Saturday 14 February 2015

Apakah itu Indeks Syariah?

Apakah itu Indeks Syariah?

Dalam dunia hari ini, terutama dalam masyarakat yang mementingkan sains dan teknologi, sesuatu perkara itu hanya akan dapat diterima sebagai benar atau tepat, sebagai berkualiti dan sebaliknya dengan menunjukkan nilaian yang dapat dikira atau dikuatitikan (disebut dalam bahasa Inggeris sebagai quantify atau bahasa Arab dengan kamiyyah). Pada masa dahulu hanya perkara yang bersifat fisikal atau monetari yang akan diberi perkiraan berdasarkan kepada formula-formula metametik atau statistik tertentu bagi tujuan mengukur atau membuat taksiran seperti banyak atau sedikit, turun atau naik, kuat atau lemah dan sebagainya. Dengan perluasan dan kemajuan ilmu pengetahuan serta keinginan untuk meningkat displin pengajian kemanusiaan menjadi lebih saintifik beberapa kaedah pengukuran dan taksiran melalui formula metametik dan statistik diperkenalkan terutama pada dekat 1990an dan secara aktifnya selepas melenia baru. Pada masa sekarang kajian kemanusiaan yang bersifat tulin sungguhpun masih ada, namun sudah dibayangi oleh kajian-kajian serta penulisan yang disokong oleh data-data emperik yang menggunakan kaedah pengukuran ini.

Salah satu cara untuk menentukan apakah sesuatu perkara itu baik atau buruk ialah melalui penetapan standard atau tandaras (benchmark) tertentu. Lazimnya skim pemarkahan diberikan bagi menentukan tandaras ini seperti penggunaan skala nominal atau gred. Pelbagai aspek sains sosial dan kemanusiaan pada masa kini, termasuk pengajian Islam, telah menggunakan kaedah atau metod ini dalam penyelidikan dan penulisan ilmiah bagi menyokong teori atau hipotesis serta asumsi tertentu terutama untuk memahami gelagat dan faktor sesuatu fenomena atau trend. Namun begitu untuk membolehkan sesuatu tandaras itu menjadi satu indeks yang boleh dijadikan ukuran secara reliabel ianya perlu mengambil kira angkubah-angkubah yang mempunyai kaitan serta kepentingan langsung dengan indeks yang hendak dibentuk itu. Sebagai contoh indeks harga pengguna atau consumer price index akan mengambil kira gelagat pengguna dalam pembelian barangan dan perkhidmatan. Tujuan indeks ini adalah pelbagai iaitu namun secara utamanya ialah sebagai petunjuk ekonomi sesebuah negara atau negeri. Maka, begitu juga keadaan yang sama kepada indeks Syariah seperti yang dibangunkan oleh pihak JAKIM sebagai indikator kepada tahap amalan Islami negara Malaysia.

Indeks Syariah yang dibangunkan oleh pihak JAKIM adalah satu usaha untuk mengukur tahap keseriusan pihak kerajaan dalam menepati piawaian Islam dalam dasar dan programnya. Ia juga bertujuan untuk mengenalpasti kelemahan yang ada dalam konteks berkenaan bagi tujuan penambahbaikan (http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1107753). Indeks ini tidak boleh dikelirukan dengan indeks Syariah yang dibangunkan bagi tujuan pasaran saham atau kewangan yang sedia ada di beberapa negara ketika ini. Maksud piawaian Islam ialah pengukuran mengikut maqasid Syariah yang lima iaitu memelihara agama, nyawa, harta, keturunan dan minda dalam lapan domain keutamaan yang dipilih iaitu perundangan, ekonomi, politik, pendidikan, budaya, kesihatan, sosial dan, prasarana atau infrastuktur dan persekitaran. Bagi mereka yang sudah biasa dengan penyelidikan tinggi, domain ini bukanlah sesuatu yang asing kerana ia juga merupa tumpuan keutamaan yang diberikan dalam pentadbiran kerajaan. Angkubah yang diambil kira semasa membentuk indeks ini ialah item-item yang boleh diukur dalam perancangan serta pelaksanaan dasar kerajaan iaitu berasaskan formula hubungan fungsi dengan maqasid Syariah iaitu seperti dasar/polisi, instrument, kesungguhan politik, kepimpinan, sumber manusia, sistem perundangan Islam, pendidikan agama, dakwah, mekanisme semak dan imbang, penerimaan masyarakat dan sebagainya. Rasanya formula ini tidak banyak bezanya dengan kaedah pembentukan indeks-indeks yang lain.

Sebagaimana dengan penggunaan indeks yang lain, pengukuran indeks Syariah ini tidak akan terlepas daripada bias di mana markah-markah yang diperoleh tidak boleh dilihat secara isolasi dari faktor-faktor keagamaan, sosial, ekonomi dan politik yang lain. Sebagai contoh indeks islamisiti (Islamicity Index) yang cuba dibangunkan oleh beberapa sarjana di Universiti George Washington, Amerika Syarikat boleh memberi gambaran yang kurang tepat apabila tidak sebuah negara Islam pun berada dalam senarai 25 tertinggi (top 25) negara yang menepati indeks berkenaan (http://english.astroawani.com/malaysia-news/islamicity-index-study-not-thorough-says-islamic-academic-37577). Ini adalah kerana indeks tersebut tidak melihat elemen atau kriteria lain yang penting iaitu amalan keagamaan serta keimanan semasa membuat pengukuran. Daripada apa yang dibentangkan didapati indeks Syariah yang dibangunkan oleh pihak JAKIM nampaknya mengambil kira kedua-dua aspek spiritual dan amalan. Sungguhpun demikian terdapat beberapa aspek yang boleh dibincangkan dari segi skop pengumpulan maklumat. Sebagai contoh empat negara telah dipilih untuk dilawati iaitu Indonesia, Pakistan, Turki dan Moroko. Pihak urusetia mungkin mempunyai alasan tertentu memilih negara-negara berkenaan. Moroko dipilih kerana mewakili negara Arab dan mungkin benua Afrika. Mungkin akan ada orang bertanya mengapa tidak dipilih Arab Saudi atau salah satu negara-negara teluk? 

    

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...