Friday 5 February 2016

Mencari Perpaduan dan Menanggani Keganasan Melalui Kesederhanaan

Mencari Perpaduan dan Menanggani Keganasan Melalui Kesederhanaan

Ahmad Hidayat Buang, LLM, PhD
Universiti Malaya

Perkataan Ummah di dalam al-Quran sering dikaitkan dengan perpaduan di mana kesatuan akidah dan cara fikir serta tindakan dizahirkan secara bersama. Namun begitu naluri serta tabiat manusia akan sentiasa berbeza. Bahkan perbezaan itu dikatakan sebagai sunnatul Allah. Jika begitu, bagaimanakah perbezaan ini wajar ditoleransikan. Realitinya kita menyaksikan bahawa perbezaan ini baik dari segi kefahaman mahupun kaedah serta pendekatan telah membawa kepada akibat serta hasil yang sangat negatif kepada masyarakat Islam iaitu perpecahan, kemusnahan harta benda dan pertumpahan darah. Yang paling mendukacitakan kehilangan nyawa dan kecederaan ini berlaku dalam skala besar sebagaimana di negara-negara Timur Tengah. Sudah tentu perkara ini berlaku bukan secara spontan atau berkebetulan, namun sudah tentu terhasil dari cara atau kefahaman ideologi yang merosakkan yang sengaja diprogram dan dirancang. Ini adalah kerana apa yang berlaku pada masa kini di kalangan umat Islam adalah sesuatu yang bertentangan secara fundamentalnya dengan ajaran Islam. Dalam menelusuri kepelbagaian kefahaman Islam moden Profesor Tan Sri Dr. Muhammad Kamal Hassan menyatakan terdapat dua pola besar pemikiran moden umat Islam iaitu: (1) sekular/modernist dalam pelbagai bentuknya seperti humanistik, liberal/pluralistik dan modernis, dan (2) keagamaan juga dalam pelbagai bentuknya seperti kemajuan, kapitalistik dan rasional (muktazilah baru?). Ini ditambah lagi dengan perbezaan sektarian agama yang menajam mutakhir ini antara Shiah dan Sunni dan akhirnya perbezaan dalam aliran politik.

Kemuncak daripada perpecahan itu ialah lahirnya ektremism serta fanatism dalam kelompok agama sebagaimana yang dianuti oleh sebahagian kelompok umat Islam yang diwakili oleh Daesh, al-Qaedah dan Taliban. Tidak dapat dipastikan samada benar atau tidak bahawa kelompok-kelompok ektremis ini dipengaruhi oleh idealism “salafism” yang lazimnya dilabel sebagai “wahabism”. Sungguhpun demikian tidak sukar untuk mengaitkan perhubungan antara wahabism dengan kelompok-kelompok ini berdasarkan kepada kefahaman, amalan serta tarbiah yang mereka terima. Begitu juga melalui pemerhatian gerakan wahabism ini banyak tertumpu kepada masyarakat Islam yang tidak sealiran dengan mereka. Alasan yang lazim digunakan ialah untuk membebaskan masyarakat Islam berkenaan atau mengembalikan mereka kepada ajaran Islam yang sebenar; tanpa takwilan dan tanpa tafsiran kepada nas-nas Syariah! yang selama ini dikatakan dicemari oleh amalan bid’ah dan khurafat. Tidak mereka sedari bahawa apa yang mereka usahakan itu sebenarnya satu bentuk paksaan mental yang dibaluti dengan kefahaman literal nas-nas Syariah, tanpa logik dan kemanasabahan serta dalam banyak hal mengadoptasi budaya Arab teluk. Taktik di atas dengan ditambah dengan laungan atau slogan kembali kepada Syariah atau pelaksanaan Syariah merupakan propaganda ampuh dan berkesan bagi menarik sokongan masyarakat Islam bagi melemahkan pengaruh dan peranan ulama tradisi yang selama ini bersikap toleransi dengan pemerintah-pemerintah Islam yang dikatakan sekular.

Perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam baik dari segi politik mahupun keagamaan bukanlah perkara baru. Namun yang menjadi kerisauan dan kebimbangan ialah penggunaan kekerasan (irhabiyyah) ke atas nyawa dan harta dalam perpecahan ini. Perkara ini berpunca daripada aktiviti takfiri atau mengkafirkan pihak-pihak lawan sebagai satu strategi menakut-nakutkan masyarakat awam Islam serta menghapus golongan yang mempunyai kefahaman berbeza. Manakala dominasi dunia barat yang bukan Islam dijadikan kamuflage atau sesumpah bagi membangkitkan kebencian kepada golongan atau kelompok yang berfahaman sederhana. Tanpa menafikan konspirasi kuasa politik-ekonomi Barat untuk melemahkan umat Islam, propaganda golongan ektremis ini sebenarnya membawa banyak kerosakan dan bencana kepada umat Islam. Konsep jihad telah disalahgunakan bukan bagi mencari dan mencapai kemaslahatan umat Islam, namun membawa kesengsaraan dan penderitaan bahkan penghinaan kepada umat Islam. Konflik Iraq dan Syria menyaksikan jutaan umat Islam baik samada Sunni atau Syiah terpaksa menjadi pelarian bukan ke negara-negara umat Islam tetapi ke negara-negara bukan Islam yang mana terhadap negara-negara inilah slogan jihad dilaungkan pada permulaannya. Tidakkah ini satu paradoks bagi sesiapa yang boleh berfikir!

Mengikut analisis ilmuan dan sarjana Islam seperti Tan Sri Profesor Muhammad Naquib al-Attas dan Tan Sri Profesor Muhammad Kamal Hasan, kegawatan fitnah perpecahan umat Islam masakini berpunca daripada kehilangan peradaban yang dibina berasaskan kepada akhlak atau budi pekerti yang menjadi tunjang kepada jati diri umat Islam. Aliran wahabisme sungguhpun mendakwa kembali kepada ajaran Islam yang berasaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sebenar, namun jika dilihat apa yang berlaku dalam masyarakat Islam nusantara dan juga di tempat-tempat lain seperti benua kecil India dan Afrika melebarkan perpecahan dan perseteruan di kalangan umat Islam. Sikap toleransi, kesabaran, meraikan uruf dan kebiasaan serta perbezaan pandangan hampir tiada dalam aliran ini. Oleh yang demikian amatlah penting untuk mengembalikan pembinaan tamadun dan peradaban Islam yang berasaskan kepada akhlak yang terpuji ini. Namun untuk memulihkan kerosakan yang telah dilakukan ini bukanlah mudah, apatah lagi perkara yang melibatkan tamadun ini bersifat abstrak dan tidak dapat difahami dengan senang oleh masyarakat kebanyakan. Oleh itu sesetengah pihak seperti Rabitah Antarabangsa Alumni Universiti Al-Azhar Cawangan Malaysia sebagai contohnya menyeru supaya manhaj Wasatiyyah yang dipelopori oleh Al-Azhar Universiti di Mesir dijadikan model bagi menyelesai cabaran perpecahan umat Islam ketika ini.

Mengikut Presiden Rabitah cawangan Malaysia, Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, kewujudan Al-Azhar selama berabad-abad di pelbagai bentuk pemerintahan di Mesir adalah bukti kejayaan pendekatan sederhana atau wasatiyyah tersebut. Mengikutnya lagi pendirian yang diambil oleh Al-Azhar dalam menghadapi kepelbagaian cabaran dan perbezaan pandangan melalui enam pendekatan iaitu: (1) tidak taksub kepada mana-mana mazhab dengan menggalakan kajian secara perbandingan dan bersedia menerima perbezaan melalui pendebatan ilmiah dan beradab, (2) mazhab yang empat adalah menjadi asas kepada pemikiran Al-Azhar, sungguhpun pandangan mazhab-mazhab lain juga diambil kira, (3) mengutamakan penggunaan bahasa Arab dalam pengajian dan komunikasi, ini adalah kerana Bahasa Arab merupakan alat terpenting untuk memahami nas-nas Syariah (4) berasaskan kepada aliran pemikiran Asya’irah dalam ilmu akidah, ini adalah kerana sudah terbukti aliran ini mencari titik pertemuan yang harmonis antara kepelbagaian budaya dan kefahaman dalam menjelaskan asas-asas akidah Islam (5) menggunakan mantiq atau logik serta kemunasabahan di dalam kefahaman terhadap nas-nas Syariah dan (6) menerima tasauf sebagai sebahagian daripada displin di dalam Islam kerana sudah terbukti amalan tasauf sebagai benteng kesederhanaan Islam melalui akhlak dan adab yang terpuji. Tidak syak lagi jika dibuat perbandingan dengan kelompok-kelompok yang menggunakan kekerasan dalam perjuangan mereka kita akan mendapati sebahagian daripada pendekatan sederhana di atas tidak termasuk dalam kaedah aliran tersebut.

Dari perbincangan di atas, kita dapat menelah dan memahami bahawa perbezaan pandangan itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan, bahkan jika mengikut pandangan Profesor Dr. Quraisyh Shibab (sungguhpun banyak pihak yang mempertikaikan beberapa pandangan beliau yang dianggap kontroversial), perbezaan ini adalah sesuatu yang dikehendaki oleh Islam berasaskan kepada nas-nas al-Quran sendiri. Perbezaan ini mengikut beliau lagi adalah sebagai kurniaan Allah kepada manusia untuk menguji mereka, kerana dalam perbezaan itu terdapat rahmat dan manfaat. Oleh kerana perbezaan itu adalah sebagai satu bentuk ujian, sebagaimana kekayaan dan harta benda juga sebagai satu bentuk ujian, maka terpulanglah kepada kita untuk mencari jalan-jalan bijaksana dan saksama bagaimana untuk menguruskan perbezaan ini berasaskan kepada tamaddun dan peradaban Islam yang bertunjangkan kepada akhlak dan nilai murni pekerti seseorang Islam iaitu pada Rasulullah s.a.w. itu adalah satu qudwah yang cemerlang. 

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...