Sunday 1 July 2018

Malaysia Baru: Antara Jaminan Perlembagaan dan Kemahuan Politik

Malaysia Baru: Antara Jaminan Perlembagaan dan Kemahuan Politik

Ahmad Hidayat Buang

Dalam ilmu politik apa yang sahih atau tertulis di segi undang-undang atau perlembagaan tidak semestinya memberi jaminan kepada sesuatu perkara jika penguasa politik yang sebenarnya tidak berminat kepada peruntukan undang-undang itu. Jika kita membaca sejarah terutama sejarah Islam pada masa tahap akhir pemerintahan kerajaan Abbasiah, kita akan mendapati  pemerintahan kerajaan bukan di bawah kekuasaan Khalifah, tetapi di bawah menteri atau gabenor atau malah panglima perang kerajaan seperti Bani Seljuk, Bani Buwaih dan sebagainya. Sunggupun mereka menguasai setiap segi pemerintahan negara, mereka tetap mengekalkan Khalifah sebagai ketua kerajaan. Tujuan berbuat demikian ialah untuk mendapat legitimasi terhadap kedudukan mereka dalam negara. Oleh yang demikian, kerajaan Moghul di India dan juga kerajaan Islam yang lain memberi bai’ah atau ikrar sumpah setia kepada Khalifah Abbasiah di Baghdad secara simbolik kerana mereka mahu legitimasi keberadaan mereka dalam pemerintahan negara. Maka begitu juga, penguasa politik zaman sekarang sungguhpun mereka mengakui beberapa peruntukan undang-undang, namun dari segi praktiknya tidak melaksanakannya kerana untuk mengesahkan penerimaan mereka sebagai penguasa politik dalam negara. Ini adalah situasi legal-politico yang disebut sebagai dejure dan defacto.

Penguasa politik faham bahawa mereka sukar untuk mendapatkan sokongan dan dokongan popular sekiranya mereka mengabaikan aspek-aspek legitimasi perundangan ini, sekurang-kurangnya daripada kalangan konservatif atau traditionalis. Oleh yang demikian dalam sejarah Islam, penguasa-penguasa politik mengiktiraf kedudukan Syariah sebagai sumber dan rujukan utama undang-undang, namun pada saat yang sama mereka mengabaikannya dan menggunakan sumber-sumber lain dalam amalan pentadbiran keadilan dalam negara. Dalam hubungan ini mereka bersifat pragmatik dan pratikal serta bertindak atas kepentingan politik mereka. Dalam konteks politik modern, sungguhpun kita dapati banyak negara Islam yang menyatakan Syariah adalah sumber utama negara, namun negara-negara berkenaan  mempunyai indeks yang tinggi dalam pelanggaran hak asasi manusia dan pematuhan proses atau kedaulatan undang-undang (rule of law). Ini sudah tentulah bertentangan dengan prinsip Syariah yang mendokong hak asasi manusia. Contoh seterusnya sungguhpun Perlembagaan sesebuah negara berkenaan melarang diskriminasi kepada perbezaan kaum dan agama, namun kita melihat perkara ini diabaikan atau diamalkan melalui silent policy pemerintahan. Lazimnya satu alasan politik atau keselamatan digunakan bagi menghalalkan tindakan berkenaan. Dalam konteks negara barat atau Eropah, alasan keganasan atau pelampau agama digunakan bagi menghalalkan tindakan-tindakan berkenaan yang jelas bertentangan bukan sahaja dengan prinsip asas Perlembagaan mereka, bahkan juga piagam dan resolusi antarabangsa. Contoh yang paling ketara ialah pencabulan hak asasi rakyat Palestin oleh regim Israel.

Dalam konteks politik negara Malaysia, mantra yang kini bergema ialah menghapus penyelewengan dana awam dan rasuah melalui kes ikonik 1MDB. Sungguhpun gerakan pencegahan rasuah sudah bermula sejak dari dulu lagi, namun kini ia menjadi satu azimat yang bermukjizat kepada kerajaan baru bagi menggerakkan apa-apa agenda yang dikehendaki, sungguhpun kekadang ianya bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan. Sebagai contoh penggunaan Bahasa selain daripada Bahasa Melayu dalam siaran-siaran umum kerajaan hanya dianggap kesalahan kecil jika berbanding dengan usaha kerajaan mencegah “penyelewengan dana awam dan rasuah” yang didakwa berleluasa pada masa dahulu. Begitu juga pelantikan penjawat-penjawat awam yang sensitif dari segi bangsa dan keturunan diperkecilkan dengan azimat integriti dan amanah yang didakwa tidak ada pada masa pemerintahan lalu. Sokongan kepada sebarang usaha untuk mengembalikan kepada sebuah pemerintahan yang berintegriti dan beramanah serta pro rakyat tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana itulah yang sewajarnya, namun pengunaan azimat-azimat politik seperti di atas untuk menolak atau menjawab kritikan adalah tidak sihat bagi amalan demokrasi sesebuah negara. Manakala persoalan apakah pihak pemerintah baru Malaysia akan terus menjunjung asas-asas utama Perlembagaan Malaysia yang mempunyai jaminan-jaminan perlindungan yang bersifat tindakan positif kepada kedudukan agama Islam dan orang-orang Melayu hanya masa akan memberitahu kita. Ini adalah kerana kenyataan-kenyataan dan pengakuan yang diberikan perlu diterjemahkan secara praktik. Setakat ini semua perkara ini berada pada status quo dan tidak pasti berapa lama ia akan kekal disitu melihat kepada pelbagai tuntutan dan cadangan perubahan yang telah dikemukakan. Dalam hubungan ini, tindakan adalah lebih penting daripada dakwaan atau janji. Oleh yang demikian, Iceland pada satu ketika dulu diisytihar lebih Islamik daripada negara-negara Islam bukan kerana kenyataan yang dibuatnya namun melalui tindakan-tindakan yang dilakukan. Nasihat saya hentikanlah mantra-mantra azimat politik dan tumpu serta fokus kepada tindakan sesuai dengan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang.

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...