Sunday 2 February 2014

Polisi Pemerintah dan Maqasid Syariah Dalam Muamalat

Keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 31hb Januari 2014 di halaman 13 yang memetik sedutan dari pembentangan kertas kerja saya bertajuk "Government Policy and Maqasid Shariah in Muamalat". Sedutan berkenaan mungkin akan menimbulkan pertanyaan kerana tidak memetik keseluruhan apa yang saya bentangkan. Untuk mendapat perspektif yang menyeluruh apa yang saya utarakan pembaca dinasihatkan mendapatkan kertas kerja penuh saya dari pihak penganjur; Institute of Advanced Islamic Studies. 




Saturday 1 February 2014

Ulasan Buku Moderat Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara

Ulasan Buku Moderat Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara oleh Mashitah Ibrahim, Kuala Lumpur: Yayasan Darling dan Sekretariat Ulama-Umara (UMUM), JPM. 2012. (308 halaman).

Penulisan buku ini adalah satu upaya untuk menjelaskan perjuangan parti Barisan Nasional dalam konteks perkembangan politik semasa Malaysia yang diwarnai oleh Islam, kebangsaan Melayu dan perpaduan di dalam negara yang mengandungi pelbagai latarbelakang etnik dan agama. Penulis berpendapat bahawa pendekatan sederhana/moderat yang dibawa oleh Barisan Nasional dan UMNO adalah rahsia kepada kejayaan, kestabilan dan kemakmuran yang dikecapi oleh Malaysia selama ini. Baginya pendekatan atau prinsip sederhana/moderat ini adalah selaras dengan ajaran Islam. Oleh itu penulis telah mengkhususkan Bahagian Pertama buku ini memberi justifikasi bahawa Islam itu adalah agama yang mementingkan kesederhanaan. Dengan membawa beberapa ayat al-Quran dan hadith serta peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan sahabat seperti kisah antara Abu Darda’ dan Salman, kisah antara Abu Dzar dan Bilal, kisah antara Umar dan Astaq al-Rumi dan sebagainya, penulis menyimpulkan bahawa ayat dan kisah berkenaan memberi pengajaran bahawa Islam mementingkan prinsip kesederhanaan (halaman 19). Contoh yang diberikan ialah etika perbezaan pandangan di dalam Islam di mana mengikut pandangan penulis kebanyakan anggota masyarakat yang terpengaruh dengan dakyah-dakyah politik agama tidak dapat menerima pandangan atau penjelasan orang lain. Perkara ini berlaku kerana ketaksuban mereka kepada pandangan ketua atau guru mereka. Akibatnya sesuatu yang luas di dalam agama Islam telah disempitkan dan sifat berlapang dada yang sepatutnya diamalkan sudah diganti dengan pendekatan yang keras dan emosional (halaman 25). Dalam konteks keutamaan kepada bangsa Melayu yang sering menjadi kritikan parti pembangkang, penulis menjelaskan ia mempunyai asas di dalam Islam iaitu untuk membantu kalangan rakyat yang miskin dalam negara dengan merujuk kepada peristiwa agihan harta fay‘ kaum Yahudi Bani Nadhir (halaman 32). Di dalam peristiwa ini hanya golongan Muhajirin menerima agihan berkenaan (kecuali dua orang Ansar yang miskin). Pada pandangan penulis ini adalah asas-asas pendekatan moderat yang telah dipraktikkan sekian lama oleh parti kerajaan BN sejak dari awal kemerdekaan lagi. Antara contoh-contoh yang dipaparkan oleh penulis seperti perjanjian sosio-kontrak antara kaum di Malaysia di awal kemerdekaan, peranan institusi Raja serta jaminan peranan Islam dalam negara serta agenda mempertahankan hak bangsa Melayu. Sudah tentu justifikasi ini sebegini adalah bersifat retrospektif kerana ianya dibuat dalam konteks menghadapi cabaran masa kini parti pembangkang yang berjaya menafikan majoriti 2/3 undi pilihanraya yang selama ini diperoleh oleh BN. Atau paling kurang pendekatan moderat atau wasatiyyah ini adalah satu bentuk rebranding yang pragmatik kepada beberapa slogan yang digagaskan sebelum ini seperti penerapan nilai-nilai Islam, Islam Hadari dan kini Gagasan Satu Malaysia. Sebagai ahli politik dan bekas Timbalan Menteri, penulis tidak melepaskan peluang untuk mengkritik parti pembangkang yang digambarkan olehnya sebagai biadap, keras, kianat, derhaka, retorik, suka menabur janji manis dan sebagainya. Parti Pas secara khususnya digambarkan sebagai punca perpecahan di kalangan bangsa Melayu di atas nama Islam, manakala PKR dan DAP punca perpecahan di kalangan kaum dan agama di Malaysia (bab 13). Namun yang paling menarik ialah kritikan sinikal penulis kepada parti PAS yang dikatakan telah melupakan perjuangan menegak negara Islam melalui slogan negara berkebajikan serta peminggiran peranan ulama di dalam PAS (halaman 190-193). Dengan merujuk kepada buku A World without Islam (yang telah diulas sebelum ini), penulis menyimpulkan bahawa apa yang diperjuangkan oleh parti pembangkang khususnya PAS bukanlah agama, tetapi prejudis dan kebencian kepada UMNO. Apa yang berlaku bukanlah perbalahan antara agama atau kepercayaan, miskin atau kaya, maju atau mundur, tetapi konflik atau pertentangan antara golongan sederhana dan ekstremis. Bagi penulis PAS, adalah satu bentuk ekstremis agama manakala DAP adalah estremis kaum atau chauvanis China. Kedua-dua bentuk estremis ini adalah merbahaya kepada Islam dan bangsa Melayu di Malaysia (halaman 208-209).
Bagi menghadapi cabaran-cabaran parti pembangkang dan lain-lain anasir yang cuba untuk menggugat perpaduan kaum dan agama yang selama ini telah dibina oleh kerajaan Barisan Nasional penulis dengan memetik daripada ucapan-ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib dan lain-lain penulis mengutarakan beberapa cadangan antara lain dengan memberi definisi semula kepada maksud jihad sebagai suatu perjuangan yang berterusan untuk memartabatkan Islam dan bangsa Melayu serta memelihara hak-hak yang sah kaum-kaum lain di Malaysia. Untuk mencapai hasrat ini, usaha untuk mengeratkan perpaduan dan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia perlu dipertingkatkan. Usaha perpaduan ini hendaklah melibatkan semua pihak terutama para ulama, penulis maya, guru dan golongan muda. Tumpuan kepada golongan ini berasaskan kepada pengaruh dan kesan kepada pembentukan negara Malaysia pada masa hadapan. Sudah tentu apa yang dibentangkan oleh penulis buku ini boleh dipersoalkan sebagaimana tulisan-tulisan yang lain, namun sekurang-kurangnya beliau telah membentangkannya dengan hujah-hujah. Maka terpulanglah kepada mereka yang tidak bersetuju untuk membahaskan isu yang dibangkitkan dengan membentang hujah-hujah balas. 

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...