Monday 29 April 2013

Looking Back Monday Musings and Memories - Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj



Dalam ketika tidak lama lagi pilihanraya umum ke-13 pada 5 Mei 2013 akan berlangsung, mungkin elok sedikit ulasan diberi kepada buku tulisan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Buku ini merupakan koleksi daripada tulisan-tulisan Tunku di dalam akbar The Star yang mana Tunku adalah pengerusinya di tahun 1970an. Tujuan utama Tunku menulis buku ini menurutnya adalah untuk memberitahu peristiwa-peristiwa yang Tunku mengalami sendiri dan beberapa kejadian menurut persepktifnya sebelum, ketika dan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Menurut Tunku dia merasa kurang berpuashati kerana terdapat beberapa perkara penting mengenai perkara-perkara itu tidak ditulis atau dinyatakan di dalam buku-buku sejarah Malaysia. Dengan demikian dia berpandangan maka penting dia menulis sendiri menceritakan perkara-perkara tersebut supaya masyarakat dan rakyat memahami sendiri bagaimana kejadian sesuatu peristiwa itu berlaku. Perkara ini berlaku mungkin dalam konteks di mana Tunku telah ditohmah dengan label-label tertentu seperti menjual negara kepada bangsa China terutama melalui peristiwa pemisahan Singapura daripada Malaysia dan kemudiannya talibarut penjajah oleh fundamentalis agama. Apa yang boleh disimpulkan daripada buku ini ialah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan atau untuk mencapai sesuatu cita-cita tersebut mengikut perspektif Tunku seharusnya melalui constitutional process dan rule of law. Bagi beliau seboleh mungkin pertumpahan darah dan penggunaan senjata perlu dielakkan. Atas dasar inilah menyebabkan beliau mendesak kerajaan penjajah British supaya memberi keizinan kepadanya untuk membuat perundingan dengan Chin Peng dan pihak Komunis dalam pertemuan di Baling pada Disember1955. Tujuan pertemuan ini untuk memujuk pihak Komunis supaya meletakkan senjata dan menyertai proses demokrasi. Pendekatan sebegini banyak mendapat cemuhan bahkan kutukan daripada pelbagai pihak terutama daripada golongan fundamentalis agama kemudiannya pada lewat 1970an and awal 1990an yang menuduh Tunku sebagai talibarut penjajah kerana mengekalkan perlembagaan dan undang-undang penjajah. Looking Back: Monday Musings and Memories - Tunku Abdul Rahman Bagi Tunku apa yang mustahak ialah negara Malaysia mempunyai pemerintahan sendiri bagi menentukan masa depannya dan membangunkan negara untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dari segi sosial dan ekonomi. Tidak dapat dinafikan ada beberapa perkara mengenai kehidupan peribadi Tunku yang bertentangan dengan Syariat Islam oleh golongan fundamentalis sehingga mereka memandang semua apa yang dibuatnya sebagai salah dan tidak dapat diterima. Namun Tunku dalam konteks ini bukanlah seorang yang hipokrit menafikan kegemarannya dalam sukan lumba kuda dan melayan tetamu negara dengan hidangan minuman keras sebagaimana sesetengah pemimpin politik Malaysia hari ini yang banyak berpura-pura. Apa yang jelas ialah keikhlasannya untuk membangunkan negara yang sejahtera dan saksama bagi semua bangsa dan masyarakat. Antara jasa besar Tunku ialah pengekalan sistem beraja dan pewujudan sistem giliran pelantikan Yang DiPertuan Agong di antara Sultan dan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi negara. Semasa di awal kemerdekaan terdapat beberapa peristiwa yang boleh menjejaskan sistem pergiliran ini. Namun beliau sentiasa memberi nasihat dan panduan kepada Raja-raja Melayu kepentingan sistem ini. Beliau juga seorang yang amat berjasa kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia bahkan juga di dunia Islam sebagai setiausaha agung pertama OIC dan bertanggungjawab menubuhkan Bank Pembangunan Islam (IDB). Di Malaysia beliau menubuhkan PERKIM dan terbukti ramai dari kalangan yang berbangsa China yang berpengaruh memeluk agama Islam hasil usahanya. Dalam kegiatan dan usaha-usahanya beliau sentiasa memberi keutamaan kepada kemaslahatan dan kepentingan umat Islam. Dari keperihatinan itulah lahirnya OIC dan IDB serta PERKIM. Oleh yang demikian usaha Tunku ini adalah lebih bermakna daripada desakan-desakan golongan fundamentalis yang hanya sekadar berethorik. Sebagai manusia Tunku tidak terlepas daripada membuat kesalahan, namun siapakah yang tidak membuat kesalahan? selain daripada nabi-nabi dan rasul-rasul. Oleh itu jika kita melihat sejarah hidup Tunku dari kacamata ini, saya percaya kita mesti berterima kasih kepadanya dan bersyukur sebanyak-banyaknya kerana hidup di sebuah negara yang aman dan makmur di mana Islam adalah tonggak dalam penghidupan dan demokrasi serta kebebasan adalah amalan. Semoga Allah swt mengampun dosa-dosa Almarhum dan menerima semua amalan-amalannya, Amin.      


No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...