Wednesday 29 June 2022

Kontrak Syariah dalam Sistem Kewangan Islam Moden

 

Syarahan Perdana Universiti Malaya

 

Kontrak Syariah dalam Sistem Kewangan Islam Moden

30 Jun 2022

 

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين وكفى

صلاة وتسليما على سيدنا محمد المصطفي

وعلى آله وصحبه أجمعين 


YBhg Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan/Puan/ Saudara/i sekelian,

 

1.     Undang-undang Syariah bersumberkan kepada wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Berpunca dari dua sumber ini munculnya dua sumber utama yang lain iaitu Ijma’ dan Qiyas. Di awal perkembangan undang-undang Islam, kedua-dua sumber ini digunakan bagi menyelesaikan atau menjawab persoalan hukum. Dengan pembukaan negara Islam ke wilayah-wilayah bukan Arab seperti Syam (wilayah jajahan Rom Timur), Mesir, Parsi dan lain-lain serta pemelukan bangsa-bangsa lain ke dalam agama Islam, timbulnya masalah-masalah baru yang memerlukan panduan hukum. Berbeza dengan aturan hukum yang lain seperti di Rom atau Parsi yang berasaskan kepada sama ada perintah daripada perintah Maharaja mahupun sumber adat, undang-undang Islam berasaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Sebagaimana yang dimaklumi tidak semua jawapan boleh diperolehi di dalam kedua-dua sumber ini. Oleh yang demikian bandingan atau kiasan dibuat kepada ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah yang boleh dikaitkan dengan masalah yang dihadapi. Perbuatan membuat perbandingan dan kiasan ini diajar sendiri sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah dan ianya dilakukan juga oleh para sahabat-sahabat Rasulullah selepas itu.

 

2.     Perbuatan membuat perbandingan atau kiasan ini kemudian dikenali secara teknikalnya sebagai Qiyas yang kemudiannya menjadi salah satu sumber utama Syariah Islam. Namun perkara pokok dan penting dalam penerimaan sumber Qiyas dalam perundangan Islam ialah pengiktirafan peranan akal dalam pengeluaran hukum. Di dalam penggunaan Qiyas setiap hukum yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah itu akan dikaji dan difahami asas dan sebab hukumannya. Asas atau sebab hukuman ini dikenali sebagai ‘ilat hukum atau rasional hukum atau ratio decidendi yang boleh dikembangkan kepada masalah-masalah lain yang mempunyai ‘ilat yang sama.

 

3.     Pada masa permulaan perkembangan hukum Islam penggunaan kaedah Qiyas ini adalah secara bebas dan tidak terdapat apa-apa peraturan tertentu. Oleh yang demikian kaedah ini berupaya untuk memberi penyelesaian kepada masalah yang dihadapi secara lebih mudah. Memandangkan kaedah ini melibatkan penggunaan akal, ianya juga dikenali dengan istilah Ijtihad dan darinya lahir beberapa kaedah yang mempunyai tatacara atau teknik pengeluaran hukum yang hampir sama iaitu cuba memahami maksud dan sebab sesuatu hukum dikeluarkan. Antara kaedah-kaedah yang lain ini ialah istihsan, istislah dan maslahah.

 

4.     Kepelbagaian ini menyebabkan terdapatnya pelbagai jawapan hukum yang mungkin berbeza-beza antara satu sama lain hanya dalam satu masalah hukum. Oleh yang demikian beberapa percubaan telah dilakukan untuk menyelaras perbezaan ini. Antaranya cadangan seorang menteri Khalifah Abbasiah bernama Abdullah ibn al-Muqaffa‘ supaya menjadikan kitab al-Muwatta‘ karangan Imam Malik bin Anas sebagai undang-undang negara yang terpakai kepada semua orang. Namun cadangan ini tidak dipersetujui oleh Imam Malik dengan menyatakan setiap Mujtahid itu berhak kepada pandangannya.

 

5.     Akhirnya muncul Imam al-Syafi‘i melalui karangan kitabnya bertajuk al-Risalah serta kemudiannya dihuraikan di dalam magnum opusnya al-Umm yang mengemukakan kaedah-kaedah rujukan kepada nas-nas Syariah terutama mengenai kehujahan al-Sunnah dan kaedah penggunaan Qiyas. Beberapa syarat telah dikenakan yang menyebabkan beberapa kaedah dan teknik yang lain terutamanya al-Istihsan tidak lagi dibenarkan. Atau kata lain ijtihad secara bebas tidak lagi dibenarkan kerana harus mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Mengikut sesetengah pengkaji syarat-syarat ini diperkenalkan bagi mengekang kegiatan golongan ahl al-ray’ atau rasionalis iaitu mu’tazilah dari mendominasi dalam metod atau kaedah pengeluaran hukum. Bermula dari sini para ulama telah membina metod pengeluaran hukum dengan lebih sistematik melalui pengenalan disiplin ilmu yang dikenali sebagai Usul al-Fiqh. Begitu juga kaedah penggunaan Qiyas dalam pengeluaran hukum juga terus diperkemaskan. Tujuannya bagi memastikan proses pengeluaran hukum Syarak benar-benar mengikut apa yang dinyatakan secara zahir oleh al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana mengikut kaedah bahasa tanpa perlu kepada teknik-teknik hermeneutics seperti terdapat dalam ajaran agama lain. Kesan daripada sistematika kaedah pengeluaran hukum ini menyebabkan peranan akal yang agak bebas pada zaman awal Islam terdahulu telah disempitkan kepada syarat-syarat yang ditetapkan dalam ilmu Usul al-Fiqh.

 

YBhg Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan/Puan/ Saudara/i sekelian,

 

6.     Ilmu Usul al-Fiqh hanya menjelaskan kaedah pengeluaran hukum dan sumber-sumber perundangan, namun tidak menjelaskan maksud atau makna sesuatu peruntukan hukum yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Keadaan ini menyebabkan terdapat perbezaan dalam memahami sesuatu maksud atau makna sesuatu perkataan atau ayat di dalam nas-nas wahyu. Maksud atau makna sesuatu nas berkenaan akan diperkukuhkan melalui persetujuan bersama para mujtahidin. Sebenarnya perkara yang dipersetujui secara consensus di kalangan mujtahidin boleh dipertikaikan kerana sentiasa akan ada ulama yang akan membantahnya. Oleh yang demikian apa yang boleh dikatakan sesuatu persetujuan itu lazimnya diperolehi secara majoriti dan melalui peredaran masa/zaman ianya diterima ramai sebagai maksud yang sebenar kepada nas al-Quran dan al-Sunnah. Asas kepada kehujahan ini ialah persetujuan umat Islam itu dan dalam konteks ini para mujtahidin adalah sesuatu yang dijamin ketulenannya dan kebenarannya oleh al-Quran dan al-Sunnah.

 

7.     Apabila berlaku kelemahan politik umat Islam dan akibatnya beberapa penguasa cuba untuk menggunakan agama Islam bagi tujuan politik terutama semasa kejatuhan khalifah Abbasiah pada kurun ke7 hijrah/13 Masehi (656H/1275 Masehi), maka ulama mengistiharkan penutupan pintu ijtihad. Tujuannya supaya ajaran agama Islam itu terpelihara daripada kerosakan dan mengelakkan mereka yang tidak mempunyai kelayakan daripada berijtihad. Oleh yang demikian difatwakan bahawa setiap orang Islam hendaklah bertaqlid kepada mana-mana mazhab yang empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali. Sungguh pun demikian taqlid atau ikutan kepada mazhab sudah diamalkan sebelum dari itu lagi iaitu apabila fatwa-fatwa imam mazhab mula dibukukan pada kurun ke3 dan 4 Hijrah dan proses penetapan kaedah pengeluaran hukum setiap mazhab ditetapkan. Ini menyebabkan para ulama akan mengikuti kaedah dan fatwa-fatwa imam terdahulu di samping mengembangkan serta menyusun perbincangan mazhab menjadi lebih sistematik melalui penulisan buku-buku ringkasan (matan) dan komentari matan-matan berkenaan.  Sejak dari zaman itu taqlid menjadi satu karekter utama dalam perkembangan perundangan Islam dan ramai sarjana berpandangan ianya penyebab kepada kejumudan fiqh Islam pada masa kurun-kurun pertengahan.

 

YBhg Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan/Puan/ Saudara/i sekelian,

 

8.     Apabila menjelang abad ke17 Masehi kebanyakan wilayah orang Islam dijajah oleh kuasa barat. Kejayaan kuasa penjajah barat menguasai wilayah umat Islam adalah kerana kekuatan mereka dalam aspek politik, ekonomi dan militari, kesan daripada kebangkitan ilmu di Eropah melalui Renaissance and revolusi industri yang kemudiannya kemajuan sains dan teknologi. Melalui kekuatan politik dan ketenteraan ini, nilai-nilai Eropah yang berasaskan kepada falsafah pasaran bebas serta sekularisme (dan juga sosialisme kemudiannya), sistem pemerintahan dan ekonomi negara Islam juga turut mengalami perubahan baik sama ada secara sukarela atau secara dominasi kuasa penjajahan. Faktor lain yang tidak kurang pentingnya yang menyebabkan penguasaan sistem pemerintahan dan ekonomi negara Islam oleh kuasa penjajah barat adalah kerana kelemahan dan perpecahan politik umat dan negara Islam. Banyak pengkaji menyatakan kelemahan ini berpunca daripada kelemahan ilmu dan ketamadunan, perpecahan politik serta kefahaman agama kepada pelbagai kumpulan. Kelemahan ilmu berpunca daripada sikap mengecilkan peranan penggunaan akal secara bebas atau free reasoning akibat daripada penggunaan taqlid. Akibat dari itu lahirnya ramai tokoh-tokoh pemikir Islam di akhir kurun 19 dan awal kurun 20 masehi yang menyeru supaya meninggalkan taqlid dan kembali kepada ijitihad. Serta seruan untuk kembali kepada ajaran asal Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

 

9.     Idea-idea tokoh-tokoh pembaharuan undang-undang Islam yang dikenali sebagai mujaddid atau reformis berpandangan undang-undang Islam boleh disegarkan semula bagi kegunaan di zaman moden melalui ijtihad dan meninggalkan taqlid. Lanjutan daripada seruan ini beberapa perubahan atau pembaharuan undang-undang telah diperkenalkan terutama di Turki Uthmaniyyah dan Mesir terhadap beberapa undang-undang utama seperti Perlembagaan, Obligasi sivil, kehakiman dan Kekeluargaan. Terdapat beberapa aspek pembaharuan undang-undang ini dikatakan terlalu liberal dan terpengaruh dengan idea-idea barat. Oleh yang demikian sebagaimana yang berlaku pada zaman permulaan Islam dahulu idea-idea para reformis ini telah disemak semula dan ditapis pemakaiannya oleh ulama-ulama tradisi. Objektif utama ulama ini ialah mengekalkan tradisi fiqh yang diwarisi sejak zaman berzaman, namun mereka bersetuju tentang keharusan untuk berijtihad dan melakukan pembaharuan dengan menolak beberapa kefahaman atau amalan berasaskan taqlid kepada mazhab. Oleh yang demikian golongan ulama ini dikenali sebagai revivalis.

 

10.      Label reformis dan revivalis digunakan bukanlah sebagai satu bentuk tipologi, namun ianya hanyalah sebagai satu bentuk expediensi bagi memudahkan perbincangan. Melalui penentangan golongan rivivalis ini pengaruh golongan reformis telah berkurangan dalam usaha memperbaharui undang-undang Islam dalam konteks modern. Pada masa kemerdekaan negara-negara Islam, golongan revivalis telah menguasai naratif pembaharuan undang-undang Islam, terutama melalui institusi fatwa, pendidikan tinggi baik sama ada secara formal atau informal serta melalui gerakan dakwah dan politik. Namun begitu keadaan kedudukan undang-undang Islam sudah tidak sebagaimana semasa zaman taqlid kerana ulama golongan revivalis sungguhpun tidak bersetuju dengan kaedah liberal golongan reformis percaya bahawa perubahan mesti dilakukan kepada undang-undang Islam namun mengikut kerangka kefahaman tradisi yang masih tunduk kepada doktrin ijmak.

 

 

11.      Penggunaan kefahaman tradisi bukanlah bermaksud masalah baru dunia moden hari ini mesti ditolak dan oleh itu tiada penyelesaian diberikan. Malah sebaliknya ajaran tradisi membenarkan mana-mana orang yang layak, berijtihad mengikut kerangka mazhab masing-masing terutama kepada perkara-perkara baru yang dikenali sebagai nawazil atau waqi’ah. Namun begitu keupayaan untuk berijtihad tidaklah sampai ke peringkat untuk memberi makna dan tafsiran baru kepada makna dan pengertian nas al-Quran yang telah dipersetujui secara ‘ijma’. Hasrat para reformis ialah untuk memberikan tafsiran baru kepada maksud tertentu peruntukan al-Quran dan al-Sunnah dalam konteks dan keperluan masa kini. Namun begitu perkara ini tidak dipersetujui oleh ramai ulama revivalis yang menyatakan perkara-perkara yang sudah dipersetujui secara ijmak tidak boleh dipertikaikan lagi maksud atau maknanya. Sungguhpun secara teorinya ijmak ini boleh dirungkaikan melalui ijmak yang baru, namun secara praktisnya adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk mendapatkan ijmak berkenaan, terutama kepada perkara-perkara ditil hukum.

 

 

YBhg Datuk/Datin, Tuan/Puan, Saudara/i sekelian,

 

12.      Melalui kemerdekaan negara-negara Islam daripada penjajahan barat telah timbul kesedaran untuk mengembalikan pengamalan undang-undang Islam. Kesedaran ini timbul akibat daripada kegagalan penguasa politik golongan elitis Muslim untuk memakmurkan negara setelah menggunakan model barat dalam aspek undang-undang dan ekonomi. Ini ditambah lagi dengan masalah kemiskinan dan sosial yang dialami oleh rakyat bawahan. Para aktivis politik dan sosial umat Islam dengan sokongan para ulama tradisi mengkritik dasar barat yang dilaksanakan dan menyifatkannya sebagai satu kegagalan kerana ianya sesuatu yang dipaksakan kepada ummah. Mereka menyeru bahawa Islam dan Syariah adalah sistem dan model yang sedia ada dan perlu digunakan bagi menganti model barat. Namun pada saat yang sama, ramai juga menyedari bahawa dalam konteks ekonomi moden, amatlah sukar untuk menggunakan model sendiri yang terpisah daripada amalan semasa kerana dinamika perniagaan itu sendiri serta pergantungan kepada pihak-pihak lain dalam hubungan perniagaan dan perdagangan.

 

13.      Halangan utama untuk menerima sistem ekonomi modern terutama dalam perbankan dan kewangan ialah penggunaan bunga atau faedah. Sungguhpun terdapat justifikasi tertentu dari golongan reformis yang mengharuskan penggunaan faedah dalam sistem perbankan dan kewangan, idea ini ditolak oleh golongan revivalis dengan alasan amalan faedah itu adalah termasuk dalam makna riba yang diharamkan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Memandangkan naratif golongan revivalis dalam persoalan bunga bank ini mendapat sokongan baik daripada ramai ulama dan rakyat bawahan serta pemerintah termasuk dari kalangan ahli ekonomi Islam, maka satu alternatif telah difikirkan atau dirangka bagi menganti sistem perbankan dan kewangan moden. Dengan menggunakan alasan etika dan moral larangan riba iaitu untuk mengelakkan kezaliman dan eksploitasi penggunaan wang sebagai alat pertukaran model perkongsian untung rugi  atau Profit and Loss Sharing (PLS) telah diperkenalkan oleh ahli-ahli ekonomi Islam. Model PLS menggunakan kontrak Mudarabah dan Musyarakah yang bersifat equity financing.

 

14.       Ternyata alternatif yang dicadangkan oleh ahli-ahli ekonomi Islam lebih menjurus kepada keadilan ekonomi dalam penggunaan sumber, peluang ekonomi dan agihan kekayaan. Mengikut hujah ahli ekonomi Islam jika model PLS ini dilaksanakan maka sudah tentu lain-lain kebaikan ekonomi Islam akan turut sama terhasil seperti yang diungkap sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur. Namun dari segi praktiknya terdapat beberapa cabaran melaksanakan model ini, terutama dalam kerangka sistem perniagaan, perdagangan serta kewangan yang mementingkan keuntungan. Sungguhpun terdapat beberapa kejayaan sistem kewangan sosial yang menggunakan modul PLS seperti di Mesir dan juga melalui penubuhan IDB, namun ianya bukanlah berskala besar atau bersifat komersial yang benar-benar boleh menjadi alternatif kepada perbankan atau kewangan konvensional.

 

YBhg Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan/Puan/ Saudara/i sekelian,

 

15.      Faktor peperangan Arab Israel serta ledakan harga minyak serta kebangkitan Islam (Islamic resurgence) pada tahun 1970an telah mempercepatkan desakan untuk menubuhkan perbankan secara Islam namun mengikut aturan dan kaedah perbankan komersil konvesional. Pada peringkat ini, dengan menggunakan ideal dan contoh PLS, ahli-ahli perbankan Islam dengan kerjasama para ulama revivalis memperkenalkan model perbankan Islam dengan menggunakan kontrak-kontrak pertukaran (commutative contracts/ ‘uqud mu’awadah) sebagai pendasar kepada produk-produk kewangan/perbankan Islam atau IBF. Kejayaan memperkenalkan sistem perbankan Islam yang mempunyai persamaan dengan sistem kewangan konvensional menyebabkan berlakunya pertumbuhan dan perkembangan IBF bukan setakat sahaja di negara-negara Islam timur tengah, tetapi juga ke negara-negara Islam lain bahkan juga di negara-negara bukan Islam yang lain. Sebagaimana yang dimaklumi kontrak-kontrak pertukaran ini seperti jual beli dan sewaan berbeza dengan kontrak PLS yang bersifat debt financing.

 

16.      Kejayaan pengenalan sistem kewangan Islam dan IBF pada masa kini berasaskan kepada beberapa faktor utama iaitu produk kewangan yang berdaya saing dan komprehensif, sokongan masyarakat dan negara, kestabilan politik dan kemakmuran kewangan/ekonomi (oil money), sistem governans yang mantap bagi menjamin keyakinan. Yang dimaksudkan faktor keyakinan di sini ialah produk-produk perbankan berkenaan mendapat kelulusan Syariah daripada ulama-ulama yang dilantik sebagai anggota penasihat Syariah bank berkenaan. Pelantikan penasihat ini pada mulanya bersifat sukarela bagi mendapatkan kenyakinan pengguna memandangkan bentuk perniagaan yang ditawarkan hampir sama sahaja dengan perbankan dan kewangan konvensional. Kelulusan yang diberikan oleh penasihat ini menandakan kehalalan dan keharusan produk kewangan berkenaan. Pada masa kini pelantikan anggota penasihat ini sudah menjadi suatu kemestian bahkan disyaratkan oleh undang-undang di sesetengah negara.

 

17.      Berbeza dengan aktiviti fatwa yang lain, kegiatan memberi perakuan atau kelulusan produk kewangan Islam tidak menimbulkan kontroversi memandangkan pelantikan ahli-ahlinya dari kalangan yang diterima oleh masyarakat serta pimpinan negara dan topik perbincangan fatwa hanya tertumpu pada perbankan dan kewangan Islam. Pada masa kini di Malaysia pelantikan ahli jawatankuasa Syariah perbankan Islam dilakukan oleh pihak Bank Negara bagi menjamin kompetensi, integriti dan kebebasan badan ini. Penawaran produk-produk kewangan Islam ini dibuat melalui kerjasama antara ahli-ahli perbankan dan ahli jawatankuasa ini. Dan bagi menjamin penguatkuasaannya mengikut kerangka perundangan negara, pihak peguam atau ahli undang-undang akan terlibat memberi nasihat bagaimana deraf perjanjian dibuat dengan mengubahsuai antara prinsip undang-undang kontrak Islam dan undang-undang kontrak negara yang berkuatkuasa.

 

18.      Berbeza dengan golongan reformis, kefahaman yang digunakan oleh ahli jawatankuasa penasihat Syariah ini semasa memberi penyelesaian hukum ini masih dalam kerangka pandangan dunia atau worldview ulama tradisi. Oleh yang demikian keadaan atau situasi yang digambarkan oleh sesetengah pengkaji barat sebagai pertembungan antara teori dan praktik yakni prinsip-prinsip mualamat Islam tradisi dengan keperluan atau amalan perbankan moden dapat dilihat dan dirasakan. Ini adalah kerana kontrak berkenaan dibentuk semasa masyarakat zaman pertengahan yang berbeza dengan keadaan perdagangan moden pada hari ini. Begitu juga pembentukan kontrak berkenaan dikembangkan secara akademik bagi pemakaian kepada orang Islam secara idealistik. Bagi mengharmonikan antara pertembungan ini dua kaedah utama digunakan seperti hilah dan talfiq yang melibatkan pemilhan pandangan daripada pebagai mazhab yang melibatkan teknik takhayyur. Namun dalam pemilihan pandangan mazhab, metod untuk mengikut mazhab tertentu atau mengikut pandangan ramai atau jumhur, sudah tidak lagi diikuti. Ini dalam ertikata dengan menggabungkan antara prinsip taqlid dan keluasan perbendaharaan fiqh tradisi tanpa mengira sama ada pandangan itu kuat atau lemah akan dicari dan digunakan sebagai hujah atau justifikasi bagi menyokong sesuatu cadangan atau penyelesaian hukum.

 

19.      Penggunaan kaedah hilah dan talfiq dalam penyelesaian hukum selalunya bersifat sementara bagi menanggani persoalan semasa yang mendesak atau menunggu saat sesuai di mana penyelesaian akhir boleh diberikan. Oleh yang demikian penggunaan kaedah ini tidak boleh bertahan lama. Sebagaimana yang dimaklumi pada masa sebelum penubuhan sistem perbankan dan kewangan Islam, terutama di Malaysia, prinsip darurah digunakan bagi membolehkan umat Islam bermu‘amalah dengan kewangan moden, terutama membuka akaun simpanan, membuat pinjaman perumahan dengan bayaran faedah serta penggunaan insurans. Penggunaan prinsip ini diperluaskan melalui pemakaian prinsip maslahah bagi membolehkan instrument-instrumen kewangan dan pelaburan yang mempunyai unsur-unsur bunga digunakan. Penggunaan prinsip maslahah ini diperkuatkan lagi dengan pemakaian kaedah-kaedah fiqh atau qawa‘id fiqhiyyah yang mengandungi prinsip-prinsip umum Syariah melalui penyaringan dan ringkasan daripada masalah-masalah cabang dan ranting fiqh. Akhirnya prinsip-prinsip Siyasah terutama dalam bentuk arahan-arahan regulator dan prinsip Maqasid digunakan bagi membolehkan beberapa objektif umum Syariah dicapai seperti dalam program strategik value-based intermediaries (VBI).

 

 

YBhg Datuk/Datin, Tuan/Puan, Saudara/i sekelian,

 

20.      Semenjak pengenalan perbankan dan kewangan Islam pada tahun 1970an, produk-produk IBF dengan menggunakan pendekatan golongan revivalis menjadikan akad-akad yang terdapat di dalam fiqh Islam sebagai pendasar kontrak produk berkenaan. Ini bermakna akad-akad fiqh yang selama ini terpendam di dalam manual-manual fiqh tradisi digali semula bagi menyesuaikannya dengan kontrak produk-produk berkenaan. Penggunaan akad-akad fiqh ini dalam produk kewangan dan perbankan Islam tidak menghadapi kesukaran yang besar, memandangkan terdapat persamaan yang banyak di antara akad fiqh dan kontrak moden. Ini terutamanya yang melibatkan rukun-rukun utama pembentukan kontrak dan akad seperti keperluan/kelayakan pihak-pihak berakad/berkontrak, persetujuan (rida/consent) pihak-pihak dan subjek/tujuan kontrak/akad. Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan antara kontrak dan akad antaranya keperluan kepada balasan atau consideration, kebebasan berkontrak dan larangan riba dan larangan gharar.

 

21.      Maksud kebebasan berkontrak ialah setiap pihak boleh meletakkan apa-apa syarat dalam kontrak urusniaga mereka selagi tidak bertentangan dengan undang-undang dan moraliti. Konsep kebebasan berkontrak ini tidak dikenali oleh fiqh tradisi kerana kontrak atau akad di dalam fiqh tradisi dikembangkan mengikut skim kontrak-kontrak penama atau ‘uqud musamma atau ‘uqud muayyanah. Ini bermaksud semua kontrak-kontrak berkenaan sudah disusun mengikut tujuan-tujuan yang ditetapkan iaitu pemilikan, keuntungan, pertolongan, kebajikan atau tabarru‘ serta lain-lainnya. Oleh yang demikian seseorang ahli perniagaan boleh memilih mana-mana akad yang sudah tersedia itu mengikut kesesuaian tujuan urusniaganya. Apabila suatu pilihan sudah dibuat, seseorang itu dilarang untuk mengubah sejadi akad berkenaan seperti menambah atau mengurang syarat-syarat yang telah ditetapkan. Tujuan larangan ini adalah bagi mengelakkan sesuatu akad itu terkeluar daripada tujuannya. Di sinilah yang dimaksudkan sebagai akad mu’ayyanah atau nominate contracts kerana tujuannya sudah ditentukan.  

 

22.      Jesteru dari perbincangn akad-akad penama ini, ramai pengkaji membuat kesimpulan bahawa tidak ada apa yang disebut sebagai teori kontrak Islam sebagaimana di dalam undang-undang barat sama ada tradisi undang-undang continental atau komon. Sungguhpun demikian, terdapat beberapa percubaan penulis Islam mengutarakan teori kontrak Islam atau nazariyyah ‘uqud dengan membincangkan rukun-rukun dan syarat-syarat bersama yang terdapat di kesemua akad berkenaan seperti persetujuan dan subjek perkara kepada kontrak. Terdapat juga penulis yang menjadikan akad atau kontrak jual beli (bay‘) sebagai contoh atau prototaip yang terpakai kepada semua bentuk kontrak. Akibat daripada ketiadaan teori umum kontrak Islam, perkembangan kontrak Islam yang mengambil kira perubahan masa dan tempat kurang dilakukan kerana terikat dengan syarat-syarat akad penama yang dibayangi oleh doktrin al-Taqlid. Seolah-olah akad ini telah dikunci dalam ikatan skim akad penama dan diletakkan di dalam kotak masa.

 

 

YBhg Datuk/Datin, Tuan/Puan, Saudara/i sekelian,

 

23.      Aspek kedua yang menjadi cabaran utama kepada perkembangan kontrak Islam ialah ethos keadilan sosial dan kewajaran ekonomi yang cuba untuk dicapai oleh Syariah yang ditunjukkan oleh nas al-Quran melalui larangan riba tidak terserlah. Sebaliknya penekanan diberikan kepada aplikasi syarat-syarat larangan secara normatif dan objektif yang menyebabkan aspek-aspek sosio ekonomi dan makro ekonomi larangan riba tidak diberikan perhatian yang wajar. Perkara yang sama dilakukan kepada akad-akad yang lain, Oleh itu pendekatan yang digunakan bagi menilai keharusan sesuatu akad itu dilihat semata-mata dari segi zahiriyyahnya iaitu dari segi objektiviti normatif sesuatu akad itu. Kaedah yang digunakan ialah nahkum bilzawahir wa Allah yatawala al-sara’ir. Jika sesuatu akad itu memenuhi rukun dan syarat-syaratnya ianya akan dihukum sah, walaupun kesannya atau akibatnya akan menyebabkan pengabaian nilai-nilai moral dan etika perundangan Syariah. Begitu juga sebaliknya larangan dibuat melihat kepada nilai objektiviti normatif ini sungguhpun terdapat justifikasi logika yang menafikan sebab-sebab moral dan etika larangan berkenaan berlaku.

 

24.      Sudah tentu dalam beberapa keadaan skim akad penama ini yang diaplikasikan secara langsung dan normative ini tidak dapat memberi jawapan atau penyelesaian secara innovative dan memuaskan kepada pembangunan produk-produk kewangan Islam. Bagi menyelesai masalah ini, kaedah taqlid bersama talfiq digunakan bagi membenarkan syarat-syarat dimasukkan dalam akad-akad penama ini atau dengan mengabungkan antara akad-akad ini sama ada secara kesatuan atau kompisit atau secara orderly atau tartib. Pemasukan syarat-syarat tambahan dalam akad ini dibenarkan dengan alasan ianya tidak menafikan tujuan utama akad berkenaan, manakala pengabungan akad-akad berkenaan dilakukan atas alasan bahawa prinsp asas di dalam kontrak Islam adalah keharusan atau legit melainkan terdapat larangan yang jelas daripada nas Syariah (al-Asl al-Ibahah). Kedua-dua teknik pemasukan syarat dan penggabungan antara akad-akad penama ini membolehkan inovasi dalam pembangunan produk IBF berlaku dalam kerangka doktrin taqlid kepada mazhab.

 

25.      Secara ringkasnya metod yang digunakan oleh ahli-ahli jawatankuasa Syariah atau Majlis Penasihat Syariah perbankan Islam semasa memberi kelulusan kepada produk-produk IBF ini menggunakan skim akad-akad penama ini secara objektif normative dengan mengabungkan doktrin taqlid melalui penggunaan talfiq dan pemilihan pandangan mazhab tanpa terikat dengan kekuatan hujah pandangan tersebut melalui alasan maslahah atau hajah atau darurah. Namun sebagaimana yang dihuraikan sebelum ini penggunaan prinsip maslahah yang lazimnya digunakan melalui pemakaian kaedah-kaedah fiqh atau qawa‘id fiqhiyyah di samping terdapat desakan-desakan semasa menyebabkan penggunaan kaedah maslahah secara lebih liberal melalui prinsip Siyasah dan Maqasid. Ini menyebabkan beberapa produk kewangan dan pelaburan Islam dibenarkan mutakhir ini, walaupun pada permulaannya ianya dilarang.

 

26.      Instrumen pembaharuan undang-undang Islam yang menjadi mercu cipta golongan reformis tidaklah menjadi rujukan asas IBF kerana penggunaan pendekatan atau teknik jurispruden yang berbeza, namun terdapat dalam beberapa ketika perintah diberikan oleh mahkamah yang secara langsungnya mengubah beberapa dimensi kontrak penama Islam tradisi yang dipegang oleh golongan revivalis. Perintah atau keputusan mahkamah ini diterima dalam amalan produk IBF kerana ianya dianggap sebagai satu bentuk siyasah daripada pemerintah yang perlu diikuti selagi mana ianya tidak melanggar secara jelas dan langsung larangan nas-nas Syariah yang jelas atau dilakukan secara sukarela dan pilihan sendiri serta terdapat keuzuran atau darar syarie. Keupayaan perintah atau keputusan mahkamah untuk mengubah syarat-syarat dalam akad penama ini menyebabkan kritikan dibuat dengan menyatakan perakuan keharusan sesuatu produk IBF melalui jawatankuasa Syariah adalah bersifat etika dalam konteks positivism perundangan negara. Namun begitu pada pandangan saya perkara ini mungkin hasil analisis penggunaan akad-akad penama ini dalam konteks perundangan barat yang tidak mengiktiraf peranan Syariah dalam sistem kehakiman negara berkenaan.

 

27.      Dalam sistem kehakiman dan perundangan negara Islam, perkembangan terkini menunjukkan perubahan untuk menggubal skim akad berkenaan dalam bentuk ubahsuaian mengikut kehendak semasa pasaran kewangan dan perbankan melalui metod dan teknik yang dibincangkan di atas sudah mengalami proses perundangan melalui pengenalan standard atau regulasi oleh pihak regulator kewangan. Sungguhpun usaha ini merupakan usaha terpuji, namun dalam masa jangka panjang, terdapat hipotesis yang menyatakan undang-undang dan peraturan ini akan menyebabkan rigiditi kerana ianya digubal secara preskriptif. Namun hipotesis ini masih dalam kajian dan hanya masa akan menentukannya. Ini berbeza di negara-negara Islam yang menggubal undang-undang mereka mengikut pendekatan golongan reformis yang membuat peruntukan secara deskriptif atau secara teori umum kontrak yang menyebabkan terdapatnya fleksibiliti dalam pelaksanaan kontrak-kontrak Islam. Sebagai contoh Perlembagaan di Mesir dan Pakistan menjadikan Syariah sebagai satu-satunya sumber undang-undang akan menyebabkan apa-apa sahaja kontrak yang berlawanan denga Syariah sebagai tidak sah. Begitu juga di sesetengah negara amalan tentang pengenaan faedah atau bunga kepada pinjaman disekat atau dihapuskan melalui peruntukan undang-undang Sivil/Obligasi mereka. Paling kurang pun undang-undang Syariah dijadikan sebagai salah satu sumber undang-undang dan di sesetengah negara seperti Jordan, Palestin dan Iraq, peruntukan Majallah al-Ahkam al-Adliyyah terpakai sebagai undang-undang berbaki (residual law) dalam perkara kontrak.    

 

               YBhg Datuk/Datin, Tuan/Puan, Saudara/i sekelian,

 

28.      Hasil perbincangan di atas menunjukkan kepada kita bahawa kontrak-kontrak Syariah yang disusun beratus-ratus tahun dahulu digunakan sepenuhnya dalam pembangunan IBF moden yang rata-ratanya merupakan hasil atau natijah daripada perkembangan sistem ekonomi kapitalis masa kini yang mementingkan keuntungan dan menjaga kepentingan pemegang saham, pelabur dan pengdeposit. Perkara ini bukanlah sesuatu yang salah, cuma ia mungkin mengabaikan nilai etika dan moral perundangan Syariah seperti yang pernah diperjuangkan oleh ahl-ahli ekonomi Islam melalui model PLS dan juga golongan reformis melalui agenda neo-ijtihad mereka. Cuma persoalannya apakah pendekatan dan teknik secara objektif sebegini boleh bertahan dan mengembang secara sihat di masa hadapan. Ini adalah memandangkan walaupun prinsip maqasid sudah digunakan oleh ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah, namun kebanyakannya masih dalam bentuk pengecualian atau exemption kepada prinsip atau kefahaman asas fiqh tradisi. Oleh yang demikian pada pandangan saya secara pendekatan golongan reformis terutama yang cuba untuk menilai kefahaman tradisi fiqh kontrak-kontrak (terutama yang diputuskan melalui ijma‘ baik sama ada kepada maksud sesuatu amalan atau teknik pengeluaran hukum) berkenaan perlu ditimbang dan diarusperdanakan bagi memastikan kelangsungan dan kelasterian perundangan Islam dalam konteks IBF di masa-masa hadapan. Begitu juga usaha-usaha perlu dimantapkan bagi memastikan nilai-nilai kontrak Islam dapat disisip masuk kedalam undang-undang kontrak dan perdagangan negara menggunakan pendekatan di atas dan melalui proses harmonisasi atau integrasi antara perundangan Syariah dan negara.

 

***

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...