Friday 27 November 2015

Hibah Lebihan (Surplus) Kepada Pemegang Polisi Takaful Am (Motor) dan Masalah-Masalah Yang Timbul Daripadanya

1. Sebagai insentif kepada pelanggan, pemegang polisi Takaful Am motor dijanjikan hibah jika terdapat lebihan dalam dana takaful berkenaan. Yang dimaksudkan dengan lebihan atau surplus di sini ialah jika hasil pendapatan dana melebihi daripada kadar keuntungan yang dianggarkan dalam belajawan tahunan. Sebagai contoh sekiranya kadar keuntungan dianggarkan sebanyak 3% namun keuntungan sebenar adalah 3.5% maka 0.5% itu adalah lebihan. Sebagaimana yang dimaklumi keseluruhan caruman atau pembayaran takaful motor akan dimasukkan di dalam tabung risiko atau tabarru' bagi tujuan perlindungan.

2. Bagi pengiraan lebihan ini, item yang ditolak adalah tuntutan (claims), yuran wakalah (bagi yang menggunakan modul wakalah, Takaful Semula Diserahkan serta apa-apa perbelanjaan lain. Jumlah ini akan dicampurkan dengan keuntungan pelaburan jika ada.  Pemegang modal boleh berkongsi lebihan ini dengan hak maksimum sebanyak 50% sebagaimana yang ditentukan oleh pihak BNM (in a manner which ensure fair treatment of different groups of participants - GTOF 2013). Namun operator Takaful boleh memilih untuk tidak mengagihkan lebihan ini untuk tujuan-tujuan lain seperti pengukuhan dana risiko dan sebagainya. Perkara ini dinyatakan dengan jelas di dalam akad takaful di mana lebihan akan diagihkan kepada pemegang polisi mengikut budibicara pengendali takaful, namun tertakluk kepada persetujuan hibah bersyarat. 

3. Agihan apabila dibuat akan dibayar berasaskan kepada kadar sumbangan pemegang polisi yang akan dikongsi secara prorata. Cara bayaran pada masa dahulu adalah melalui cek yang dihantar kepada alamat pemegang polisi. Masalah yang timbul ialah cek berkenaan tidak ditunaikan oleh pemegang polisi kerana pelbagai sebab seperti surat tidak sampai kerana berpindah alamat, salah alamat dan sebagainya. Begitu juga kerana jumlah yang kecil pemegang polisi tidak berminat untuk menunaikannya. Mengikut polisi sesetengah pihak operator Takaful hanya jumlah hibah yang melebihi RM10 akan diagihkan kepada pemegang polisi. Keputusan ini dibuat berasaskan kepada amalan perniagaan dan kos yang perlu ditanggung oleh pihak operator tidak berbaloi bagi agihan sedemikian.

4. Masalah pemegang polisi tidak menunaikan bayaran yang dibuat pada masa kini sedang diatasi melalui pembayaran terus ke dalam akaun bank. Namun begitu terdapat juga maklumat-maklumat yang tidak lengkap atau kemaskini menyebabkan bayaran tidak dapat dibuat. Untuk memberi keadilan kepada pelanggan, pihak operator akan memberi notis secara bertulis yang dipos ke alamat terakhir serta akan juga diiklankan dalam laman sesawang syarikat takaful berkenaan memaklumkan perkara sedemikian.

5. Masa yang diberi untuk memberi respon ialah selama setahun. Dalam tempoh berkenaan wang yang diagihkan itu akan dianggap sebagai liabiliti operator. Apabila masa setahun sudah berlalu, maka lebihan berkenaan akan dimasukkan dalam dana risiko. Namun begitu, pihak pelanggan boleh pada bila-bila masa membuat tuntutan bagi mendapatkan jumlah lebihan berkenaan. Pada pandangan saya, hanya jumlah pokok sahaja yang dikembalikan sungguhpun semasa berada dalam dana berkenaan keuntungan dibuat kerana dana ini bertujuaan tabarru' dan mestilah mengutama kepentingan ramai.

6. Pada masa dahulu sekiranya cek yang dikeluarkan itu tidak ditunaikan dan dikembalikan kepada operator, selain daripada kos yang perlu ditanggung, kerana cek tidak ditunaikan, jumlah berkenaan mengikut undang-undang akan dianggap sebagai wang tidak dituntut.  Oleh yang demikian menjadi tanggungjawab operator untuk menyerahkannya kepada pemegang amanah raya sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Namun begitu persoalannya ialah apakah wang tidak dapat dimasukkan dalam akaun pelanggan sebagaimana yang dijelaskan di perenggan 4 dan 5 di atas tidak tertakluk kepada undang-undang sebagai wang tidak dituntut? Pada pandangan penulis, sewajarnya wang tersebut dimasukkan ke dalam dana risiko dan tidak dianggap sebagai wang tidak dituntut kerana ia berpunca daripada tindakan budibicara operator dan bukannya hak yang boleh disaman oleh pelanggan.

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...