Monday 2 April 2018

Mahar Hutang Sebagai Alternatif Dalam Perancangan Harta Islam

Mahar Mu'ajjal Sebagai Alternatif Dalam Perancangan Harta Islam?
Oleh: Ahmad Hidayat Buang© 2018

Mahar sebagaimana yang dimaklumi wajib dibayar oleh suami kepada isteri dalam perkahwinan. Sekiranya tidak dibayar ia akan dianggap hutang suami kepada isteri. Di Malaysia amalan yang dibuat adalah membayar mahar secara tunai. Perkara ini mampu dilakukan kerana jumlah mahar yang kecil. Di sesetengah dalam masyarakat dan negara Islam yang lain, jumlah mahar adalah besar dan oleh itu bayarannya ditangguhkan pada masa hadapan, selalunya ditunaikan ketika bercerai atau kematian. Mahar sebegini dikenali dalam istilah fiqh sebagai mahar mu'ajjal atau mahar mu'akkhar. Ia bertujuan sebagai jaminan kewangan kepada isteri jika suami menceraikannya atau meninggal dunia. Sebagaimana yang dimaklumi apabila berlaku kematian suami, bahagian pusaka isteri adalah kecil, iaitu 1/4 dalam ketiadaan anak atau 1/8 jika suami mempunyai anak. Sungguhpun terdapat alternatif lain bagi meningkatkan hak isteri dalam tuntutan pusaka suami melalui harta sepencarian, ia perlu melalui proses mahkamah yang mungkin melibatkan kos dan masa. Tidak dapat dinafikan juga pada masa kini terdapat beberapa syarikat perancangan harta yang menawarkan dokumen persetujuan harta sepencarian bagi memudahkan proses di Mahkamah. Namun begitu sebagai alternatif lain perancangan harta terutama kepada isteri ialah melalui mahar hutang. Apa yang akan berlaku ialah semasa perkahwinan mahar tidak dibayar tunai, namun ditangguhkan dan perkara akan menyebabkan ianya adalah satu bentuk hutang atau dayn yang tertanggung ke atas suami. Mengikut pandangan ulama jumlah atau kadar atau nilai mahar yang ditangguhkan ini boleh dikurangi dan ditambah selepas perkahwinan dengan syarat ianya dipersetujui oleh suami. Sebagai contoh sekiranya ketika perkahwinan dipersetujui mahar sebanyak RM5,000 secara tangguh, namun selepas 10 tahun perkahwinan suami ingin menambah nilaian mahar tersebut kepada RM50,000 atau lain-lain aset seperti rumah atau tanah, perkara ini adalah harus pada pandangan hukum Syarak. Ini adalah kerana kadar nilaian atau bentuk mahar merupakan persetujuan daripada suami dan isteri semasa akad nikah. Persetujuan suami diperlukan kerana tuntutan akan dibuat kepada hartanya. Oleh demikian sekiranya suami meninggal dunia, mahar mu'ajjal tersebut dianggap hutang dan akan diagihkan sebelum pusaka. Dalam hal ini isteri akan mendapat bahagian daripada peninggalan suaminya sebagai hutang dan juga bahagian dari pusaka sebagai waris. Persoalan mungkin ditanya, bagaimana keadaannya sekiranya isteri tersebut meninggal dahulu daripada suaminya? Sudah tentu suaminya masih perlu menjelaskan hutang tersebut dan akhirnya menjadi pusaka waris atau waris-waris isterinya. Pun begitu syarat boleh dimasukkan dalam persetujuan mahar tadi dalam keadaan isteri meninggal dahulu dari suami dengan melepaskan hutang tersebut. Pada pandangan saya syarat sebegini boleh dimasukkan kerana ia tidak menjejaskan kepentingan mana-mana pihak. Jika dihujahkan perkara ini boleh menjejaskan kepentingan waris-waris isteri, persetujuan mereka boleh diperolehi bagi melepaskan hutang tersebut. Begitu juga akan timbul persoalan apakah boleh mahar yang sudah ditunaikan boleh dipersetujui semula sebagai mahar mu'ajjal bagi tujuan di atas? Pada masa kini, terdapat beberapa majlis yang dinamakan sebagai marriage re-vow atau wedding re-vow yang bermaksud untuk memperbaharui ikatan perkahwinan bagi pasangan yang telah lama berkahwin. Sungguhpun majlis sebegini berasal daripada budaya barat, ianya telah diikuti oleh sesetengah orang Islam. Pada pandangan saya majlis sebegini tidak menyalahi apa-apa kaedah dan hukum Syariah kerana ianya termasuk dalam ertikata mu'asyarah bi al-ma'ruf bayna zayjayn yang dianjurkan oleh al-Quran. Didapati dalam kebanyakan majlis sebegini, hadiah atau wang diberikan oleh suami kepada isteri dan sebaliknya. Oleh yang demikian majlis sebegini boleh digunakan sebagai cara di mana suami akan menyatakan komitmen kewangan kepada isterinya dalam bentuk penangguhan dan akan tertunai apabila berlaku perceraian atau kematian bagi mencapai objektif di atas iaitu sebagai alternatif penyelesaian perancangan harta orang Islam. Proses pengamanahan (trust) boleh digunakan bagi maksud pelaksanaan komitmen ini selepas kematian suami dan tidak dianggap sebahagian daripada pusaka. Sebagaimana yang dimaklumi konsep amanah atau trust adalah sesuatu yang baru di dalam fiqh Islam. Ia dikatakan salah satu faktor kejayaan sukuk kewangan Islam Malaysia, kerana terdapat elemen pengamahan dalam urusniaga tersebut melalui penubuhan syarikat SPV (special purpose vehicle) yang bertindak sebagai pemegang amanah di dalam urusniaga sukuk. Kemungkinan prinsip amanah sebegini boleh digunakan dalam konteks komitmen kewangan wedding re-vow bagi mereka yang sudah menunaikan bayaran mahar ketika perkahwinan terdahulu dan ingin mengatur perancangan harta mereka kepada orang yang tersayang.  

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...