Tuesday 15 March 2016

Kealpaan Membawa Padah: Tidak Patuh Syariah pada akad Bai ‘Inah dalam Kes FLH ICT Services & Anor v. Malaysian Debt Ventures Bhd [2016] 1 CLJ 243.

Kealpaan Membawa Padah: Tidak Patuh Syariah pada akad Bai ‘Inah dalam Kes FLH ICT Services & Anor v. Malaysian Debt Ventures Bhd [2016] 1 CLJ 243.

Oleh Ahmad Hidayat Buang.

Mahkamah Rayuan pada 13 November 2015 membuat keputusan yang selama ini ditunggu-tunggu iaitu dengan menguatkuasakan syarat-syarat akad di dalam perundangan Islam. Di dalam kes ini pihak responden yakni orang yang kena rayu mendapat perintah Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan bayaran sebanyak RM12,139,615.23 beserta ta’wid sebanyak 1% serta kos sebanyak RM50,000. Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan responden kerana ia telah berjaya membuktikan tuntutan tersebut secara imbangan keberangkalian. Dalam rayuan isu yang ditimbulkan ialah samada kegagalan untuk mengenalpasti aset jualan dalam akad bai al-inah di dalam dokumen-dokumen perjanjian transaksi berkenaan dapat dikatakan sebagai tidak patuh Syariah. Setelah membuat pertimbangan Mahkamah Rayuan mendapati tiada pernyataan atau rujukan dibuat terhadap aset yang dijual dan dibeli. Oleh kerana pihak-pihak yang terlibat dengan perjanjian adalah terikat dengan apa yang mereka persetujui dan tidak boleh menulis semula apa-apa tinggalan, mahkamah memutuskan kontrak bai al-inah yang dipersetujui oleh kedua-dua perayu dan responden adalah tidak patuh Syariah. Rujukan kepada keputusan ini ialah resolusi Syariah Penasihat Syariah Bank Negara di sidang ke16 pada 11 November 2000 dan sidang ke82 pada 17 Februari 2009 yang memutuskan pada para (e) keperluan pindahmilik dan qabd aset jualan sebagaimana mengikut undang-undang Syariah dan kebiasaan perniagaan. Mahkamah menegaskan bahawa “The essence of the bai al-inah transaction entered into by the parties must be grounded upon the basic premise that it must involve the sale and buy back transactions of an asset of a seller. The existence of the asset in the transactions is imperative without which such contract is not bai al-inah contract, but something else outside the system”. Berasaskan kepada dapatan ini Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan perayu dan mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi.

Tidak dapat dipastikan apakah kesan keputusan ini kepada kesahihan akad samada batal atau tidak kerana mahkamah tidak menyatakannya dengan tuntas. Mahkamah hanya menyatakan bentuk yang dipersetujui oleh pihak-pihak tidak mematuhi Syariah sebagaimana yang dinyatakan dalam resolusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan sesuatu yang berada di luar sistem (Syariah?).  Oleh yang demikian mengikut Mahkamah lagi remedi yang ada bagi responden ada di tempat lain dan bukan di bawah sistem kewangan bai al-inah. Begitu juga responden tidak boleh mengambil faedah daripada sistem yang mana kontrak mereka meterai tidak dikenali oleh sistem itu (di halaman 252). Apakah kenyataan ini bermaksud pihak responden boleh mengambil remedi selain daripada penyelesaian secara Syariah?

Pada pandangan saya Mahkamah Rayuan semasa membuat keputusan mengaplikasikan syarat-syarat jual beli secara rigid dan literal tanpa menimbang tujuan-tujuan dan niat pihak-pihak yang berkontrak sebagaimana yang berlaku dalam kes-kes terdahulu. Saya tidak pasti apakah wang pihak responden yang sudah dikeluarkan itu tidak boleh lagi dituntut daripada perayu. Di dalam kes ini sudah dibuktikan bahawa responden sudah mengeluarkan wangnya dan perayu sudah menerimanya. Barangkali pihak Mahkamah membuat perintah wang yang diterima itu dikembalikan. Namun saya tidak nampak perkara ini dinyatakan dalam laporan penghakiman kes. Oleh itu sungguhpun transaksi ini tidak mematuhi keperluan Syariah, namun dari segi kewajaran pihak perayu perlu membayar kembali wang yang diterima akibat dari transaksi yang tidak sah.  Pada pandangan saya ini adalah selaras dengan ajaran Syariah agar mana-mana pihak tidak mendapat sebarang kemudaratan serta untuk menutup pintu-pintu kejahatan yang mana nanti akan terdapat pihak-pihak tertentu memanipulasi aplikasi syarat-syarat jual beli ini secara literal untuk kepentingan mereka tidak menunaikan tanggungjawab membayar hutang.  

Sebagaimana yang dimaklumi dalam kes-kes terdahulu mahkamah sivil mengelak untuk mengulas prinsip-prinsip Syariah yang terlibat dalam sesuatu produk perbankan Islam dan lebih gemar melihat keseluruhan produk itu dalam kerangka tujuan dan niat pihak-pihak berkenaan.  Namun begitu trend pada masa sekarang terutama di peringkat Mahkamah Rayuan, apa yang dipersetujui oleh pihak-pihak dalam kontrak tidak perlu diganggu oleh Mahkamah. Oleh yang demikian, terma-terma yang terdapat dalam kontrak itu perlu diperhalusi dan diperhatikan oleh pihak-pihak terbabit agar tidak menimbulkan kesan negatif sebagaimana di dalam kes di atas.

Keputusan kes ini juga menunjukkan bahawa terdapat ketidakcekapan atau kekurangan pengetahuan pihak-pihak yang merangka deraf atau dokumen perjanjian transaksi berkenaan sehingga menyebabkan remedi tidak boleh diperolehi oleh responden. Bahkan mahkamah sendiri menegur saksi-saksi yang dibawa mempunyai pengetahuan yang amat sedikit tentang Bai al-Inah. Kes ini sudah tentu merupakan satu bentuk peringatan kepada institusi kewangan Islam agar memberi perhatian dengan serius kepada terma-terma perjanjian mereka agar patuh kepada keperluan-keperluan Syariah.


Pendekatan literal mahkamah sivil di Malaysia dalam perkara kontrak perbankan Islam tidak syak lagi akan memperkukuhkan lagi resolusi-resolusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara kerana ia akan menjadi rujukan langsung pihak Mahkamah semasa membuat keputusan di dalam sesuatu pertikaian. Pendekatan sebegini ada baik dan buruknya. Kebaikannya ialah pihak Mahkamah Sivil secara tidak langsung mesti mengaplikasikan prinsip-prinsip Syariah semasa membuat keputusan. Manakala keburukannya sebagaimana yang dinyatakan di atas akan digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka bagi mengelak menunaikan tanggungjawab membayar hutang.

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...