Saya terbaca satu status di dalam FB yang mengulas satu kajian ilmiah sebuah universiti tempatan yang mendapati guru-guru pondok dikatakan merujuk kepada kitab-kitab yang memuatkan hadis-hadis yang bertaraf daif atau lebih buruk lagi berstatus palsu. Taraf dan status hadis ini dinilai dengan merujuk kepada kitab-kitab takhrij hadis. Saya tidak pasti apakah hadis-hadis berkenaan dan apakah kitab-kitab yang dirujuk oleh guru-guru pondok kita. Namun kelihatannya kitab-kitab yang dikarang oleh ulama-ulama terkemudian yang merujuk atau bersandar kepada Ihya' Imam al-Ghazali. Sekali pandang memang tidak wajar perkara ini berlaku memandangkan pengkaji di atas seterusnya mendapati hadis-hadis itu digunakan secara berleluasa dan mudah oleh penceramah-penceramah agama di masjid-masjid kepada masyarakat umum Islam. Ini adalah kerana secara logiknya menyebarkan sesuatu yang tidak benar atau tidak pasti adalah satu perbuatan yang salah apatah lagi ianya hadis dan berkemungkinan besar satu perbuatan dosa. Untuk berlaku adil kepada penulis kajian ilmiah berkenaan saya tidak bermaksud untuk mengulas kesahihan kajian berkenaan kerana saya tidak membaca penulisan itu. Saya hanya membaca status FB yang mengulas dapatan kajian ilmiah terlibat. Oleh itu pandangan saya tertumpu kepada penulis status FB itu sahaja. Dalam menilai perkara ini, ianya tidak semudah sebagaimana kesimpulan penulis di atas, iaitu rujukan atau penggunaan hadis berkenaan adalah sesuatu yang bahaya kepada agama. Kita perlu menyiasat lebih lanjut apakah tujuan dan matlamat penggunaan hadis-hadis itu dan apakah latarbelakang suasana dan konteksnya. Begitu juga kita perlu memahami metodologi penggunaan hadis mengikut displin pelbagai ilmu terutama yang berkaitan dengan targhib wa tarhib. Saya tidak pasti samada penulis kajian ilmiah universiti berkenaan ada membuat temubual dengan guru-guru pondok berkaitan bagi mendapat penjelasan atau alasan mengapa mereka merujuk kepada hadis-hadis tersebut. Selalunya dalam mana-mana kajian ilmiah antara sumber makluman adalah informan atau responden yang menjadi objek kepada sesuatu kajian yang mana dalam konteks ini adalah guru-guru pondok yang dikaji. Mungkin penulis telah menemubual mereka. Amatlah penting untuk mendengar perspektif atau alasan mereka mengapa hadis-hadis sedemikian dirujuk dan dijadikan bahan dalam pengajaran atau ceramah. Ini adalah kerana sebagaimana yang disebut di atas kita perlu memahami atau mungkin empatik dalam perkara ini memandangkan tidensi penulis FB yang mengulas tulisan ilmuah itu hanya melihat dari sudut sanad semata-mata, tanpa memerhatikan konteks atau dimensi lain seperti metodologi penerimaan atau penggunaan hadis yang berbeza. Sebagai contoh ada ulama fiqh menolak penggunaan hadis ahad yang sahih sebagai hujah, namun pada saat yang sama ada ulama fiqh yang lain yang menolak penggunaan qiyas dengan mengutamakan hadis ahad. Begitu juga ada yang menerima qawl sahabi sebagai hujah manakala ada yang menolak dan begitu seterusnya. Oleh demikian dalam konteks amalan-amalan yang bersifat targhib dan tarhib atau nawafil atau fada'il a'mal hadis-hadis yang lemah diterima sebagai panduan. Untuk memandu penggunaan hadis-hadis ini, kaedah yang ditetapkan ialah sesuatu hadis yang bertaraf lemah tersebut tidaklah boleh bercanggah dengan kaedah umum agama seperti nas-nas al-Quran, hadis yang sahih, ijma ummah, bahkan yang bertentangan dengan akal yang boleh membawa kepada kemudaratan. Panduan-panduan ini sebenarnya ditunjukkan kepada kita oleh hadis itu sendiri secara tidak langsung. Sebagai contoh bacaan doa iftitah dan solat sunat wudu dilakukan oleh para sahabat tanpa menunggu suruhan daripada Baginda Rasulullah s.a.w. Sungguhpun mungkin ada yang akan berhujah bahawa perbuatan sahabat berkenaan diperkenankan oleh Baginda dan akhirnya menjadi satu bentuk sunnah taqririyyah, namun ia memberi satu pengajaran bagi membentuk panduan di atas. Oleh itu, penolakan penggunaan hadis-hadis berkenaan sebagaimana yang diulas dalam status FB berkenaan perlu juga dinilai dari panduan ini. Jika kita mengkaji kurikulum pengajian pondok, ilmu ulum hadis merupakan salah satu mata pelajaran utama yang diajar dengan mengunakan kitab-kitab mustalah hadis yang muktabar. Sudah pasti Tuan-tuan Guru Pondok ini mereka sedia maklum dan mempunyai maklumat lengkap tentang status hadis-hadis berkenaan yang dikatakan lemah atau palsu. Kita cuma perlu memahami apakah alasan mereka menggunakannya. Oleh itu, kita tidak perlu secara simplistik membuat kesimpulan yang boleh menguris kredibiliti mereka yang beramal dengan hadis-hadis berkenaan. Jika kita melihat sejarah dan latarbelakang mengapa Imam Ghazali menulis Ihya' yang dikatakan disaluti oleh hadis-hadis lemah, sudah tentu kita akan lebih bertoleransi bahkan berterima kasih di atas usaha beliau. Oleh yang demikian penerimaan dan penolakan sesuatu hadis perlu difahami dalam konteks penulisan, metodologi, displin ilmu yang berbeza serta juga mungkin ilmu kejiwaan atau saikologi pendidikan masyarakat Islam yang berdepan dengan kelemahan dan kerosakan. Jika kita melakukan yang sedemikian kita akan lebih menghormati dan mencintai guru-guru pondok ini yang bersusah payah dengan segala kedaifan dan kekurangan memartabatkan kesinambungan tradisi ilmu Islam sejak zaman berzaman.
Perspektif bertujuan memaparkan pandangan peribadi penulis terhadap pelbagai isu-isu semasa perundangan Islam bagi tujuan perbincangan dan perkongsian bersama. Perspektif is writer's view relating to contemporary issues in Islamic law for discussion and mutual sharing.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Guru dan Pengajian Pondok Guna Hadis Lemah/Palsu?
Saya terbaca satu status di dalam FB yang mengulas satu kajian ilmiah sebuah universiti tempatan yang mendapati guru-guru pondok dikatakan m...
-
12 Mei 2017 (Balai Ilmu, APIUM) Forum ini diwacanakan oleh gabungan tiga ahli panel terdiri dari ahli akademik, pengamal sukan diving ...
-
Yang dimaksudkan dengan sekuriti makanan ialah keadaan di mana terdapatnya bekalan makanan yang mencukupi secara tetap dan makanan tersebu...
-
Petikan di bawah adalah semi autobiografi Profesor M.B.Hooker menjelaskan penglibatan beliau dengan kurikulum Pengajian Islam di UKM. Tidak ...
No comments:
Post a Comment