Sunday 17 November 2013

Ulasan Buku 'Aqidah Ahl Sunnah wa al-Jama'ah

Muhammad bin Salih bin ‘Uthaymin, ‘Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, Direktorat Urusan Masjid Haram dan Masjid Nabawi, t.t. (48 halaman).

Saya diberikan risalah kecil ini sewaktu mengerjakan ibadah Haji bersama isteri baru-baru ini. Ia mungkin bertujuan sebagai bacaan ringan Jemaah Haji semasa berada di Tanah Suci. Satu usaha yang baik pada pandangan saya. Turut diberikan beberapa risalah lain yang terjemahan Bahasa Indonesia dan beberapa kaset yang pada pandangan saya mungkin kurang sesuai pada Jemaah dari Malaysia. Risalah kecil ini secara umumnya cuba menjelaskan dasar-dasar akidah yang dianggap sebagai pegangan Ahl al-Sunnah Wa Jama’ah. Bagi menjelaskan perkara yang penting ini penulis risalah ini tidak lain tidak bukan ialah ideologue aliran kefahaman salafi Muhamad bin Salih bin ‘Uthaymin (1925-2001) yang mempunyai kepakaran bukan sahaja dalam bidang akidah namun juga dalam bidang Syariah dimana beliau terlibat dalam pengajaran di Masjid Haram dan pensyarah di Universiti Imam al-Sa‘ud di al-Qasim, Arab Saudi.

Muhammad bin Salih bin 'Uthaymin

Penjelasan yang dibuat di dalam Risalah ini dapat dibahagikan kepada tiga iaitu (1) metod yang digunakan untuk memahami dan menjelaskan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, (2) penjelasan mengenai dasar-dasar akidah itu sendiri yang berpaksi kepada rukun Iman yang enam dan (3) kesan-kesan keimanan kepada rukun berkenaan kepada peribadi seseorang Muslim. Sebagaimana yang dimaklumi bahawa metod yang digunakan untuk menjelaskan prinsip akidah Ahl Sunnah sebagaimana yang difahami oleh ‘Uthaymin ialah dengan menegaskan apa-apa yang ditegaskan oleh nas-nas Syariah dan menafikan apa-apa yang dinafikan oleh nas berkenaan. Tiada yang banyak berbeza penjelasan ini dengan aliran akidah yang lain, cuma barangkali pengarang semasa menjelaskan tentang keimanan kepada Allah swt pengarang menyatakan bahawa beliau berpandangan wajib memahami nas-nas Syarak secara zahirnya dan memahami hakikat nas berkenaan secara yang layak kepada Allah swt. (halaman 18)

 (ونرى وجوب إجراء نصوص الكتاب والسنة في ذلك على ظاهرها وحملها على حقيقتها اللائقة بالله عز وجل)

 Lantaran daripada itu ‘Uthaymin menempelak mereka yang cuba memberi makna ini selain daripada apa yang dijelaskan oleh nas Syarak. Golongan ini disifatkan oleh ‘Uthaymin sebagai al-Mu’atilun ((المعطلون dan golongan al-Ghalun الغالون)).  Bagi golongan yang pertama mereka telah menukarkan apa yang yang dijelaskan oleh Syarak manakala golongan yang kedua yang memahami keimanan kepada Allah swt dengan memasukkan unsur-unsur tamthil dan takyif. Penolakan ini walaupun tidak disebut secara langsung ada kaitannya dengan kaedah golongan ahlu al-kalam dalam perbincangan sifat Allah swt melalui ta’wil yang dianggap oleh “Uthaymin sebagai satu bentuk ta‘til (pengurangan) kepada apa yang dikehendaki oleh nas Syarak. Penjelasan lain yang mungkin relevan terutama dalam konteks Syiah di Malaysia ialah penegasan beliau bahawa perselisihan yang berlaku di kalangan para Sahabat RasuluLlah s.a.w. adalah berasaskan kepada ijtihad para sahabat berkenaan di mana jika benar ijtihad itu mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala dan kesalahan itu diampunkan oleh Allah swt (halaman 28). ‘Uthaymin menjelaskan perkara ini sebahagian daripada keimanan kepada RasuluLlah s.a.w. kerana para Sahabat Nabi s.a.w. itu adalah sebaik-baik golongan daripada umat Muhammad (Ali Imran, 110).



3 comments:

  1. Assalamualaikum....sekadar pdgn tuan pengulas...adakah wajar dan sepatutnya kita mengambil pdagan penulis buku ini?

    ReplyDelete
  2. Alaikum salam, secara umumnya boleh tidak ada apa-apa yang boleh menimbulkan isu atau masalah, kecuali beberapa poin yang saya timbulkan mungkin berbeza dengan aliran ilmu kalam yang diamalkan di Malaysia.

    ReplyDelete
  3. Salam alaik...ulasan yg bagus berkaitan buku tersebut,saya ada mengikuti 1 pengajian dan menyatakan berkaitan dengan golongan mujassimah dan mereka menyatakan bahawa golongan mujassimah ini termasuklah Ibn Taymiyyah,Ibn Qayyim dan para ulama dari saudi...asas mereka megatakan sedemikian adalah golongan tersebut tidak mentakwil ayat mutasyabihat dalam AQ....walhal dalam pengajian subjek AQ dan AS semasa saya berada di tgkatan 4 dan 5 menyatakan bahawa padangn yg tidak mentakwilkan ayat mutasyabihat tersebut merupakan pdgn dari ulama salaf. Saya keliru dan minta penjelasan tuan

    ReplyDelete

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...