Monday 1 April 2013

Ulasan Artikel The Origin of Banking in Mediaeval Islam

Ulasan Artikel: Walter Fischel, "The Origin of Banking in Mediaeval Islam: A Contribution to the Economic History of the Jews of Baghdad in the Tenth Century", Journal of Royal Asiatic Society, 1933, hh.339-352. ©Ahmad Hidayat Buang 2013

Artikel ini sudah lama ditulis dan mungkin ada antara perbincangan penulis sudah tidak lagi relevan atau sudah dikomen oleh pengkaji-pengkaji yang lain. Namun begitu sepanjang pembacaan saya terhadap penulisan moden mengenai perbankan dan kewangan Islam tiada banyak rujukan dibuat kepada perkembangan sistem kewangan pada zaman Abbasiah iaitu pada kemuncak kemajuan perdagangan dan ekonomi kerajaan berkenaan pada kurun ke 9 dan 10 Masehi (yakni pada kurun 4-5 Hijrah). Perkara yang ingin ditonjolkan oleh penulis artikel ini ialah sumbangan ahli kewangan berbangsa Yahudi terhadap sistem kewangan kerajaan Abbasiah pada masa itu. Dengan menggunakan sumber-sumber sejarah oleh penulis-penulis Islam sendiri seperti Kitab Tarikh al-Wuzara' oleh Hilal al-Sabi, Kitab Tajarib al-Umam oleh Miskawayh and Nishwar al-Muhadara oleh al-Tanukhi, penulis berpendapat sungguhpun ahli zimmi dilarang oleh ahli-ahli fiqh untuk memegang jawatan penting pemerintahan kerajaan Islam, namun dari segi praktiknya orang Yahudi dan Kristian dilantik memegang jawatan tertentu seperti kewangan dan perubatan. Dalam konteks kewangan terdapat satu kedudukan yang dikenali dengan jahbadh (جهبذ) dipegang dari kalangan orang Yahudi. Penulis menyatakan bahawa sudah menjadi satu kebiasaan di Kota Baghdad pada ketika itu urusan seperti pertukaran wang (sayaraf) dan lain-lain yang berkaitan dengan perniagaan dikendalikan oleh orang Yahudi. Malah terdapat dua orang Yahudi yang dikenali sebagai Jahbadhani Yahudiyyani iaitu Joseph b. Phineas dan Aaron b. Amran memberi perkhidmatan kewangan kepada kerajaan Abbasiah ketika itu. Kedua-dua orang Yahudi ini mempunyai kedudukan yang rapat dengan pemerintah Abbasiah dan dikatakan mendapat gelaran Jahbadh al-Hadrat atau Bank Diraja. Perkataan jahbadh ini adalah signifikan dalam konteks sejarah kewangan Islam kerana ianya diberi pelbagai makna oleh ahli bahasa Arab atau Lexicographer sebagai berkaitan dengan kewangan antaranya ialah; pakar kewangan, yang mahir dalam wang, bendahari, pemungut wang dan ahli perbankan. Namun penulis tidak memberitahu kita secara ditil bagaimana bentuk perkhidmatan kewangan itu diberikan samada dalam bentuk pinjaman atau perkongsian dan sebagainya. Cuma dikatakan menteri akan mendapat pinjaman kewangan daripada mereka melalui satu kontrak bagi tempoh 16 tahun. Artikel ini mempunyai sambungan di keluaran yang selanjutnya. Saya merasakan mungkin penulis ada menerangkan dengan lebih lanjut perkara mengenai bentuk dan cara perkhidmatan keewangan di keluaran berikutnya. 

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...