Sunday 31 August 2014

Ulasan Artikel “Restoring the Ethical Basis of Finance” oleh Abdul Karim Abdullah (Leslie Terebessy)

Ulasan Artikel “Restoring the Ethical Basis of Finance” oleh Abdul Karim Abdullah (Leslie Terebessy), dalam Islam and Civilisational Renewal, IAIS, volume 5, Number 1, January 2014, pp.84-95.

Artikel ini menekankan keperluan transformasi sistem kewangan daripada yang bersifat pinjaman hutang berasaskan faedah kepada perkongsian risiko yang dianggap lebih beretika. Penulis berpendapat bahawa pengambilan pendapatan atau keuntungan dengan hanya meminjam wang adalah punca kepada jurang perbezaan antara miskin dan kaya serta faktor berlakunya krisis kewangan dunia terutama melalui pasaran hadapan atau hedging. Begitu juga penulis menggunakan alasan filosofis bagi menolak amalan faedah bank sebagai tidak beretika kerana ia memberi pulangan atau keuntungan kepada pemberi pinjam tanpa memberi apa-apa tukaran yang mempunyai nilai samada dalam bentuk usaha atau perkongsian risiko (halaman 89). Kesimpulan ini berasaskan kepada teori perundangan Islam yang menyatakan bahawa wang bukanlah harta bagi membuat keuntungan kerana wang adalah medium pertukaran harga semata-mata. Bagi penulis untuk melakukan perubahan dalam amalan sistem kewangan konvensional dan juga sistem kewangan Islam yang banyak meniru sistem kewangan konvensional perubahan dalam masyarakat dan pendidikan adalah perlu bagi membangkit kesedaran peri pentingnya kewangan yang berasaskan kepada perkongsian risiko. Perubahan dari segi sosial dan pendidikan ini akan disusuli oleh perubahan dalam sistem perundangan yang pada akhirnya melarang sistem kewangan atas dasar faedah. Bagi menggalakkan perubahan dalam minda dan amalan masyarakat dan negara beberapa insentif perlu diperkenalkan antaranya ialah memberi kelonggaran dalam percukaian kepada pihak yang ingin mengamalkan sistem kewangan berasaskan risiko. Begitu juga perubahan dalam penawaran dan permintaan dengan membenarkan pemilik rumah menjual harta mereka secara berhutang. Mengikut penulis cara ini boleh mengurangkan kos perumahan dan dengan itu meningkatkan permintaan.


Bagi mengelakkan penjual menjual rumah dengan harga yang mahal, undang-undang perlu diperkenalkan bagi melarang perbezaan antara harga tunai dan hutang/tangguh. Cadangan ini mungkin kurang praktikal kerana penjual atau pemilik harta terpaksa menunggu masa yang lama untuk memperolehi keuntungan jualan harta mereka. Dan larangan perbezaan harta tunai dan hutang mungkin tidak praktikal kerana boleh menjadikan pasaran tidak fleksibal. Secara umumnya artikel ini adalah satu bentuk kritikan kepada sistem perbankan Islam semasa yang mungkin terlalu bergantung kepada sistem kewangan secara pinjaman berhutang dalam perniagaan mereka sehingga mengabaikan sistem kewangan yang berasaskan risiko atau perkongsian untung rugi. Dalam aspek amalan, perkara ini nampaknya telah cuba ditanggani di Malaysia melalui Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 di mana prinsip-prinsip Syariah seperti Musyarakah, Mudarabah dan Wakalah hanya boleh diaplikasikan kepada akaun pelaburan yang tidak menjamin pulangan modal kepada pemegang akaunnya tidak sebagaimana sebelum undang-undang ini diperkenalkan.



No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...