Tuesday 21 April 2020

Industri Halal di Jepun

Profesor Sugimoto sedang menyampaikan 
syarahannya
Rencana ini adalah sedutan daripada syarahan Profesor Ichiro Sugimoto daripada Faculty of International Liberal Arts, Soka Universiti, Tokyo, Jepun di Akademi Pengajian Islam pada 4hb Mac 2019. Saya membuat beberapa tambahan bagi melancarkan penjelasan.

Jumlah penduduk Islam di Jepun adalah seramai 200,000 jiwa setakat tahun 2015 dengan jumlah masjid sebanyak 90 buah di seluruh Jepun. Sebahagian besar dari jumlah ini adalah pekerja dan pelajar Muslim seramai 90%. Hanya 10% daripada bilangan penduduk Islam berketurunan Jepun. Kedatangan Islam ke Jepun bermula dengan perhubungan diplomatik negara itu dengan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah. Bahkan sehingga kini kerajaan Turki masih memberi perhatian terhadap perkembangan Islam di Jepun. Misalnya Masjid Besar Tokyo dibina dengan dana dari Turki. Begitu juga masjid pertama di Kota Kobe adalah hasil pembinaan dari Turki.

Bersama Prof Raihanah, Pengarah  API, 
Dr. Asmak dan Dr. Shahid  seusai syarahan
Mutakhir ini kedatangan pelawat Muslim ke Jepun meningkat setiap tahun. Ini terutama apabila kerajaan Jepun mengecualikan keperluan visa kepada rakyat Malaysia dan Indonesia untuk memasuki negara matahari terbit itu. Jumlah keseluruhan pelawat yang datang ke Jepun adalah seramai 131 juta pada tahun 2017. Angka ini meningkat berlipat kali ganda dari tahun 2000 yang menerima pelawat seramai 25 juta dan pada tahun 2010 seramai 98 juta. Ianya dijangka akan meningkat pada tahun 2020 seramai 158 juta. Namun dengan penyebaran wabak Covid-19 jumlah ini mungkin berkurangan. Manakala jumlah perbelanjaan pelawat di Jepun yang meliputi kos perjalanan dan lain-lain adalah sebanyak USD300 billion.

Memandangkan terdapatnya prospek ekonomi yang besar daripada pelawat-pelawat Muslim, kerajaan Jepun telah memberi perhatian kepada keperluan pelawat Muslim seperti mengadakan kemudahan tempat solat, makanan halal, termasuk pakej pelancongan mesra atau patuh Syariah. Antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini adalah seperti berikut:

Bersama Ustaz Johari, pegawai Halal
JAKIM di Masjid Turki, Tokyo
(1) Agama Islam merupakan yang banyak berkembang di dunia dengan jangkaan seorang daripada empat penduduk dunia adalah Muslim dengan jumlah seramai 2.8 billion pada tahun 2050.

(2) Kemunculan penduduk Muslim golongan pertengahan yang mempunyai pendapatan boleh belanja (disposable income), terutama pertambahan penduduk Muslim bandar terutama dari kalangan kaum wanita seperti di negara-negara Teluk, Malaysia, Indonesia termasuk juga dari Amerika Syarikat dan Eropah.

(3) Pertambahan penduduk muda yang berumur median 25 tahun pada tahun 2015 dan selepasnya. Golongan ini menyumbang kepada industri pelancongan di masa hadapan.

Restoran "Mesra Syariah" di Lapangan Terbang
Antarabangsa Narita,Tokyo
(4) Pertambahan dalam kemudahan mendapat maklumat perjalanan antarabangsa seperti tempahan tiket kapal terbang dan penginapan terutama melalui perkhidmatan di atas talian serta kemudahan kredit pembayaran melalui e-banking.

(5) Pertambahan kemudahan tempat dan perkhidmatan pelancongan atau perjalanan mesra atau patuh Syariah. Kemudahan dan perkhidmatan ini adalah autentik (boleh dipercayai kerana disahkan melalui sijil halal), dalam kemampuan pengguna (affordable) dan mudah diperolehi atau dihubungi (accessible).


Tanda Arah Surau di Lapangan Terbang
Antarabangsa Narita 
 
Bagi rantau Asia, berdasarkan kepada faktor-faktor di atas Jepun menjangkakan akan menerima lebih ramai pelawat-pelawat Islam dari negara-negara OIC. Untuk meningkatkan lagi kecekapan dan mutu perkhidmatan pelancongan mesra atau patuh Syariah Jepun perlu belajar dari negara-negara yang telah berjaya mengadakan program pelancongan berkenaan. Mengikut Global Muslim Travel Index (GMTI) 2018, empat negara OIC teratas dalam indeks berkenaan ialah Malaysia, Indonesia, UAE dan Turki. Manakala negara bukan OIC yang berada di dalam indeks berkenaan ialah Singapura, Thailand, United Kingdom dan Jepun.

Tempat Wuduk di surau di
Lapangan Terbang Narit
a

Antara kriteria-kriteria yang digunakan untuk menyenarai ranking negara-negara berkenaan ialah kemudahan untuk mendapatkan maklumat, kemudahan pengangkutan termasuk komunikasi, mempunyai keindahan alam semula jadi dan alam sekitar (termasuk kebudayaan) dan perkhidmatan servis yang cekap (terutama yang berkaitan dengan keperluan pelawat/pelancong Muslim). Dalam hubungan ini negara Jepun mempunyai ciri-ciri di atas dan berusaha untuk menambah baik kriteria berkenaan dari masa ke semasa. Sebagai contoh setakat ini sudah terdapat enam badan pengeluar sijil halal di Jepun yang diiktiraf oleh JAKIM. Begitu juga kemudahan-kemudahan lain seperti tempat solat dan lain-lain sudah banyak disediakan di tempat-tempat pelancongan, perniagaan dan lapangan terbang.


Saturday 18 April 2020

Ulasan Rencana bertajuk Salafism and the Persecution of Shi'ites in Malaysia

Rencana ini ditulis oleh Dr. Syed Farid Alatas, Profesor dalam bidang sosiologi di Universiti Kebangsaan Singapura yang diterbitkan oleh Middle East Institute, Washington DC. Amerika Syarikat pada 30 Julai 2014 yang boleh diakses di link berikut ALATAS. Secara umumnya penulis ingin menyatakan sikap toleransi masyarakat Melayu Islam terhadap agama dan kebudayaan yang selama ini diamalkan telah terhakis dengan kemasukan pengaruh Salafisme. Bagi penulis penularan pengaruh Salafisme merupakan satu fenomena global dunia Islam yang secara tidak langsung menimbulkan insiden-insiden keganasan agama. Maksud Salafisme dijelaskan sebagai satu bentuk orientasi ekstrem Islam masa kini kerana pendekatannya yang literalis, rigid and puritanikal. Kesan daripada pendekatan ini ialah non-toleran kepada pandangan yang berbeza kerana kecenderungan memahami teks al-Quran dan Sunnah secara literal, terpisah dari sejarah dan konteks serta menolak aspek spiritualiti ajaran Islam (Tasawwuf) yang lazimnya difahami secara hermenutik. Pengaruh Salafisme dikatakan mula bertapak di Malaysia apabila idea-idea non-toleran Salafisme telah dijadikan polisi kerajaan terutama melarang dan menyekat kegiatan dan penyebaran ajaran Shi'ah dalam negara melalui fatwa rasmi pada tahun 1996 dan undang-undang dari tahun 1998-2012. Penulis menganggap dasar dan undang-undang serta tindakan undang-undang yang dilakukan adalah satu bentuk penganiayaan kepada pengikut ajaran Shi'ah di Malaysia. Perkara ini berbeza dengan keadaan masyarakat Melayu pada masa dahulu yang menerima perbezaan. Contoh yang dibawa oleh penulis ialah keizinan Mufti Johor Habib Alawi bin Tahir al-Haddad (1884-1962) yang memberi ijazah periwayatan Hadis Nabi s.a.w. kepada ulama Shiah Iran, Ayatollah Mar'ashi Najafi. Sejauh mana kebenaran maklumat atau ketepatan maklumat ini tidak dapat dipastikan kerana tiada rujukan diberikan. Begitu juga kenyataan bahawa Sheikh Sudais, Imam Masjid al-Haram, Mekkah yang dikatakan menyeru umat Islam supaya bergembira dengan pembunuhan Shaikh Ramadan al-Buti akibat dari serangan berani mati di Damsyik pada Mac 2013. Sheikh al-Buti adalah pengkritik kepada salafisme. Sejauhmana tepat berita ini juga tidak dapat dipastikan. Penganiayaan golongan Shi'ah di Malaysia dan juga di Indonesia mengikut penulis adalah proses pengsalafian Sunni Islam dunia Melayu. Bagi menyekat pengaruh Salafisme ini, ajaran Tasawuf boleh di gunakan bagi mengimbang penularan mana-mana pengaruh eksterimisme. Ini adalah kerana toleransi dan keterbukaan ajaran Tasawuf untuk wujud bersama dengan agama-agama lain. Mungkin untuk berlaku adil terutama kepada pihak Jabatan Mufti di Malaysia yang mengeluarkan fatwa melarang ajaran Shi'ah dan juga menyekat penyebaran kefahaman Salafi/Wahabi, penulis artikel ini perlu menyatakan alasan-alasan keselamatan dan dasar agama Islam di Malaysia yang menjadikan Mazhab Syafi 'i dan Akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah sebagai mazhab rasmi negara. Oleh itu penyebaran mana-mana ajaran lain di kalangan orang awam secara terbuka adalah melanggar undang-undang. Namun perlu ditegaskan di sini bahawa seseorang individu di bawah undang-undang Malaysia adalah bebas untuk memilih agama yang disukainya termasuk untuk keluar dari agama Islam. Bahkan prosedur untuk perkara ini pun telah ditetapkan di Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian dakwaan penganiayaan berkenaan kepada penganut ajaran Shi'ah dan lain-lain kelompok agama mungkin boleh dinilai semula. Begitu juga penulis perlu juga memberi perhatian kepada pergeseran geo-politik mazhab Sunni-Shi'ah dunia Islam yang mana apa yang berlaku pada masa kini ialah wujudnya penajaan kewangan dan sokongan strategik kepada penyebaran kedua-dua ajaran Salafi dan Shi'ah di Malaysia. Perkara ini menyebabkan pegangan kepada sesuatu ajaran dan kefahaman bukan lagi kerana pilihan sukarela masyarakat sebagaimana pada masa dahulu, namun kerana perancangan pihak-pihak penaja ini bagi tujuan-tujuan kepentingan geo-politik mereka. Perkara ini jika tidak dikawal atau dijaga boleh menyebabkan isu keselamatan dan perpecahan dalam masyarakat serta ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial sebagaimana yang berlaku di negara-negara timur tengah pada masa kini. Faktor-faktor ini saya percaya telah menjadi pertimbangan pihak autoriti agama dan keselamatan di Malaysia semasa mereka melarang kegiatan Shi'ah dan juga Salafisme.

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...