Saturday 18 April 2020

Ulasan Rencana bertajuk Salafism and the Persecution of Shi'ites in Malaysia

Rencana ini ditulis oleh Dr. Syed Farid Alatas, Profesor dalam bidang sosiologi di Universiti Kebangsaan Singapura yang diterbitkan oleh Middle East Institute, Washington DC. Amerika Syarikat pada 30 Julai 2014 yang boleh diakses di link berikut ALATAS. Secara umumnya penulis ingin menyatakan sikap toleransi masyarakat Melayu Islam terhadap agama dan kebudayaan yang selama ini diamalkan telah terhakis dengan kemasukan pengaruh Salafisme. Bagi penulis penularan pengaruh Salafisme merupakan satu fenomena global dunia Islam yang secara tidak langsung menimbulkan insiden-insiden keganasan agama. Maksud Salafisme dijelaskan sebagai satu bentuk orientasi ekstrem Islam masa kini kerana pendekatannya yang literalis, rigid and puritanikal. Kesan daripada pendekatan ini ialah non-toleran kepada pandangan yang berbeza kerana kecenderungan memahami teks al-Quran dan Sunnah secara literal, terpisah dari sejarah dan konteks serta menolak aspek spiritualiti ajaran Islam (Tasawwuf) yang lazimnya difahami secara hermenutik. Pengaruh Salafisme dikatakan mula bertapak di Malaysia apabila idea-idea non-toleran Salafisme telah dijadikan polisi kerajaan terutama melarang dan menyekat kegiatan dan penyebaran ajaran Shi'ah dalam negara melalui fatwa rasmi pada tahun 1996 dan undang-undang dari tahun 1998-2012. Penulis menganggap dasar dan undang-undang serta tindakan undang-undang yang dilakukan adalah satu bentuk penganiayaan kepada pengikut ajaran Shi'ah di Malaysia. Perkara ini berbeza dengan keadaan masyarakat Melayu pada masa dahulu yang menerima perbezaan. Contoh yang dibawa oleh penulis ialah keizinan Mufti Johor Habib Alawi bin Tahir al-Haddad (1884-1962) yang memberi ijazah periwayatan Hadis Nabi s.a.w. kepada ulama Shiah Iran, Ayatollah Mar'ashi Najafi. Sejauh mana kebenaran maklumat atau ketepatan maklumat ini tidak dapat dipastikan kerana tiada rujukan diberikan. Begitu juga kenyataan bahawa Sheikh Sudais, Imam Masjid al-Haram, Mekkah yang dikatakan menyeru umat Islam supaya bergembira dengan pembunuhan Shaikh Ramadan al-Buti akibat dari serangan berani mati di Damsyik pada Mac 2013. Sheikh al-Buti adalah pengkritik kepada salafisme. Sejauhmana tepat berita ini juga tidak dapat dipastikan. Penganiayaan golongan Shi'ah di Malaysia dan juga di Indonesia mengikut penulis adalah proses pengsalafian Sunni Islam dunia Melayu. Bagi menyekat pengaruh Salafisme ini, ajaran Tasawuf boleh di gunakan bagi mengimbang penularan mana-mana pengaruh eksterimisme. Ini adalah kerana toleransi dan keterbukaan ajaran Tasawuf untuk wujud bersama dengan agama-agama lain. Mungkin untuk berlaku adil terutama kepada pihak Jabatan Mufti di Malaysia yang mengeluarkan fatwa melarang ajaran Shi'ah dan juga menyekat penyebaran kefahaman Salafi/Wahabi, penulis artikel ini perlu menyatakan alasan-alasan keselamatan dan dasar agama Islam di Malaysia yang menjadikan Mazhab Syafi 'i dan Akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah sebagai mazhab rasmi negara. Oleh itu penyebaran mana-mana ajaran lain di kalangan orang awam secara terbuka adalah melanggar undang-undang. Namun perlu ditegaskan di sini bahawa seseorang individu di bawah undang-undang Malaysia adalah bebas untuk memilih agama yang disukainya termasuk untuk keluar dari agama Islam. Bahkan prosedur untuk perkara ini pun telah ditetapkan di Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian dakwaan penganiayaan berkenaan kepada penganut ajaran Shi'ah dan lain-lain kelompok agama mungkin boleh dinilai semula. Begitu juga penulis perlu juga memberi perhatian kepada pergeseran geo-politik mazhab Sunni-Shi'ah dunia Islam yang mana apa yang berlaku pada masa kini ialah wujudnya penajaan kewangan dan sokongan strategik kepada penyebaran kedua-dua ajaran Salafi dan Shi'ah di Malaysia. Perkara ini menyebabkan pegangan kepada sesuatu ajaran dan kefahaman bukan lagi kerana pilihan sukarela masyarakat sebagaimana pada masa dahulu, namun kerana perancangan pihak-pihak penaja ini bagi tujuan-tujuan kepentingan geo-politik mereka. Perkara ini jika tidak dikawal atau dijaga boleh menyebabkan isu keselamatan dan perpecahan dalam masyarakat serta ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial sebagaimana yang berlaku di negara-negara timur tengah pada masa kini. Faktor-faktor ini saya percaya telah menjadi pertimbangan pihak autoriti agama dan keselamatan di Malaysia semasa mereka melarang kegiatan Shi'ah dan juga Salafisme.

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...