Saturday 6 June 2020

Ulasan buku Sejarah Rakyat Malaysia oleh Syed Husin Ali (2017)

Ulasan buku "Sejarah Rakyat Malaysia oleh Syed Husin Ali (2017)". Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre. 211 halaman beserta indeks berkulit lembut.


Penulis menyatakan metod penulisan buku ini adalah gabungan antara sejarah rakyat dan sejarah alternatif. Tujuan pemilihan kaedah ini adalah untuk memberitahu pembaca peristiwa-peristiwa sejarah tanah air dari perspektif yang berbeza daripada sejarah rasmi. Mengikut penulis, sejarah rasmi adalah sesuatu yang dirancang oleh mereka yang berkuasa untuk memaparkan peristiwa-peristiwa sejarah secara terpilih. Mengikut penulis sejarah rasmi sebagaimana yang ada memberi penekanan yang berlebihan kepada orang Melayu dan Islam serta mengabaikan peranan lain-lain golongan masyarakat terutama di Sabah dan Sarawak. Oleh yang demikian sejarah rasmi tidak memasukkan peristiwa lain yang mungkin penting atau perlu diketahui oleh masyarakat. Di sini timbulnya keperluan kepada penulisan sejarah alternatif. Sebenarnya isi penulisan buku ini tidaklah banyak berbeza daripada penulisan sejarah rasmi, terutama di bahagian-bahagian pra-sejarah, sejarah kerajaan Melayu dan era zaman penjajahan. Fakta dan ulasan yang diberikan adalah sama sahaja dengan sejarah rasmi yang membentangkan usaha-usaha penduduk peribumi menentang penjajah. Sedikit perbezaan ialah semasa penulis membentangkan sejarah moden terutama semasa era kemerdekaan Malaysia. Di sini penulis menimbulkan peranan positif golongan kiri nasionalis negara seperti PKMM, API dan AWAS termasuk juga PKM dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Penulis juga menonjolkan peranan kumpulan dan individu tertentu di Sabah dan Sarawak dalam usaha mereka menuntut kemerdekaan. Kumpulan dan individu ini mungkin dalam naratif sejarah rasmi agak kontraversi, Manakala sejarah selepas kemerdekaan penulis menekan kepada masalah-masalah dalaman negara terutama yang berkait dengan hubungan kaum. Penulis juga mengulas faktor-faktor pemisahan antara Malaysia dan Singapura kerana pertimbangan politik dan juga kaum. Begitu juga penulis menonjolkan peranan gerakan pembaharuan politik dan sosial dalam negara yang bertujuan untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih adil. Penulis juga mengulas pergolakan politik dan perpecahan dalam parti pemerintah UMNO dan salah guna kuasa yang menyebabkan sokongan yang meningkat kepada parti pembangkang ketika itu. Terdapat sedikit kesalahan fakta seperti di halaman 63 penulis menyatakan pemusuhan antara kerajaan Uthmaniyyah dan Inggeris semasa peperangan dunia ke2. Bagi kemudahan pembaca, penulis membuat ringkasan pada setiap bab dan seterusnya menyimpulkan serta meringkaskan secara keseluruhan topik perbincangan buku ini di bab kesimpulan dan penutup (halaman 185-198). Oleh itu bagi mereka yang tidak mempunyai masa, boleh membaca di halaman-halaman ini.     

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...