Friday 30 March 2018

Penerima wasiat terhalang menerima harta wasiat sekiranya ada tuntutan wasiyyah wajibah?

Beberapa enakmen wasiat orang Islam di Malaysia telah memperuntukan pemakaian wasiat wasiat wajibah atau wasiyyah wajibah. Antaranya Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999. Maksud wasiat wajibah ialah wasiat yang dianggap telah dibuat oleh simati kepada cucunya yang mana bapa kepada cucu tersebut meninggal terlebih dahulu daripada simati. Seksyen 27 (1) Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor memperuntukkan bahawa cucu daripada anak lelaki yang meninggal terlebih dahulu daripada datuknya berhak kepada wasiat wajibah dan mengikut subseksyen 27(2) kadarnya mengikut bahagian yang sepatut diterima oleh bapa kepada cucu tadi sekiranya ia hidup, namun dengan syarat tidak melebihi 1/3 harta pusaka. Perkara ini nampaknya diterima dan dipakai, memandangkan sudah terdapat kes-kes sedemikian yang dibawa ke Mahkamah Syariah Selangor. Sungguhpun demikian, pemakaian peruntukan wasiat wajibah ini berkemungkinan mempunyai kesan kepada penerima wasiat atau benefisiari (sebagaimana istilah dalam undang-undang Selangor) iaitu sama ada ia akan terhalang daripada menerima faedah wasiat tersebut secara keseluruhan atau sebahagian. Maksud halangan di sini ialah secara nuqsan di mana bahagian maksimun wasiat yang dibenarkan iaitu 1/3 dihabisi oleh cucu yang meneriwa wasiat wajibah.  Ini adalah kerana mengikut hukum wasiat seseorang hanya boleh mewasiatkan hartanya setakat 1/3. Keadaan ini berlaku sebagai contoh dalam keadaan di mana seorang mewasiatkan 1/3 hartanya kepada Zaid secara wasiat biasa dan apabila dia meninggal warisnya adalah seorang anak dan seorang cucu yang mana bapanya telah meninggal terlebih dahulu daripada simati. Jika simati meninggalkan harta sebanyak RM150,000 ini bermakna cucu tadi mengikut peruntukan wasiat wajibah akan menerima bahagian bapanya yang meninggal iaitu 1/2, manakala anak simati baki 1/2. Dalam hubungan ini cucu tersebut akan menerima bahagian maksimum sebanyak RM50,000 iaitu 1/3 harta berkenaan sebagaimana menurut seksyen 27(2) di atas. Ini akan menjadikan Zaid terhalang daripada menerima faedah wasiat yang dibuat kepadanya kerana bahagian 1/3 harta wasiat tersebut sudah dihabisi oleh cucu simati (secara hijab nuqsan). Memandangkan undang-undang tidak menyatakan dengan jelas bagaimana untuk menyelesaikan keadaan ini, maka kita boleh mengandaikan penyelesaian sebegini secara nuqsan akan dilaksanakan. Manakala andaian bahawa dalam keadaan sebegini bahawa Zaid dan cucu akan berkongsi 1/3, sebagaimana dalam keadaan wasiat dibuat kepada beberapa orang benefisiari yang melebihi 1/3 akan berkongsi sesama mereka setakat kadar maksimum 1/3, tidak boleh dilaksanakan kerana undang-undang telah menyatakan bahawa bahagian wasiat wajibah cucu tersebut hendaklah digenapkan 1/3. Namun begitu ini tidak bermakna Zaid tidak langsung berpeluang menerima wasiat berkenaan kerana anak simati boleh melepaskan haknya sama ada 1/3 ataupun kurang daripada itu. Oleh yang demikian maka agihannya mengikut penjelasan ini ialah Zaid menerima wasiat iaitu sebanyak RM50,000 dan baki agihan masing-masing sebanyak RM50,000 kepada anak dan cucu simati. Masalah ini jika timbul di Indonesia akan diselesaikan dengan memberi wasiat terlebih dahulu kepada Zaid dan bakinya akan diagihkan kepada anak dan cucu. Ini adalah kerana cucu tadi mengikut  peruntukan Kompilasi Hukum Islam Indonesia 1999 (KHI) menerima pusaka melalui prinsip tanzil yang dipetik dari mazhab Hanafi, iaitu ia mengambil tempat bapanya yang meninggal dunia. Perkara 185 (1) KHI memperuntukkan bahawa "Ahli waris yang meninggal lebih dahulu dari pada sipewaris maka kedudukannya dapat digantikan oleh anaknya". Wa Allah 'Alam bi al-Sawab.  

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...