Tuesday 16 September 2014

Ulasan Buku Dendang Perantau: Memoir Seorang Ahli Akademik

Sobri Salamon (2013). Dendang Perantau: Memoir Seorang Ahli Akademik. Bangi: Middle Eastern Muslim Graduates Association. 334 halaman (termasuk indeks).

Setakat yang saya tahu sudah terdapat dua tokoh lulusan timur tengah atau dengan lebih tepat lagi lulusan al-Azhar yang menulis memoir mereka bagi menceritakan pengalaman pahit manis sejak dari muda sehingga mereka mencipta nama sebagai tokoh-tokoh terkenal negara. Tulisan Dr. Sobri ini adalah buku ketiga selepas penerbitan memoir oleh Profesor Datuk Dr. Ismail Ibrahim dan Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad. Buku ini menceritakan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh penulis bagi memenuhi impiannya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sungguhpun dalam kesempitan kewangan serta lain-lain cabaran, namun semangat dan cita-cita untuk mencari ilmu tidak pernah padam atau kendur dari dirinya. Atas kesedaran untuk memajukan diri sendiri, keluarga dan masyarakat Dr. Sobri mengharungi semua itu sejak dari pengajiannya di Ihya al-Syarif Gunung Semanggol, Perak sehinggalah menjejak kaki di Mesir dan seterusnya berangkat ke New York Amerika Syarikat dengan hanya berbekalkan USD2. Kejayaan penulis mengharungi semua itu hanya dengan berbekalkan semangat dan cita-cita yang tekal membuktikan bahawa usaha yang gigih serta berani menghadapi cabaran boleh mengatasi segala masalah yang ada walaubagaimana besar sekalipun. Pun begitu buku ini banyak menyelit beberapa peristiwa penting pendidikan Islam tanah air, politik dan keadaan sosial timur tengah, sejarah UKM dan penubuhan Bank Islam. Namun yang mungkin berbeza ialah keadaan pendidikan Islam dan sosial masyarakat Melayu Jawa di Selangor diceritakan oleh penulis dalam bab-bab permulaan bukunya. Aspek ini bagi saya mungkin jarang diperkatakan apabila menyentuh sejarah pendidikan Islam di Malaysia, kerana sebagaimana yang kita tahu kebanyakan penulis banyak menumpu kepada negeri Kelantan dan Kedah sebagai pusat pengajian Islam di Tanah Melayu ketika itu. Sungguhpun kita sudah mengetahui sumbangan Ihya al-Syarif Gunung Semanggol dalam pendidikan Islam negara, namun Dr Sobri menceritakan bagaimana pengajian yang beliau ikuti di sana memberi kesan kepada pewatakan dan world viewnya terhadap Islam. Ini dapat dilihat dalam ulasannya terhadap pengajian Islam yang mana menurutnya perlu diberi pembaharuan supaya dapat diterjemahkan bagi menyelesai isu-isu semasa masyarakat dan negara. Buku ini menurut penulis merupakan permulaan dan akan mempunyai sambungannya dalam dua siri iaitu penulis sebagai Ahli Majlis Agama Islam Negeri Selangor dan sebagai penasihat Syariah Bank Islam. Didoakan agar Allah swt menganugerahkan kesihatan dan kelapangan kepada Dr. Sobri untuk menceritakan kepada kita pengalaman-pengalamannya di dalam memoir yang seterusnya.

  

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...