  

Friday, 30 March 2018

Penerima wasiat terhalang menerima harta wasiat sekiranya ada tuntutan wasiyyah wajibah?

Beberapa enakmen wasiat orang Islam di Malaysia telah memperuntukan pemakaian wasiat wasiat wajibah atau wasiyyah wajibah. Antaranya Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999. Maksud wasiat wajibah ialah wasiat yang dianggap telah dibuat oleh simati kepada cucunya yang mana bapa kepada cucu tersebut meninggal terlebih dahulu daripada simati. Seksyen 27 (1) Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor memperuntukkan bahawa cucu daripada anak lelaki yang meninggal terlebih dahulu daripada datuknya berhak kepada wasiat wajibah dan mengikut subseksyen 27(2) kadarnya mengikut bahagian yang sepatut diterima oleh bapa kepada cucu tadi sekiranya ia hidup, namun dengan syarat tidak melebihi 1/3 harta pusaka. Perkara ini nampaknya diterima dan dipakai, memandangkan sudah terdapat kes-kes sedemikian yang dibawa ke Mahkamah Syariah Selangor. Sungguhpun demikian, pemakaian peruntukan wasiat wajibah ini berkemungkinan mempunyai kesan kepada penerima wasiat atau benefisiari (sebagaimana istilah dalam undang-undang Selangor) iaitu sama ada ia akan terhalang daripada menerima faedah wasiat tersebut secara keseluruhan atau sebahagian. Maksud halangan di sini ialah secara nuqsan di mana bahagian maksimun wasiat yang dibenarkan iaitu 1/3 dihabisi oleh cucu yang meneriwa wasiat wajibah.  Ini adalah kerana mengikut hukum wasiat seseorang hanya boleh mewasiatkan hartanya setakat 1/3. Keadaan ini berlaku sebagai contoh dalam keadaan di mana seorang mewasiatkan 1/3 hartanya kepada Zaid secara wasiat biasa dan apabila dia meninggal warisnya adalah seorang anak dan seorang cucu yang mana bapanya telah meninggal terlebih dahulu daripada simati. Jika simati meninggalkan harta sebanyak RM150,000 ini bermakna cucu tadi mengikut peruntukan wasiat wajibah akan menerima bahagian bapanya yang meninggal iaitu 1/2, manakala anak simati baki 1/2. Dalam hubungan ini cucu tersebut akan menerima bahagian maksimum sebanyak RM50,000 iaitu 1/3 harta berkenaan sebagaimana menurut seksyen 27(2) di atas. Ini akan menjadikan Zaid terhalang daripada menerima faedah wasiat yang dibuat kepadanya kerana bahagian 1/3 harta wasiat tersebut sudah dihabisi oleh cucu simati (secara hijab nuqsan). Memandangkan undang-undang tidak menyatakan dengan jelas bagaimana untuk menyelesaikan keadaan ini, maka kita boleh mengandaikan penyelesaian sebegini secara nuqsan akan dilaksanakan. Manakala andaian bahawa dalam keadaan sebegini bahawa Zaid dan cucu akan berkongsi 1/3, sebagaimana dalam keadaan wasiat dibuat kepada beberapa orang benefisiari yang melebihi 1/3 akan berkongsi sesama mereka setakat kadar maksimum 1/3, tidak boleh dilaksanakan kerana undang-undang telah menyatakan bahawa bahagian wasiat wajibah cucu tersebut hendaklah digenapkan 1/3. Namun begitu ini tidak bermakna Zaid tidak langsung berpeluang menerima wasiat berkenaan kerana anak simati boleh melepaskan haknya sama ada 1/3 ataupun kurang daripada itu. Oleh yang demikian maka agihannya mengikut penjelasan ini ialah Zaid menerima wasiat iaitu sebanyak RM50,000 dan baki agihan masing-masing sebanyak RM50,000 kepada anak dan cucu simati. Masalah ini jika timbul di Indonesia akan diselesaikan dengan memberi wasiat terlebih dahulu kepada Zaid dan bakinya akan diagihkan kepada anak dan cucu. Ini adalah kerana cucu tadi mengikut  peruntukan Kompilasi Hukum Islam Indonesia 1999 (KHI) menerima pusaka melalui prinsip tanzil yang dipetik dari mazhab Hanafi, iaitu ia mengambil tempat bapanya yang meninggal dunia. Perkara 185 (1) KHI memperuntukkan bahawa "Ahli waris yang meninggal lebih dahulu dari pada sipewaris maka kedudukannya dapat digantikan oleh anaknya". Wa Allah 'Alam bi al-Sawab.  

Saturday, 3 February 2018

Kepentingan Sekuriti Makanan

Yang dimaksudkan dengan sekuriti makanan ialah keadaan di mana terdapatnya bekalan makanan yang mencukupi secara tetap dan makanan tersebut pula dapat dibeli dengan harga yang berpatutan dan bernutrisi atau berada dalam kualiti yang baik. The final report of the 1996 World Food Summit menyatakan sekuriti makanan bermaksud " food security exists when all people, at all times, have physical and economic access to sufficient, safe and nutritious food to meet their dietary needs and food preferences for an active and healthy life" Daripada definisi ini bekalan makanan merupakan satu aspek dalam polisi pemerintahan sesebuah negara kerana ianya menyentuh jaminan dan kawalan. Oleh yang demikian dari perspektif Syariah ia termasuk di bawah perkara siyasah syar'iyyah. Ini adalah kerana jaminan bekalan makanan secara tetap dan kawalan harga yang manasabah serta kualiti makanan yang baik hanya boleh dilakukan oleh pemerintah. Dalam menetapkan apakah bentuk makanan yang perlu dijamin atau dikawal, di Malaysia tidak ada satu polisi atau undang-undang yang bersepadu. Namun terdapat beberapa undang-undang yang bertujuan untuk mengawal dan menjamin bekalan makanan. Sebagai contoh Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal bekalan beras yang mencukupi kepada orang ramai baik semasa aman atau darurat. Begitu juga Akta Kawalan Bekalan 1961 bertujuan untuk mengawal edaran dan harga barangan utama. Di bawah Akta ini diperkenalkan Peraturan Bekalan Makanan 1974 yang menyenaraikan beberapa barangan makanan yang dikawal harga oleh kerajaan seperti gula, susu, garam, tepung gandum, minyak masak, semua jenis roti dan ayam. Senarai barangan makanan ini termasuk dalam tiga kategori utama iaitu (1) makanan asasi (2) sumber protin dan (3) makanan keperluan lain seperti gula, minyak dan garam.Selain daripada itu bagi memastikan jaminan makanan dalam negara Kerajaan telah melancarkan Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) pada 2 Mei 2008 yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti sektor agro ketahap sara diri dan penyediaan bahan makanan yang mencukupi, berkualiti serta selamat. Ia juga bertujuan untuk memastikan para petani, penternak dan nelayan mendapat harga setimpal bagi hasil keluaran mereka. Bagi mencapai dasar ini beberapa strategi telah dirancang seperti meningkatkan hasil pertanian melalui insentif pertanian, program bumi hijau dan pembangunan tanah dan kolam terbiar. Ia termasuk juga meningkatkan stok beras negara. Bagi memastikan hasil keluaran dapat dijual dengan harga yang boleh memberi pulangan yang wajar kepada petani dan penternak, kaedah pemasaran dibuat melalui  agensi kerajaan iaitu FAMA. Sungguhpun terdapat undang-undang dan dasar mengenai sekuriti makanan, namun data-data menunjukkan Malaysia masih bergantung kepada negara luar untuk bekalan makanannya. Antara masalah yang dihadapi dalam jaminan bekalan makanan mencukupi di Malaysia ialah kekurangan dalam penggunaan teknologi dan pergantungan kepada beras sebagai makanan utama. Begitu juga kekurangan modal dan industri sokongan bagi meningkatkan pengeluaran. Bagi mengatasi masalah ini satu dasar alternatif kepada makanan utama telah dicadangkan seperti mengantikan atau menampung penggunaan beras kepada sumber-sumber lain seperti ubi, jagung, pisang dan lain-lain. Begitu juga pengeluaran dan kekurangan tanah boleh ditingkatkan melalui penggunaan teknologi sebagaimana di negara-negara lain seperti Jepun dan Korea. Industri sokongan kepada pertanian seperti pengeluaran baja, bahan makanan ternakan dan sebagainya perlu diwujudkan atau ditambah bagi menjamin hasil pengeluaran pertanian ditingkatkan bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara tahap sara diri. Manakala bagi mengelakkan hasil pengeluaran tidak dapat dijual perlu dimantapkan teknologi penyimpanan atau industri makanan seperti penghasilan makanan ringan, minuman dan sebagainya. Ini bagi menjamin petani dan peladang dapat memasarkan hasil pengeluaran mereka secara setimpal. Jaminan sekuriti makanan ini adalah penting, kerana bagaimana kaya dan maju kita pun jika tiada makanan, maka itu semua tidak bermakna. 

Rujukan.

Mohd Ayop Abd Razid (2012). Pengguna dilindungi Pelbagai Akta. Utusan Online (25 April 2012). wwl.utusan.com.my 

Travelog Magrib October 2016

Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr, Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026).

Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr, Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026, kulit nipis, 544 halaman). ...