Saturday 3 February 2018

Kepentingan Sekuriti Makanan

Yang dimaksudkan dengan sekuriti makanan ialah keadaan di mana terdapatnya bekalan makanan yang mencukupi secara tetap dan makanan tersebut pula dapat dibeli dengan harga yang berpatutan dan bernutrisi atau berada dalam kualiti yang baik. The final report of the 1996 World Food Summit menyatakan sekuriti makanan bermaksud " food security exists when all people, at all times, have physical and economic access to sufficient, safe and nutritious food to meet their dietary needs and food preferences for an active and healthy life" Daripada definisi ini bekalan makanan merupakan satu aspek dalam polisi pemerintahan sesebuah negara kerana ianya menyentuh jaminan dan kawalan. Oleh yang demikian dari perspektif Syariah ia termasuk di bawah perkara siyasah syar'iyyah. Ini adalah kerana jaminan bekalan makanan secara tetap dan kawalan harga yang manasabah serta kualiti makanan yang baik hanya boleh dilakukan oleh pemerintah. Dalam menetapkan apakah bentuk makanan yang perlu dijamin atau dikawal, di Malaysia tidak ada satu polisi atau undang-undang yang bersepadu. Namun terdapat beberapa undang-undang yang bertujuan untuk mengawal dan menjamin bekalan makanan. Sebagai contoh Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal bekalan beras yang mencukupi kepada orang ramai baik semasa aman atau darurat. Begitu juga Akta Kawalan Bekalan 1961 bertujuan untuk mengawal edaran dan harga barangan utama. Di bawah Akta ini diperkenalkan Peraturan Bekalan Makanan 1974 yang menyenaraikan beberapa barangan makanan yang dikawal harga oleh kerajaan seperti gula, susu, garam, tepung gandum, minyak masak, semua jenis roti dan ayam. Senarai barangan makanan ini termasuk dalam tiga kategori utama iaitu (1) makanan asasi (2) sumber protin dan (3) makanan keperluan lain seperti gula, minyak dan garam.Selain daripada itu bagi memastikan jaminan makanan dalam negara Kerajaan telah melancarkan Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) pada 2 Mei 2008 yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti sektor agro ketahap sara diri dan penyediaan bahan makanan yang mencukupi, berkualiti serta selamat. Ia juga bertujuan untuk memastikan para petani, penternak dan nelayan mendapat harga setimpal bagi hasil keluaran mereka. Bagi mencapai dasar ini beberapa strategi telah dirancang seperti meningkatkan hasil pertanian melalui insentif pertanian, program bumi hijau dan pembangunan tanah dan kolam terbiar. Ia termasuk juga meningkatkan stok beras negara. Bagi memastikan hasil keluaran dapat dijual dengan harga yang boleh memberi pulangan yang wajar kepada petani dan penternak, kaedah pemasaran dibuat melalui  agensi kerajaan iaitu FAMA. Sungguhpun terdapat undang-undang dan dasar mengenai sekuriti makanan, namun data-data menunjukkan Malaysia masih bergantung kepada negara luar untuk bekalan makanannya. Antara masalah yang dihadapi dalam jaminan bekalan makanan mencukupi di Malaysia ialah kekurangan dalam penggunaan teknologi dan pergantungan kepada beras sebagai makanan utama. Begitu juga kekurangan modal dan industri sokongan bagi meningkatkan pengeluaran. Bagi mengatasi masalah ini satu dasar alternatif kepada makanan utama telah dicadangkan seperti mengantikan atau menampung penggunaan beras kepada sumber-sumber lain seperti ubi, jagung, pisang dan lain-lain. Begitu juga pengeluaran dan kekurangan tanah boleh ditingkatkan melalui penggunaan teknologi sebagaimana di negara-negara lain seperti Jepun dan Korea. Industri sokongan kepada pertanian seperti pengeluaran baja, bahan makanan ternakan dan sebagainya perlu diwujudkan atau ditambah bagi menjamin hasil pengeluaran pertanian ditingkatkan bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara tahap sara diri. Manakala bagi mengelakkan hasil pengeluaran tidak dapat dijual perlu dimantapkan teknologi penyimpanan atau industri makanan seperti penghasilan makanan ringan, minuman dan sebagainya. Ini bagi menjamin petani dan peladang dapat memasarkan hasil pengeluaran mereka secara setimpal. Jaminan sekuriti makanan ini adalah penting, kerana bagaimana kaya dan maju kita pun jika tiada makanan, maka itu semua tidak bermakna. 

Rujukan.

Mohd Ayop Abd Razid (2012). Pengguna dilindungi Pelbagai Akta. Utusan Online (25 April 2012). wwl.utusan.com.my 

Travelog Magrib October 2016

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...