Monday 9 April 2018

GST dan Hukum Mengambil Cukai dari Orang Miskin

GST dan Hukum Mengambil Cukai dari Orang Miskin

Secara sepintas lalu, mungkin tidak manasabah cukai dipungut dari orang miskin. Dalam hukum Islam ianya tidak dibenarkan kerana menyalahi kaedah bahawa harta orang Islam itu adalah terpelihara, hanya diambil dengan izin atau melalui kewajipan Syarak seperti bayaran zakat, nafkah serta mahar dan seumpamanya. Namun begitu demi maslahah dan kepentingan umum, sesetengah ulama membenarkan cukai atau daribah dipungut daripada orang Islam yang berkemampuan. Ini adalah kerana tanpa cukai, pemerintah tidak mempunyai keupayaan untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan negara. Dalam negara moden pada masakini terdapat banyak perkhidmatan dan projek pembangunan yang perlu dibiayai melalui dana awam. Sumber dana ini kebanyakannya dari kutipan cukai, sungguhpun ada antara negara Islam yang dianugerahkan oleh Allah swt dengan sumber alam seperti minyak dan bahan galian lainnya yang boleh menampung perbelanjaan awam. Oleh yang demikian dari segi hukum Islam dengan mengambil kira maslahah dan keperluan atau darurah maka pemerintah boleh memungut cukai. Beberapa syarat diletakkan, antaranya secara ringkas seperti berikut: (1)  cukai tersebut bagi tujuan perbelanjaan awam yang memberi manfaat kepada semua atau kepada golongan yang dikenalpasti benar-benar memerlukannya, (2) tidak melibatkan sebarang unsur-unsur pembaziran dan kemewahan, (3) sudah tiada sumber lain yang boleh menampung perbelanjaan tersebut, (4) cukai dipungut dari mereka yang berkemampuan dan (5) diuruskan secara telus dan bertanggungjawab. Mungkin terdapat lagi syarat-syarat selain dari di atas bagaimana untuk memungut cukai berkenaan.

Mutakhir ini dibangkitkan persoalan kutipan cukai melalui GST. Bentuk kutipan ini ialah setiap pengguna akan membayar cukai terhadap barangan yang dimiliki atau perkhidmatan yang digunakan. Itulah yang dimaksudkan dengan GST iaitu Goods and Services Tax atau Cukai Ke Atas Barangan dan Perkhidmatan. Jika kita menggunakan kaedah hukum di atas, mungkin cara kutipan GST ini agak sedikit bercanggah dengan hukum Islam kerana secara tidak langsung orang miskin terpaksa membayar cukai tersebut. Namun begitu jika dihalusi cara pelaksanaannya di Malaysia, kemungkinan ianya tidak bercanggah dengan hukum Syariah. Terdapat beberapa alasan kepada pandangan ini seperti berikut: (1) Tidak semua barangan dikenakan cukai GST. Barangan keperluan utama seperti makanan asasi, ubat-ubatan, pendidikan, bahan bakar dan seumpamanya dikecualikan GST. Oleh yang demikian orang miskin hanya perlu membayar cukai tersebut kepada barang-barang bukan keperluan utama. (2) Jika pun orang miskin membayar cukai tersebut terutama pada barangan bukan utama, pihak kerajaaan menyediakan bantuan kewangan melalui BR1M yang berjumlah sebanyak RM1,500 setahun. Bantuan kewangan ini jika ditukarkan kepada 6% cukai GST tersebut boleh mengecualikan pembelian dan penggunaan perkhidmatan yang bernilai RM25,000. Oleh yang demikian sebenarnya orang miskin yang menerima BR1M tidak membayar cukai GST secara tidak langsung. (3) agak sukar untuk mengecualikan bayaran GST kepada orang miskin ketika berurusniaga kerana melibatkan proses pentadbiran yang banyak melibatkan jumlah urusniaga yang kecil. Ini termasuk dalam hukum masyaqqah. Dan (4) Cukai GST ini secara tidak langsung melatih dan mendidik masyarakat, terutama orang Islam, di dalam negara supaya bercermat dalam perbelanjaan yang tidak perlu. Sudah menjadi pengetahuan umum terdapat pembaziran dalam penggunaan barang makanan dan sebagainya di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh badan-badan bukan kerajaan.

Persoalan sama ada GST itu dibelanjakan sebagaimana yang sepatutnya, tidak dapat dijawab dengan jelas di sini. Namun jika diandaikan ianya memenuhi kriteria yang digariskan di atas, maka pengenaan cukai GST pada pandangan saya tidaklah bersalahan dengan hukum Syarak memandangkan manfaat dan maslahah yang diterima oleh masyarakat dan negara. Namun begitu untuk menyatakan ianya bertentangan dengan ajaran Islam dengan alasan orang miskin dipaksa membayarnya, pada fikiran saya, pandangan atau dakwaan ini adalah kurang tepat dan perlu dinilai semula. Ini adalah kerana bagi orang miskin bantuan dan pengecualian telah diberikan kepada mereka daripada membayar cukai berkenaan dalam bentuk pembelian dan penggunaan barangan dan perkhidmatan asasi dan pembayaran BR1M. Manakala persoalan bagaimana hasil GST itu dibelanjakan sebagaimana yang dibahaskan tidak menyentuh isu orang miskin terpaksa membayar cukai berkenaan berasaskan alasan yang ditunjukkan di atas. Isu tentang bagaimana hasil pungatan GST digunakan, pada pandangan saya, perlu dilihat secara menyeluruh kepada semua bentuk-bentuk cukai dan tidak hanya terhad kepada cukai GST. 

Wa Allah A'lam.  

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...