Terdapat hadis jika diperiksa dari sudut sanatnya dihukum sebagai lemah. Namun kelemahan ini tidak menjejaskan hadis berkenaan untuk diterima sebagai hujah di dalam penentuan hukum. Perkara ini dilakukan dengan menyatakan kandungan atau matan hadis tersebut adalah diterima sebagai benar dengan cara ijmak. Maksudnya teks hadis berkenaan adalah selaras dengan prinsip hukum Syarak. Di bawah ini adalah petikan dari Kitab al-Rawdah al-Nadiah Syarh al-Durar al-Bahiyyah oleh Hasan al-Qanuji (m.1255H.) halaman 4 yang menjelaskan peranan ijmak menjadikan hadis yang lemah dari segi sanadnya diterima sebagai sahih kerana isinya selaras dengan maksud yang difahami di dalam perbincangan fiqh. Di dalam teks di bawah hadis riwayat Imam Ahmad yang disahkan oleh sebahagian ulama-ulama Hadis dengan disokong oleh pelbagai riwayat hadis yang sama. Manakala dua hadis lain (iaitu dari hadis Thawban riwayat Darulqutni dan hadis Abu Umamah riwayat Ibn Majah dan Tabarani) yang membuat penambahan kepada matan yang terdapat di dalam hadis Imam Ahmad diterima dengan jalan ijmak bagi sesiapa yang menerima kehujahan ijmak. Manakala bagi mereka yang tidak menerima kehujahan ijmak maka ijmak berkenaan memberi menjelaskan makna hadis berkenaan. Penjelasan oleh pengarang ini amat penting kerana penerimaan kehujahan sesuatu hadis itu hendaklah dilihat bukan sahaja setakat kepada sanadnya, namun diperhatikan dan difahami dari aspek-aspek lain yang dibincangkan oleh para ulama sebagaimana di dalam teks di bawah. Perbincangan hadis-hadis berkenaan melibatkan sifat air iaitu bersih dan membersihkan.
Perspektif bertujuan memaparkan pandangan peribadi penulis terhadap pelbagai isu-isu semasa perundangan Islam bagi tujuan perbincangan dan perkongsian bersama. Perspektif is writer's view relating to contemporary issues in Islamic law for discussion and mutual sharing.
Saturday, 3 November 2018
Sunday, 7 October 2018
Ulasan artikel: Fazlur Rahman’s Islamic Methodology oleh Tamara Sonn (1991)
Ulasan artikel: Fazlur Rahman’s Islamic Methodology oleh Tamara Sonn
(1991). The Moslem World LXXX1 (3-4): 212-230.
Artikel
ini mengulas pemikiran seorang tokoh reformis Islam moden yang berasal dari
Pakistan namun menetap di Amerika Syarikat sehingga akhir hayatnya. Beliau
meninggalkan Pakistan kerana tekanan-tekanan politik dan keagamaan yang
dikatakan boleh mengancam keselamatannya. Bagi beliau krisis umat Islam pada
zaman moden dan slogan-slogan penyelesaian yang dicadangkan di bawah wadah
persatuan Islam atau pan-Islamism untuk kembali bersatu melalui kaedah Islam
hanyalah bersifat reaksi kepada cabaran atau gejala kolonialism yang banyak
bertitik tolak kepada punca permasalahan sosio-politik dan ekonomi serta krisis
identiti budaya masyarakat Islam. Sungguhpun Fazlur Rahman sering dimomokan
sebagai pemikir Islam liberal yang cenderung kepada tamadun Barat, namun
penulis berpendapat asas metodologi pemikiran dan penyelesaian Islam beliau
berakarumbikan kepada Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Beliau percaya bahawa
Islam adalah penyelesaian kepada krisis moral dan sosial dunia moden yang melibatkan
juga ekonomi dan politik. Sungguhpun demikian beliau berpandangan penyelesaian
berkenaan bukanlah mengikut kaedah tradisi Islam yang sedia ada. Mengikut
beliau kaedah berkenaan perlu kepada rombakan dan semakan semula. Hanya selepas
semakan kepada tradisi dan kefahaman Islam yang terdahulu selesai dilakukan dan
ianya diterima oleh masyarakat Islam dan berkeupayaan sebagai asas pendidikan
dalam kurikulum pengajian Islam, maka di saat itulah penyelesaian Islam berupaya
untuk mengubah dan memperbaiki bukan sahaja permasalahan yang dihadapi oleh
umat Islam sendiri bahkan juga bencana serta kerosakan krisis moral dan nilai masyarakat
dunia. Kekurangan metodologi Islam tradisi mengikut Fazlur Rahman adalah kerana
tidak melihat semangat menyeluruh atau overall
spirit al-Quran bagi memahami world
view atau sudut pandangan ajaran Islam. Punca kegagalan ini adalah kerana kefahaman
Syariah dan Akidah sebagai benar dan tepat dicapai melalui institusi mazhab dan
ikutan kepada amalan masa lampau atau precedent
melalui institusi hadis. Ikutan kepada hadis mengikut penulis tidak berasaskan
kepada analisis rasional ketika menjustifikasikan sesuatu tafsiran terhadap kes
tertentu (h.215). Kefahaman atau tafsiran ini diperoleh secara ikutan kepada
apa yang dibentangkan oleh hadis berkenaan. Kaedah ini tidak banyak bezanya apa
yang diamalkan oleh masyarakat Arab sebelum Islam dan gagal untuk melihat
prinsip-prinsip universal yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Hadis
melalui analisis yang menyeluruh. Dalam hubungan ini penulis menyatakan Fazlur
Rahman cuba membezakan antara hukum dan prinsip yang mana kriteria asasi
sesuatu hukum yang dibentangkan oleh al-Quran dan al-Sunnah atau al-Hadis ialah
mengikut konteks sejarah. Oleh yang demikian amatlah penting untuk menentukan
aspek-aspek hukum yang bersifat sejarah daripada yang bersifat nilai dan
prinsip sejagat atau universal values.
Akibat daripada pendekatan yang bersifat penerimaan kepada apa yang
dibentangkan oleh amalan lampau melalui hadis atau precedent, ajaran atau metodologi tradisi Islam tidak berjaya mengembangkan
nilai ajaran Islam yang universal iaitu satu set prinsip-prinsip yang
menjangkau tempat dan waktu serta boleh dijelaskan dan dilaksanakan dari satu
generasi kepada generasi yang seterusnya (h.216). Natijahnya metodologi tradisi
Islam tidak mempunyai prinsip-prinsip analatikal yang sistematik serta
cenderung kepada anti-rasionalism dan bergantung kepada kefahaman yang
berasaskan kepada hadis (217). Pandangan ini merupakan kritikan kepada tesis
Imam Syafi‘i yang menegaskan peranan hadis di dalam perundangan dan akidah dan
membataskan peranan akal hanya kepada sumber qiyas. Menyedari halangan teori perundangan ini beliau memetik
pandangan dua ulama tradisi Islam bagi menguatkan hujahnya. Sebagai contoh Izz
al-Din al-Sulami dikatakan menolak hukuman rejam (berasaskan kepada hadis) dan
Ibn Taymiyyah menolak dakwaan ijma‘ (h.218). Untuk membolehkan prinsip-prinsip
universal Islam dikemukakan bagi penyelesaian masalah semasa umat Islam beliau
mencadangkan tiga langkah yang perlu diambil (hh.220-1):
(1)
Mengenal pasti objektif dan ajaran moral al-Quran
(2)
Membezakan hukum al-Quran yang bersifat kejadian sejarah (historical accident)
atau yang beliau istilahkan sebagai description
daripada prinsip universal atau prescription.
Kaedah ini dikenali oleh sarjana barat sebagai kaedah historicism atau tarikhiyyah.
(3)
Memahami konteks dan kehendak moden atau semasa.
Penulis
menyatakan bahawa Fazlur Rahman tidak menafikan cadangan ini adalah satu bentuk
inovasi bahkan juga satu penyimpangan (deviation)
daripada ajaran tradisi Islam terutama prinsip ijma’. Namun inilah antara intipati ajaran Islam iaitu islah di mana terangkum dalamnya konsep
inovasi. Oleh yang demikian inovasi merupakan satu contoh aplikasi sudut
pandang Islam dalam penyelesaian masalah. Dengan menggunakan pendekatan
kontekstual Fazlur Rahman menunjukkan bagaimana kefahaman terhadap nilai-nilai
asasi ajaran al-Quran perlu difahami supaya dapat diaplikasikan tanpa batas
waktu dan tempat melalui dua contoh iaitu keharusan berpoligami dan kelebihan
lelaki ke atas wanita. Berbeza dengan cara kefahaman metodologi tradisi, Fazlur
Rahman menegaskan bahawa di dalam contoh kelebihan lelaki ke atas wanita bukan
bermaksud kelebihan yang bersifat inheren, namun ia lebih bersifat funsional
(h.222). Fahaman ini disimpulkan melalui pendekatan persejarahan dan
kontekstual di mana masyarakat pada masakini ada berbeza dari dahulu. Jika
difahamkan maksud al-Quran sebegini maka Syariah Islam akan bersesuaian dengan
mana-mana keadaan sekalipun. Perubahan sebegini mengikut Fazlur Rahman lagi
disokong oleh prinsip nasakh di dalam al-Quran sendiri yang mengakui perubahan
masa dan keadaan. Dengan mengambil ayat yang menyentuh tentang jihad, beliau
menegaskan ianya satu contoh dinamisme dan kontekstualiti al-Quran (marhaliyyah) (h.223). Begitu juga amalan
ijtihad di awal Islam adalah contoh
kontekstualiti berlaku bagi mencari kebenaran universaliti Islam. Hanya selepas
berlakunya perubahan dalam metodologi ini baharulah penyelesaian secara Islam
dapat dilaksanakan dengan tepat sebagai alternatif kepada kaedah dan kefahaman
pelaksanaan hukum Islam secara tradisi dalam bentuk reaksi kepada tamadun
barat.
Saturday, 6 October 2018
Larangan Syarak
Larangan Syarak
Berdasarkan poster yang tertampal di Surau Airport Qatar. Mungkin ada di antara larangan ini perlu diperhalusi. Tulisan berwarna biru di dalam bentuk point itu adalah ulasan dari saya. Ulasan ini saya akan update dari masa ke semasa.
1. Melakukan kezaliman (zulm)
- Kezaliman ini dalam banyak bentuk dan keadaan. Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa Syirik itu adalah kezaliman yang besar. Ia juga boleh dalam bentuk penganiayaan kepada hak-hak seseorang sebagaimana dalam hadis bermaksud doa orang yang dizalimi itu tiada hijab. Seterusnya dalam bentuk manipulasi ekonomi iaitu larangan riba yang bermaksud "... supaya kamu tidak menzalimi atau dizalimi (melalui riba ini)".
- Merasa semua kejayaan atau kekayaan dengan usaha sendiri. Sifat ini dikeji oleh agama kerana menafikan kekuasaan Allah swt. Apabila ini berlaku sudah tentulah tidak ada sifat syukur kepada Allah swt yang menjadi perhiasan seorang Muslim, apatahlagi bersyukur dan berterima kasih kepada manusia. Begitu juga sudah tentulah tidak ada perasaan tawadu' atau rendah diri (humble) yang menjadi mahkota orang beriman. Di dalam al-Quran orang-orang yang digambarkan takabbur ini seperti firaun dan qarun. Begitu juga digambarkan orang Musyrikin Mekah dan orang Yahudi sebagai takabbur kerana menolak kebenaran risalah Nabi Muhammad s.a.w.
- Sifat ini adalah berlawanan dengan ikhlas iaitu melakukan sesuatu tanpa mengharap apa-apa balasan kecuali pahala dan keredaan daripada Allah swt. Sifat ikhlas adalah permata bagi orang beriman, manakala riya' itu akan membinasakan ikhlas. al-Quran mengambarkan sifat riya' ini sebagai karekter hina orang Munafiq, yang hanya melakukan solat untuk menunjuk-nunjuk. Oleh yang demikian riya' di dalam praktisnya yang ekstrem adalah sifat orang munafik. Namun ia juga boleh terjadi kepada orang Islam yang lemah imannya.
4. al-Baghy
- Merupakan sebahagian daripada sifat yang tercela. Ia mempunyai pelbagai penjelasan mengikut konteks kelakuan berkenaan dari segi bahasa. Namun begitu secara umumnya ia adalah perbuatan melampau batas yang bertujuan jahat/munkar atau mempunyai akibat negatif baik samada kepada pelakunya atau masyarakat. Di dalam al-Quran ia digambarkan sebagai kezaliman satu bentuk kezaliman dan maksiat seperti zina. Ia juga digambarkan sebagai perbuatan meminta-meminta sesuatu yang ia tidak layak, seperti menjadi pemimpin sedangkan ia tidak amanah dan jujur serta seorang yang fasiq iaitu yang melakukan dosa besar dan melazimi dosa kecil. Dalam konteks hukum fiqh al-Baghy digambarkan sebagai seorang pemberontak kepada kerajaan yang adil.
5. Mengungkit pemberian (al-Mann bi al-Atiyyah)
6. Berburuk sangka
- Ini juga ada kaitan dengan sifat ikhlas. Ia merupakan sifat tercela dan al-Quran melarangnya apabila sesuatu pemberian itu diikuti dengan kata-kata menghina. al-Hadis juga mencela perbuatan ini dan mengambarkannya seperti anjing yang menjilat muntahnya. Oleh itu ia adalah perbuatan yang tercela lagi menjijikan.
6. Berburuk sangka
- Seseorang yang beriman itu akan sentiasa tabah menerima sebarang ujian daripada Allah. Gambaran golongan yang berburuk sangka dengan perancangan Allah swt diceritakan di dalam al-Quran melalui kisah kaum Israel yang meminta dari Nabi Musa supaya Allah swt menurunkan makanan dari langit. Begitu juga orang Islam dilarang berburuk sangka dengan orang Islam yang lain melalui larangan meninggalkan zan atau perasaan was-was kepada saudara Muslim.
7. Bergembira atau ketawa dengan musibah orang lain
(Shamatah)
8. Berbisik di hadapan saudara (Tanaji)
9. Mencerca orang Islam (Sabb)
10. Mencerca angin (Sabb al-Rih)
11. Mencerca jenazah (Sabb al-Amwat)
12. Bercakap kasar atau bercakap terangan2 perkara yang
buruk (Baza’ah al-Lisan)
13. Menyakiti orang saleh (Idha’ al-Salihin)
14. Meninggalkan saudara lebih dari tiga hari
15. Mengintip (Tajassus)
16. Berdendam (Hasad)
17. Menipu (Ghush)
18. Melihat wanita ajnabiah (al-Nazar li Mar’ah
al-Ajnabiyyah)
19. Menyerupai lelaki atau wanita (Tasyabbuh)
20. Isteri enggan bersama suami
21. Berjalan dihadapan orang sedang solat
22. Memakai emas bagi lelaki
23. Memakai sutera bagi lelaki
24. Mewarnakan rambut dan bertatto
25. Menceritakan kecantikan wanita kecuali untuk tujuan
perkahwinan (wasf mahasin al-mar’ah)
26. Memukul wajah kerana meratap (darb al-khadud)
27. Wanita bermusafir bersendirian
28. Wanita berpuasa tanpa izin suaminya
29. Makmun mendahului imam
30. Mengangkat pandangan ketika solat
31. Meninggalkan solat
32. Duduk di atas kuburan
33. Solat menghadap kuburan
34. Riba
35. Minum dengan bekas daripada perak
36. Makan dengan menggunakan tangan kiri
37. Bergambar
38. Anggapan nasib buruk dengan kejadian2 tertentu (tasya’um
atau tatir)
39. Anggapan peristiwa peredaran bintang mempunyai kaitan
dengan sesuatu kejadian (Mutirna binaw’)
40. Perbuatan bid’ah
41. Berjumpa tukang tilik
42. Berbinkan kepada seseorang yang bukan bapanya
43. Memberi syufaat kepada pesalah hudud
44. Menyiksa dengan api
45. Taat dalam perkara maksiat
46. Menyiksa hamba
47. Menyiksa binatang
Friday, 28 September 2018
Ulasan Buku: Kim Beng Phar (2009). Islamic Statehood and Maqasid al-Shariah in Malaysia
Ulasan Buku: Kim Beng Phar (2009). Islamic Statehood and Maqasid al-Shariah in Malaysia: A Zero-Sum Game?. Chiang Mai Thailand: Silkworm Books (copyright by Asian Muslim Action Network 2009) 64 halaman dengan bibiografi.
Penulis buku kecil ini mendakwa pendekatan Islam yang diambil oleh samada pihak Kerajaan (UMNO-BN ketika itu) mahupun pembangkang (PAS) adalah bersifat reductionism yang melihat undang-undang Syariah secara binari yakni antara halal dan haram, putih dan hitam. Proses Islamisasi yang cuba dibawa oleh kedua-dua pihak terlihat kepada percubaan pelaksanaan apa yang diistilahkan sebagai “moral polizing” yang memberi kesan kepada kebebasan individu seperti kebebasan untuk memilih agama (freedom of religious choice) dan pengenalan undang-undang hudud. Pendekatan Islamisasi yang cuba diperkenalkan adalah bersifat punitif dan patriakal (h.5). Begitu juga ia bersifat responsif di kedua-dua pihak dalam konteks politik Islam antarabangsa terutama isu-isu yang melibatkan Palestin, Bosnia dan Mynmar di mana sensitiviti kepada isu ini ditunjukkan melalui publisiti media dan lain-lain tindakan sivil. Pendekatan Islam secara binari ini mengikut penulis mewujudkan suasana zero-sum game bagi pelaksanaan undang-undang Islam bukan sahaja di Malaysia bahkan juga di seluruh dunia Islam. Mengikut penulis, asas ideologi pendekatan sebegini dipetik dari penulisan dan pemikiran tiga orang aktivis gerakan Islam terutama gerakan Ikhwan iaitu Maududi, Sayyid Qutb dan Qaradawi (MSQ) melalui doktrin dawlah Islamiah atau Islamic state yang dibina daripada prinsip al-Quran al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar (AMNM). Pemikiran konsep AMNM mengikut penulis dikembangkan oleh MSQ secara atomis dan dominan sehingga melupakan atau meminggirkan konsep-konsep utama Syariah yang lain seperti nasihah, syura, ikhtilaf, ijtihad dan hisbah (h.9). Bagi memperkukuhkan maksud konsep ini seperti yang dikehendaki dalam kerangka doktrin dawlah Islamiah, sandaran dibuat kepada pemikiran ulama tradisi Islam, Ibn Taymiyyah, yang menulis tentang kepentingan menegakkan hukum Islam melalui pemerintahan Islam atau siyasah. Pengembangan dan penerimaan pemikiran ini yang bersifat reductionist ini akhirnya menyebabkan proses Islamisasi yang cuba dibawa oleh kedua-dua parti politik terbesar orang-orang Melayu UMNO dan PAS terfokus hanya kepada soal-soal jenayah Islam dan pemantauan perlakuan moral masyarakat Islam. Bagi penulis konsep yang kembangkan oleh MSQ tidak semestinya mewakili ajaran Islam atau Shariah. Sebagai contoh maksud asal AMNM pada zaman awal Islam sebenarnya terhad kepada makna akidah, ia hanya diperluaskan kepada perkara-perkara halal dan haram buat pertama kali kemudiaannya oleh Tabari (h.7). Pun begitu jika diterima maksud berkenaan sebagai halal dan haram terdapat pelbagai perbincangan di kalangan ilmuan Islam bagaimana untuk melaksanakannya dan tidak terhad hanya melalui kekuasaan politik (h.6-7). Mengikut penulis harmonisasi antara konsep AMNM dan realiti penghidupan dilakukan oleh Imam Ghazali melalui pengenalan prinsip al-daruriyyah al-khamsah yang juga dikenali dengan Maqasid Syari’yyah. Bagi Imam Ghazali pelaksanaan Syariah di dalam masyarakat mestilah menimbangkan kepada keperluan-keperluan daruriyyah dan tidak hanya melihat secara hitam putih atau simplistik (p.15). Penerimaan ideologi atau pendekatan MSQ terutama konsep dawlah Islamiah bermula dari premis iaitu hanya pemerintahan Islam boleh dan berupaya untuk melindungi dan menyokong ajaran dan masyarakat Islam. Fenomena ini di Malaysia turut dibantu oleh kehilangan dua tokoh reformasi perundangan Islam Malaysia yang cuba untuk memperkenalkan Syariah secara harmonis atau maqasidi iaitu Profesor Ahmad Ibrahim yang meninggal dunia pada tahun 1999 dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan pada tahun 1997. Kontroversi yang timbul daripada cadangan pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia yang hanya menumpukan kepada hudud dan polis sosial adalah kesan dan akibat pendekatan binari ini yang dimomokkan melalui doktrin dawlah islamiah. Bagi penulis sebarang percubaan untuk melakukan reformasi perundangan yang tidak menilai suasana negara dan masyarakat secara holistik dan maqasidi atau yang cuba untuk memesongkan semangat sebenar ajaran Islam akan berhadapan dengan penentangan sosial (h.41). Contoh jelas yang diberikan oleh penulis ialah penentangan masyarakat terhadap cengkaman pemerintahan Taliban di Afghanistan yang cuba untuk mengaplikasikan doktrin ini. Oleh itu penulis menyimpulkan bahawa percubaan PAS dan dalam beberapa sudut juga UMNO, untuk memperkenalkan negara Islam adalah satu bentuk inversi (inversion) kepada ajaran Islam dan ini adalah satu keadaan yang dikenali oleh ahli falsafah pengajian politik sebagai “extreme perfectionism” (h.48).
Wednesday, 5 September 2018
Sunday, 1 July 2018
Malaysia Baru: Antara Jaminan Perlembagaan dan Kemahuan Politik
Malaysia Baru: Antara
Jaminan Perlembagaan dan Kemahuan Politik
Ahmad Hidayat Buang
Dalam ilmu politik apa yang sahih
atau tertulis di segi undang-undang atau perlembagaan tidak semestinya memberi
jaminan kepada sesuatu perkara jika penguasa politik yang sebenarnya tidak
berminat kepada peruntukan undang-undang itu. Jika kita membaca sejarah
terutama sejarah Islam pada masa tahap akhir pemerintahan kerajaan Abbasiah,
kita akan mendapati pemerintahan
kerajaan bukan di bawah kekuasaan Khalifah, tetapi di bawah menteri atau
gabenor atau malah panglima perang kerajaan seperti Bani Seljuk, Bani Buwaih
dan sebagainya. Sunggupun mereka menguasai setiap segi pemerintahan negara,
mereka tetap mengekalkan Khalifah sebagai ketua kerajaan. Tujuan berbuat
demikian ialah untuk mendapat legitimasi terhadap kedudukan mereka dalam negara.
Oleh yang demikian, kerajaan Moghul di India dan juga kerajaan Islam yang lain memberi
bai’ah atau ikrar sumpah setia kepada Khalifah Abbasiah di Baghdad secara
simbolik kerana mereka mahu legitimasi keberadaan mereka dalam pemerintahan
negara. Maka begitu juga, penguasa politik zaman sekarang sungguhpun mereka
mengakui beberapa peruntukan undang-undang, namun dari segi praktiknya tidak
melaksanakannya kerana untuk mengesahkan penerimaan mereka sebagai penguasa
politik dalam negara. Ini adalah situasi legal-politico yang disebut sebagai dejure
dan defacto.
Penguasa politik faham bahawa
mereka sukar untuk mendapatkan sokongan dan dokongan popular sekiranya mereka
mengabaikan aspek-aspek legitimasi perundangan ini, sekurang-kurangnya daripada
kalangan konservatif atau traditionalis. Oleh yang demikian dalam sejarah
Islam, penguasa-penguasa politik mengiktiraf kedudukan Syariah sebagai sumber
dan rujukan utama undang-undang, namun pada saat yang sama mereka
mengabaikannya dan menggunakan sumber-sumber lain dalam amalan pentadbiran
keadilan dalam negara. Dalam hubungan ini mereka bersifat pragmatik dan
pratikal serta bertindak atas kepentingan politik mereka. Dalam konteks politik
modern, sungguhpun kita dapati banyak negara Islam yang menyatakan Syariah
adalah sumber utama negara, namun negara-negara berkenaan mempunyai indeks yang tinggi dalam pelanggaran
hak asasi manusia dan pematuhan proses atau kedaulatan undang-undang (rule
of law). Ini sudah tentulah bertentangan dengan prinsip Syariah yang
mendokong hak asasi manusia. Contoh seterusnya sungguhpun Perlembagaan sesebuah
negara berkenaan melarang diskriminasi kepada perbezaan kaum dan agama, namun
kita melihat perkara ini diabaikan atau diamalkan melalui silent policy
pemerintahan. Lazimnya satu alasan politik atau keselamatan digunakan bagi
menghalalkan tindakan berkenaan. Dalam konteks negara barat atau Eropah, alasan
keganasan atau pelampau agama digunakan bagi menghalalkan tindakan-tindakan
berkenaan yang jelas bertentangan bukan sahaja dengan prinsip asas Perlembagaan
mereka, bahkan juga piagam dan resolusi antarabangsa. Contoh yang paling ketara
ialah pencabulan hak asasi rakyat Palestin oleh regim Israel.
Dalam konteks politik negara Malaysia, mantra
yang kini bergema ialah menghapus penyelewengan dana awam dan rasuah melalui
kes ikonik 1MDB. Sungguhpun gerakan pencegahan rasuah sudah bermula sejak dari
dulu lagi, namun kini ia menjadi satu azimat yang bermukjizat kepada kerajaan
baru bagi menggerakkan apa-apa agenda yang dikehendaki, sungguhpun kekadang
ianya bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan. Sebagai
contoh penggunaan Bahasa selain daripada Bahasa Melayu dalam siaran-siaran umum
kerajaan hanya dianggap kesalahan kecil jika berbanding dengan usaha kerajaan
mencegah “penyelewengan dana awam dan rasuah” yang didakwa berleluasa pada masa
dahulu. Begitu juga pelantikan penjawat-penjawat awam yang sensitif dari segi
bangsa dan keturunan diperkecilkan dengan azimat integriti dan amanah yang
didakwa tidak ada pada masa pemerintahan lalu. Sokongan kepada sebarang usaha untuk
mengembalikan kepada sebuah pemerintahan yang berintegriti dan beramanah serta
pro rakyat tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana itulah yang sewajarnya, namun pengunaan azimat-azimat politik seperti di atas untuk menolak atau menjawab
kritikan adalah tidak sihat bagi amalan demokrasi sesebuah negara. Manakala persoalan
apakah pihak pemerintah baru Malaysia akan terus menjunjung asas-asas utama
Perlembagaan Malaysia yang mempunyai jaminan-jaminan perlindungan yang bersifat
tindakan positif kepada kedudukan agama Islam dan orang-orang Melayu hanya masa
akan memberitahu kita. Ini adalah kerana kenyataan-kenyataan dan pengakuan yang
diberikan perlu diterjemahkan secara praktik. Setakat ini semua perkara ini
berada pada status quo dan tidak pasti berapa lama ia akan kekal disitu
melihat kepada pelbagai tuntutan dan cadangan perubahan yang telah dikemukakan.
Dalam hubungan ini, tindakan adalah lebih penting daripada dakwaan atau janji.
Oleh yang demikian, Iceland pada satu ketika dulu diisytihar lebih Islamik
daripada negara-negara Islam bukan kerana kenyataan yang dibuatnya namun
melalui tindakan-tindakan yang dilakukan. Nasihat saya hentikanlah mantra-mantra
azimat politik dan tumpu serta fokus kepada tindakan sesuai dengan peruntukan Perlembagaan
dan undang-undang.
Saturday, 12 May 2018
Persoalan Matawang Kripto
Persoalan Matawang Kripto - Ahmad Hidayat Buang
New Straits Times menerbitkan sebuah rencana bertajuk "Cryptocurrency A Potential For Terror Financing?" ditulis oleh Ahmad Helmi Hasbi dan Remy Mahzan dari International Centre for Political Violence and Terrorism Research, S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University, Singapura pada 5 Mei 2018. Rencana ini sungguhpun bertajuk umum, perbincangannya banyak menyentuh pandangan Islam terhadap hukum matawang kripto. Perkara ini berlaku kerana penulis banyak memfokuskan penggunaan matawang bentuk ini oleh kumpulan-kumpulan penganas Islam terutama al-Qaedah dan tindakan-tindakan keganasan di merata-merata tempat di dunia seperti Indonesia, Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah. Tidak ditunjukkan penggunaan matawang kripto ini oleh kegiatan-kegiatan jenayah lain. Penulis menegaskan melalui data-data kajian oleh Majallah al-Jazeera pada Februari 2018, Agensi Kebangsaan Anti Terrorisme Indonesia dan Ghost Security Group iaitu sebuah pertubuhan vigilante penggodaman maklumat internet kumpulan-kumpulan pengganas, menunjukkan matawang kripto telah digunakan oleh pengganas untuk mendapatkan dana dan menyalur bantuan kewangan bagi menampung kegiatan kegananasan. Berasaskan kepada data-data ini, beberapa negara Islam seperti Mesir, Arab Saudi dan Turki telah mengeluarkan fatwa atau pendirian bahawa matawang kripto adalah tidak sah mengikut pandangan Syariah. Asas larangan ini dijelaskan oleh Fatwa Mufti Mesir pada Januari 2018 yang menyatakan matawang kripto tidak sah mengikut Syariah kerana mengandungi unsur gharar kerana ianya tidak diregulasikan dan ini mendedahkan pengguna kepada darar atau kemudaratan. Ini adalah kerana ia senang digunakan oleh kumpulan pengganas yang boleh mengancam keselamatan masyarakat umum. Elemen gharar atau perjudian (maysir) dalam penggunaan matawang ini dibuktikan dengan volatiliti pasaran kewangan tersebut yang sukar dikawal dan dijangka oleh mana-mana badan berkuasa kewangan. Oleh yang demikian asas larangan ini ialah untuk menjaga kepentingan awam terutama harta dan nyawa menurut teori maqasid atau maslahah Imam Ghazali. Namun begitu hukum penggunaan matawang kripto itu sendiri sebenarnya adalah harus kerana ianya mempunyai nilai dan diterima sebagai matawang dalam urusan perniagaan secara pasaran atau uruf. Minat kumpulan pengganas kepada matawang kripto adalah kerana ianya bersifat confidential dan berada di luar kawalan badan berkuasa kewangan yang mana ini memudahkan kegiatan kewangan yang bersifat anonimos dan senang untuk mengelakkan pengesanan daripada agensi anti terrorism dan pencucian wang.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr. Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026).
Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr. Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026, kulit nipis, 544 halaman). ...
-
*Artikel ini ditulis pada November 2011 © Ahmad Hidayat Buang 2011 Peristiwa terbunuhnya bekas pemimpin Libya Kolonel Muamar Ghad...
-
MOHD ISHA AWANG v. MOHAMAD IDRIS SERAMAL BARIS [2020] 9 CLJ 760 COURT OF APPEAL, PUTRAJAYA KAMALUDIN MD SAID JCA; ABU BAKAR JAIS JCA; GU...
-
12 Mei 2017 (Balai Ilmu, APIUM) Forum ini diwacanakan oleh gabungan tiga ahli panel terdiri dari ahli akademik, pengamal sukan diving ...

