Thursday 14 November 2013

Ulasan Artikel “International Trade and Domestic Legal Systems: Examining the Impact of Islamic Law”


Ulasan Artikel “International Trade and Domestic Legal Systems: Examining the Impact of Islamic Law” oleh Emilia Justyna Powell dan Stephanie J. Rickard, International Interactions, 36:335-362, 2010.


Artikel ini bermula dari premis dapatan kajian lepas yang mendapati perhubungan dagangan antarabangsa banyak di pengaruhi oleh faktor perundangan tempatan sesebuah negara. Kajian oleh Nathan Nuun pada tahun 2007 menunjukkan negara yang menggunakan sistem perundangan common Inggeris lebih banyak mengekspot barangan oleh industri yang menggunakan kontrak jual beli secara intensif berbanding dengan negara yang menggunakan sistem perundangan sivil atau kontinental. Oleh yang demikian kajian oleh kedua-dua penulis artikel ini, mengikut mereka, adalah percubaan kali pertama untuk menganalisis kesan sistem perundangan negara yang menggunakan undang-undang Islam terhadap perdagangan antarabangsa. Menurut mereka, perdagangan antarabangsa lazimnya dibuat berasaskan kepada kontrak jual beli samada yang melibatkan pertukaran barangan ataupun perkhidmatan. Tujuan kontrak ini adalah untuk mengurang risiko dan kos sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini kerana tanggungjawab dan kewajipan pihak-pihak penjual dan pembeli telah dipersetujui melalui kontrak berkenaan. Namun begitu kewujudan kontrak ini tidak bermakna ianya adalah berkesan bagi mengurangkan risiko dan kos, kerana ianya bergantung kepada kepada beberapa factor lain. Antara yang terpenting ialah keupayaan untuk menguatkuasakan terma-terma kontrak berkenaan oleh sistem perundangan negara berkenaan. Menurut penulis faktor ini adalah penyebab utama mengapa perdagangan antarabangsa giat berlaku di negara yang mengamalkan undang-undang komon Inggeris berbanding dengan negara-negara lain. Ini adalah kerana undang-undang komon Inggeris mempunyai sistem dan prosedur yang jelas dalam penguatkuasaan kontrak berbanding sistem perundangan kontinental. Oleh yang demikian ciri utama yang menggalakkan perdagangan antarabangsa sesebuah negara ialah keupayaan sistem perundangannya menguatkuasakan terma-terma kontrak jika berlaku sesuatu perkara yang diluar jangka seperti kemungkiran kontrak dan sebagainya. Penulis membawa satu contoh sebuah syarikat Jepun yang telah menandatangani perjanjian pembinaan sebuah bangunan di Jakarta dengan sebuah syarikat Indonesia. Di dalam kes ini tuntutan telah dibuat di mahkamah Indonesia yang mana akhirnya tiada sebarang perintah atau award telah dibuat bagi membolehkan syarikat jepun menguatkuasakan terma kontrak yang telah dipersetujui. Contoh ini mengikut penulis memberi dua pengajaran penting iaitu pertama jika sesuatu terma kontrak itu tidak dapat dikuasakan dengan baik maka ia akan meningkatkan risiko dan kos dan kedua maklumat atau pengetahuan mengenai sesuatu bidangkuasa adalah penting juga bagi mengurangkan risiko. Kedua-dua perkara ini dikenali sebagai mekanisme kasual (casual mechanism) perdagangan antarabangsa. Penulis seterusnya dengan menganalisis penulisan lalu mendapati bahawa sistem undang-undang kontinental tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan yang berkesan berbanding dengan undang-undang komon Inggeris kerana prosiding mahkamahnya telah diperundangkan dengan banyaknya menyebabkan timbul keadaan yang dikenali sebagai formalism perundangan. Keadaan ini menyebabkan prosiding menjadi panjang serta mengambil masa yang lama, tidak konsisten, keputusan yang tidak adil, dan kadang-kadang gelaja korupsi. Kajian empirikal mendapati formalism perundangan sebegini melemahkan penguatkuasaan kontrak. Mekanisme kasual kedua yang boleh menggalakkan perdagangan antarabangsa ialah sistem perundangan atau institusi yang sama (institutional similarity). Kajian mendapati negara yang berkongsi sistem perundangan yang sama mempunyai hubungan dagang yang lebih sesama sendiri daripada negara yang mempunyai sistem perundangan yang berbeza. Ini adalah kerana sistem perundangan yang sama seperti undang-undang komon Inggeris yang meggunakan prinsip duluan mengikat atau stare decisis boleh mengurangkan risiko dan sekaligus meningkatkan perdagangan kerana kejelasan dari segi apa yang akan berlaku. Ketiadaan prinsip duluan mengikat ini di negara yang mengamalkan sistem perundangan continental juga dikatakan antara sebab mengapa dagangan antara negara berkenaan kurang berbanding dengan negara undang-undang komon. Jika perbezaan yang terdapat di antara kedua-dua sistem perundangan utama dunia memberi kesan kepada hubungan dagangan antara negara berkenaan, maka perbezaan yang terdapat di antara undang-undang Islam dengan undang-undang common atau sivil secara logiknya akan memberi kesan yang lebih besar. Mengikut penulis artikel, dengan memetik pandangan daripada Timur Kuran perbezaan ketara antara undang-undang Islam dengan sistem perundangan dunia yang lain ialah terdapat kuasa budibicara yang lebih meluas kepada hakim di dalam sistem perundangan Islam. Ini adalah kerana keputusan hakim di dalam perundangan Islam adalah berasaskan kepada kefahaman personal hakim tersebut atau ijtihad.  Begitu juga konsep pemilikan di dalam Islam adalah berbeza dengan undang-undang barat di mana prinsip pemilikan di dalam Islam berada dalam ruang sosial yang lebih luas di mana manusia tidak dianggap sebagai pemilik kekal, di mana harta dipegang atas dasar sebagai seorang pemegang amanah kerana pemilik mutlak sesuatu harta itu adalah Allah swt. Perkara ini menyebabkan penguatkuasaan di dalam undang-undang Islam agar longgar berbanding dengan undang-undang komon. Faktor seterusnya ialah ketiadaan standard dalam perkara prosidur di dalam undang-undang Islam yang menyebabkan wujudnya keadaan ketidakpastian dalam penguatkuasaan. Ini ditambah lagi dengan ketiadaan rekod yang berkaitan dengan penguatkuasaan berkenaan yang boleh dijadikan rujukan bagi mereka yang ingin berdagang di negara Islam. Bagi penulis kesimpulan di atas adalah berbentuk monadic yang mungkin tidak menunjukkan secara tepat keadaan sebenar perdagangan antarabangsa. Terdapat beberapa lagi faktor yang mempengaruhi pedangangan antara negara seperti penggunaan bahasa yang sama, ketiadaan konflik politik atau ketenteraan, sistem pemerintahan yang menggalakan perdagangan seperti demokrasi dan perjanjian dua hala pedagangan antara negara. Bagi menguji ketepatan hipotesis kajian, penulis menguji sistem perundangan negara ini secara dyadic dan monadic dengan menggunakan standard gravity model. Ujian secara dyadic mendapati bahawa: (1) perdagangan antara negara Islam adalah kurang, (2) negara Islam lebih banyak menjalankan perniagaan dengan negara yang mengamalkan sistem perundangan common berbanding dengan undang-undang kontinental, (3) negara undang-undang komon lebih banyak menjalankan perniagaan antarabangsa berbanding dengan negara undang-undang kontinental. Hasil dapatan ini menunjukkan bahawa sistem perundangan sesuatu negara itu adalah penting dan menyumbang kepada perdagangan antara negara terutama kerana keupayaannya untuk menguatkuasakan terma kontrak. Manakala ujian secara monadic mendapati bahawa negara-negara undang-undang Islam mempunyai kadar perdagangan yang paling rendah, manakala negara-negara undang-undang common mempunyai yang paling banyak. Kajian ini juga mendapati pengantarabangsaan dan globalisasi telah mengurangkan pergantungan kepada perundangan tempatan negara berkenaan. Pengantarabangasaan perdagangan antara negara dicapai melalui pelantikan badan arbitrasi atau timbangtara antarabangsa yang tidak lagi menggunakan undang-undang tempatan bagi pelaksanaan penguatkuasaan kontrak, tetapi akan memilih satu bidangkuasa ketiga atau neutral bagi tujuan ini, di mana lazimnya undang-undang Inggeris yang akan digunakan. Begitu juga perbezaan antara perundangan negara dikurangkan melalui penggunaan kontrak perniagaan antarabangsa yang standard seperti UNIDRIOT Principles of International Contracts. Pada pandangan saya sungguhpun kadar perdagangan antara negara Islam adalah rendah dan ini tidak dapat dinafikan, namun ianya bukan berpunca akibat daripada undang-undang Islam. Masalah utama ialah sistem pengurusan dan pentadbiran yang lemah serta sosio-budaya negatif negara-negara Islam berkenaan seperti rasuah, tidak amanah dan sebagainya yang banyak menyumbang kepada kadar yang rendah dalam perdagangan antara negara Islam. Oleh demikian kajian ini walaupun memberi kesimpulan yang negatif kepada negara Islam, ianya adalah satu pembuka mata kepada semua supaya berusaha dengan lebih keras lagi untuk menjadikan Syariah Islam itu unggul di dalam sistem perundangan dunia.

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...