Tuesday 14 February 2017

Ulasan Artikel "The Juridical Theology of Shafi'i: Origins and Significance of Usul al-Fiqh" oleh George Makdisi

Ulasan Artikel "The Juridical Theology of Shafi'i: Origins and Significance of Usul al-Fiqh" oleh George Makdisi, Studia Islamica, No.59 (1984), hh.5-47.

Kajian Usul al-Fiqh akan menyatakan terdapat tiga aliran atau tariqah ilmu berkenaan iaitu Mutakallimum atau Usuliyyun, Ahnaf atau Fuqaha' dan akhirnya aliran muta'akhirun. Bagi penulis artikel ini penamaan aliran ini merupakan satu kesilapan ataupun sekurang-kurangnya tidak selaras dengan hasrat atau tujuan sebenar penulisan Imam Shafi'i di dalam kitabnya al-Risalah. Sungguhpun terdapat beberapa pandangan siapakah yang pengasas kepada ilmu Usul al-Fiqh, kebanyakan penulis dan pengkaji berpendapat Imam Shafi'i merupakan orang pertama yang menulis mengenai Usul al-Fiqh. Dengan mengunakan metodologi sejarah dan rujukan kepada buku-buku sejarah Islam oleh penulis seperti Zahabi, Subki dan lain-lain, pengarang berpendapat bahawa tujuan utama Imam Shafi'i menulis risalah ialah untuk mempertahankan kemurniaan ajaran Islam daripada pengaruh golongan ahlu ra'yu atau rasionalis yang dipelopori oleh Muktazilah. Bagi golongan ahlu ra'yu kefahaman terhadap ajaran Islam boleh juga dicapai oleh akal. Begitu juga penulis berpandangan aliran tradisionalis yang berpegang kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah secara langsung tanpa bantuan daripada falsafah lama (Greek) dan ini berbeza dengan aliran Asha'irah apatah lagi Muktazilah. Bagi penulis, Kitab al-Risalah bertujuan untuk menyekat penggunaan qiyas secara berleluasa, dengan mengenakan syarat-syarat tertentu tertentu. Pada asalnya Imam Shafi'i berhasrat untuk menolak qiyas, namun begitu terdapat keperluan kepada qiyas. Hasrat ini mengikut penulis dikekalkan oleh pengikutnya Daud al-Zahiri yang menolak penggunaan qiyas dalam kaedah hukum. Persoalan yang ditimbulkan oleh penulis mengapakah bentuk penulisan Usul al-Fiqh selepas 2 kurun daripada tarikh kematian Imam Shafi'i telah berbeza daripada apa yang ditulis oleh beliau. Begitu juga persoalan ditimbulkan tentang bilanya timbul istilah Usul al-Fiqh kerana Imam Shafi'i tidak memanggil atau menamakan kitabnya dengan istilah berkenaan? Bagi penulis perkara ini berlaku kerana kekalahan golongan rasionalis kepada tradisionalis terutama pada zaman pemerintahan Khalifah al-Mutawakkil di mana Khalifah telah menamatkan dominasi golongan Muktazilah dan berpegang kepada golongan tradisionalis. Sungguhpun kewujudan golongan Muktazilah telah dihapuskan daripada pemerintahan terutama pendidikan yang dinaungi oleh khalifah atau pemerintah, namun pengaruh golongan rasionalis menyerap masuk ke dalam aliran pemikiran Islam melalui mazhab fiqh terutama mazhab Hanafi dan Shafi'i dan juga aliran Asya'ari. Oleh itu mengikut penulis, daripada penulisan beberapa tokoh mazhab Shafi'i seperti Zahabi dan Shirazi menyatakan kebencian mereka terhadap golongan Asyaari yang menyerap masuk kepada mazhab Syafi'i melalui perbincangan Usul al-Fiqh. Antara contoh yang diberi oleh penulis ialah Abu Ishak al-Isfariani, seorang ulama Usul al-Fiqh dalam mazhab Shafi'i, yang dikatakan tidak disenangi oleh Zahabi sehingga ia menyenaraikannya bersama-sama dengan golongan Shiah dan Rafidah didalam kitabnya. Shirazi begitu juga mendakwa bahawa kitab Usul al-Fiqhnya itu bebas daripada pengaruh golongan rasionalis seperti Asya'irah. Oleh yang demikian persoalannya mengapakah elemen-elemen falsafah dan logika ini masih berada di dalam penulisan Usul al-Fiqh terutama selepas kurun 5 dan 6 Hijrah. Ini menurut penulis tidak dapat dielakkan kerana ia melibatkan persoalan hukum, terutama permasalahan di mana apakah status seorang mukallaf itu sebelum adalah wahyu. Persoalan ini dikemukakan oleh golongan rasionalis untuk menjustifikasi hujah penggunaan akal. Bagi mereka akal sebagaimana wahyu adalah kurniaan Ilahi. Oleh yang demikian akal juga berperanan untuk menentukan sesuatu jawapan di dalam agama. Sesuatu yang menarik ialah penulis cuba mengaitkan pendirian Imam Shafi'i ini adalah bersamaan dengan Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim pada masalah teologi yang berkaitan dengan kefahaman kepada ayat al-Quran dan al-Sunnah dan ini sekaligus menafikan hubungan antara mazhab Shafi'i dan Asya'ari. Sudah tentu ini merupakan satu kesimpulan yang agak kontraversi. Sebagai kesimpulannya penulis menyatakan bahawa kitab al-Risalah sebenarnya bukanlah bertujuan untuk menjelaskan kaedah-kaedah hukum sebagaimana ilmu Usul al-Fiqh selepasnya, namun ia adalah sebuah kitab yang cuba untuk menjelaskan teologi atau akidah melalui rujukan kepada al-Quran dan al-Sunnah tanpa perlu kepada tambahan-tambahan asing seperti falsafah atau apa yang diistilahkan oleh penulis sebagai juridical theology.    

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...