Saturday 13 September 2014

Peranan Sultan Dalam Pemilihan Menteri Besar Selangor: Kesinambungan Teori Siyasah


Apa yang diutarakan oleh Profesor Shamrahayu melalui rencananya bertajuk Peranan Sultan dalam kemelut MB Selangor yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia pada 24 Ogos 2014 perlu direnungkan dalam konteks bagaimana Syariah Islam boleh memainkan peranan dalam menyelesai kemelut yang dihadapi (rencana berkenaan boleh diakses di http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140824/re_08/Peranan-Sultan-dalam-kemelut-MB-Selangor). Sesuai dengan perkembangan semasa asas pemerintahan di Malaysia serta juga sebahagian negara-negara Islam yang lain terutamanya Indonesia, Turki dan Pakistan adalah demokrasi, iaitu pemilihan pemerintahan melalui suara majoriti rakyat. Prinsip demokrasi ini nampaknya tidaklah dapat dipraktikkan dengan berkesan dan lancar di negara-negara Arab. Bahkan kesemua negara-negara teluk asas pemerintahan adalah kerajaan beraja secara mutlak. Namun begitu yang membezakan Malaysia dengan negara-negara Islam yang lain ialah demokrasi Malaysia menerima pakai sistem beraja. Secara mudahnya, jika dapat diterima kesimpulan ini, sistem pemerintahan di Malaysia adalah campuran atau perkahwinan antara sistem demokrasi moden dan sistem beraja. Sungguhpun sistem demokrasi berasaskan kepada nilai-nilai kebebasan bersuara dan proses pemilihan pemerintahan secara majoriti Barat, namun kebanyakan ahli politik Islam menerima sistem ini kerana ianya tidak bercanggah dengan dasar-dasar pemerintahan Islam, terutamanya dengan dasar pemilihan Khalifah Rasyidin yang kesemuanya dipilih melalui suara ramai. Manakala sistem beraja pula diterima oleh para ulama terdahulu dengan syarat bahawa pemimpin berkenaan menjalankan pemerintahan dan pentadbiran secara adil berasaskan kepada Syariah serta mendapat bai'ah daripada rakyat. Namun begitu dalam konteks Malaysia, sumber tertinggi undang-undang adalah Perlembagaan Persekutuan dan diikuti dengan Perlembagaan Negeri. Peruntukan undang-undang ini yang menyatakan secara bertulis apakah syarat-syarat dan langkah-langkah yang perlu diambil dalam pemerintahan negara. Jika melihat kepada peruntukan Perlembagaan Negeri Selangor, sebagai contoh, syarat utama pelantikan Menteri Besar ialah mendapat sokongan majoriti ahli DUN serta perkenaan DYMM Sultan. Sebagaimana dengan undang-undang bertulis yang lain, tidak semua perkara dinyatakan secara jelas atau bertulis. Persoalan yang dikemukakan ialah bagaimanakan kita hendak menjelaskan perkara-perkara itu dan seterusnya mencorakkan amalan serta tafsiran undang-undang. Sebagai contoh tiga perkara telah ditimbulkan oleh banyak pihak akibat ketiadaan peruntukan bertulis iaitu apakah seorang wanita tidak layak menjadi Menteri Besar? seorang itu mesti warga negara asal dan ianya mesti anak jati negeri berkenaan. Satu persoalan yang lebih penting ialah peranan DYMM Sultan atau Raja dalam pelantikan Menteri Besar. Sudah tentu pelantikan ini berasaskan kepada individu yang mendapat kepercayaan majoriti ahli DUN dan dalam konteks ini parti politik yang mempunyai kerusi majoriti. Namun begitu jika dalam keadaan di mana terdapat krisis sebagaimana yang berlaku di Selangor pada masa kini, maka bagaimana keadaan ini perlu dijelaskan atau diselesaikan? Dalam keadaan di mana peruntukan Perlembagaan tidak menjelaskan penyelesaiannya apakah sumber yang perlu dirujuk? Bagi sebuah negara yang mengamal sistem perundangan komon Inggeris, barangkali akan terdapat hujah bahawa rujukan harus dibuat kepada tradisi undang-undang tersebut. Namun begitu sebagaimana kata Prof Shamrahayu kita perlu merujuk kepada sejarah dan tidak perlu meniru raja berperlembagaan yang diamalkan di negara lain kerana ianya tidak sesuai dan berbeza dari segi sejarah dan hala tuju negara. Oleh kerana sistem beraja di Malaysia berasaskan kepada sistem kesultanan Melayu yang bertonggakan kepada perundangan Islam, maka sewajarnya persoalan amalan yang tidak dinyatakan secara bertulis di dalam Perlembagaan itu dirujuk kepada perundangan Islam. Dalam pemilihan Menteri Besar Selangor DYMM Sultan sebagai satu instituisi pemerintahan, mengikut teori politik Islam atau Siyasah Syar'iyyah bertindak sebagai ahli al-hall wa 'aqd dalam menentukan siapakah yang layak menjadi menteri besar. Oleh yang demikian pada pandangan saya apa yang dilakukan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menyelesai kemelut ini adalah sesuatu yang syarie dan wajar disokong oleh semua pencinta undang-undang Islam di Malaysia. Sungguhpun demikian dalam mencari jawapan atau penjelasan daripada perundangan Islam, tidak semestinya kita terikat dengan tafsiran atau ijtihad ulama terdahulu, bahkan para ulama dan ilmuan Islam Malaysia boleh membentuk satu tafsiran yang sesuai dengan budaya dan masyarakat Malaysia serta mengambil kira perkembangan semasa.

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...