
Memandangkan ianya adalah milik kolektif maka terdapat cadangan supaya prinsip wakaf dan takaful digunakan dalam pengelolaan skim hybrid ini. Cadangan ini boleh diteroka bagi tujuan pelaksanaannya secara yang lebih praktikal. Namun perlu diingat jika menggunakan wakaf sumbangan tersebut bukan lagi menjadi milik pekerja. Namun begitu syarat boleh dibuat bagi pengendali wakaf persaraan berkenaan untuk membuat bayaran tertentu kepada pekerja berkenaan samada berbentuk sekali gus atau saraan bulanan ketika persaraan nanti. Struktur ini adalah hampir sama dengan modul takaful berasaskan wakaf. Manakala penggunaan takaful mungkin bermaksud sumbangan berkenaan dimasukkan dalam mana-mana skim berkelompok Takaful bagi tujuan pembayaran ketika persaraan nanti. Sumbangan takaful boleh dibuat oleh kedua-dua pekerja dan majikan. Kelebihan struktur takaful ialah terdapat manfaat kematian dan ilat kekal serta jaminan deposit oleh kerajaan.
Menyentuh tentang Takaful dan Wakaf terdapat dua keadaan. Pertama ialah modul Takaful berkenaan berasaskan kepada wakaf sebagaimana yang dijelaskan di atas. Modul ini tidak diamalkan di Malaysia. Setakat ini modul ini dilaksanakan di Pakistan. Namun cara pengurusannya hampir sama sahaja dengan modul wakalah di mana pengendali atau operator Takaful boleh mengenakan yuran wakalah dari tabung wakaf. Perbezaannya dengan modul wakalah ialah sebagaimana dalam konteks wakaf boleh menggunakan wang dari tabung wakaf untuk perbelanjaan pengurusan Takaful berkenaan. Sunggupun demikian lebihan atau surplus jika ada tidak boleh dikongsi bersama dengan operator sebagaimana yang berlaku dalam modul wakalah.
Keadaan kedua takaful dan wakaf ialah sama ada gabungan antara takaful dan wakaf sebagaimana yang ditawarkan oleh Hong Leong MSIG Takaful atau pilihan oleh pencarum atau peserta Takaful untuk menyumbang manfaat takaful berkenaan sebagai wakaf seperti yang ditawarkan oleh Great Eastern Takaful. Gabungan antara wakaf dan takaful oleh Hong Leong MSIG Takaful dibuat secara bersama dengan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM). Dalam produk ini 5% dari sumbangan wakaf peserta akan digunakan oleh YWM bagi perbelanjaan pengurusan. Di samping sumbangan terus sebagai wakaf, peserta juga diminta bersetuju untuk menyumbang kepada YWM sebagai wakaf dengan kadar tidak melebihi dari 1/3 manfaat takaful apabila berlaku kematian. Nampaknya kedua-dua Takaful berkenaan tidak membenarkan penamaan manfaat berkenaan secara hibah bersyarat, sebaliknya menganggapnya sebagai wasiat. Pun begitu dari segi proses pentadbiran agihan manfaat takaful ini samada kepada YWM atau badan-badan wakaf yang lain dijangkakan akan dibuat sepertimana penamaan. Ini adalah kerana agihan secara wasiat memerlukan surat kuasa wasiat atau probet dari Mahkamah dan ini sudah tentulah menyulitkan atau melambatkan agihan berkenaan.
No comments:
Post a Comment