Monday 27 November 2023

Undang-undang Sebagai Mekanisme Penyelesaian Pertikaian

 Undang-undang Sebagai Mekanisme Penyelesaian Pertikaian

Law as Dispute Resolution Mechanism


Kuliah Pada 7 Mac 2011



Bukan Penyelesaian Tapi Pengurusan Pertikaian


Pertikaian adalah perkara yang lumrah dalam penghidupan seharian manusia berpunca dari pelbagai faktor seperti ekonomi, politik, sosial dan juga emosi dan citarasa. Ini adalah kerana masyarakat dan negara berfungsi kerana perhubungan sesama manusia atau antara manusia dengan organisasi/kerajaan atau sesame organisasi/kerajaan.  Oleh itu amatlah mustahak pertikaian ini diselesaikan, kerana tanpa penyelesaian masyarakat dan negara tidak dapat berfungsi dengan baik dan lancar. Dalam masyarakat bertamaddun atau madani (civil society) penyelesaian pertikaian hendaklah dibuat secara yang teratur dan berlandaskan kepada nilai-nilai sejagat ataupun sekurang-kurangnya kepada nilai dan standard yang diterima oleh masyarakat berkenaan. Dalam hubungan ini sejak dari dahulu lagi undang-undang merupakan mekanisme yang utama dalam penyelesaian konflik. Tidak dinafikan terdapat pelbagai lagi cara atau keadah penyelesaian konflik dalam masyarakat dan negara namum undang-undang nampaknya menjadi asas utama penyelesaian kerana proses dan pendekatannya diterima dan diakui baik sama ada secara langsung/rasmi mahupun secara konvension. 


Memandangkan pendekatan undang-undang seperti yang dibincangkan di kuliah yang lalu bersifat menentukan hak serta melihat penyelesaian hanya kepada pertikaian yang dijadikan isu perundangan dan mementingkan keputusan sama ada salah atau benar, maka penyelesaian secara undang-undang dikatakan tidak menyelesai masalah atau pokok pertikaian secara memuaskan. Bahkan kadang-kadang penyelesaian undang akan menyebabkan bertambahnya lagi tekanan/persaingan/persengketaan. Sebagai contoh penyelesaian kes-kes kekeluargaan seperti perceraian atau hak jagaan anak tidak semestinya menyebabkan semua pihak berpuashati dan masalah kekeluargaan akan selesai. Namun pandangan ini mungkin tidak tepat memandangkan emosi manusia itu tidak akan atau sukar untuk menerima sesuatu yang tidak disukainya walaupun kehendaknya itu adalah sesuatu yang tidak wajar atau bertentangan dengan nilai masyarakat disekelilingnya. 


Disebabkan oleh kekurangan dari segi kepuasan ini ahli-ahli sosiologi perundangan tidak mengistilahkan mekanisme undang-undang sebagai penyelesaian pertikaian bahkan apa mereka menganggap apa cuba dilakukan oleh undang-undang untuk mengurangkan masalah atau tekanan daripada pertikaian daripada menjadi lebih parah melalui apa yang diistilah sebagai pengurusan konflik atau pertikaian (conflict regulation/management). Istilah dispute resolution juga dikenali dengan conflict resolution atau settlement.  Manakala istilah dispute proceeding merujuk kepada proses awal penyelesaian pertikaian manakala istilah conflict of laws bermaksud percanggahan undang-undang yang boleh menimbulkan konflik. Dalam perbincangan perundangan conflict laws merupakan satu displin jurisprudens yang mempunyai prinsip-prinsip tertentu. Berasaskan kepada huraian ini dapat difahamkan terdapat tiga elemen dalam penyelesaian pertikaian iaitu pengurusan atau pemprosesan pertikaian, (2) penyelesaian/penyuraian dan (3) kepuasan/pengentasan tension yang menjadi punca kepada pertikaian berkenaan.





Dispute

  1. Managed/Processed/Regulated






  1. Solved/Resolved/Settled






  1. Tension Released/Alleviated



Punca dan Tahap-tahap Konflik/Pertikaian


Punca kepada konflik atau pertikaian adalah rasa tidak puashati (grievance) atau penentangan (resentment) kepada pihak lain terhadap sesuatu perkara yang berkaitan dengan hak atau tanggungjawab. Ia juga berpunca daripada persepsi bahawa keadilan tidak berlaku kepada diri seseorang akibat tindakan atau tinggalan seseorang atau pihak yang lain. Dalam pengajian sosio perundangan perasaan atau persepsi ini dikenali sebagai peringkat pra konflik (pre conflict stage). Di peringkat ini perasaan dan persepsi ini hanya terhad kepada satu pihak sahaja atau apa yang dikenali di peringkat monadic. Dalam sesetengah keadaan seperti yang akan dinyatakan nanti perasaan atau persepsi ini akan hilang atau diabaikan oleh pihak merasainya dan tiada konflik akan timbul sungguhpun ianya tidak bermakna masalah diselesaikan. Namun dalam banyak keadaan perasaan dan persepsi pihak yang menderitainya akan berhadapan dengan pihak kedua. Di peringkat ini berlakunya komunikasi antara dua pihak yang akan menzahirkan perkara-perkara yang selama ini dalam perasaan dan persepsi penderitanya. Di peringkat ini konfik dikatakan dyadic di mana pihak yang menderita akan berhadapan atau bersemuka dengan pihak yang dikatakan menjadi punca masalah untuk dizahirkan perasaan ketidakpuashatian tadi. Dalam sesetengah keadaan keazaman atau keberanian pihak yang menderita untuk berhadapan dengan pihak lain sudah merupakan satu perkara yang amat melegakan dan kadang-kadang boleh menjadikan penderita berpuashati dan tidak akan meneruskan lagi tindakannya. Oleh yang demikian dapatlah difahamkan bahawa tidak semua perselisihan faham akan membesar menjadi konflik atau pertikaian penuh (full blown dispute) kerana manusia yang mempunyai emosi dan naluri akan memilih jalan keluar yang tidak semestinya bersifat perundangan. 


Sekiranya konflik di peringkat dyadic ini tidak diselesaikan maka campur tangan pihak ketiga diperlukan untuk menyelesaikannya. Konflik antara kedua-dua pihak ini akan menjadi umum dengan penglibatan pihak ketiga ini atau apa yang dikenali sebagai triadic. Dalam konteks sosio-perundangan pihak ketiga ini terdiri daripada sesiapa sahaja baik secara formal atau tidak formal. Tumpuan kajian sosio perundangan ialah kepada penyelesaian masalah. Di peringkat triadic ini konflik antara pihak-pihak sudah menjadi pertikaian atau dispute yang perlu kepada penyelesaian. Cara dan bagaimana pertikaian ini diselesaikan bergantung kepada faktor-faktor sosial dan akses serta kewujudan institusi yang mengurus penyelesaian konflik. Sebagai contoh dalam masyarakat desa atau tradisional penyelesaian konflik lebih kepada saluran informal manakala dalam masyarakat kota atau moden penyelesaian konflik adalah secara mahkamah atau litigasi.


No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...