Saturday 17 October 2015

Beberapa Fakta Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia

Beberapa Fakta Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia

(1) Angka-angka

Mengikut laporan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2010 terdapat sebanyak 82,00 wanita yang berkahwin di Malaysia berumur antara 15-19 tahun. Perkara ini menimbulkan persoalan kerana Malaysia telah menerima resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada tahun 2013 untuk menamatkan amalan perkahwinan secara paksa dan di bawah umur. Dari data statistik yang dikumpulkan oleh Voice of Children iaitu sebuah badan NGO yang bergabung di bawah Child Rights Coalition menunjukkan sejak dari 10 tahun yang lepas terdapat seramai 6,800 kanak-kanak wanita dan 4,600 kanak-kanak lelaki yang berumur di bawah 15 tahun yang berkahwin. Dari jumlah ini seramai 2,450 pasangan adalah dari etnik Melayu, 1,600 Cina, 600 India dan lain-lain kaum 600. Jumlah ini sebenarnya adalah anggaran kerana tiada data rasmi seperti bancian yang mengumpul maklumat sebegini ditambah lagi dengan dua sistem pendaftaran perkahwinan Islam dan sivil di Malaysia yang menyukarkan data-data dikumpulkan secara holistik dan menyeluruh. Namun begitu bagi pasangan yang beragama Islam jumlah yang dikumpulkan oleh pihak JAKIM menunjukkan pada tahun 2014 sebanyak 1106 permohonan perkahwinan di bawah umur telah diterima dengan sebanyak 971 kelulusan diberikan. Negeri terbanyak yang menerima permohonan perkahwinan (dan kelulusan) di bawah umur di Mahkamah Syariah bagi bulan Januari dan Februari 2014 ialah Sabah dan Sarawak masing-masing sebanyak 37 (21; 23), Kelantan 31 (23), Terengganu 15 (15),  Johor 13 (12) dan Pahang 12 (10).




(2) Undang-undang dan Amalan

Undang-undang di Malaysia memperuntukkan umur minima bagi pasangan beragama Islam 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi wanita, manakala bagi pasangan bukan beragama Islam 18 tahun bagi kedua-dua jantina. Namun begitu undang-undang membenarkan perkahwinan di bawah umur dengan kebenaran Mahkamah Syariah bagi pasangan beragama Islam dan Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi pasangan bukan beragama Islam. Antara faktor-faktor yang diambil kira sewaktu mempertimbangkan permohonan perkahwinan di bawah umur ialah: (1) status ekonomi, (2) kematangan pasangan, (3) kesihatan dan (4) persetujuan kedua-dua keluarga pasangan. Dari segi amalan di Mahkamah Syariah pula Hakim akan memanggil kesemua pihak yang terlibat untuk menyiasat apakah sebab-sebab permohonan perkahwinan berkenaan, persetujuan pihak-pihak keluarga terutama pertanyaan kepada pasangan berkenaan apakah benar-benar mereka mahu berkahwin. Bagi memperkukuhkan proses permohonan ini, pihak kerajaan telah mewajibkan laporan perubatan dan laporan saikologi atau sosial kepada pihak Mahkamah dan Menteri Besar semasa menimbang sesuatu permohonan perkahwinan di bawah umur. 




(3) Faktor-faktor Perkahwinan dan Isu Sosial

Daripada amalan dan pemerhatian didapati antara faktor-faktor perkahwinan di bawah umur ialah (1) kehamilan awal yang tidak diingini oleh pasangan dan keluarga terbabit, (2) untuk menutup kesalahan pasangan (3) untuk membendung tindak-tanduk anak gadis yang sukar dikawal dan (4) bagi keluarga yang miskin sebagai jalan keluar bagi mengatasi masalah ekonomi. Sungguhpun perkahwinan di bawah umur ini dapat menyelesai beberapa masalah seperti di atas, sesetengah pengkaji berpandangan terdapat beberapa isu sosial dan kekeluargaan akibat daripada perkahwinan sebegini iaitu (1) pasangan berkenaan terdedah kepada risiko fisikal dan mental seperti emosi yang tertekan (2) keadaan tubuh fisikal yang masih belum bersedia untuk menjalani kehidupan suami isteri seperti kehamilan yang akan menjejaskan kesihatan dan kandungan (3) tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab berumah tangga sebagaimana pasangan normal yang lain - akan menyebabkan berlakunya perselisihan dan akhirnya perceraian, (4) akan berlaku pengabaian pendidikan dan menyebabkan pasangan berkenaan berkerja di sektor bawahan bagi menampung kehidupan dan (5) jika pasangan berbeza umur boleh menyebabkan berlakunya keganasan atau pengabaian rumah tangga.     



No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...