Sunday 28 May 2023

Inovasi Agihan Zakat Ketika Pandemik*

*Artikel ini ditulis pada 2021 selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan. Oleh itu mungkin ada beberapa perubahan semasa. Terima kasih.


Inovasi Agihan Zakat Ketika Pandemik 

 

Profesor Dato’ Dr. Ahmad Hidayat Buang 

Ketua Projek UMCRGS 2020SS UM 

 

 

Mengikut penyelidikan oleh beberapa syarikat yang berkaitan dengan pekerjaan seperti Jobstreet and YouGov dianggarkan seramai 2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19. Dalam satu soal selidik yang dijalankan oleh Jobstreet pada Jun 2020 mendapati 20% daripada 5000 orang responden telah kehilangan pekerjaan manakala 30% daripada mereka telah mengalami penurunan pendapatan. Soal selidik terkini pada Oktober 2020 oleh YouGov mendedahkan 30% responden merasakan tiada jaminan mereka akan terus bekerja jika situasi pandemik berpanjangan. Golongan yang akan terjejas teruk ialah dari dari golongan B40 di mana 92% daripada mereka merasakan tertekan atau stress kemungkinan untuk hilang pekerjaan. Angka-angka ini sungguhpun hanya sampel soal-selidik, namun ia menunjukkan kesan buruk ekonomi akibat pandemik di mana Jabatan Statistik Malaysia menganggarkan 67% IKS akan mengalami kerugian. Pun begitu rakyat Malaysia bernasib baik berbanding dengan negara-negara lain, kerana kerajaan telah memperkenalkan pelbagai bantuan dan inisiatif sama ada berbentuk bantuan wang tunai atau  pengecualian pembayaran pinjaman bank, bantuan insentif kepada pengusaha, pengecualian bayaran sewa dan sebagainya. Termasuk di dalam usaha-usaha ini ialah inisiatif yang dilakukan oleh badan-badan zakat negeri bagi membantu golongan asnaf meringankan beban sara hidup mereka ketika pelaksanaan PKP pada bulan Mac 2020. Tindakan segera yang diambil oleh badan zakat negeri ialah dengan membuat pebelanjaan tambahan zakat khas Covid-19 yang menumpukan kepada bantuan sara hidup kepada penerima zakat sedia ada dan kalangan mereka yang hilang atau mengalami pengurangan pendapatan. Daripada pengamatan kepada perbelanjaan tambahan ini golongan yang disasarkan atau telah menerima untuk menerima bantuan ialah golongan B40 yang terdiri daripada peniaga kecil, penjaja, pemandu teksi serta e-hailing, pengawal keselamatan, nelayan, pekerja harian, buruh dan seumpamanya. Antara negeri yang mengeluarkan bantuan tambahan pada permulaan berlakunya PKP seperti Pulau Pinang sebanyak RM16 juta, Selangor RM15 juta, Perak RM11juta. Kedah RM9.7juta dan Sabah RM0.9 juta. Di Wilayah Persekutuan bantuan yang telah diberikan sejak PKP adalah sebanyak RM9.27 juta kepada seramai 23,420 orang. Bantuan zakat keseluruhan yang diberikan kepada asnaf dari Januari sehingga November 2020 ialah sebanyak RM78juta meliputi 22,141 keluarga di Kuala Lumpur, 3086 di Labuan dan 166 di Putrajaya. Pihak Baitulmal Wilayah Persekutuan juga telah menambah lagi bantuan khas Covid-19 ini sebanyak RM9.5 juta kepada seramai 19,000 orang penerima. Ini tidak termasuk program I-Tekad bagi membantu pengusaha-pengusaha kecil dengan bantuan sehingga RM5,000 yang dibuat dengan kerjasama Sadaqah House Bank Islam Malaysia Berhad. Di Selangor pula dijangkakan seramai 80,000 keluarga daripada 62,000 keluarga asnaf akan dibantu di bawah bantuan khas Covid-19. Peningkatan jumlah ini juga berlaku di Pulau Pinang di mana penerima zakat telah meningkat sehingga 10,000 orang pada bulan Oktober 2020. Sementara itu di Kedah bantuan tambahan sebanyak RM9.7 juta diperuntukkan kepada asnaf yang terputus bahan bekalan makanan. Selain bantuan kepada fakir miskin dan kalangan yang kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan, bantuan khusus juga diberi kepada hospital dan petugas barisan hadapan seperti pembelian peralatan kesihatan dan bahan-bahan untuk kegunaan pencegahan. Sebagai contoh di Kedah, pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah telah menyediakan peruntukan khas sebanyak RM360,000 untuk tujuan ini. Di sesetengah negeri beberapa bantuan khusus diberikan seperti kepada pemandu pelancung dan pelarian Rohingga, termasuk bantuan kepada masjid untuk membersih dan menyahkuman di Pulau Pinang, bantuan kepada pesakit Covid-19 dan keluarga seperti di Pahang dan bantuan kepada penyelenggara jenazah Covid-19 di Sabah. Bantuan kecemasan zakat bukanlah sesuatu yang baru bagi kebanyakan institusi zakat di Malaysia, kerana sudah terdapat SOP tertentu bagi tujuan tersebut seperti kebakaran, banjir, bencana alam dan lain-lain. Namun begitu pandemik yang berlaku mempunyai sedikit perbezaan dalam ertikata ianya berskala besar yang melibatkan seluruh sektor masyarakat dan menjejaskan kaedah agihan yang sedia ada memandangkan pelaksanaan PKP. Sebagaimana yang dimaklumi aspek yang banyak menerima kritikan ialah keberkesanan agihan zakat kepada asnaf. Oleh yang demikian amatlah penting pembaharuan dan pendekatan baru dan di luar kotak perlu diperkenalkan bagi memudahkan dan mempercepatkan agihan kepada asnaf yang memerlukan bantuan. Prosedur biasa agihan atau bantuan zakat melalui permohonan perlu dipermudahkan atau diganti dengan kaedah lain yang lebih efektif seperti permohonan atas talian atau pengesanan asnaf melalui perkongsian data bersama agensi lain seperti kementerian tenaga manusia, kementerian kesihatan, pihak berkuasa tempatan termasuk juga NGO yang terlibat dengan aktiviti bantuan. Di Wilayah Persekutuan serta juga negeri-negeri lain usaha untuk memudahkan permohonan secara online sudah mula dilakukan. Bagi pengesanan asnaf, ia juga telah digerakkan melalui program jejak asnaf di Wilayah Persekutuan. Perkara ini walaupun satu inisiatif yang baik, namun ianya masih digerakkan berasaskan kepada laporan atau aduan yang dibuat. Sudah tiba masanya kaedah jejak asnaf ini ditingkatkan melalui penggunaan atau pendekatan kaedah yang lebih inovatif. Sebagai contoh kaedah ini boleh dilakukan secara data analitik seperti bentuk pekerjaan, jumlah pendapatan, demografik tempat tinggal dan sebagainya. Kaedah sebegini sudah tentu lebih bersifat saintifik serta membolehkan pihak berkuasa zakat membuat perancangan agihan (termasuk juga kutipan) zakat dengan lebih berkesan dan tepat. Begitu juga masih terdapat rugutan tentang kelewatan memberi bantuan berpunca daripada masa pemprosesan permohonan yang perlu melalui beberapa tapisan bagi memastikan kebenaran permohonan berkenaan. Untuk tujuan tersebut perlu terdapat keseimbangan di antara dua kepentingan ini dan juga melihat suasana dan keadaan supaya bantuan dapat diberikan tepat pada masa yang ianya diperlukan. Satu aspek lain yang mungkin perlu dipertimbangkan ialah meluaskan definisi asnaf terutama yang berkaitan dengan mereka hilang punca pendapatan namun tidak sampai ke peringkat jatuh miskin terutama kepada golongan profesional agama yang bekerja sendiri secara khusus seperti guru agama persendirian, peguam Syarie, agen Takaful, pendakwah bebas serta lain-lainnya. Fleksibiliti definisi asnaf ini dengan memasukkan kalangan ini di bawah golongan gharimin.  Pihak berkuasa zakat negeri-negeri sedar mengenai cabaran-cabaran di atas serta berusaha untuk mengatasinya. Pembaharuan yang dilakukan di beberapa negeri di dapati telah banyak membantu rakyat terutama umat Islam adalah beberapa contoh inovasi melalui penggunaan teknologi dan internet yang mula dilakukan terutama dalam aspek kutipan, namun dipercepatkan dan diperluaskan lagi kepada agihan oleh pandemik Covid-19.     

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...